Friday, April 29, 2011

Uswah Hasanah Dalam Bersedekah

Oleh Wan Am



Sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w., kita seharusnya berusaha memastikan segala kegiatan dan kelakuan kita seharian sesuai dengan ajaran dan akhlak baginda. Pada diri baginda, sama ada perkataan, perbuatan mahu pun cara fikir, semuanya mempunyai nilai "uswatun hasanah" atau contoh teladan yang baik yang wajar kita ikuti. Malah, uswatun hasanah yang ada pada diri Rasulullah s.a.w. jugalah yang telah memastikan kejayaan usaha dakwah sepanjang hayat baginda.

Firman Allah:

"Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu..." (al-Ahzab : 21)

Begitu juga dalam hal bersedekah. Dikhabarkan bahawa Rasulullah s.a.w. adalah insan yang sangat pemurah terhadap sesuatu yang baginda miliki. Setiap orang yang meminta kepada baginda, akan baginda berikan, sama ada banyak atau sedikit. Baginda sendiri amat menyintai amalan memberi dan bersedekah ini, hinggakan perasaan baginda yang begitu gembira sekali ketika bersedekah mengatasi kegembiraan mereka yang menerima sedekah baginda.

Dalam kitab "Zad al-Ma'ad", Ibnu al-Qayyim ada menyebut mengenai perihal sedekah Rasulullah s.a.w. ini, "Sungguh Nabi s.a.w. adalah orang yang sangat pemurah. Tangan kanannya, ketika memberikan sesuatu bagaikan hembusan angin yang sejuk. Hati baginda sentiasa terpanggil untuk membantu. Apabila baginda didatangi oleh orang yang meminta sesuatu, maka dengan penuh semangat baginda berusaha untuk memenuhi hajat orang yang meminta itu. Ada ketikanya baginda membantu dengan makanannya sendiri, ada ketikanya dengan memberi hadiah, ada ketikanya harus menjual sesuatu yang hasilnya baginda sedekahkan. Kadang-kadang baginda berhutang, kemudian hutang itu baginda kembalikan dengan bayaran lebih daripada harta yang baginda pinjam. Kadangkala juga dengan membeli sesuatu, tapi baginda membayar melebihi harga sebenar. Rasulullah s.a.w. juga kadangkala menerima hadiah, tetapi baginda membalasnya dengan sesuatu yang lebih berharga daripada hadiah itu, atau bahkan berlipat ganda daripada jumlah hadiah tersebut sebagai bentuk kasih sayang dan kepelbagaian dalam cara bersedekah. Sedekah yang baginda berikan boleh dengan sesuatu yang baginda miliki, atau boleh juga dalam bentuk perbuatan mahupun perkataan."

Kemurahan hati Rasulullah s.a.w. dalam bersedekah ini sememangnya diakui oleh mereka yang pernah hidup bersama baginda. Antara mereka ialah Anas bin Malik r.a. yang pernah menceritakan bahawa Rasululullah s.a.w. selalu memberi (sesuatu) setiap orang yang bertanya kepada baginda tentang Islam. Pernah seorang lelaki datang kepada Rasulullah s.a.w., kemudian baginda hadiahkan kepadanya kambing yang banyak. Selepas lelaki itu kembali kepada kaumnya, dia berkata, "Wahai kaumku, peluklah agama Islam, kerana sungguh Muhammad s.a.w. telah menghadiahkan sesuatu kepadaku. Beliau sangatlah pemurah dan tidak pernah takut dengan kemiskinan." (Diriwayatkan oleh Muslim)

Rasulullah s.a.w. juga tidak hanya memberikan semata-mata sedekah kepada fakir miskin, tetapi baginda turut memberikan ‘kail’ kepada mereka agar kelak mereka dapat hidup berdikari dan tidak perlu lagi meminta-minta kepada orang lain. Seperti yang diceritakan oleh Anas r.a., suatu ketika ada seorang pengemis dalam kalangan Ansar datang meminta-minta kepada Rasulullah s.a.w. Baginda lalu bertanya kepada pengemis tersebut, “Apakah kamu mempunyai sesuatu di rumahmu?” Pengemis itu menjawab, “Tentu, saya mempunyai pakaian yang biasa dipakai sehari-hari dan sebuah cangkir.” Rasulullah s.a.w. lantas berkata, “Ambil dan serahkan cangkir tersebut kepada saya!”

Pengemis itu pun pulang mengambil satu-satunya cangkir miliknya dan kembali semula kepada Rasulullah s.a.w. Kemudian dengan cangkir tersebut baginda membuat tawaran kepada para sahabat, “Adakah di antara kalian yang ingin membeli cangkir ini?” Seorang sahabat menyahut, “Saya ingin membelinya dengan satu dirham.” Rasulullah s.a.w. menawarkannya kembali, “Adakah di antara kalian yang ingin membayar lebih?” Lalu ada seorang sahabat yang sanggup membelinya dengan harga dua dirham.

Selepas menjualnya dengan harga dua dirham, Rasulullah s.aw. memberikan wang tersebut kepada si pengemis lalu menyuruhnya menggunakannya untuk membeli makanan untuk keluarganya, manakala baki wang digunakan untuk membeli kapak. Rasulullah s.a.w. berkata, “Carilah kayu sebanyak mungkin dan juallah, selama dua minggu ini aku tidak ingin melihatmu.” Sambil melepaskan pemergiannya Rasulullah s.aw. juga memberinya sejumlah wang sebagai perbelanjaan pengemis tersebut.

Dua minggu kemudian, pengemis itu datang semula berjumpa Rasulullah s.a.w. sambil membawa wang berjumlah sepuluh dirham hasil daripada penjualan kayu. Kemudian Rasulullah s.a.w. menyuruhnya untuk membeli pakaian dan makanan untuk keluarganya seraya berkata, “Hal ini lebih baik bagi kamu, kerana meminta-meminta hanya akan membuat noda di wajahmu di akhirat nanti. Tidak layak bagi seseorang meminta-minta kecuali dalam tiga hal, fakir miskin yang benar-benar tidak mempunyai sesuatu, hutang yang tidak terbayar, dan penyakit yang membuat seseorang tidak mampu berusaha." (Riwayat Abu Daud)

Selain itu, begitu pemurahnya Rasulullah s.a.w. hinggakan sedekah baginda juga pernah ditujukan kepada orang bukan Islam yang sering menyakiti hati baginda. Dalam suatu kisah, di suatu sudut pasar Madinah ada seorang pengemis Yahudi buta yang setiap harinya selalu berkata kepada setiap orang yang mendekatinya, "Wahai saudaraku, jangan dekati Muhammad, dia itu orang gila, dia itu pembohong, dia itu tukang sihir, apabila kalian mendekatinya maka kalian akan dipengaruhinya."

Namun, setiap pagi Rasulullah s.a.w. mendatanginya dengan membawakan makanan, dan tanpa berucap sepatah kata pun Rasulullah s.a.w. menyuapkan makanan yang dibawanya kepada pengemis itu sedangkan pengemis itu tidak mengetahui bahawa yang menyuapinya itu adalah Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w. melakukan hal ini setiap hari hingga baginda wafat.

Setelah wafatnya Rasulullah s.a.w., tidak ada lagi orang yang membawakan makanan setiap pagi kepada pengemis Yahudi buta itu. Pada suatu hari, sahabat terdekat Rasulullah s.a.w. iaitu Abu Bakar r.a. berkunjung ke rumah anaknya Aisyah r.a. yang tidak lain adalah isteri Rasulullah s.a.w. Beliau bertanya kepada Aisyah r.a., “Anakku, adakah kebiasaan kekasihku yang belum aku kerjakan?”

Aisyah r.a. menjawab, “Wahai ayah, engkau adalah seorang ahli sunnah dan hampir tidak ada satu kebiasaan baginda pun yang belum ayah lakukan, kecuali satu saja.” “Apakah itu?”, tanya Abu Bakar r.a. “Setiap pagi Rasulullah s.a.w. selalu pergi ke hujung pasar dengan membawakan makanan untuk seorang pengemis Yahudi buta yang ada di sana”, kata Aisyah r.a.

Keesokan harinya Abu Bakar r.a. pergi ke pasar dengan membawa makanan untuk diberikan kepada pengemis yang dimaksudkan. Abu Bakar r.a. mendatangi pengemis tersebut lalu memberikan makanan itu kepadanya. Ketika Abu Bakar r.a. mulai menyuapinya, si pengemis marah sambil mengherdik, “Siapa kamu?” Abu Bakar r.a. menjawab, “Aku orang yang biasa (mendatangi engkau).”

“Bukan! Engkau bukan orang yang biasa mendatangiku,” bantah si pengemis buta itu. “Apabila ia datang kepadaku tidak susah tangan ini memegang dan tidak susah mulut ini mengunyah. Orang yang biasa mendatangiku itu selalu menyuapiku, tapi terlebih dahulu dihaluskannya makanan tersebut, setelah itu ia berikan padaku,” sambung pengemis itu lagi.

Abu Bakar r.a. tidak dapat menahan air matanya, lalu beliau menangis sambil berkata kepada pengemis tersebut, “Aku memang bukan orang yang biasa datang padamu. Aku adalah salah seorang daripada sahabatnya, orang yang mulia itu telah tiada. Ia adalah Muhammad Rasulullah s.a.w.”

Mendengar penjelasan Abu Bakar r.a., pada ketika itu juga pengemis tersebut menangis dan kemudian berkata, “Benarkah demikian? Selama ini aku selalu menghinanya, memfitnahnya, tapi ia tidak pernah memarahiku sedikit pun, ia mendatangiku dengan membawa makanan setiap pagi, dia begitu mulia...” Pengemis Yahudi buta tersebut akhirnya bersyahadah di hadapan Abu Bakar r.a. dan sejak hari itu dia menjadi Muslim.

Nah, lihatlah kehebatan peribadi Rasulullah s.a.w. dalam hal bersedekah ini. Memang benarlah dalam diri baginda terdapat suri teladan yang baik, memandangkan baginda memerintahkan umatnya untuk bersedekah dengan cara memberikan contoh secara langsung. Malah, sifat Rasulullah s.a.w. seperti berlapang dada dan berhati mulia amat terserlah lantaran gemarnya baginda dalam bersedekah serta berbuat baik sama ada kepada kawan mahupun lawan.

Tuesday, April 26, 2011

Mana Milik Kita?

