Oleh Wan Am
Dalam buku “Teladan Tarbiah”, melalui bab “Tajarrud”, saya menemui kisah taubat seorang sahabat Rasulullah s.a.w. bernama Ka’ab bin Malik. Kisah itu bermula ketika berlakunya Perang Tabuk, di mana ada beberapa sahabat baginda yang tidak pergi berperang. Salah seorang daripada mereka adalah Ka’ab.
Kisah selanjutnya adalah seperti yang diceritakan sendiri oleh Ka’ab, sebagaimana yang dipetik daripada “Tafsir Fi Dzilalil Quran” karangan Syed Qutb:
“Aku tidak pernah ketinggalan apabila Rasulullah s.a.w. berangkat ke medan perang, kecuali ketika Perang Badar. Allah dan rasul-Nya tidak menyalahkan sesiapa yang enggan menyertai perang Badar tersebut, kerana Rasulullah bertolak dari Madinah untuk memintas kabilah-kabilah pedagang Quraisy. Pertempuran tersebut berlaku tanpa ada sebarang persediaan awal.
Padahal aku pernah menyertai bai’ah kaum Ansar terhadap Rasulullah s.a.w. di Aqabah, tatkala aku menerangkan komitmen aku terhadap Islam sejelas-jelasnya. Aku tidak rasa bersalah, tidak mahu menukar tempat aku di Aqabah ketika Perang Badar, walaupun Perang Badar itu lebih terkenal daripada Perjanjian Aqabah itu.
Namun, aku gagal menyertai tentera-tentera Islam ketika Perang Tabuk. Walhal ketika itu aku sihat walafiat dan tidak ada halangan untuk menyertainya. Malah aku mempunyai dua kenderaan ketika itu.
Kebiasaannya, Rasulullah s.a.w. tidak mengumumkan di manakah destinasi peperangan yang akan berlangsung. Walau bagaimanapun, kali ini Rasulullah s.a.w. menetapkan satu destinasi yang jauh, dan tatkala cuaca sedang panas terik, Rasulullah s.a.w. menjelaskan bahawa mereka akan menyerang Byzantine. Jumlah kaum Muslimin yang menyertai angkatan perang tersebut begitu ramai sehinggakan tidak mampu untuk disenaraikan dalam rekod siapa yang menyertainya.
Dalam keadaan ini, sesiapa yang bercadang untuk menarik diri dan tinggal di Madinah, mungkin beranggapan bahawa Rasulullah s.a.w. tidak akan menyedari ketidakhadiran mereka, melainkan sekiranya diwahyukan oleh Allah.
Rasulullah s.a.w. bercadang untuk berangkat ke medan perang tatkala buah-buahan sedang masak ranum dan kaum Muslimin selesa berehat di bawah teduhan pokok. Rasulullah s.a.w. dan kaum Muslimin yang lain ketika itu, sedang sibuk menyiapkan kelengkapan perang. Aku pula, setiap hari keluar ke pasar untuk membeli kelengkapanku, namun setiap hari pulang tanpa membeli apa-apa kelengkapan. Aku sangkakan aku akan sempat membeli kelengkapan perang tersebut untuk diriku sebelum berangkat pergi. Aku tetap bertangguh-tangguh, sehinggalah tiba masanya para tentera Muslimin untuk berangkat. Rasulullah s.a.w. dan kaum Muslimin yang lain sudah pun berangkat, sedangkan aku masih belum pun lagi bersedia dengan kelengkapanku.
Namun, aku tetap lagi bertangguh. “Ah, aku masih sempat membeli kelengkapan-kelengkapanku dalam sehari dua ini, dan sempat mengejar dan menyertai mereka yang lain.”
Selepas sehari dua, aku masih lagi gagal membeli kelengkapan perangku. Sedangkan ketika itu, pastilah angkatan tentera Muslimin sudah jauh di pertengahan jalan. Aku membuat keputusan untuk segera bertolak, mengejar mereka. Aku harap aku akan laksanakan keputusanku itu, namun aku tidak juga melaksanakannya.
Setiap kali aku keluar dari rumah (setelah Rasulullah s.a.w. dan tentera Muslimin berangkat), aku melihat mereka yang tinggal di Madinah hanyalah golongan munafik. Paling tidak pun, orang-orang Islam yang tidak mampu menyertai peperangan. Padahal aku bukanlah terdiri daripada kedua-dua golongan tersebut.
Aku diberitahu kemudiannya, bahawa Rasulullah s.a.w. tidak bertanya pun mengenai aku, sehinggalah angkatan mereka tiba di Tabuk. Baginda bertanya kepada salah seorang yang berada di sana, “Apa yang terjadi kepada Ka’ab bin Malik?” Seorang lelaki dari Bani Salamah menjawab, “Wahai Rasulullah, kekayaan dan keangkuhan Ka’ab telah membuatkannya tidak menyertai kita.” Tatkala mendengar sedemikian, Muadz bin Jabal berkata, “Celaka engkau! Rasulullah, kita tidak pernah menganggap Ka’ab sedemikian!”
Tidak berapa lama kemudian, aku mendengar Rasulullah s.a.w. dan para sahabat sudah memulakan perjalanan pulang dari Tabuk. Aku berasa amat sedih dan serba salah. Takkan aku hendak berbohong kepada Rasul? Aku mula memikirkan, apakah yang akan aku beritahu kepada baginda menjelang ketibaannya esok, agar baginda tidak marah kepadaku. Aku bertanya, meminta pertolongan daripada seisi rumahku. Apabila diberitahu bahawa Rasulullah s.a.w. akan tiba tak lama lagi, aku sedar bahawa aku tidak boleh berbohong kepada baginda. Aku sedar, bahawa pilihanku hanyalah memberitahu perkara yang sebenar. Akhirnya aku nekad untuk memberitahu perkara yang sebenar.
Kemudian Rasulullah s.a.w. pun tiba di bandar Madinah. Seperti kebiasaan, tatkala baginda tiba dari bermusafir, baginda akan segera berkunjung ke masjid dan menunaikan solat dua rakaat sebelum bertemu penduduk-penduduk lain. Setelah baginda solat, tidak kurang daripada 80 orang penduduk Madinah yang tidak menyertai angkatan perang bertemu dengan baginda dan menyatakan alasan-alasan mereka. Mereka bersumpah dengan nama Allah bahawa alasan mereka benar. Rasulullah s.a.w. menerima penjelasan mereka dan sumpah mereka, dan berdoa kepada Allah bagi mengampuni mereka, dan menyerahkan segala keputusan kepada Allah.
Aku kemudiannya menuruti Rasulullah dan menyapa baginda. Baginda membalas dengan sebuah senyuman kemarahan. Baginda menyuruh aku mendekatinya. Aku mendekati Rasulullah s.a.w. dan duduk di hadapan baginda. Baginda bertanya kepadaku, “Apa yang menyebabkan engkau tinggal di belakang, wahai Ka’ab? Adakah engkau tidak membeli kenderaanmu?”
Aku menjelaskan segalanya kepada Rasulullah s.a.w. “Wahai Rasulullah, seandainya aku sedang berbicara dengan mana-mana manusia lain di dunia ini selain engkau, maka aku akan berbohong memberikan alasan agar dia tidak marah. Aku boleh beralasan. Tapi aku tahu dengan pasti, bahawa jikalau aku berbohong dan beralasan denganmu bagi menjaga hatimu, Allah akan memberitahumu kebenaran dan engkau akan murka kepadaku. Manakala jika aku memberitahumu perkara yang sebenar dan engkau murka kepadaku, aku berharap Allah akan mengampuniku. Demi Allah, aku tidak ada apa-apa alasan. Kesihatan aku baik, hidup aku juga senang-lenang tanpa kesusahan, ketika aku tidak menyertai angkatan perang.”
Rasulullah menjawab, “Engkau telah berkata benar, Ka’ab. Nantikanlah keputusan Allah terhadapmu.”
Tatkala aku beredar, beberapa orang lelaki dari Bani Salamah mengekoriku dan berkata, “Kami tak pernah tahu engkau berbuat dosa sebelum ini. Sepatutnya engkau berbohong sahaja dan beralasan kepada Rasulullah sepertimana orang-orang lain lakukan! Kan tidak menjadi masalah, manakala Rasulullah akan mengampunkan engkau dan berdoa agar Allah mengampunkan engkau, sepertimana orang-orang lain!”
Mereka terus-terusan berkata kepadaku, sehinggakan aku sampai terfikir untuk kembali kepada Rasulullah s.a.w. dan berbohong kepada baginda. Sebelum itu, aku bertanya kepada mereka, adakah lagi orang lain yang sepertiku, yakni memberitahu Rasulullah s.a.w. perkara yang sebenar? Mereka memberitahuku bahawa Murarah ibnu Al-Rabi’ dan Hilal bin Umayyah juga tidak menyertai angkatan perang dan berterus terang kepada Rasulullah s.a.w. sepertiku. Aku mengenali mereka berdua ini adalah Mukmin yang baik. Aku sedar bahawa yang terbaik untuk aku lakukan sekarang ini adalah untuk bersama-sama menyertai mereka.
Akhirnya Rasulullah s.a.w. mengarahkan para sahabat untuk tidak bercakap dengan kami bertiga. Baginda tidak pula mengarahkan perkara yang sama terhadap orang lain yang tidak menyertai perang. Kini, semua orang mengelak daripada bertemu kami. Sikap mereka berubah. Aku berasa sangat dukacita, sehinggakan aku tidak lagi tahu siapa aku sebenarnya dan dari golongan manakah aku ini. Ini bukan lagi bandar tempat tinggalku. Duniaku sudah berubah. Hampir 50 hari kami dipulaukan sebegini.
Kedua-dua yang lain, Murarah ibn Al-Rabi dan Hilal bin Umayyah, masing-masing berkurung di dalam rumah sendiri. Aku adalah yang termuda antara kami bertiga. Aku tetap juga keluar dari rumah dan menyertai solat berjemaah bersama-sama Muslimin lain. Aku menziarahi pasar seperti biasa, namun tidak ada orang yang mahu bercakap denganku. Aku juga bertemu Rasulullah s.a.w. dan bertegur sapa dengan baginda setelah selesai solat. Aku berfikir-fikir dan tertanya-tanya kepada diriku sendiri, “Bergerakkah mulut Rasulullah menjawab salamku?” Aku akan bersolat rapat dengan baginda, dan mengintai-intai baginda. Apabila aku sedang khusyuk bersolat, baginda memandangku, namun apabila aku memandang baginda, baginda mengalihkan pandangannya daripadaku.
Setelah lama berlalu, boikot daripada kaum Muslimin ini semakin memuncak. Aku memanjat sebuah dinding kebun buah milik sepupuku, Abu Qatadah yang rapat denganku. Aku bertanya kepada beliau, “Abu Qatadah, aku mendesak engkau demi Allah untuk menjawab soalanku, engkau tahu kan yang aku sangat mencintai Allah dan Rasul-Nya?” Namun beliau tidak menjawab. Aku mengulangi soalan yang sama sebanyak tiga kali. Namun beliau masih enggan menjawab.
Aku memaksanya buat kali terakhir, hingga akhirnya beliau menjawab, “Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih mengetahui.” Air mataku pun bercucuran mendengar jawapan itu.
Kemudian aku pergi ke pasar dan sedang aku berjalan, aku melihat seorang orang asing, mungkin dari Syria, bertanyakan kepada orang ramai mengenaiku. Orang ramai menunjukkan jari mereka kepadaku. Orang asing tersebut menghampiriku, dan menyerahkan aku sepucuk surat dari Raja Ghassan, Bani Arab di Syria. Surat tersebut ditulis diatas sehelai sutera.
“Kami mengetahui bahawa engkau sedang diboikot oleh para Muslimin. Tuhan telah meletakkan engkau dalam kehinaan. Sertailah kami, jika engkau menyertai kami, kami akan menghilangkan kesusahan engkau.”
Tatkala aku membaca surat tersebut, aku sedar bahawa ia adalah satu ujian ke atas kejujuranku kepada Islam. Alangkah hinanya aku ketika itu, sehinggakan orang kafir menganggap mereka boleh berjaya mengajakku menyertai mereka. Aku mencampakkan surat tersebut ke dalam ketuhar lalu membakarnya.
Apabila kami telah melalui 40 hari dalam keadaan sedemikian, seorang pesuruh Rasulullah s.a.w. datang kepadaku dan memberitahu, “Rasulullah mengarahkan engkau agar menjauhi isterimu”. Aku bertanya kembali, adakah ini bermaksud aku kena menceraikan isteriku, dan beliau menafikan. Rasulullah s.a.w. hanya menyuruh aku agar menjauhi isteriku. Kedua-dua rakanku yang lain turut mendapat arahan yang serupa. Aku menyuruh isteriku untuk kembali ke rumah keluarganya, dan tinggal di sana sehingga Allah menyampaikan keputusan-Nya.
Hilal bin Umayyah merupakan seorang lelaki tua. Isterinya datang kepada Rasulullah s.a.w. dan merayu, “Wahai Rasulullah, Hilal bin Umayyah itu telah tua dan tidak mempunyai khadam. Bolehkah aku untuk terus kekal di sisinya, menjaganya?” Rasulullah s.a.w. menjawab, “Boleh, tetapi jangan biarkan dia menghampirimu (tidur bersama).” Isteri Hilal berkata, “Demi Allah, beliau tidak pernah terfikir pun untuk bermesra denganku. Beliau tidak henti-henti menangis, sejak perkara ini terjadi. Aku risaukan kesihatan penglihatannya!”
Sesetengah ahli keluargaku mencadangkan untuk aku meminta izin daripada Rasulullah s.a.w., agar membenarkan isteriku menjagaku. Aku menjawab, “Aku tidak mahu memintanya daripada Rasulullah. Aku tidak tahu apa jawapan baginda, sedangkan aku ini masih lagi muda (tidak seperti Hilal).”
10 malam berlalu lagi, menjadikannya genap 50 malam sejak Rasulullah s.a.w. mengarahkan kaum Muslimin untuk tidak bercakap dengan kami. Pada subuh malam ke-50, aku bersolat di bumbung rumahku. Aku masih lagi dalam keadaan berdukacita. Dunia seakan-akan mencekikku, membuatkanku sesak nafas, sehingga aku tidak lagi tahu siapa diriku yang sebenarnya. Tatkala aku selesai solat Subuh, aku mendengar seseorang menyebut dari arah Gunung Thal, “Ka’ab bin Malik, bergembiralah!”
Aku sedar, penderitaanku telah tamat, lantas aku segera bersujud kepada Allah.
Rupa-rupanya Rasulullah s.a.w. telah mengumumkan kepada sekalian makmum setelah selesai solat berjemaah Subuh, bahawa Allah telah mengampuni kami bertiga. Para sahabat berkejaran ke rumah kami, untuk memberitahu kami berita gembira tersebut. Seorang daripada mereka memecut dengan kuda mencariku, manakala seorang lagi dari Bani Aslam melaungkan berita tersebut kepadaku dari puncak sebuah bukit. Suara beliau lebih laju daripada kuda tersebut!
Tatkala aku mendengar berita gembira tersebut, aku pun menghadiahkan lelaki tersebut dua pasang pakaian sebagai tanda penghargaan. Demi Allah, itulah sahaja pakaianku yang masih tinggal! Aku lantas meminjam dua pasang pakaian lain, dan segera mencari Rasulullah s.a.w.. Setiap kumpulan Muslimin yang berselisih denganku, mengucapkan tahniah kepadaku. “Tahniah kerana Allah telah mengampuni kamu!”
Aku memasuki masjid dan aku melihat Rasulullah s.a.w. sedang duduk, dikelilingi beberapa sahabat. Talhah bin Ubaidillah segera mendapatkanku, bersalam tangan denganku dan mengucapkan tahniah kepadaku. Dialah satu-satunya Muhajirin yang berbuat sedemikian kepadaku. Aku takkan lupa kebaikan Talhah.
Aku menghampiri Rasulullah s.a.w., dan baginda bersabda kepadaku dengan wajah yang bercahaya, “Bergembiralah! Sesungguhnya inilah hari paling gembira buatmu sejak engkau dilahirkan!” Aku bertanya kepada baginda, “Adakah pengampunan ini daripada engkau wahai Rasulullah, atau daripada Tuhan?” Baginda menjawab, “Pengampunan ini adalah pengampunan Allah.” Sungguh, apabila Rasulullah s.a.w. gembira akan sesuatu, wajahnya bercahaya seperti bulan purnama.
Aku duduk berhadapan dengan Rasulullah s.a.w., dan aku katakan kepadanya, “Wahai Rasulullah! Aku akan melengkapkan taubatku, dengan menyedekahkan segala hartaku kepada kebajikan.” Rasulullah bersabda, “Simpanlah sedikit hartamu, sesungguhnya itu lebih baik buatmu.” Aku menjawab bahawa aku hanya akan menyimpan harta yang aku peroleh ketika Perang Khaibar. Aku memberitahu bahawa sesungguhnya pengampunan ke atasku hanyalah kerana aku memberitahu perkara yang benar, justeru aku bertaubat dengan tidak lagi akan bercakap bohong sepanjang hayatku.
Aku merasakan inilah rahmat Allah terbesar ke atasku, sejak Dia memimpinku ke jalan Islam, iaitu bahawa aku bersikap jujur kepada Rasulullah s.a.w. ketika itu. Kalaulah aku berbohong dan mencipta alasan, tentulah aku juga sama seperti para orang lain (munafik).”
“Dan terhadap tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat) mereka, hingga apabila bumi telah menjadi sempit bagi mereka, padahal bumi itu luas, dan jiwa mereka pun telah sempit (pula terasa) oleh mereka, serta telah mengetahui bahawa tidak ada tempat lari dari (seksa) Allah melainkan kepada-Nya saja. Kemudian, Allah menerima taubat mereka agar mereka tetap dalam taubatnya. Sesungguhnya Allah-lah Yang Maha Menerima taubat lagi Maha Penyayang.” (at-Taubah :118)
No comments:
Post a Comment