Wednesday, October 26, 2011

Ingat Mati.. Anda Bijak!

Oleh Wan Am


M.A.T.I... Empat huruf yang membentuk satu perkataan yang memberikan pelbagai perasaan kepada mereka yang mendengarnya. Bila disebut “mati”, ada yang menangis, ada yang cemas, ada yang nestapa, ada yang tenang dan pelbagai perasaan lagi. Malah tidak kurang juga yang berasa gembira apabila mendengar kematian, sebagaimana gembiranya sesetengah pihak terhadap kematian bekas pemimpin nombor wahid Libya, Muammar Gadafi baru-baru ini.

Bagi diri saya sendiri, tahun 2011 ini bolehlah digelar “tahun dukacita”. Pada tahun ini beberapa orang insan yang saya kenali dan dekat dengan diri saya telah pergi menghadap Ilahi. Bermula dengan pemergian seorang ustaz yang pernah mendidik saya sewaktu alam persekolahan dahulu, diikuti bekas “anak usrah”, dan kemudiannya ibu kepada teman sekelas di sekolah yang juga merupakan seorang pemimpin politik yang tersohor di tanah air. Pemergian mereka ini cukup memberikan kesan yang mendalam kepada saya, malah melorongkan ruang untuk diri ini berkali-kali bermuhasabah mengenang persiapan dan bekalan diri sebelum dijemput pulang ke alam abadi.

Kematian adalah suatu perkara yang pasti dirasai oleh setiap manusia yang hidup di atas muka bumi ini. Tiada siapa yang dapat terkecuali daripada merasai mati, hatta seorang Nabi atau penguasa besar sekalipun. Bila Malaikat Maut sudah datang untuk menjalankan tugasnya, tiada lagi cara untuk manusia melindungi nyawanya daripada dicabut dari jasad.

Firman Allah yang bermaksud:

“Di mana sahaja kamu berada, kematian akan datang menemuimu, walaupun kamu berada dalam benteng yang tinggi lagi kukuh.” (an-Nisa’ : 78)

Bagi kebanyakan manusia, hal kematian inilah antara yang paling ditakuti, kerana mati bermakna terpaksa berpisah dengan segala yang ia cintai dan sayangi. Tiada lagi anak dan isteri, tiada lagi ibu dan ayah, tiada lagi pangkat dan harta, dan tiada lagi nikmat dunia dan segala isinya bila ia melangkah ke alam barzakh.

Namun berbeza pula bagi orang yang beriman. Mereka tidak takut mati, kerana bagi mereka kematian adalah pintu gerbang ke alam akhirat dan di sanalah nanti mereka akan menemui Allah yang selama ini mereka cintakan.

“Katakanlah, jika kamu (menganggap bahawa) kampung akhirat (syurga) itu khusus untukmu di sisi Allah, bukan untuk orang lain, maka inginilah kematian (mu) jika kamu memang benar.” (al-Baqarah : 94)

Profesor Hamka dengan penuh hikmah menulis dalam bukunya “Tasauf Moden” seperti berikut, “Ada pun manusia hidup di dunia ini adalah ibarat orang yang belayar di lautan luas. Mereka menumpang sebuah kapal menuju daratan yang jauh di sana. Setelah berhari-hari di laut, sedangkan daratan yang dituju itu belum juga nampak, maka pada suatu hari kapal itu singgah di suatu pulau. Ada pun orang yang turun ke pulau ini terbahagi kepada tiga golongan:

Pertama, mereka yang tahu dan ingat bahawa mereka dalam perjalanan. Setelah melihat-lihat sebentar, lantas mereka kembali ke kapal. Mereka ingat bahawa bukan pulau ini yang menjadi tujuan.

Kedua, mereka yang terpengaruh dengan keindahan pulau. Pohon kelapa di pulau itu melambai-lambai ditiup angin, airnya jernih, ikannya jinak. Mereka tertegun dan terlena, tetapi kemudian mereka ingat bahawa mereka dalam perjalanan. Maka mereka kembali ke kapal, tetapi kerana terlambat, tempat duduk sudah habis ditempati orang.