Oleh Wan Am


Baru-baru ini negara Jepun dilanda bencana. Gempa bumi berukuran 8.9 pada skala ricther bukan sekadar menggegar sebahagian negara Matahari Terbit tersebut, bahkan turut membawa gelombang tsunami yang meranapkan bangunan, infrastruktur, malah nyawa mereka yang berada dalam laluannya. Rakyat yang terbabit diulit derita. Bekalan makanan, air dan elektrik terganggu seketika. Udara pula menjadi tercemar dek kebocoran loji nuklear. Harta-benda berharga musnah dimamah bah besar. Dalam sekelip mata nikmat-nikmat kehidupan hilang dari pandangan.

Kejadian tersebut tentu menggamit ingatan ramai kepada peristiwa tsunami yang berlaku pada penghujung Disember 2004 di beberapa tempat di dunia. Aceh paling merana. Beratus ribu rakyat terkorban. Saya sendiri berkesempatan menyertai misi dakwah dan kemanusiaan ke Meulaboh, Aceh beberapa bulan selepas kedatangan "tetamu" yang tidak diundang itu. Sebahagian besar kawasan yang sebelumnya dipenuhi bangunan dan rumah-rumah kediaman, bertukar menjadi padang jarak padang tekukur. Memang rakyat Aceh derita, namun mereka pasrah dan sesekali tidak berputus asa. Mereka bingkas bangkit kembali membina penghidupan yang lebih bermakna.

Kita yang berada di Malaysia wajar bersyukur kerana masih belum benar-benar diuji oleh Allah dengan musibah sedemikian rupa. Malah, kita lebih dituntut untuk bersyukur kerana Tuhan yang bersifat ar-Rahman terus-menerus memberikan nikmatnya yang tidak terhingga kepada kita. Ketika kita terjaga dari lena di pagi hari hinggalah menutup mata semula pada sebelah malamnya, juga sejak kita lahir ke dunia ini hinggalah tiba masa kita melangkah ke alam barzakh nanti, tidak putus-putus nikmat Allah mengalir dalam hidup kita, sama ada nikmat itu ada pada diri kita mahupun datang dari luar diri kita.

"Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya." (Ibrahim : 34)

Cuba kita muhasabah sejenak tentang nikmat-nikmat Allah pada diri kita, antaranya nikmat penglihatan. Bayangkan jika Allah datangkan kita ke dunia tanpa nikmat ini, sudah pasti kita tidak dapat melihat kehebatan dan keindahan ciptaan-Nya di atas muka bumi. Juga tidak berpeluang menyaksikan segala peristiwa penting yang berlaku di sekeliling kita. Malah, kalau hendak ke mana-mana, perlu pula seseorang untuk memimpin kita. Ini sudah menyusahkan orang lain pula. Jelaslah, betapa sengsaranya hidup tanpa nikmat mata, malah pancaindera lain yang sempurna sifatnya.

"Wahai manusia! Apakah yang memperdayakanmu (berlaku derhaka) kepada Tuhanmu yang Maha Pemurah? Tuhan yang telah mencipta dan mengatur kejadianmu, lalu menjadikan anggotamu sesuai (dengan tujuan yang kerananya anggota itu diadakan), serta menjadikan (binaan tubuh badanmu) sama padan dengan kekuatannya. Dalam bentuk dan rupa apa sahaja yang dikehendaki-Nya, Dia menyusun kejadianmu." (al-Infitar : 6-8)

Sebab itu Allah memerintahkan kita supaya sentiasa melafazkan rasa syukur terhadap segala nikmat yang telah diberikan-Nya kepada kita. Hinggakan Allah turut menjanjikan redha-Nya kepada mereka yang bersyukur. Dalam hal ini Sulaiman at-Taimi pernah berkata, "Allah mengurniakan nikmat kepada hamba-hamba-Nya menurut ketentuan-Nya. Justeru Dia menyuruh mereka agar bersyukur menurut kemampuan mereka, sehingga Dia redha terhadap mereka disebabkan kesyukuran tersebut. Mereka melaksanakan kesyukuran melalui hati yang memperakui dan lidah yang memuji nikmat kurniaan Allah."

Selain bersyukur, bersifat pemurah juga amat digalakkan dalam Islam, khusus kepada kita yang mungkin memiliki sedikit lebihan nikmat. Alangkah baiknya jika bahagian kita hanya sekadar yang kita perlu sahaja, selebihnya kita bahagi-bahagikan kepada mereka yang memerlukan. Selain pemberian wajib seperti zakat, ringan-ringankanlah juga tangan kita untuk bersedekah, menderma dan memberi hadiah, malah mewakafkan harta seperti tanah, bangunan, kebun, bahan-bahan bacaan dan lain-lain lagi demi kepentingan masyarakat dan ummah.

Firman Allah:

"Belanjakanlah (hartamu) pada jalan Allah dan janganlah kamu jatuhkan dirimu ke dalam kebinasaan dan berbuat baiklah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berbuat baik." (al-Baqarah : 195)

Rasulullah s.a.w. juga ada bersabda mengenai mereka yang bersifat pemurah:

"Orang yang pemurah itu dekat dengan Allah, dekat dengan manusia dan jauh daripada api neraka. Orang yang kedekut itu jauh daripada Allah, jauh daripada manusia dan dekat dengan neraka. Sesungguhnya orang yang bodoh tetapi pemurah itu lebih disayangi Allah daripada seorang abid yang bakhil." (Riwayat Tirmizi)

Bagaimana caranya untuk menyemai sifat pemurah? Kisah Fatimah puteri Rasulullah s.a.w. boleh dijadikan teladan. Beliau hidup dalam kemiskinan, namun setiap hari beliau akan memberikan sebiji kurma sebagai sedekah. Kadangkala beliau memberi kepada orang lain walaupun ketika itu beliau sendiri amat memerlukan. Inilah cara Fatimah melatih dirinya bersifat pemurah, iaitu istikamah dalam memberi walau sedikit. Malah kemiskinan tidak menghalang beliau untuk melaksanakan amal sedekah.

Justeru, ayuh kita perhebatkan rasa syukur kepada Tuhan, juga menyemai sifat pemurah kepada mereka yang memerlukan. Kita pastikan kedua-dua sifat ini saling beriringan dalam kehidupan kita seharian. Sedarlah kita bahawa kereta besar, rumah besar dan wang yang banyak yang kita miliki serta tubuh badan yang sihat hanyalah sekadar pinjaman. Ia bukanlah hak mutlak kita. Semua itu ada tuannya. Bila-bila masa sahaja semua itu akan hilang bak debu yang berterbangan jika kita kufur dengan nikmat-Nya.

Terngiang-ngiang seketika nyanyian Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim, bekas vokalis kumpulan nasyid Rabbani melalui salah sebuah nasyid gubahan beliau yang sempat beliau rakam semula sebelum beliau meninggal dunia, "Mana milik kita, tidak ada milik kita, semua yang ada, Allah yang punya..."

Friday, April 22, 2011

Bahagia Bukan Semestinya Kerana cinta

Oleh Norhidayah Hamdan


Sengaja saya menggunakan huruf kecil pada perkataan "cinta" itu. Jika saya menggunakan huruf C besar pada perkataan cinta itu,lain tafsirannya bagi saya.Nanti akan saya jelaskan.

Bila melayari internet , suka saya untuk melakukan aktiviti "blogjalan" ke blog-blog teman-teman saya yang majoritinya saya langsung tidak pernah kenal secara realiti. Hanya di alam maya. Saya suka membaca kisah keceriaan mereka, kesukaan mereka,kisah perjalanan hidup mereka dan kebahgiaan mereka. Alhamdulillah.

Cuma , satu persoalan sering bermain-main di fikiran saya ini..

"Nampak bahagia sekarang? Ada boyfriend ea?" "Mesti sebab cinta kan, sebab tu senyum sampai ke telinga." "Pintu hati sudah lama tertutup,akhirnya sejak hadirnya dia , saya sudah boleh tersenyum kembali."

Ok. Yang saya jadi sangat-sangat tertanya-tanya..

Adakah kerna c.i.n.t.a saja , kita boleh bahgia?cinta yang saya maksudkan ini adalah dalam konteks cinta seorang manusia yang bergelar seorang lelaki/wanita kepada seorang wanita/lelaki?

Bila bercakap soal kebahgiaan kerana cinta seorang manusia ini,perlu ke dihebahkan di alam maya ini ? Perlu ke kisah kebahgiaan cinta kita dijaja?Kisah kebahgiaan cinta yang belum tentu akan jadi.Maaflah , bukan saya mendoakan yang buruk-buruk,[I'Allah,jika benar laluannya , caranya , semoga kelak akan bersatu menjadi yang halal], tapi sejenak fikirkan , kalau kisah cinta itu terputus di tengah jalan......?!@#$$..Pasti akan mula diceritakan derita dan sengsara.

Pernah tak ceritakan tentang kebahgiaan kita bersama kawan-kawan kita? Keluarga kita?Pernah tak kita bertanya soalan ini kepada sesiapa yang bahagia...?

"Eh! Bahgianya..mesti ada berita gembira dari keluarga ni kan?" "Ceria je. Jumpa kawan-kawan ke tadi?" "Siapa yang buat kau bahgia dan ceria sangat ni? Mesti keluarga kau kan."

Macam pelik kan kalau bertanya soalan sebegitu ? Tapi adakah ianya salah?Tidak kan...?!

Kawan-kawan,
Tidak salah berbahgia kerana cinta. Silalah bahgia dengan cinta kalian. Cuma biarlah ianya cinta yang kita benar-benar pasti kesudahannya dan benar-benar pasti dengan siapa cinta itu bersemi.

Bahgia kerana seorang suami/isteri -> TERBAIK
Bahgia kerana keluarga -> TERAGUNG
Bahgia kerana teman-teman -> TERINDAH
Bahgia kerana ALLAH -> KEKAL DAN ABADI SELAMANYA

Menurut al-Ghazali, puncak kebahagiaan pada manusia adalah jika dia berhasil mencapai ma'rifatullah, telah mengenal Allah SWT. Selanjutnya, al-Ghazali menyatakan:

"Ketahuilah bahagia tiap-tiap sesuatu bila kita rasakan nikmat, kesenangan dan kelezatannya mara rasa itu ialah menurut perasaan masing-masing. Maka kelezatan (mata) ialah melihat rupa yang indah, kenikmatan telinga mendengar suara yang merdu, demikian pula segala anggota yang lain dan tubuh manusia. "

Ada pun kelazatan hati ialah ma'rifat kepada Allah, kerana hati dijadikan tidak lain untuk mengingat Tuhan. Seorang rakyat jelata akan sangat gembira kalau dia dapat herkenalan dengan seorang pajabat tinggi atau menteri; kegembiraan itu naik berlipat-ganda kalau dia dapat berkenalan yang lebih tinggi lagi misalnya raja atau presiden.

Maka tentu saja berkenalan dengan Allah, adalah puncak dari segala macam kegembiraan. Lebih dari apa yang dapat dibayangkan oleh manusia, sebab tidak ada yang lebih tinggi dari kemuliaan Allah. Dan oleh sebab itu tidak ada ma'rifat yang lebih lezat daripada ma'rifatullah.

Ma'rifalullah adalah buah dari ilmu. Ilmu yang mampu mengantarkan manusia kepada keyakinan. bahwa tiada Tuhan selain Allah" (Laa ilaaha illallah). Untuk itulah, untuk dapat meraih kebahagiaan yang abadi, manusia wajib mengenal Allah. Caranya, dengan mengenal ayat-ayat-Nya, baik ayat kauniyah maupun ayat qauliyah.

Banyak sekali ayat-ayat al-Quran yang memerintahkan manusia memperhatikan dan memikirkan tentang fenomana alam semesta, termasuk memikirkan dirinya sendiri.Disamping ayat-ayat kauniyah. Allah SWT juga menurunkan ayat-ayat qauliyah, berupa wahyu verbal kepada utusan-Nya yang terakhir,Nabi Muhammad saw.

Kerana itu, dalam surah Ali Imran 18-19, disebutkan, bahwa orang-orang yang berilmu adalah orang-orang yang bersaksi bahwa "Tiada tuhan selain Allah", dan bersaksi bahwa "Sesungguhnya ad-Din dalam pandangan Allah SWT adalah Islam."

Inilah yang disebut ilmu yang mengantarkan kepada peradaban dan kebahagiaan. Kebahagiaan yang sejati adalah yang terkait antara dunia dan akhirat.

Sebagai orang Muslim, kita tentu mendambakan hidup bahagia, hidup dalam keyakinan: mulai dengan mengenal Allah dan ridha, menerima keputusan-keputusan-Nya, serta ikhlas menjalankan aturan-Nya.

Kita seharusnya mendambakan diri kita merasa bahagia dalam solat, kita bahagia menunaikan zakat, kita bahagia bersedekah, kita bahagia menolong orang lain, dan kita pun bahagia menjalankan tugas amar ma'ruf nahi munkar.

Mudah-mudahan. Allah mengurniakan kita ilmu yang mengantarkan kita pada sebuah keyakinan dan kebahagiaan abadi, dunia dan akhirat. Amin..

Thursday, April 21, 2011

Kemelut Cinta - Siri 3

Oleh Atriza Umar

“Umi, itu bagus juga! Warnanya secocok dengan tudung yang ini!” Usulku sambil
mengambil contoh beberapa penutup kepala.

“Ya, yang itu amat bagus. Kainnya halus. Cantik memang. Warnanya juga tidak terang sangat.” Jawab Umi.

“Ermm… ya umi! Ya sudahlah umi, ambil yang itu sajalah.” Umi mengangguk tanda setuju.

“Puan, bagi yang ini ya!” Ucap Umi kepada pekerja butik itu.

Saat kami ingin bergegas keluar dari Butik Muslimah itu, aku terlihat seorang akhowat, yang sedang memilih jubah. Jelas aku melihatnya. Dan benar dia adalah temanku. Ukht Ainul.

“Assalamualaikum..” Salam kuberikan, saat mendekati akhowat itu.

“Ehh… Waalaikumussalam!” Jawabnya sambil senyuman dihadiahkannya.

“Wah.. banyak borong ukht?” Tanyaku. Ainul hanya senyum.

“Mana ada borong ukht. Ana beli apa yang patut dan mengikut keperluan sahajalah. Ukht yang borong ya? Hehee..”

“Oh, taklah ukht. Ana temankan umi sahaja” Ucapku dengan membalas senyumannya. Sambil telunjukku menunjuk ke arah umi.

“Oh, ye ke?” Ainul hanya tersenyum. Sambil mendapatkan umi dan menyalamnya.

“Oklah ukht Ainul. Ana beransur dulu ya.” Ucapku sambil menyalami dan memeluknya. Erat. Dialah sahabat tika di bangku sekolah. Kerap juga aku menghubunginya. Lewat sms juga telefon. Kadang-kadang bertandang ke rumah.

“Assalamualaikum..” ucapku padanya. Sambil beriringan keluar dari Butik Muslimah bersama umi setelah salam dijawabnya.

***

Entah mengapa. Aku terus mengingat Akh Ridzuan. Bayang-bayangnya wujud di alam bawah sedarku. Sejak aku melihatnya beberapa hari lalu. Aku semakin menganggumi seorang Ridzuan. Ikhwan yang tegar, dalam balutan singgahsana keimanan. Meskipun terlihat sangat kekurangan harta, tetapi ikhwan yang satu ini. Tidak pernah meminta sesuatu hal yang akan merendahkan harga dirinya. Aku sangat bangga dapat bekerjasama dengannya.

Hari ini aku tiada urusan mahupun program apa-apa. Memang hari ini aku ingin beristirehat sepenuhnya. Aku tidak mahu diganggu mahupun disibukkan dengan kegiatan-kegiatan dakwahku seperti dulu. Bukannya kerananya aku futhur. Tidak, aku tidak futhur. Tetapi aku sedang didatangi tamu bulanan. Seperti persoalan lainnya, akhowat juga insani. Yang merasakan tidak sihat, jika datang waktu itu. Hanya untuk saat seperti ini. Dan hanya satu hari ini sahaja.

Kedengaran hpku berbunyi bernadakan lagu Tema Perjuangan.

Berjuanglah wahai ansorullah
dengan matlamat daulah Islamiyah
Berkorbanlah wahai yang beriman
dengan harta dan segenap kepunyaan
Bergeraklah ke gerbang jasa
Kalah menang bukan alasannya
Berjihadlah dengan niat dihati
Hingga nyata benarnya janji Rabbi

Sengajaku biarkan hp hingga kederingan terakhirnya. Lantas kusahut. Butang hijau kutekan.

‘Ohh, nombor tak dikenali. Mesti berhati-hati ni’ kata hati kedengaran.

“Assalamualaikum warahmatullah.”

“Waalaikumsalam. Wah panjang sekali salamnya” balas dihujung talian.

“Ini siapa ya?” Tanyaku penasaran.

“Hehehee... alahai sayang. Dah lupa dengan abang ya. Hehe.. sampai hati!” Ucapnya.

‘Siapa ni. Abang mana pula ni?’ getus hatiku.

“Ini siapa?” Ucapku tegas. Ingin tahu. Kerana aku tidak dapat mengingat akan suara di hujung sana.

“Wah… benar-benar aku sudah dilupakan ya! Ini abanglah, Arif!”

‘Ha.. Arif! Anak Uncle Johari. Dia ini lagi! Huh..’ Gumamku dalam hati.

“Oh, Arif! Apa khabar? Bila enta pulang dari Australia?” Tanyaku berbasa-basi. Tak pernah aku membahasakan dirinya abang. ‘Perasan sendiri.’

“Abang pulang kelmarin. Abang ok je. Abang rindu sangat kat Athirah. Athirah rindu tak kat abang?”

‘Huuhhh… apa kenalah dia ni? Tak sopan langsung. Macam tak pernah belajar akhlak. Ni nak aku panggil abang. Tak tahu adab langsung!!’

“Oh.” Jawabku datar.

“Abang tau sayang tentu rindu juga dengan abang kan. Jom pergi jalan-jalan dengan abang sayang. Sayang pasti suka kan.”

“Maaf ana sibuk sekarang!” Jawabku tegas. Ingin sahaja aku sampaikan tentang hijab dengan yang bukan mahram. Dan yang paling meluap dihati, ingin sahaja aku memutuskan talian tanpa meminta pamit.

“Ahh.. kamu dari dulu tetap begitu! Kalau begitu biar abang ke rumah kamu saja ya?”

“Maaf ana banyak urusan! Oklah Arif. Wassalamualaikum..” Ucapku sambil mengakhiri perbualan dan mematikan panggilan hp.

Arif, anak uncle Johari. Seorang ahli perniagaan yang berjaya. Tetapi sayang sekali anak-anaknya tidak dihidangkan dengan pendidikan agama seperti yang dituntut. Mulai dari sekolah lagi, Arif selalu ingin mendekatiku. Tetapi aku tidak melayaninya langsung. Kebetulan ayahnya mengenali abiku. Walau dah kerap diajak mendengar pengajian, pelbagai alasan diberikan. Namun, alhamdulillah abi dan umi sangat menjaga hijabku dengan sesungguhnya. Untunglah umi abiku tidak mengumpulkan harta yang berlimpah ruah. Tetapi sekadarnya juga yang lebih diberikan kepada yang sepatutnya.

‘Kalaulah orang tuaku menyukai dunia dan isinya, kekayaan juga harta benda. Pastilah dengan segera aku dinikahkan dengan Arif. Tapi, untunglah orang tuaku termasuk mujahid dan mujahidah dakwah. Alhamdulillah..’

Dengan apa yang ada, yang aku miliki. Aku sangat bersyukur. Beberapa usaha abi sudah maju. Lebih hebat dengan keluarga Arif. Perusahaan-perusahaan abi bahkan sudah menerapkan system management yang sangat bagus berteraskan Syariat Islam. Tidak seperti perusahaan-perusahaan yang lainnya. Dengan cara itulah, perusahaan abi semakin lama samakin maju pesat. Benar-benar barakah kurniaan yang diberikan oleh Allah Subhanahu Wata`ala kepada keluargaku. ‘Alhamdulillah...’ hatiku mengucapkannya denga senyuman terukir sedirian.

Telah beberapa kali Arif bertandang ke rumahku, dulu. Dengan sopan aku menemaninya, walau dalam hati meronta tidak ingin sedemikian. Tentunya ditemani abi yang setia di sampingku. Agak lucu di saat mengenangkannya kembali. Arif menjadi kekok tika berbicara. Kelakuannya pula terlihat kaku. Sangat tidak selesa sekali baginya begitu. Setelah pulang ke rumah, Arif pasti akan menghubungiku. Lalu dia akan mengatakan aku yang bukan-bukan. Bukan setakat itu, dia juga mengata abi dan umi. Berfikiran kolotlah, kunolah, mengongkong anaknyalah, busy bodylah, tak open minded lah, dan macam-macam lagi kata- kata yang membuat aku tidak senang malahan sesiapa sahaja sepertiku tidak senang mendengarkannya. Maklumlah abi dan uminya dikutuk sedemikian rupa. Tetapi tetap aku membalasnya dengan sopan. Kerana sering ingat akan pesan umi juga abi tentang hadits penguat diriku, ‘As sobaru minal iman, sabar itu sebahagian dari iman.’

“Oh, ana senang sekali dengan sikap ambil berat mereka. Dan ana sangat merasakan dilindungi dengan sedemikian. Ok ya, ana nak tidur. Sudah tiba masanya. Assalamualaikum..” ucapan inilah yang sering kubalas setelah dikutuk sebegitu. Dan terus aku mematikan panggilan hp.

Ah, tiba-tiba ingatanku melayang teringatkan Akh Ridzuan. Dia kerap menghubungi akhowat termasuk aku atas urusan tertentu juga kadang-kadang atas tujuan bertanyakan khabar juga menguji tahap keilmuan dan kesopanan akhowat. Kerana aku sendiri telah merasainya. Makanya itulah yang dapat aku simpulkan atas panggilan yang dibuatnya.

Banyak juga caranya yang aku tidak senang dulu. Seakan busy body. Namun akhirnya aku sendiri jadi malu terhadapnya. Hingga dua penggal aku menjadi setiausahanya di BDDPI MPP. Walaupun aku tidak menyukainya pada awalnya. Namun segala yang aku sangkakan tentangnya jauh sekali. Akh Ridzuan seorang yang cukup istiqamah dalam perjalanan dakwahnya. Hingga akhirnya hatiku luluh dibuatnya. Namun, walau aku setiausahanya, kewajipan hijab dengannya senantiasa aku pegang apalagi dia.

Alunan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran sayup menyinggahi telingaku dari bacaan Syed Said Al-Ghamidi dari MP4 ditanganku. Getaran hati serasa di setiap alunan tilawah itu. Bagai ingin mengalir air mata mengenangkan dosa-dosa silamku yang sering menjadikan aku lalai mengingati dan menjalankan kewajipan pada Rabbul `izzati. Alpa dengan suruhanNya.‘Ya Allah, ampunilah aku yang berdosa ini’ keluh hatiku meluah. Dan air mata pun menitis satu persatu.

Bersambung...

Monday, April 18, 2011

Merekalah Manusia Terhebat ! - Bahagian 1

Oleh Azraai Ahmad

Di negara kita, pangkat Tun merupakan anugerah tertinggi yang diberikan kepada rakyat yang banyak menyumbangkan tenaga, usaha, ideal dan kerja ke arah membangunkan negara. Dengan pangkat ini, penerimanya akan mendapat layanan yang sangat istimewa dan sentiasa menjadi VIP dalam setiap majlis atau keraian.

Tindak tanduk mereka diperhatikan dan dicontohi, ibu bapa sering menjadikan mereka sebagai calon yang mesti dicontohi anak-anak. Pemimpin pula sentiasa menyebut-nyebut jasa dan sumbangan para Tun kepada rakayat jelata agar dapat diteladani semua. Merekalah idola setiap masyarakat.

Bagaimana pula dengan anak-anak muda kita? Siapa pula idola dan ikutan mereka? Semestinya para artis dan penyanyi yang mendapat anugerah-anugerah tertinggi dalam industri hiburan. Anugerah Bintang Paling Popular mungkin di antara anugerah yang menjadi penerimanya dikagumi dan digilai oleh remaja-remaja kita. Kehidupannya dibiografikan, cara pakaiannya dijadikan fesyen ikutan, cara cakap dan perilakunya pun turut ditiru.

Adakah Islam telah ketandusan orang-orang yang LAYAK dicontohi dan dikagumi? Siapakah sebenarnya orang-orang yang dijadikan contoh teladan di waktu zaman kegemilangan Islam dahulu? Di zaman Rasulullah dan para sahabat?

10 Sahabat yang dijamin Syurga;

Pangkat tertinggi yang pernah diberikan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabatnya adalah Jaminan Masuk Syurga. Suatu pangkat yang tidak dapat diragui lagi merupakan anugerah tertinggi yang pernah diberi kepada manusia biasa selain para rasul dan nabi.

Kita boleh membayangkan bagaimana jika kita hidup di kala itu, dan berpeluang berjumpa dengan ahli-ahli syurga yang masih hidup. Kita dapat berjalan-jalan di pasar dan melihat bagaimana mereka berjual beli, kita dapat melihat bagaimana bakal ahli syurga bermuamalah, beribadah, berkata-kata, makan, minum, berjihad dan kehidupan mereka keseluruhannya. Subhanallah, selain daripada Rasulullah SAW, adakah kita akan mengambil idola yang lain selain mereka ini? Tentu sekali tidak...

Siapakah mereka?

Daripada Abu Dzar RA, bahawa Rasulullah SAW masuk ke rumah Aisyah RA dan bersabda;

“Wahai Aisyah, inginkah engkau mendengar khabar gembira?”

Aisyah menjawab : “Tentu, ya Rasulullah.”

Lalu Nabi SAW bersabda, ”Ada sepuluh orang yang mendapat khabar gembira masuk syurga, iaitu : Ayahmu (Abu Bakar) masuk syurga dan kawannya adalah Ibrahim; Umar masuk syurga dan kawannya Nuh; Uthman masuk syurga dan kawannya adalah aku; Ali masuk syurga dan kawannya adalah Yahya bin Zakariya; Thalhah masuk surga dan kawannya adalah Daud; Az Zubair masuk syurga dan kawannya adalah Ismail; Sa’ad masuk syurga dan kawannya adalah Sulaiman; Said bin Zaid masuk syurga dan kawannya adalah Musa bin Imran; Abdul Rahman bin Auf masuk syurga dan kawannya adalah Isa bin Maryam; Abu Ubaidah bin Jarrah masuk syurga dan kawannya adalah Idris Alaihissalam.”

Ini merupakan kisah hidup ringkas kesepuluh manusia terhebat itu:-

1. Abu Bakar bin Abi Quhafah (As Siddiq), adalah seorang Quraisy dari kabilah yang sama dengan Rasulullah, hanya berbeza keluarga. Abu Bakar berasal dari keluarga Tamimi, manakala Rasulullah berasal dari keluarga Hasyimi.

Abu Bakar adalah seorang pedagang yang selalu menjaga kehormatan diri. Beliau seorang yang kaya, pengaruhnya besar serta memiliki akhlak yang mulia. Sebelum datangnya Islam, beliau adalah sahabat Rasulullah yang memiliki ciri-ciri yang mirip dengan Rasulullah.

Belum pernah ada orang yang menyaksikan Abu Bakar minum arak ataupun menyembah berhala. Dia tidak pernah berdusta. Begitu banyak kemiripan antara beliau dengan Rasulullah sehingga tidak hairan kemudian beliau menjadi khalifah pertama setelah Rasulullah wafat. Rasulullah selalu mengutamakan Abu Bakar berbanding para sahabatnya yang lain sehingga nampak menonjol di tengah tengah orang lain. Sabda baginda;

“Jika ditimbang keimanan Abu Bakar dengan keimanan seluruh umat nescaya akan lebih berat keimanan Abu Bakar. ” (HR. Al Baihaqi)

Al Quran juga banyak mengisyaratkan sikap dan tindakannya seperti dalam firman Allah pada surah Al -Lail ayat 5-7 dan 17-21, Fussilat ayat 30 serta At Taubah ayat 40.

Dalam masa yang singkat sebagai Khalifah, Abu Bakar telah banyak memperbarui kehidupan kaum muslimin, memerangi nabi palsu, dan kaum muslimin yang tidak mahu membayar zakat. Pada masa pemerintahannya juga penulisan Al Quran dalam lembaran-lembaran dimulai.

2. Umar Ibnul Khattab, berasal dari kabilah yang sama dengan Rasulullah SAW dan malah berkongsi moyang yang sama iaitu Ka’ab bin Luai. Umar masuk Islam setelah bertemu dengan adiknya Fatimah dan suami adiknya Said bin Zaid pada tahun ke-6 kenabian. Sebelum Umar, telah ada 39 orang lelaki dan 26 wanita yang memeluk Islam. Pada kaumnya, Umar dikenal sebagai seorang yang pandai berdiskusi, berdialog, memecahkan permasalahan serta berpenampilan kasar.

Setelah Umar masuk Islam, dakwah kemudiannya dilakukan secara terang-terangan, begitupun di saat hijrah, Umar merupakan di antara segelintir sahabat yang berhijrah secara terang-terangan. Beliau sengaja berangkat pada siang hari dan melewati gerombolan Quraisy. Ketika melewati mereka, Umar berkata;

"Aku akan meninggalkan Mekah dan menuju Madinah. Siapa yang ingin menjadikan ibunya kehilangan puteranya atau ingin anaknya menjadi yatim, silakan menghadang aku di belakang lembah ini!”

Mendengar perkataan Umar tidak seorangpun yang berani mengekori apalagi menghalangnya.

Banyak pendapat Umar yang dibenarkan oleh Allah dengan menurunkan firman-Nya seperti saat peristiwa kematian Abdullah bin Ubay (At Taubah 9:84), ataupun saat penentuan perlakuan terhadap tawanan saat perang Badar, pendapat Umar dibenarkan Allah dengan turunnya ayat 67 surat Al Anfal.

Sebagai khalifah, Umar adalah seorang yang sangat memperhatikan kesejahteraan umatnya, hinggakan setiap malam ia berkeliling rumah rakyatnya khuatir jika masih ada yang belum terpenuhi keperluan mereka. Kekuasaan Islam pun semakin meluas keluar jazirah Arab di masa kekhalifahan beliau.

3. Uthman bin Affan. Sebuah Hadith yang menggambarkan peribadi Uthman, di mana Rasulullah SAW bersabda;

“Orang yang paling kasih sayang di antara umatku adalah Abu Bakar, dan paling teguh dalam menjaga ajaran Allah adalah Umar, dan yang paling bersifat pemalu adalah Uthman.” (HR Ahmad, Ibnu Majah, Al Hakim, At Tirmidzi)

Uthman adalah seorang yang sangat dermawan, dalam persiapan pasukan Muslimin pada perang Tabuk, Uthman yang menginfaqkan ratusan ekor unta. Setelah kaum muslimin hijrah, saat kesulitan air, Uthmanlah yang membeli perigi daripada seorang Yahudi untuk kepentingan kaum muslimin. Serta banyak lagi kemurahan dan kedermawan beliau yang tidak sempat dimasukkan dalam artikel ini.

Pada masa kepemimpinannya Uthman merintis penulisan Al Quran dalam bentuk mushaf, daripada lembaran-lembaran yang mulai ditulis pada masa pemerintahan Khalifah Abu Bakar

4. Ali bin Abi Thalib, sepupu Rasulullah SAW yang juga merupakan pemuda pertama memeluk Islam. Beliau tinggal bersama-sama baginda dan menerima asuhan oleh manusia yang paling agung ini sejak kecil lagi.

Berkeperibadian mulia dan memiliki kecerdasan dan keilmuan yang tinggi. Di samping bersikap berani seperti yang ditunjukkannya ketika menggantikan tempat tidur Rasulullah ketika baginda berhijrah bersama Abu Bakar. Ali juga yang dinikahkan oleh Rasulullah dengan puteri kesayangannya Fatimah. Kedua-dua suami isteri ini hidup dengan begitu sederhana dan tidak mempergunakan jawatan Rasulullah sebagai ketua negara Madinah untuk hidup mewah.

Beliau dilantik menjadi Khalifah Islam ke-4 setelah kematian Uthman bin Affan.

Bagaimana kisah hidup manusia-manusia terhebat yang lainnya? Ikuti bahagian kedua di entri seterusnya...

Memberi Dari Perspektif Mereka...

Oleh Wan Am


Selain al-Quran dan hadis yang banyak menyebut tentang sedekah, sahabat Rasulullah s.a.w. dan ulama salaf juga ada mengutarakan pandangan mereka berkenaan amalan bersedekah, sebagai tanda mengakui kemuliaan amalan ini serta memotivasikan umat Islam yang lain supaya tidak memperkecilkan amalan tersebut.

Dalam artikel kali ini saya perturunkan kalam-kalam hikmah mereka yang saya peroleh daripada beberapa sumber, moga-moga menjadikan kita hamba Allah yang tidak bertangguh-tangguh lagi untuk bersedekah dan memberi kepada mereka yang memerlukan:

Umar bin al-Khattab r.a. - "Semua perbuatan baik akan saling membanggakan diri; lalu sedekah berkata: 'Akulah yang paling utama di antara kamu semua.'"

Uthman bin Affan r.a. - "Berniagalah dengan Allah melalui sedekah, pasti kamu akan beruntung."

Ali bin Abu Talib r.a. - "Hiasilah imanmu dengan sedekah, lindungilah hartamu dengan zakat, dan hindarilah bencana dengan doa!"

Ibnu Mas'ud r.a. - "Satu dirham yang kamu sedekahkan dalam keadaan sihat dan kuat adalah lebih baik berbanding seratus dirham yang kamu wasiatkan menjelang kematianmu."

Salman al-Farisi r.a. - Jika seorang yang murah hati meninggal dunia, maka bumi dan para malaikat akan berkata: 'Ya Allah, ampunkanlah hamba-hamba-Mu ini kerana kemurahan hatinya.' Jika orang yang kedekut meninggal dunia, maka mereka akan berkata: 'Ya Allah, halanglah dia dari syurga sebagaimana dia menghalang orang lain dari apa yang ada di tangannya.'"

Abdul Aziz bin Umair - "Solat akan menghantarmu menempuhi setengah perjalanan, puasa menghantarmu ke pintu Allah, dan sedekah memasukkanmu ke dalam syurga."

Yahya bin Muadz - "Tidak ada amal yang sekecil biji zarah yang boleh menyamai berat gunung-ganang di dunia kecuali sedekah."

al-Baihaqi - "Mintalah rezeki dengan bersedekah."

Hassan al-Basri - "Sahabat yang paling baik adalah dinar dan dirham yang kamu sedekahkan."

Abdullah bin Jaafar - "Orang yang murah hati adalah yang memberi tanpa diminta. Dia memberikan sesuatu kepadamu kerana kemahuannya sendiri. Sesungguhnya kesedaran untuk memberi sedekah adalah lebih berat berbanding memberi sedekah kepada seseorang yang meminta."

al-Sya'bi - "Sesiapa yang tidak menyedari bahawa dirinya lebih memerlukan pahala sedekah berbanding orang miskin yang memerlukan sedekahnya, maka sedekahnya itu sia-sia belaka, dan wajahnya akan dipukul dengan sedekah itu pada hari kiamat nanti."

Ahmad al-Rifa'i - "Selawat kepada Rasulullah s.a.w. akan mempermudah jalan di atas sirat dan membuatkan doa dikabulkan. Begitu juga sedekah yang akan memadamkan kemurkaan Allah."

Bukan sahaja orang Islam, malah orang-orang bukan Islam juga turut mengakui kebaikan amalan memberi ini. Melalui pembacaan saya dalam buku "Ajaibnya Sedekah" hasil karya Muhammad Muhyidin, saya telah menemui beberapa mutiara kata daripada beberapa tokoh dan sarjana bukan Islam mengenai kebaikan amalan memberi. Mungkin sesuai juga untuk saya kongsikan di sini sebagai manfaat kita bersama:

Leonard Nimoy - "Semakin banyak kita memberi, semakin banyak yang kita miliki..."

Glenn van Ekern - "Pelaburan yang kecil tetapi konsisten dapat memberikan hasil berlipat kali ganda. Semangat kedermawanan terungkap dengan sendirinya melalui sikap yang terus mencari jalan memberikan nilai tambah kepada hidup manusia..."

Henry Ford Sr. - "Walaupun ramai orang menghubungkan kejayaan dengan apa yang mereka peroleh, kejayaan itu bermula dengan memberi."

Dr. Kare Messenger - "Kunci rumah saudara dan pergilah ke bawah jambatan. Cari orang yang memerlukan bantuan dan bantulah mereka."

Eric Butterworth - "Orang yang memberi dengan tulus adalah orang yang bahagia, berasa aman, puas dan makmur."

Robert Louis Stevenson - "Jangan mengukur hari berdasarkan hasil yang saudara peroleh, sebaliknya ukurlah berdasarkan benih yang saudara tanam."

Eleanor Roosevelt - "Yang menjadikan kita tetap menikmati hidup dan terus memandang ke masa hadapan adalah kerana tujuan kita mahu memberikan kebahagiaan kepada orang lain. Kebahagiaan bukanlah tujuan, melainkan ia adalah hasil sampingan."

George Washington Carver - "Berapa jauh perjalanan saudara dalam hidup ini bergantung pada adakah saudara bersikap lembut kepada yang lebih muda, bersikap kasih kepada yang lebih tua, bersimpati kepada orang yang perlu berjuang lebih keras dan bertimbang rasa kepada yang lemah dan yang kuat kerana pada suatu hari dalam hidup ini, saudara menjadi salah seorang daripada mereka."

Lao Tse - "Keramahan dalam bertutur kata menciptakan keyakinan diri, keramahan dalam berfikir menciptakan kesempurnaan dan keramahan dalam memberi melahirkan kasih."

Sunday, April 17, 2011

Menanam Benih Sedekah

Oleh Wan Am


Mengikut satu laporan, sejak tahun kemerdekaan kadar kemiskinan di Malaysia telah dapat dikurangkan daripada 50 peratus kepada 3.6 peratus (berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan [PGK] atau Poverty Line Income [PLI] yang ditetapkan oleh kerajaan iaitu RM750.00) pada 2007. Pencapaian yang disifatkan sebagai 'luar biasa' ini diakui oleh pertubuhan antarabangsa, hinggakan Malaysia diiktiraf sebagai negara yang telah berjaya mengatasi penandarasan kemiskinan 8.25 peratus seperti yang ditetapkan oleh United Nations Development Programme (UNDP) di bawah Millennium Development Goals bagi tahun 2015. Nampaknya hal ini jualah yang menjadi modal kepada para pemimpin tertentu untuk dicanangkan kepada rakyat bahawa negara kita berjaya dalam matlamatnya untuk membasmi kemiskinan.

Melalui artikel ini tidaklah saya berniat untuk mengiyakan mahupun mempertikai kejayaan yang dicapai oleh Kerajaan Malaysia ini. Dari sudut positif, sememangnya kita bersyukur atas nikmat keamanan, pembangunan dan kemajuan yang sedang kita kecapi pada hari ini, memandangkan perkara-perkara tersebut adalah sesuatu yang dituntut dalam Islam dan menjadi satu keperluan hidup yang semestinya dihargai oleh kita semua. Malah dengan keamanan dan kemajuanlah usaha negara ke arah melahirkan rakyat yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan akan lebih mudah untuk direalisasikan.

Namun, di sebalik semua itu, kita juga merasa sedih dan gusar kerana di negara Malaysia yang telah lebih setengah abad merdeka ini masih ada warganya yang hidup melarat dan diselubungi penderitaan yang tiada kesudahan. Beleklah dalam akhbar-akhbar arus perdana tempatan, kerapkali disiarkan cerita kesengsaraan golongan fakir miskin dan orang kurang upaya yang seolah-olah tidak mendapat perhatian daripada pihak yang sepatutnya memelihara kebajikan mereka. Kemudian cubalah tonton rancangan "Bersamamu" terbitan TV3, anda pasti akan berhadapan dengan realiti hidup masyarakat yang cukup menginsafkan. Justeru, bagi kita yang diberikan sedikit kenikmatan dan kelebihan, perhatikanlah insan-insan di sekitar kita, kerana masih ada dalam kalangan mereka yang wajib dibantu.

Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, Allah s.w.t. sentiasa melorongkan peluang yang banyak untuk kita beramal salih. Seorang yang mempunyai kelebihan harta pula akan lebih mudah untuk melakukan sesuatu amal salih, antaranya dengan melaksanakan amalan bersedekah, yakni membantu mereka yang dalam kesulitan dan kemiskinan semata-mata kerana Allah. Justeru pada kesempatan ini izinkan saya memperihalkan serba ringkas mengenai sedekah; definisi, fadilat serta manfaatnya kepada masyarakat.

Perkataan sedekah berasal daripada bahasa Arab iaitu 'sadaqah', bermaksud sesuatu yang diberikan. Dari segi istilah, sedekah bererti pemberian yang tujuannya adalah mengharapkan pahala daripada Allah. Ahmad 'Athiyatullah dalam bukunya "al-Qamus al-Islami" telah menyatakan, "Sedekah adalah segala sesuatu yang diberikan dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah tanpa wujud perasaan kesal ataupun benci." Begitu juga Imam al-Nawawi dalam kitabnya “Syarah Imam Muslim” menyebut, “Diberi nama sedekah kerana ia merupakan bukti di atas kebenaran iman seseorang yang menunaikannya, sama ada secara zahir mahupun batin. Ia merupakan amal yang menjadi bukti akan kebenaran iman seseorang.”

Kata sedekah juga diambil daripada kata 'sadaqa' atau as-sidqu' yang bermaksud benar atau jujur dalam perkataan dan perbuatan. Sedekah diperintahkan kerana amalan ini membuktikan seseorang hamba itu benar-benar menjadikan hidupnya untuk beribadah kepada Allah. Dalam hal ini Allah berfirman:

"Wahai orang yang beriman, sedekahkanlah sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik..." (al-Baqarah : 267)

Setiap amal perbuatan yang diperintahkan Allah untuk dikerjakan oleh setiap Muslim pasti ada ganjarannya, bukan setakat di dunia malah juga di akhirat. Begitu jugalah dengan sedekah. Amalan bersedekah mempunyai banyak fadilat (keutamaan) dan kelebihan kepada para pelakunya, sepertimana yang diterangkan dalam al-Quran dan hadis Nabi Muhammad s.a.w.

Hasan bin Ahmad Hasan Umam dalam buku karangannya "al-Tadawi bi al-Shadaqah" (Berubat Dengan Sedekah) telah menyenaraikan keutamaan-keutamaan sedekah seperti berikut:

1. Sedekah sebagai pembersih dan pensuci hati

Firman Allah:

"Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (at-Taubah : 103)

2. Sedekah memenuhi perintah Allah dan rasul-Nya

Firman Allah:

"Katakanlah kepada hamba-hamba-Ku yang beriman hendaklah mereka mendirikan sembahyang dan mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, sama ada dengan merahsiakan pemberiannya itu atau dengan terbuka; sebelum datangnya hari yang tidak ada jual beli padanya, dan tidak ada sahabat handai (yang dapat memberikan pertolongan)." (Ibrahim : 31)

3. Dengan bersedekah orang mukmin mendapat perlindungan pada hari kiamat

Uqbah bin Amir r.a. meriwayatkan dalam sebuah hadis, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Setiap orang akan mendapatkan naungan dari sedekahnya, sehingga diputuskan perkara bagi setiap manusia." (Riwayat Ibnu Khuzaimah dengan isnad sahih menurut Imam Muslim)

4. Sedekah melindungi diri daripada bahaya dan musibah serta menolak su'ul khatimah (kematian yang buruk)

Abu Umamah r.a. berkata, Rasulullah bersabda:

"Perbuatan baik akan menjaga (diri) daripada kematian yang buruk, sedekah secara sembunyi-sembunyi akan memadamkan kemarahan Tuhan dan silaturahim akan memanjangkan umur." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

5. Sedekah merupakan bukti kebenaran iman

Sabda Nabi s.a.w.:

"...Solat adalah cahaya, sedekah adalah bukti (di atas kebenaran keimanan), sabar adalah penerang dan al-Quran adalah dalil bagi kamu..." (Riwayat Muslim)

6. Sedekah menyelamatkan seorang Muslim daripada belenggu hati

Ada hadis daripada Nabi s.a.w. tentang Nabi Yahya a.s.:

"Aku memerintahkan kamu bersedekah. Perumpamaan perkara itu sama seperti seorang lelaki yang ditawan oleh musuh. Mereka mengikat tangannya terbelenggu ke lehernya. Maka berkatalah (sedekah): 'Aku menebusnya dari kamu banyak atau sedikit. Sehingga (sedekah) menebus dirinya dari mereka.'" (Riwayat a-Tirmizi)

7. Allah Taala akan menggantikan harta orang yang bersedekah

Firman Allah:

"Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Sesungguhnya Tuhanku meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya, dan Dia juga yang menyempitkan baginya, dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dialah jua sebaik-baik Pemberi rezeki.’" (Saba : 39)

8. Pahala sedekah sentiasa mengalir kepada orang yang bersedekah, walaupun selepas dia meninggal dunia

Nabi s.a.w. bersabda:

"Apabila anak Adam (manusia) telah meninggal dunia, maka putuslah segala amalnya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak salih yang mendoakan kepadanya." (Riwayat Muslim)

9. Sedekah menghapus kesalahan (dosa)

Muadz bin Jabal r.a. meriwayatkan dalam perkataannya bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Sedekah akan memadamkan kesalahan (dosa), sebagaimana air memadamkan api." (Riwayat at-Tirmizi)

Amalan bersedekah juga bukan sekadar memberikan kebaikan kepada seseorang individu yang melaksanakannya, malah turut memberikan banyak manfaat dalam kehidupan bermasyarakat. Seperti yang dinukilkan oleh Ibrahim Muhammad al-Dhabi'i dalam bukunya "Al-Sadaqat wa Atharuha 'ala al-Fard wa al-Mujtama'", antara manfaat sedekah kepada masyarakat ialah:

1. Sebagai salah satu penyelesaian dalam menangani masalah kemiskinan.

2. Menghilangkan dendam orang miskin yang merasa haknya dirampas oleh orang-orang kaya.

3. Menghilangkan perasaan dengki orang miskin terhadap orang kaya.

4. Menghindari perbuatan jenayah.

Ayuh kita budayakan amalan bersedekah dalam kehidupan. Ingatlah, orang yang bersedekah adalah seperti orang yang menanam benih kebaikan. Buahnya akan mereka nikmati pada hari akhirat nanti hasil daripada amalan sedekah yang disuburkannya di dunia ini.

Thursday, April 14, 2011

Kemelut Cinta - Siri 2

Oleh Atriza Umar

Aku rebahkan tubuh di atas tilam yang bercadarkan warna biru laut dan terdapat gambar daun menghiasi. Aku merasa amat penat sekali setelah seharian dengan aktiviti. Peluang yang ada ini, aku bawakan diri rehat agar lupakan segala yang telah dilalui. Lena.

“Irah, bangun nak.” Saran umi saat aku masih amai-amai lagi.

“Ya umi. Masuklah.” Ujarku perlahan tetapi boleh didengari.

Umi membuka tombol pintu dan terus masuk mendapatkan aku. Senyumannya membuatkan hatiku senang sekali. Dialah umi yang kusayang yang banyak menjadi teman setiap kala aku bersendirian mahu pun tidak. Inspirasiku.

“Mari makan Irah.” Pelawa umi padaku.

“Irah belum laparlah lagi umi.”

“Janganlah begitu Irah. Nanti sakit siapa yang susah. Umiii juga kan...” Rajuk umi menyentakkan aku. Bingkas aku bangun dari memeluk bantal gebuku itu.

“Alaa... umi, Irah tak lapar lagilah.”

“Apapun, Irah mesti makan. Umi dah buatkan makanan kegemaran Irah.” Seakan ayat perintah disuarakan umi. Tegas. Namun masih lembut ucapannya.

“Baiklah umi. Irah makan lepas ni. Irah nak mandi dulu ya.” Balasku manja dan senyuman kuhadiahkan buat umi yang banyak jasanya padaku.

“Errmmm... Irah, kenapa tak pakai kereta yang abi hadiahkan tu? Kan lagi senang Irah gunakan kereta tu, dan boleh cepat sahaja bergerak ke sini sana. Ini tidak naik bas juga. Kan sampai rumah dah dekat senja jadinya. Penatkan.” Ceramah umi berjela.

“Tak naklah umi. Nantilah umi, bila Irah dah punya zaujun baru Irah akan bawa kenderaan sendiri. Hehee..” Balasku menggoda. Lembut juga manja.

“Ha.. itulah yang umi tunggu-tunggu. Bila Irah nak bernikah? Atau nak umi carikan?” Balas umi seperti nada mengharap serta bergurau. ‘Alamak.. aku dah terlepas cakap dan terperangkap dengan kata-kataku sendiri. Alahai...’ getus hati.

“Oh umi. Belum lagilah. Insya`Allah nantilah. Irah ada sesuatu yang nak diselesaikan dulu. Bersabarlah umi.” Balasku ringkas sambil mencapai tuala untuk ke kamar mandi. Umi terdiam tanpa bicara. Sesungguhnya itulah yang aku harapkan.

“Umi, Irah mandi dulu ya.” Terus aku berlalu meninggalkan umi sendirian di kamar itu.

***

Tubuhku kembali segar setelah disirami air juga bersama sapuan wangian mandian. Aromanya semerbak walaupun telah usai mandi. Baju t-shirt lengan panjang berwarna hitam kupakai ke badan. Beserta kain batik halus buatan Seberang kusarungkan.

Siap mengemas diri juga solat Maghrib. Aku turun mendapatkan umi yang telah menanti di ruang makan. Umi menghadiahkan senyuman buat anaknya yang seorang ini. Tudung saji yang menutupi lauk-lauk, kucapai dan kubuka. Umi hanya memerhati. Aku pula sepi. Meneladani yang di hadapanku ini. Memukau seleraku. Terus aku makan dengan seleranya sambil ingatan tiba-tiba mengingati mereka yang tidak dapat makan nasi juga apa yang ada di hadapanku ini. Serta merta terbantut seleraku. Namun untuk tidak mengecewakan umi yang di hadapanku ini, aku berlagak selamba walau fikiran sudah jauh dari alam yang dinikmati.

“Ha Irah, macam mana? Sedap tak? Makan sampai tak ingat dunia. Mentang-mentanglah makanan kesukaan Irah.” Seloroh umi antara dengar dan tidak saja bagiku. Namun aku menggahkan juga senyum dan mengangguk. Walau hakikatnya hatiku amat sayu sekali.

“Sedap umi. Biasalah umi yang buat. Memanglah sedap. Lain kali umi buatlah lagi ya.” Aku meneruskan mengunyah nasi yang berlaukkan ikan masak asam kegemaranku bersama sayur bayam dan kentang masak sambal.

“Eh, kenapa tak tambah nasi tu? Mungkin umi masak tak sedap kali ni ya...” Rajuk umi membuah kembali. Aku wajar menyatakan apa yang kurasakan pada umi.

“Umi... bukan begitu. Masakan umi memang the best bagi Irah. Namun, Irah merasakan tidak mampu untuk makan banyak dan sedap selalu. Irah teringatkan mereka yang kekurangan. Mereka tak dapat merasakan semua ini. Makanya Irah tidak keterlaluan untuk terus menyudahkan di sini. Kan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam mengajarkan makan setelah lapar, berhenti sebelum kenyang.” Balasku dengan harapan agar umi mengerti dan menyelami perasaanku tadi. Moga rajuknya hilang melayang.

Umi tersenyum penuh erti. Tandanya memahami. Gembira sekali riak wajahnya.

“Irah sudah menjadi wanita muslimah yang dewasa. Penyenang hati umi dan keluarga. Umi senang sekali mendengan kata Irah tadi. Tak menyangka sama sekali.” Aku hanya senyum dan beberapa ketika aku membalas. Aku mencapai gelas berisi air suam, air kesukaanku. ‘Ahhh.. nikmatnya terasa tika air membasahi kerongkongku dan menolak makanan yang kumakan ke tempatnya. Ahh.. nikmatnya. Nikmat manakah yang harus aku dustai?’ Ingatanku pada maksud Surah Ar-Rahman ayat Al-Quran yang banyak ulangnya ini.

“Irah masih budak kecil lagi lah umi. Lihatlah ke mana pergi tak pernah orang mengatakan yang Irah dah habis sekolah. Hehee...” Umi tersenyum dengan jawapanku. Tangannya mengusap jemariku yang baru selesai dilap. Terasa sangat senang sekali aku diperlakukan sedemikian oleh umi. Tangannya yang kanan mengusap lembut rambut panjangku yang sengaja malam ini aku tidak menutupnya. Ingin menyenangkan hati umi. Asyik sekali rasanya dibelai umi yang menyayangi lagi memahami.

Setelah lama berbual bicara bersama umi. Tidak ketinggalan tentang abi. Sedikit sebanyak, perasaan rinduku pada abi terasa. Umi pastilah lebih-lebih lagi. Aku mengemaskan meja makan dan umi telah masuk ke kamarnya. Usai mengemas, aku terus ke tingkat atas ke kamarku. Sudah menjadi kebiasaan sebelum tidur, berwuduk, solat sunat dan melantunkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran. Setelah itu aku menelaah terjemahan ayatnya. Dan kesempatan malam yang sunyi itu, aku sering menghabiskan masa dengan beruzlah bersama Pencipta. Bermuhasabah sentiasa kulakukan. Selain itu tak kulupakan membaca beberapa buku juga kitab sebagai makanan rohani. Dan masa untukku berkarya juga ada. Hingga terkadang lenaku hanya seketika sahaja. Namun aku tidak lupa akan ayat Allah yang satu ini, ‘Dan malam dijadikan untuk hambanya beristirehat.’ Begitulah yang termaktub dalam Al-Quran. Maka tidak aku persiakan anugerahNya.

Aku memasang cita-cita khatam Quran sebanyak 10 kali dalam setahun. Maka akan aku laksanakan sebagaimana tahun yang sebelumnya. Dan impianku memahami semua isi Al-Quran suatu ketika nanti. Dan akulah sedang mengejar semua itu. ‘Bi iznillah’ balas diriku sendiri.

Lenaku disaluti bacaan istighfar, tiga Qul juga doa-doa pendek sebagai bekalan.

***

Pagi begitu cerah. Pepohon daunnya dibasahi embun. Dengan kicauan burung yang mengalun. Menjadikan pagi itu begitu sempurna. Saling ada kaitannya. Membugarkan hatiku juga diri merasakan nyaman sekali. Tak ketinggalan Kopi Radix peneman minum pagiku semanjak kuketahui produk ini produk Islami berserta bahan-bahan alami dari tumbuhan dan hasil bumi seperti akar kayu. Dan seringlah aku menyarankan produk Islam ini pada sahabat-sahabat.

Seharusnya kerja-kerja yang harus diselesaikan telah aku sempurnakan. Dimulai dengan mandi sebelum Subuh, solat sunat, solat Subuh juga yang pasti tak pernah aku tinggalkan sejak di bangku sekolah menengah lagi, bacaan Ma`tsurat, bacaan ayat Quran, bersenam ringkas di kamar dan yang terakhir menikmati pagi hari bersama segelas Kopi Radix dan sedikit kuih muih bersama umi. Dan setelah usai yang itu, kadang-kadang aku mengemaskan rumah juga sekitarnya membantu Makcik Qamariah. Itulah rutinku tika di rumah.

“Athirah tak pergi mana-mana ke hari ini?” soal umi pada pagi itu, saat aku mentelaah di sofa lembut warna hijau kesukaan abi. Aku segera menoleh. Menutup kitab yang di tangan iaitu Petunjuk Berdakwah Dengan Berkesan, karangan Dr `Aidh Abdullah Al-Qarni.

“Insya`Allah tak ke mana-mana umi. Kenapa mi?”

“Oh ye ke? Umi nak ajak pergi jalan-jalan. Haa.. umi nak cari tudung di Butik Muslimat tu. Apa Irah nak juga? Marilah ikut temankan umi. Tentu Irah rambang mata nanti. Hehee..” Kata umi sakan, sempat mempromosi dan memancing anaknya.

“Ermmm.. Umi, Irah teringin nak hidup zuhud. Tidak bermegah-megahan. Lagipun kan umi, tudung Irah masih boleh dipakai lagi. Buat apa banyak-banyak kat almari. Tapi pakainya tetap satu saja kan.” Balasku perlahan dan mengharapkan pengertian umi.

Umi tersenyum. Seperti senyumannya malam tadi. Aku amat senang sekali menyaksikan senyuman itu.

“Alhamdulillahi rabbil `alamiin. Anakku benar-benar telah dewasa. Sayang, bukan beerti zuhud itu mengetepikan keindahan. Bukankah Allah lebih suka pada keindahan. Dan umi membeli itu bukan semata-mata keinginan. Tetapi lebih berdasarkan keperluan umi sayang. Dan telah banyak tudung yang umi agihkan kepada sahabat juga yang memerlukan wahai anakku.”

“Okey umi, Irah ikut umi.” Balasku tegas dan ceria. Kerana aku tidak mengetahui akan sebenar hakikat tujuan umi tadi.

“Okey. Terima kasih Athirah. Insya`Allah jam sebelas kita pergi ya.” Senyumannya terukir sentiasa. Umi terus berlalu ke dapur untuk membantu Makcik Qamariah, pembantu di rumahku. Namun dia sudah sebahagian keluargaku.

Aku menuju ke mini library di tingkat atas. Mengambil konsentrasi yang aman dan selesa membaca buku. Buku tadi yang masih di tangan kubawa bersama. Ingin terus aku menghabiskan bacaan ini. Khusyuk sekali aku alami di sini. Jam di atas meja belajar di kamar buku itu menunjukkan jam 1035 minit pagi. Tersentak diri jadinya. Sudah lama aku mentelaah. Teringat ajakan umi yang ingin ke Butik Muslimah, bingkas kubangun dan terus beredar dari perpustakaan kecil itu.

Bersiap untuk menemani umi. Dan beberapa ketika kedengaran suara umi.

“Irah, dah siap belum?” Teriak umi di luar pintu kamarku.

“Baiklah umi. Sekejap sahaja lagi. Ni nak membetulkan tudung.” Sahutku

“Okeylah, umi tunggu di bawah ya.”

“Ya umi.” Ringkas juga balasku.

Beberapa minit kemudian, aku keluar dari kamar dan terus menuruni anak-anak tangga menuju ke bawah. Bersama tudung labuh serta sepasang baju kurung berwarna biru menghiasi diri. Seperti kebiasaanku yang senantiasa menutup aurat ke mana pergi. Segalanya itu adalah pelindung dari mata-mata jahil yang melihatku. ‘Na`uudzubillahi mindzalik’ detak hatiku.

“Okey umi. Dah siap dah.” Aku menyapa umi yang sedang membaca akhbar pilihan ramai Halaqah yang di halaman rumah berhadapan dengan tempat letak kereta.

Kami menaiki kereta Honda Civic metalic milik abi. Pemandu sudah sedia di dalam perut kereta. Umi agak kurang mahir memandu kerana abi sering melarang umi memandu. Melainkan benar-benar ada keperluan tertentu. Kalau tidak kami menggunakan pemandu yang telah sedia ada. Arahan abi tidak sama sekali dingkari walaupun abi selalu tiada berikutan urusan kerjanya juga jamaah yang diikutinya.

Abi adalah seorang lelaki yag aku kagumi. Jihad fi sabilillah tujuan hidupnya. Istiqamah pegangannya. Qana`ah sifatnya. Itulah dia abiku. Rindu pada abi semakin membuak pula rasanya.

Aku suka memandang gelagat manusia yang terdapat di sekitar jalan yang dilalui. Tak kira menaiki apa, aku memang suka memandang pemandangan. Di jalan yang dilewati pada siang itu agak lengang. Banyak juga orang yang berjalan kaki. Maklum sahajalah dengan keadaan harga minyak juga petrol yang naiknya amat mendadak sekali. Maka dikesempatan itu mereka berjalan kaki di sekitar tempat yang dekat. Mungkin. ‘Di setiap kesulitan pasti ada kesenangan. Dan di setiap kesulitan pasti ada kesenangan’ begitulah janji Allah subhanahu wata`ala dalam Al-Quran, Surah Insyirah. Itulah peganganku. Hati kecilku terus berbicara.

Pemandu abiku ini agak berusia orangnya. Peramah diajak bicara. Juga santun lagaknya. Pakcik Zainal, sering bercerita kisah Nabi padaku, saat kecil. Banyak ilmu agamanya. Rajin juga membaca. Keluarganya juga amat rapat dengan keluargaku. Antara kami dengannya atau dengan sesiapa pun tiada penghalang untuk bersilaturrahim walaupun dia adalah pekerja. Begitulah yang telah abi juga umiku ajarkan padaku dan anak-anaknya yang lain. Pemanduannya agak sederhana laju. Keadaan juga tidak banyak kelihatan.

Aku terkesima seketika dari bicara sendiri oleh hati ini kerana terlihat susuk tubuh yang kukenal berjalan kaki. Dan pasti dia tidak mengetahui yang aku memandangnya. Cermin kereta abiku ini agak gelap. Dari dalam dapat melihat yang di luar. Tetapi tidak sebaliknya.

‘Ah.. betul ke tu dia?’ soalku sendiri. Aku jadi kaget. Bingung juga. ‘Oh betullah dia! Ya tak salah lagi, dialah Akh Ridzuan!’

Aku amat dekat dengannya. Saat dia ingin menyeberang jalan, aku hanya memerhati bersama perasaan yang mengalir sendiri. Tersenyum. Berbunganya hati tiada taranya. Ikhwan itu yang membuatkan aku menjadi muslimah yang disegani. Ikhwan itu yang kerap menghentam saat kealpaanku. Dan ikhwan itu jugalah yang membuatkan aku tidak keruan. Sebagaimana hadir fitrah yang amat dinikmati seluruh makhlukNya. Sebenarnya, aku tidak berani untuk menatap matanya, apalagi memandang tubuhnya. Dan sekarang jantungku berdengup kencang kerana hadir suatu perasaan aneh. ‘Entah kenapalah...’ luahku setiap kali bertemu mahupun berhadapan dengannya. Sudah lama aku tidak bersua dengannya. Kerana masing-masing amat sibuk dengan tugas.

Entah kenapa aku sangat gembira bertemunya walau hanya aku yang merasa. Aku teringat saat pergi berdakwah di perkampungan orang asli di sebuah Negeri Pantai Barat. Dia amat serasi dengan kehidupan kampung. Walau agak kumuh dan kurang menyenangkan. Aku melihatnya seperti seorang mujahid yang melangkah tegas bersama tentera Allah. Seorang pejuang yang amat mendambakan syurga balasan. Seorang yang tiada hentinya berdakwah dalam arus yang tidak kira apa pun. Seorang lelaki yang tidak merasakan kekurangan dalam segala hal selain pahala. ‘Ya Allah, teguhkan dan tetapkanlah hatinya di jalanMu. Ya Allah, aku mengkagumi dirinya. Dan pastinya aku tidak layak mendampinginya. Sungguh dia seorang mujahid yang tegar dalam perjuangan agamaMu ya Allah.’ Luah hati. Dia amat tegas dalam soal agama. Walau banyak yang amat membantah akan caranya. Namun dia tidak gentar. ‘Subhanallah wal hamdulillah wala Ilaha Illallah wallahu akhbar.’ Ucapku lirih dalam hati.

“Irah, kenapa ni? Dari tadi senyum-senyum sendiri umi tengok.” Umi menyentakkan lamunanku.

“Tak ada apa-apa umi. Teringat dengan situasi sekarang ni. Dah ramai yang jalan kaki dari guna kenderaan. Maklumlah minyak harganya dah melambung naik.” Jawabku dengan selamba dan sama sekali ingin membuat perhatian umi berdalih.

“Ah.. takkan tak ada apa-apa? Pasti ada sesuatu yang mnggembirakan hati Irah kan? Kalau tak takkan sampai tersenyum sendirian.” Selidik umi tidak dapat kulawan lagi.

“Tak ada apa-apa umi.” Balasku ringkas bertujuan umi tak menyoalkan lagi.

“Ermmm... ye ke? Umi tak merasakan begitu. Tentu ada ikhwan yang sudah bertandang di hati Irah ya.” Tebak umi kelihatan pasti. ‘Aduhhh.. nak putar bicara apa lagi dengan umi ni. Menyelami betul hatiku ini’ getusku lagi.

“Mana ada umi.” Jawabku tegas dan agak malu sedikit.

“Hehe… jangan malu sayang. Kalau sudah berkenan, khabarkan pada umi. Biar kita mulakan sebagaimana Khadijah memulakan melamar Nabi melalui perantaraan. Kalau memang sudah ingin bernikah, katakan saja pada umi juga abi. Insya`Allah tidak akan ada ikhwan yang akan menolak dinikahkan dengan anak kesayang umi yang seorang ini. Yang cantik dan berpengetahuan!” Umi kelihatan serius. Aku tidak tahu apa yang dirasa diri.

“Mana ada yang akan menolak dinikahi seorang akhowat yang cantik begini, aktif berorganisasi, apalagi hobinya tilawah, berkarya juga membaca tafsir!” Tambah umi lagi.

“Umiii niii...” Jawabku dengan manja. Ummi hanya tersenyum, sambil memeluk kepala juga mengusap mesra jemari kananku.

‘Aku tidak sepadan sekali dengan ikhwan yang aku impikan itu. Hanya untuk melihat
pun aku tidak sanggup. Apalagi memilikinya. Sungguh sangat mustahil!’ Gumamku dalam hati.


Bersambung...

Monday, April 4, 2011

Mulianya Tangan yang Memberi

Oleh Wan Am


Pada suatu petang, sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja, saya mendapat panggilan telefon daripada isteri yang berpesan supaya membelikan makanan malam untuk kami sekeluarga. Hari itu hari Rabu. Maka dengan pantas saya membuat keputusan untuk mencari juadah di pasar malam yang dibuka tidak jauh dari rumah kami.

Sesampai sahaja di pasar malam, saya terus bergegas mencari gerai tempat biasa saya membeli makanan. Selepas berjalan beberapa langkah, tiba-tiba pandangan saya tertumpu ke arah satu susuk tubuh manusia yang sedang bersusah-payah mengesot ke sana sini dengan menggunakan tangannya (lantaran kedua-dua belah kakinya kudung), sambil menghulurkan satu bekas kecil kepada orang ramai yang lalu-lalang.

"Kasihan..." getus hati kecil saya. Beberapa detik kemudian kelihatan pula seorang lelaki pertengahan umur memasukkan sesuatu ke dalam bekas insan malang tersebut yang saya percaya terisi duit-duit syiling yang jumlahnya tidaklah sampai mencecah Ringgit Malaysia Satu.

"Mulianya tangan yang memberi..." Nurani saya berbisik lagi. Hm.. tidak kisahlah, walau dermanya itu bernilai hanya beberapa sen sahaja. Kerana saya tahu bukan mudah untuk kita memberikan sesuatu yang kita punyai kepada orang lain. Mungkin pada waktu itu insan yang memberi tersebut hanya mempunyai wang sebanyak itu sahaja, lalu disedekahkan kesemua yang masih tinggal. Jika begitulah keadaannya, lebih tinggilah martabatnya di sisi Tuhan.

Sememangnya Allah telah menyediakan pelbagai cara untuk manusia meraih pahala buat bekalan di akhirat kelak. Malah, Allah yang Maha Pemurah juga sentiasa memberikan ganjaran pahala yang berganda-ganda kepada hamba-Nya yang mengerjakan amal kebajikan. Justeru, antara amal salih yang boleh menggandakan pahala kita serta menghapuskan dosa-dosa kecil yang pernah kita lakukan ialah amalan bersedekah.

Bersedekah adalah satu sifat terpuji di sisi Allah. Amalan bersedekah ini mempunyai kelebihan dan fadhilatnya yang tersendiri, antaranya ialah dapat menyucikan hati seseorang insan. Amalan bersedekah juga dipercayai mampu menjadi terapi untuk menyembuhkan sesuatu penyakit, menambahkan rezeki, bahkan mempunyai rahsia untuk menolak bencana dan memanjangkan umur.

Islam amat menitik-beratkan umatnya agar melatih diri untuk bersedekah, biarpun nilai sedekah yang diberikan tidaklah sebesar mana. Seperti kata pengkarya kitab "Tanbihul Ghafilin", Imam Samarqandy, "Biasakan diri anda untuk terus bersedekah, baik dalam jumlah kecil mahupun besar. Kerana dalam sedekah itu ada sepuluh manfaat; lima akan diberikan di dunia, dan lima lagi akan diberikan di akhirat kelak."

Bukan susah bagi kita mencari peluang untuk bersedekah. Di sekeliling kita ada sahaja insan-insan yang amat memerlukan. Malah, mereka itu mungkin sahaja sahabat-handai kita, atau jiran tetangga kita. Lebih afdal lagi jika mereka yang perlu dibantu itu adalah saudara sedarah daging kita.

Dalam konteks ini, seperti yang dijelaskan oleh Imam as-Sayuthi, pemberian yang diberikan kepada orang yang sihat tubuh badannya serta tidak berhajat kepada sedekah akan diberikan balasan sepuluh kali ganda. Tambah Imam as-Sayuthi lagi, sedekah yang diberikan balasan 90 kali ganda pula akan dianugerahkan kepada pemberian yang diberikan kepada orang buta dan orang yang terkena musibah (iaitu yang memerlukan bantuan), manakala pemberian yang diberikan kepada kaum kerabat kita yang berhajat akan diganjarkan balasan 900 kali ganda. Lebih hebat lagi ialah balasan 100,000 kali ganda akan diganjarkan melalui pemberian yang diberikan kepada ibu bapa, selain balasan 900,000 kali ganda kepada pemberian yang diberikan kepada orang alim atau faqih. SubhanaLlah!

Ingatlah kita bahawa sedekah seseorang yang ikhlas kerana Allah akan menjadi amalan yang berkekalan walaupun dia sudah meninggal dunia dan akan terus mengalir manfaatnya. Sedekah juga merupakan perniagaan yang tidak akan merugikan si pelakunya, malah akan mendatangkan keuntungan yang berterusan dan membawa keberkatan selama hidupnya di dunia. Mereka yang gemar bersedekah akan memperoleh kebahagiaan dan akan sentiasa dekat dengan rahmat Allah lantaran kedermawanannya dalam memberikan apa saja yang Allah kurniakan kepadanya.

Keberuntungan ini bertambah lagi apabila Nabi Muhammad s.a.w. berpesan bahawa seseorang yang bersedekah dengan sesuatu sedekah lalu menyembunyikan sedekahnya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya adalah termasuk dalam tujuh golongan manusia yang akan diberi perlindungan oleh Allah dalam naungannya di hari yang tiada naungan melainkan perlindungan Allah itu sendiri (Hadis riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan Ibnu Majah).