Dan ketiga, orang yang paling malang, kerana setelah dibunyikan semboyan kapal yang pertama tidak mereka pedulikan, dibunyikan sekali lagi, tidak juga dipedulikan, dan setelah berbunyi yang ketiga kali, kapal itu pun berangkat. Setelah kapal itu jauh, dipanggil tidak kembali lagi. Mereka inilah orang yang benar-benar malang...”

Orang yang bijak adalah orang yang banyak mengingati mati. Mereka ini adalah orang yang berpandangan jauh ke hadapan, kerana awal-awal lagi mereka sudah memikirkan kesudahan yang bakal menimpa diri mereka nanti. Mereka berpegang kepada sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

“Banyakkanlah mengingat perkara yang akan melenyapkan kenikmatan, iaitu kematian.” (Riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)

Lantas mereka menyambut kematian itu dengan cara mengumpulkan perbekalan seperti yang diperintahkan Tuhan sebelum meninggalkan dunia yang fana ini. Sesungguhnya beruntunglah bagi mereka yang menyahut panggilan-Nya dengan cara ini.

Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya pernah menulis, “Kemampuan untuk mengingati mati adalah sebaik-baik kecerdasan dan kebijaksanaan seseorang. Apabila kegembiraan mencurah-curah dari hati, bolehkah kita selitkan peringatan mengenai mati, apabila cita-cita tercapai, kemewahan dikecapi, kebahagiaan tak sudah-sudah, adakah kita ingat esok kita mati dan semua akan musnah? Berhasilkah kita menasihati diri sendiri pada saat kelalaian dan lupa daratan?”

Sebaliknya, orang yang bodoh adalah orang-orang yang buta mata dan hatinya daripada melihat kesudahan-kesudahan yang bakal berlaku terhadap dirinya, malah dilekakan dengan kesenangan-kesenangan yang menipu. Pada saat itu tidak terlintas sedikit pun di hatinya untuk mengingati kematian yang pasti datang tidak mengira waktu. Mereka lupa terhadap ayat Allah berikut (yang bermaksud):

“Apabila telah sampai ajal seseorang, maka sesaat pun tidak dapat ditangguhkan, dan sesaat pun tidak dapat didahulukan.” (al-A’raf : 34)

Banyak cara yang boleh dilakukan untuk mengingati mati. Ada pun cara yang paling baik ialah dengan menziarahi kubur. Ia adalah suatu amalan yang digalakkan oleh Rasulullah s.a.w. sebagaimana sabda baginda yang bermaksud:

“Dulu aku melarangmu menziarahi kubur, ketahuilah, sekarang ziarahilah kubur, kerana hal itu dapat melembutkan hati, membuat mata menangis mengingatkan hari akhirat dan janganlah kamu mengucapkan kata-kata yang kotor.” (Riwayat al-Hakim)

Sewajarnya amalan menziarahi kubur ini tidak hanya terhad kepada mengingati orang yang sudah meninggal dunia atau dijadikan aktiviti sosial sahaja (misalnya membersih kawasan perkuburan). Ini kerana antara tujuan sebenar menziarahi kubur adalah untuk menginsafi diri tentang hari kematian, alam kubur dan Hari Kiamat. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. telah bersabda seperti yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. (yang bermaksud):

“(Pada suatu ketika) Rasulullah s.a.w. ziarah ke kubur ibunya, lalu Baginda menangis, maka menangis pulalah orang sekelilingnya. Kemudian Baginda bersabda: ‘Aku memohon keizinan kepada Tuhanku untuk aku memintakan ampun bagi ibuku, tetapi permohonanku tidak diperkenankan-Nya. (Kemudian) aku memohon keizinan untuk menziarahi kuburnya, maka diperkenankan-Nya bagiku, kerana itu pergilah kamu menziarahi kubur, kerana hal itu akan mengingatkan kamu kepada mati.”
(Riwayat Muslim)

Selain menziarahi kubur, antara cara lain untuk mengingati mati ialah dengan muhasabah diri, membayangkan saat-saat kematian, menggambarkan keadaan diri apabila berada di dalam kubur, membaca kisah-kisah atau cerita yang berkaitan dengan kematian, menziarahi orang sakit, menyempurnakan dan menghantar jenazah ke kubur dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment