Sunday, October 15, 2017

Singapura: Merungkai Mentaliti “Masuk Islam Masuk Melayu”

Oleh Wan Am

Pemergian saya ke Singapura pada 18 hingga 20 Ogos 2017 berbekalkan beberapa objektif khusus. Pertama, menyertai rombongan Hidayah Centre Foundation (HCF) Cawangan Pulau Pinang dalam aktiviti “Brotherhood Tour” yang mereka anjurkan di negara tersebut seterusnya berukhuwah dengan mereka. Kedua, menziarahi Masjid Sultan, masjid bersejarah di Singapura yang sering menjadi tumpuan pelancong dari seantero dunia. Ketiga, melakukan lawatan rasmi ke Muslim Converts’ Association of Singapore, sebuah pertubuhan Islam yang aktif dalam khidmat sokongan kepada golongan saudara baharu di Singapura. Dan keempat, menjalin hubungan dengan kumpulan belia Islam di Singapura. Alhamdulillah, aktiviti-aktiviti tersebut sedikit sebanyak telah membantu saya menyelami dan memahami perkembangan Islam di negara ‘Kota Singa’, seterusnya mengambil manfaat yang sesuai untuk usaha dakwah di Malaysia.

HCF Pulau Pinang adalah antara cawangan HCF yang aktif dalam arena dakwah. Sejak lebih sedekad lalu mereka giat melaksanakan pelbagai projek dakwah kepada golongan bukan Islam di Pulau Pinang. Usaha mereka ini begitu signifikan memandangkan Pulau Pinang adalah sebuah negeri majoriti non-Muslim, iaitu sekitar 55 peratus daripada jumlah penduduk (statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, 2010). HCF Pulau Pinang turut berperanan penting dalam bidang sokongan saudara baharu melalui penganjuran kelas bimbingan secara berkala serta program-program penjagaan kebajikan dan peningkatan sahsiah terhadap golongan berkenaan.

Sebagai salah seorang Ahli Jawatankuasa Pusat HCF, saya merasakan hubungan kami dengan mereka wajar diperkukuhkan dari semasa ke semasa agar mereka terus bermotivasi dalam dakwah. Malah pencapaian cemerlang mereka wajar dicontohi dan dikongsi dengan cawangan-cawangan HCF yang lain di seluruh Malaysia. Penganjuran aktiviti kembara ini juga adalah bukti komitmen tinggi mereka untuk terus mempertingkatkan prestasi dalam kerja-kerja dakwah.

Gambar 1: “Brotherhood Tour” bersama aktivis HCF Pulau Pinang di Singapura

Gambar 2: Menghirup udara pagi di tepian Kallang Road yang masih lengang

Kembara kali ini memberikan peluang kepada saya untuk menjejakkan kaki di bumi Singapura buat kali pertama. Bagi saya, Singapura adalah sebuah negara yang istimewa kerana hubungan eratnya dengan Malaysia sejak sekian lama. Bagi peminat filem Melayu klasik, sudah pasti mereka mengenali Studio Jalan Ampas di Singapura yang telah menggilap bakat-bakat seni seperti Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan rakan-rakan seangkatannya yang pernah mengharumkan nama negara (ketika Singapura masih menjadi sebahagian Malaysia) sehingga ke peringkat Asia melalui filem-filem lakonan mereka yang terus segar sehingga ke hari ini.

Kini Singapura diiktiraf sebagai pusat kewangan keempat terunggul di dunia. Kedudukan Singapura yang terletak di tengah-tengah jalan laut antarabangsa juga menjadikan pelabuhannya antara lima pelabuhan paling sibuk di dunia. Faktor-faktor ini telah menjadi antara penyebab kepada pesatnya pembangunan ekonomi di negara tersebut, hinggakan begitu ramai warga asing yang berhijrah ke sana untuk mencari rezeki. Statistik memaparkan kira-kira 42 peratus penduduk Singapura adalah warga asing, yang mana mereka mengisi 50 peratus sektor pekerjaan di negara tersebut.

Kemajuan negara Singapura juga boleh dilihat dari beberapa aspek yang lain. Dalam industri pelancongan misalnya, Singapura yang terkenal dengan pelbagai destinasi menarik dan bersejarah telah mencatatkan jumlah kedatangan pelawat seramai 10.2 juta orang pada 2017. Dalam sektor pengangkutan darat pula, Singapura telah pun memulakan operasi Sistem Pengangkutan Gerak Cepat (Mass Rapid Transit – MRT) sejak 1987, yang mana kemudiannya dilengkapkan dengan jaringan Sistem Rel Ringan (Light Rail Transit – LRT). Malah Singapura telah disenaraikan oleh Global Finance Magazine sebagai negara kelima paling kaya di dunia pada 2017 (berdasarkan Gross Domestic Product – GDP per kapita sebanyak US$87.082 juta).

Tidak hairanlah kini ramai rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura memandangkan tingginya nilai mata wang Dolar Singapura berbanding Ringgit Malaysia. Malah ada yang sanggup berulang alik menyeberang Tambak Johor bagi mendapat pendapatan yang lebih lumayan di negara tersebut. Mengikut kadar pertukaran mata wang asing yang terkini (sewaktu artikel ini ditulis), nilai $1.00 adalah bersamaan dengan RM2.96. Jika anda mendapat gaji sebanyak $2000.00 sebulan di Singapura, nilainya adalah dua kali ganda lebih banyak daripada gaji sebanyak RM2000.00 yang kita terima di Malaysia.

Gambar 3: Suasana bandar Singapura yang terus pesat membangun

Gambar 4: Bugis Street, salah satu lokasi perniagaan yang menjadi tumpuan pelancong di Singapura

Gambar 5: Hotel bajet tempat penulis menginap yang terletak berhampiran Jalan Besar

Gambar 6: Stadium Jalan Besar, antara stadium utama pasukan bola sepak kebangsaan Singapura

Gambar 7: Warung makanan halal berhampiran Stesen MRT Lavender

Apabila sudah berada di Singapura, antara destinasi yang wajib dikunjungi ialah Masjid Sultan. Kali pertama saya benar-benar mendengar cerita mengenai masjid ini adalah melalui rakan-rakan warganegara Singapura yang bersama saya dalam program Awareness Through Mosque Tour (ATMT) di Manama, Bahrain pada hujung 2016. Sebelum datang ke Singapura, saya ada menghubungi salah seorang daripada mereka iaitu Saudara Chung Yow Min @ Danial Chung dan memaklumkan hasrat saya untuk bertemu beliau di Masjid Sultan.

Bagi pelancong luar seperti saya, paling mudah untuk ke Masjid Sultan adalah dengan menaiki MRT dan turun di Stesen Bugis. Dari situ saya dan rakan-rakan HCF Pulau Pinang berjalan kaki selama kira-kira 10 minit untuk sampai di Masjid Sultan. Dari arah Arab Street, saya menyaksikan keindahan seni bina Masjid Sultan bercirikan Nusantara yang begitu mengagumkan.

Selepas menunaikan solat, saya mula berjalan-jalan melihat persekitaran di dalam Masjid Sultan. Di pintu masuk utamanya kelihatan sukarelawan masjid sedang memakaikan jubah kepada pelawat bukan beragama Islam yang ingin memasuki masjid. Terdapat juga beberapa orang sukarelawan lain yang sibuk bertugas memberikan penerangan mengenai masjid kepada para pelawat di luar dewan solat (peraturan di Masjid Sultan tidak membenarkan pelawat bukan Islam memasuki dewan solat). Saya juga dapati di beberapa sudut masjid diletakkan poster-poster dalam bahasa Inggeris yang memaparkan pelbagai maklumat mengenai Islam yang pastinya ditujukan kepada pelawat bukan Islam yang berkunjung ke masjid tersebut.

Masjid Sultan yang terletak di Kampong Glam Malay Heritage District ini begitu popular dalam kalangan pelancong disebabkan statusnya sebagai antara masjid tertua di Singapura (selain Masjid Omar Kampong Melaka, dibina pada 1820). Masjid ini juga dianggap sebagai “Masjid Negara” di Singapura dan telah diisytiharkan sebagai Monumen Kebangsaan pada 8 Mac 1975. Masjid Sultan mula dibina pada 1824 hasil daripada perjanjian antara Sir. Stamford Raffles dan Sultan Hussain Shah, menggunakan dana sebanyak $3000 daripada East India Company serta sumbangan daripada orang-orang Islam di kawasan tersebut. Dalam jangka masa hampir dua ratus tahun masjid ‘antik’ ini banyak kali mengalami perubahan dari segi reka bentuk, kemudahan dan teknologi bagi menampung pertambahan dan keperluan umat Islam di sana. Ketika ini Masjid Sultan boleh memuatkan 5000 orang untuk menunaikan solat secara berjemaah pada satu-satu masa.

Kini Masjid Sultan terus menjadi pusat ibadat, pendidikan dan kegiatan sosial yang utama bagi umat Islam di Singapura. Masjid Sultan turut ditunjangi oleh Lembaga Pengamanah Masjid Sultan yang mentadbir secara profesional sehingga melayakkan mereka mendapat pengiktirafan ISO 9001 : 2015. Tambah menarik, sejak awal penubuhan Masjid Sultan hingga sekarang, keanggotaan badan tersebut diisi oleh wakil-wakil daripada enam etnik beragama Islam yang utama di Singapura iaitu Melayu, Jawa, Bugis, Arab, India Utara dan India Selatan. 

Gambar 8: Stesen Bugis yang terletak berhampiran Masjid Sultan

Gambar 9: Dari arah Arab Street kelihatan Masjid Sultan yang tersergam indah dan memukau pandangan

Gambar 10: Penulis di hadapan deretan kedai cenderamata yang dibuka berhampiran Masjid Sultan

Gambar 11: Malay Heritage Centre yang terletak bersebelahan Masjid Sultan

Gambar 12: Bersama rombongan HCF Pulau Pinang dan sukarelawan masjid di hadapan pintu masuk dewan solat Masjid Sultan

Gambar 13: papan tanda di Masjid Sultan yang memaparkan peraturan untuk para pelawat bukan Islam

Gambar 14: Para pelancong luar negara tidak putus-putus mengunjungi Masjid Sultan

Gambar 15: Salah satu sudut penerangan mengenai agama Islam di Masjid Sultan

Gambar 16: bahagian hadapan dewan solat Masjid Sultan yang dihias indah

Gambar 17: Antara kemudahan moden yang disediakan untuk para pelawat Masjid Sultan

Gambar 18: Penulis bersama sukarelawan Masjid Sultan, dua daripada mereka iaitu Puan Azizah (kiri sekali) dan Saudara Danial Chung (dua dari kanan) adalah kenalan penulis sewaktu berkursus di Bahrain

Sebuah lagi organisasi penting di Singapura yang kami ziarahi dan berkait rapat dengan aktiviti yang kami laksanakan di Malaysia ialah Muslim Converts’ Association of Singapore (MCAS). Kami menghabiskan masa hampir sehari suntuk di ibupejabat pertubuhan tersebut. MCAS adalah sebuah organisasi yang ditubuhkan oleh pihak Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) pada 1977, bertujuan mengajak orang ramai tanpa mengira bangsa dan agama untuk mengenali keindahan Islam dan mendapat maklumat yang benar mengenai Islam. MCAS turut dikenali sebagai “Darul Arqam”, nama yang diberikan oleh seorang bekas Mufti Singapura, mengambil kisah Nabi Muhammad s.a.w. yang menjadikan rumah Arqam bin Abi Arqam sebagai pusat dakwah sewaktu era kemunculan agama Islam di Mekah. 

Pada awal penubuhannya, MCAS beroperasi di sebuah rumah sewa di Pheng Geck Avenue. Kini Ibupejabat MCAS yang terletak di Onan Road adalah sebuah bangunan dua tingkat yang sederhana besar yang dahulunya merupakan bekas pawagam “Galaxy”. Bangunan MCAS ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti auditorium, pejabat korporat, surau, kedai buku dan beberapa buah bilik mesyuarat dan latihan. 

Di premis mereka, MCAS menawarkan pelbagai program pendidikan kepada kumpulan sasaran. Program Knowing Islam Session disediakan bagi mana-mana individu bukan Islam yang berminat untuk mendapatkan maklumat mengenai Islam. Manakala bagi golongan saudara baharu, mereka boleh mendalami ilmu agama Islam melalui beberapa modul yang dijalankan seperti Beginners Course on Islam, Solah Tutorial, Quran Recitation, Lives of the Prophets (Sirah), Islamic Belief (Tawheed), The Prophet’s Legacy (Hadith), Islamic Rulings and Practices (Fiqh), Sunnah Prayer Course dan sebagainya. Satu pasukan sukarelawan di bawah MCAS yang dinamakan “Befrienders” turut terlibat membantu dalam penganjuran program-program tersebut. Mengambil kesempatan daripada teknologi terkini, MCAS telah melancarkan aplikasi khas yang dinamakan “Islam4All” pada 2015 (boleh dimuat turun melalui telefon pintar Apple dan gajet Android), yang mana aplikasi ini mengandungi pelbagai buku elektronik mengenai Islam dan koleksi video ceramah yang disampaikan oleh pendakwah terkenal seperti Sheikh Ahmad Deedat, Dr. Zakir Naik, Dr. Muhammad Salah dan ramai lagi. 

MCAS terbukti menjadi pusat rujukan kepada mana-mana individu (dari dalam dan luar negara) yang berminat untuk mendalami Islam. Malah jumlah pengunjung yang mahu mempelajari dan memeluk agama Islam di MCAS sentiasa meningkat dari tahun ke tahun. Bermula dengan jumlah purata sebanyak 400 orang saudara baharu setahun pada dekad pertama penubuhan MCAS, jumlah purata tersebut telah meningkat sehingga 700 orang setahun sejak 2010 sehingga kini. 

Gambar 19: Di hadapan bangunan ibupejabat MCAS di Onan Road

Gambar 20: Ruang legar utama bangunan MCAS

Gambar 21: Auditorium di bangunan MCAS yang digunakan untuk program-program penting pertubuhan tersebut

Gambar 22: Bahagian atas bangunan MCAS yang menempatkan pelbagai kemudahan seperti pejabat korporat, bilik mesyuarat, bilik latihan dan surau

Gambar 23: Kedai buku yang dibuka di dalam bangunan MCAS

Gambar 24: Risalah mengenai Islam yang diberikan secara percuma kepada pengunjung MCAS

Gambar 25: kain rentang yang mengandungi maklumat program Knowing Islam Session

Gambar 26: Mesin yang disediakan kepada orang awam yang ingin memberikan sumbangan kepada MCAS secara atas talian

Gambar 27: Pegawai MCAS, Saudara Razali Tompang (kiri sekali) memberikan taklimat mengenai MCAS kepada rombongan kami

Gambar 28: Beramah mesra bersama Presiden MCAS, Faiz Edwin Ignatious

Islam merupakan agama minoriti di Singapura. Menurut kajian demografi oleh Pew Research Center report of Mapping the Global Muslim Population bertarikh 8 Oktober 2009, bilangan penganut agama Islam di Singapura adalah seramai 706,000 orang, bersamaan dengan 14.9 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk. Orang-orang Melayu adalah penyumbang terbesar kepada jumlah umat Islam di negara tersebut, diikuti sebahagian kecil etnik Arab dan India.

Menariknya, bilangan yang minoriti tidak menghalang umat Islam di Singapura untuk bergiat cergas dalam pelbagai aktiviti dakwah Islamiah yang menfokuskan kepada pembangunan umat Islam (saya difahamkan undang-undang di Singapura tidak membenarkan aktiviti penyebaran agama secara terbuka kepada penganut berlainan agama). Selain MUIS dan MCAS, banyak pertubuhan Islam lain khususnya badan bukan kerajaan yang aktif dalam pelbagai bidang seperti Persatuan Ulama dan Guru-guru Islam Singapura (PERGAS), Persekutuan Seruan Islam Singapura (Jamiyah), Persatuan Pelajar-pelajar Agama Dewasa Singapura (PERDAUS), Persatuan Muhammadiyah, Himpunan Belia Islam (HBI), Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Persatuan Taman Pengajian Islam Singapura (PERTAPIS) dan lain-lain lagi. Namun semua kegiatan mereka perlulah sesuai dengan suasana semasa di Singapura, terutamanya hubungan mereka dengan pihak pemerintah Singapura dan golongan bukan Islam yang majoriti.

Sewaktu berada di Singapura, saya tidak berkesempatan untuk menziarahi masjid-masjid di sana (selain Masjid Sultan dan Masjid Malabar). Namun daripada perkongsian rakan-rakan belia Islam yang saya temui, masjid di Singapura benar-benar dimakmurkan dengan pelbagai fungsi dan kegiatan. Malah melalui pendekatan ‘mesra keluarga, komuniti dan belia’, masjid di Singapura kini bukan sahaja memainkan peranan yang lebih besar dalam kehidupan masyarakat Islam, bahkan telah berjaya mencatat pelbagai kemajuan dari sudut agama dan pembangunan sosial. Serentak dengan perkembangan tersebut, ditambah kemajuan masyarakat yang pesat berubah, masjid-masjid di Singapura (terdapat 70 buah masjid di Singapura sewaktu artikel ini ditulis) terus proaktif mengatur strategi agar ikatan antara masjid dan ahli masyarakat yang beragama Islam (juga bukan Islam) akan terus diperkukuhkan.

Pada hari ini, kira-kira 7,000 hingga 10,000 orang Cina di Singapura adalah penganut agama Islam (Cina Muslim di sana terbahagi kepada dua kumpulan; pertama, kumpulan Cina Muslim yang berasal dari negara China, dan kedua, kumpulan Cina Muslim yang memeluk Islam di Singapura). Jumlah tersebut adalah kecil jika dibandingkan dengan bilangan penduduk Cina di Singapura yang merangkumi 74.2 peratus daripada 4.99 juta penduduk. Majoriti orang Cina di Singapura adalah penganut agama Buddha daripada aliran Mahayana.

Bagaimanakah tanggapan orang Cina bukan Islam di Singapura kepada orang Cina yang memeluk Islam? Ridzuan Wu (mantan Presiden MCAS 1980 hingga 2006) menulis di dalam bukunya “Reflections of a Chinese Muslim” seperti berikut, “How do the non-Muslim Chinese regard the Chinese Muslim convert in Singapore? With a mixture of suspicion and perplexity. To them it seems so baffling. Hasn’t modern education relieved the individual from the shackles of superstition (implying that Islam is a superstition)? Islam comes across (to them) as an incomprehensively alien religion with repressive life styles so much so that it seems inconceivable why a Chinese non-Muslim would want to take it seriously at all. Surely there must be some dark ulterior motives? Hence the feeling of uneasiness when a non-Muslim Chinese in Singapore learns that his office colleague, or kin, or neighbour has decided to accept Islam on his own accord and is actually taking the religion seriously.”

Satu lagi salah faham mengenai Islam yang membelenggu orang Cina bukan Islam di Singapura (malah sebahagian orang Melayu juga) adalah “masuk Islam masuk Melayu”. Salah faham ini timbul bila mana mereka melihat rakan-rakan Cina mereka yang memeluk Islam telah meninggalkan budaya asal mereka dan mengamalkan cara hidup orang Melayu. Malah ada yang langsung membuang nama Cina mereka dan menukarnya dengan nama yang sinonim dengan orang Melayu.

Berhubung hal ini, Ridzuan Wu turut menulis dalam buku yang sama, “The Chinese Muslim convert of today, on the other hand, feels a sense of deep resentment at being identified as having “masuk melayu”. They feel that the term may well be misinterpreted as an abandonment of their Chinese family, community and heritage for another. They feel that their act of conversion to Islam is not an act of abandonment. It is not a loss of filial piety. The convert is no renegade. He has betrayed no one since betrayal was not even the least of his motives when he decided to convert to Islam.”

Justeru, menjadi cabaran besar kepada umat Islam di Singapura khususnya para pendakwah untuk merungkai segala salah faham ini. Pengetahuan asas kepada masyarakat mengenai agama Islam sebagai agama untuk semua manusia harus terus dilaksanakan secara berhikmah. Kefahaman berkaitan aspek budaya dalam Islam juga wajar dipertingkatkan kepada golongan saudara baharu. Selagi mana budaya etnik mereka tidak bertentangan dengan Islam, selagi itu mereka masih boleh mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

Gambar 29: Pertemuan bersama warga belia Singapura yang bergiat aktif dalam pelbagai pertubuhan Islam

Gambar 30: Masjid Malabar di Victoria Street yang dibuka pada tahun 1963

Saturday, October 14, 2017

Seoul: Debaran yang Tidak Mungkin Dilupakan!

Oleh Wan Am

Keberadaan saya di Seoul pada 24 hingga 27 Februari 2017 meninggalkan beberapa pengalaman yang tidak ternilai buat diri saya. Peluang menziarahi Masjid Sentral Seoul dan berkenalan dengan rakan-rakan pendakwah di Korea Selatan secara tidak langsung menjelaskan cabaran perkembangan agama Islam di sana. Melewati waktu malam pada hujung minggu di daerah Itaewon juga mengesahkan realiti masyarakat dan anak-anak muda Korea Selatan yang selama ini hanya diikuti di kaca televisyen dan media sosial. Paling mengesankan hati nurani saya ialah peristiwa “kehilangan” beg galas yang berisi barangan berharga sebaik sahaja menjejakkan kaki di bandaraya Seoul! Insya-Allah, segala pengalaman tersebut akan saya coretkan dalam penulisan ini.

Pada awal dekad 2000-an, drama bersiri “Winter Sonata” menjadi bahan tontonan jutaan manusia, bukan sekadar di Korea Selatan bahkan di seluruh dunia. Drama ini tidak ketinggalan menjadi buah mulut kebanyakan rakyat Malaysia. Bahkan lagu tema drama tersebut menjadi siulan ramai sehingga turut dialih bahasa ke bahasa Melayu yang dilantunkan oleh penyanyi Hazami.

Saya turut mengikuti drama tersebut (serta beberapa drama lain) dan merasakan drama-drama Korea Selatan ada kekuatannya yang tersendiri. Selain jalan cerita dan plot yang tidak stereotype, drama-drama mereka juga kaya dengan sinematografi yang sangat menarik. Lokasi-lokasi indah di Korea Selatan yang mengalami iklim empat musim dijadikan ‘senjata’ untuk menambat hati penonton. Terdedah dengan pemandangan indah melalui drama-dramanya membuatkan hati saya (pada waktu itu) terdetik untuk memasang niat, moga-moga suatu hari nanti saya mendapat peluang untuk melihat negara Korea Selatan dengan lebih dekat.

Rupa-rupanya Allah mengabulkan hasrat ini setelah berlalu lebih satu dasawarsa. Dipilih oleh pihak majikan iaitu Hidayah Centre Foundation (HCF) untuk bertaaruf dengan pendakwah-pendakwah di Korea Selatan adalah satu nikmat yang amat saya syukuri. Saya kini bukanlah peminat tegar drama Korea Selatan. Maka kunjungan saya ke sana bukanlah semata-mata untuk menyaksikan keindahan dan kemodenan negara tersebut, tetapi amanah yang tergalas adalah lebih besar iaitu berkongsi misi Islam sebagai rahmat buat seluruh alam. Jika ada perkara lain yang dicapai, itu saya anggap sebagai bonus.

Dua orang ahli persatuan Salam Nuri (sebuah organisasi Islam di Korea Selatan) menyambut ketibaan saya di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon pada petang Jumaat, 24 Februari 2017. Mereka lantas membawa saya menaiki bas awam menuju ke bandaraya Seoul yang terletak kira-kira 70 kilometer dari lapangan terbang. Sebenarnya pada waktu kedatangan saya ke Seoul, sedang hangat di Malaysia isu pembunuhan Kim Jong Nam, iaitu abang tiri kepada pemimpin utama Korea Utara, Kim Jong Un. Maka sepanjang perjalanan saya dapati siaran televisyen di dalam bas yang kami naiki tidak henti-henti menayangkan liputan kes tersebut.

Kira-kira satu jam kemudian, bas mula memasuki bandaraya Seoul. Inilah bandaraya yang pernah menjadi tuan rumah kepada beberapa kejohanan sukan bertaraf dunia, antaranya Sukan Olimpik Musim Panas 1988 dan Piala Dunia FIFA 2002. Bangunan-bangunan pencakar langit tersergam megah di sana sini, membuktikan kemajuan pesat yang sedang dialami oleh Korea Selatan pada masa kini, setanding dengan negara-negara maju yang lain. Bilangan kenderaan juga agak banyak pada masa ini yang menyebabkan aliran trafik menjadi sibuk.

Gambar 1: Di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, antara lapangan terbang paling besar dan sibuk di Asia

Akhirnya bas tiba di destinasi kami di Itaewon. Dengan pantas kami meluru keluar bas, dan saya mengambil bagasi yang ditempatkan di bahagian bawah bas. Setelah berjalan beberapa langkah sambil berbual dengan rakan yang berasal dari Kazakhtan, tiba-tiba saya teringat sesuatu. Masya-Allah, saya tertinggal beg galas di dalam bas! Saya dan rakan cuba mengejar bas tersebut, namun nasib tidak menyebelahi kami. Debaran hati saya mula berdegup kencang. Di dalam beg galas tersebut terdapat komputer riba dan paling utama, passport!

Melihatkan saya yang begitu bimbang, rakan saya memujuk, "Jangan risau, barang awak selamat, insya-Allah. Orang Korea baik-baik.." Sementara rakan saya yang seorang lagi begitu bersungguh-sungguh menghubungi pihak syarikat bas tersebut untuk memberitahu kejadian tersebut. Lebih kurang setengah jam kemudian, ketika makan malam di sebuah restoran halal berdekatan Seoul Central Mosque, rakan saya memberitahu bahawa beg galas saya telah dijumpai dan perlu diambil di lapangan terbang pada keesokan harinya. Lega sedikit hati saya. 

Namun hanya Tuhan yang tahu bahawa sepanjang malam tersebut betapa saya "makan tak kenyang, tidur tak lena" memikirkan kehilangan beg galas tersebut. Bayangan isteri dan anak-anak menerjah dalam ingatan. Kerisauan melanda kerana walaupun mungkin beg tersebut dijumpai, adakah barang-barang berharga masih ada di dalam beg tersebut? Doa kepada Allah dipanjatkan, semoga beg tersebut masih dalam keadaan asal.

Keesokan paginya selepas solat Subuh, saya bergegas bersendirian ke lapangan terbang dengan menaiki bas. Tiba di sana, saya lantas menuju ke kaunter "Lost and Found". Beg galas saya tiada di situ! Debaran kembali kuat terasa. 

Saya menghubungi rakan untuk memaklumkan situasi tersebut. Beberapa minit kemudian dia menghubungi saya semula dan meminta saya pergi ke bahagian "Help Desk". Setelah bercakap dengan pihak syarikat bas, saya diminta untuk menunggu sebuah bas yang akan tiba beberapa minit lagi dengan membawa beg tersebut. Debaran saya berakhir apabila melihatkan beg tersebut akhirnya kembali ke tangan saya dengan selamat, tiada apa-apa yang hilang. Alhamdulillah, syukur kepada-Mu ya Allah.

Gambar 2: Menaiki bas seawal jam 6.00 pagi menuju ke lapangan terbang, mencari beg yang hilang

Gambar 3: Beg galas penulis yang dijumpai semula, alhamdulillah!

Melalui peristiwa ini, mungkin terlalu mudah jika saya menyimpulkan bahawa orang-orang Korea mempunyai sifat jujur. Mungkin memerlukan lagi beberapa peristiwa yang sama yang berlaku di hadapan mata, barulah saya boleh beranggapan demikian. Namun hakikatnya apabila saya berkongsi kisah ini di Facebook peribadi saya, ramai rakan yang memberikan maklum balas positif dan mengatakan orang-orang Korea secara umumnya boleh dipercayai. Itu sudah cukup menjadi bukti bahawa nilai murni ini ada dalam budaya masyarakat mereka walaupun kita mengetahui mereka secara majoritinya bukan penganut Islam. Dan tiada salahnya jika nilai sebegini dicontohi oleh masyarakat Muslim khususnya di negara kita. 

Pada pagi tersebut juga Pengerusi HCF, Tuan Haji Nicholas Sylvester Muhammad Abdullah tiba dari Kuala Lumpur. Bersama beliau, saya kembali semula ke Seoul dengan menaiki kereta yang dipandu oleh sahabat kami iaitu Saudara Ameen Bae, seorang rakyat Korea Selatan yang beragama Islam dan merupakan penggerak Salam Nuri. Sebelum kehadiran kami ke Seoul, Saudara Ameen telah terlebih dahulu mengunjungi ibu pejabat HCF dan memperkenalkan Salam Nuri kepada kami sewaktu beliau berada di Kuala Lumpur.

Gambar 4: Bersama Saudara Ameen Bae, penggerak Salam Nuri

Kami tiba di perkarangan Masjid Sentral Seoul di Yongsan-gu, Itaewon sebelum menjelang tengahari. Di sini kami akan mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli Salam Nuri. Sebelum program bermula, saya mengambil kesempatan untuk meninjau bangunan masjid tersebut dan keadaan persekitarannya. Sambil mengambil sekeping dua gambar di hadapan masjid, saya turut memerhatikan begitu ramai pelancong yang datang melawat masjid ini. Pastilah ia menjadi salah satu lokasi tumpuan bagi mereka yang datang berkunjung ke Seoul.

Masjid Sentral Seoul dibuka secara rasminya pada 21 Mei 1976. Ia adalah masjid tertua di Korea Selatan. Saiz masjid ini tidaklah terlalu besar, namun bersesuaian dengan bilangan umat Islam yang minoriti di sana. Jelas terpampang di hadapan bangunan masjid tulisan “Allahu Akbar”. Kalaulah ada orang bukan Islam yang mengunjungi masjid tersebut bertanya apakah maksud perkataan tersebut, sudah pasti ia menjadi peluang untuk kita menceritakan tentang Allah, Tuhan sekalian alam. 

Malangnya saya melihat tiada kumpulan orang-orang Islam yang menyambut kedatangan pelancong-pelancong yang majoritinya bukan Muslim. Memang ada seorang pegawai masjid yang bertugas untuk memberi penerangan tentang masjid, namun ia tidak mencukupi untuk menampung kehadiran para pengunjung yang ramai dan silih berganti. Hal ini nampaknya boleh saya majukan kepada pihak Salam Nuri dalam pertemuan dengan mereka nanti. Jika mendapat keizinan pihak masjid dan sesuai dengan suasana dakwah di negara tersebut, satu pasukan “Mosque Tour Guide” wajar dibentuk bagi melaksanakan tugasan meraikan kedatangan para pelancong ke Masjid Sentral Seoul khususnya bukan Muslim.

Gambar 5: Di hadapan Masjid Sentral Seoul, masjid tertua di Korea Selatan

Di dalam kawasan Masjid Sentral Seoul saya dapati terdapat sebuah sekolah yang didirikan khusus memberikan pendidikan Islam kepada anak-anak Muslim di Seoul. Prince Sultan Islamic School yang dibuka pada tahun 2001 adalah hasil inisiatif Korea Muslim Federation (KMF) dan mendapat pembiayaan daripada Putera Mahkota Kerajaan Arab Saudi, Sultan bin Abdul Aziz. Selain pembelajaran untuk kanak-kanak, kelas-kelas turut diadakan di sekolah ini pada hujung minggu untuk orang Islam dewasa di Seoul mendalami ilmu Al-Quran, Hadis dan Fikah.

Dari perkarangan Masjid Sentral Seoul juga saya dapat melihat hampir keseluruhan bandaraya Seoul. Hal ini disebabkan kedudukan masjid ini yang terletak di atas bukit. Suasana Seoul yang biasa ditonton melalui drama Korea di televisyen, kini jelas di hadapan mata. Inilah bandaraya yang menjadi tonggak kepada kemajuan negara Korea Selatan dalam pelbagai bidang. Malah inilah juga pusat industri muzik K-Pop yang kian dikenali dan trending di seluruh dunia!

Kedudukan Masjid Sentral Seoul yang terletak di atas bukit juga membuatkan perjalanan kami (saya, Tuan Haji Nicholas dan Tuan Haji Adam Said) ke masjid tersebut untuk menunaikan solat fardhu Subuh secara berjemaah terasa sedikit mencabar. Lokasi penginapan kami di Itaewon sebenarnya tidaklah terlalu jauh dari kawasan masjid, namun disebabkan perlu ‘mendaki bukit’ membuatkan perjalanan kami yang berjalan kaki menjadi sedikit lambat. Terasa mengah juga dibuatnya. Ditambah pula dengan suhu di bawah 0 darjah celcius yang begitu menusuk ke tulang.  

Gambar 6: Prince Sultan Islamic School, sekolah Islam yang terletak di dalam kawasan Masjid Sentral Seoul

Gambar 7: Bas rasmi milik Prince Sultan Islamic School

Gambar 8: Pemandangan bandaraya Seoul dari perkarangan Masjid Sentral Seoul

Gambar 9: Tangga curam yang kami lalui untuk berulang-alik ke Masjid Sentral Seoul dari tempat penginapan

Gambar 10: Suasana Subuh di dalam Masjid Sentral Seoul 

Gambar 11: Pagi yang hening di Itaewon-ro

Malam minggu di Seoul, saya mengambil kesempatan bersiar-siar di deretan kedai di sepanjang Itaewon-ro. Seperti biasa, jika ke luar negara, seboleh mungkin saya akan mencari sesuatu yang boleh dijadikan ole-ole untuk dibawa pulang dan dihadiahkan kepada ahli-ahli keluarga. Di beberapa kedai yang saya singgah, saya mengambil peluang untuk mengucapkan “Annyeonghasaeyo!” kepada jurujual kedai-kedai berkenaan. Hanya itu sahaja perkataan dalam bahasa Korea yang saya tahu, namun bagi saya cukup untuk memulakan komunikasi yang lebih baik dengan mereka.

Pada malam itu juga saya dapati warga tempatan, khususnya anak-anak muda membanjiri restoran-restoran di sepanjang Itaewon-ro. Begitu ramai bilangan mereka hinggakan saya melihat ada yang sanggup beratur panjang dan menunggu giliran untuk memasuki restoran. Tidak kurang juga kelab-kelab malam yang sarat dengan pengunjung yang bersosial hingga awal pagi. Sewaku kami menyusuri Itaewon-ro untuk menunaikan solat Subuh di Masjid Sentral Seoul pada pagi Ahad, kami berselisih dengan orang-orang yang sedang mabuk, malah ada yang bergelimpangan di tepi jalan. Sudah pasti minuman keras menjadi sebahagian hidangan mereka sepanjang malam.

Sememangnya arak tidak dapat dipisahkan dengan masyarakat di Korea Selatan. Bagi mereka, budaya minum Soju (sejenis minuman beralkohol yang popular) adalah antara cara yang dapat mengeratkan hubungan sosial. Jika kita menonton drama Korea, kita akan dapati babak yang biasa dipaparkan ialah aktiviti minum Soju di antara majikan dan pekerja, pasangan kekasih, juga sesama ahli keluarga dan rakan-rakan. 

Gambar 12: Bersendirian menyusuri Itaewon-ro pada malam minggu

Bagaimana agaknya situasi dan perkembangan Islam di Korea Selatan? Pertemuan mahabbah antara kami dengan pihak Salam Nuri sedikit sebanyak merungkai persoalan ini. Salam Nuri merupakan sebuah organisasi Islam yang ditubuhkan bertujuan memperkenalkan Islam kepada masyarakat serta membimbing saudara baharu di Korea Selatan. Nama Salam Nuri adalah gabungan perkataan Arab “Salam” dan perkataan Korea “Nuri” yang membawa makna “Peacefull World”. Bagi menjayakan matlamat organisasi mereka, banyak aktiviti yang dijalankan sama ada dalam bentuk seminar, bengkel, konferens, perkhemahan belia, pameran dan sebagainya. Kebanyakan penggerak Salam Nuri adalah terdiri daripada rakyat asing yang menuntut dan bekerja di Korea Selatan.

Mengikut statistik semasa, jumlah umat Islam di Korea Selatan begitu minoriti, sekitar 0.2 peratus daripada jumlah 51.25 juta penduduk (Bank Dunia, 2016). Namun bilangan umat Islam dilihat berkembang dari semasa ke semasa, antaranya disebabkan semakin ramai imigran Muslim yang datang dan bermastautin di Korea Selatan. Statistik yang dikeluarkan oleh Korea Tourism Organization (KTO) memaparkan bilangan pelawat Muslim dari negara luar pada tahun 2016 meningkat sebanyak 33 peratus berbanding tahun 2015.

Usaha menyampaikan Islam di Korea Selatan tidak mudah. Antara cabaran paling besar yang dihadapi oleh para pendakwah di sana ialah begitu meluasnya salah faham dalam masyarakat bukan Islam di Korea Selatan mengenai Islam. Media menonjolkan Islam dari sisi yang negatif, sehingga turut menimbulkan ketakutan kepada mereka bila mana Islam digambarkan sebagai agama yang membawa keganasan. Mereka masih tidak melupakan peristiwa 9-11 yang pada anggapan mereka dicetuskan oleh teroris Islam. Ada juga wanita Islam warga asing di Korea Selatan yang diminta untuk kembali ke negara asal mereka jika ingin terus bertudung!

Namun media juga sebenarnya boleh dimanfaatkan untuk usaha dakwah di Korea Selatan, terutamanya media sosial. Statistik menunjukkan bahawa 45 juta rakyat Korea Selatan adalah pengguna internet, yang mana 83 peratus daripadanya adalah pengguna aktif media sosial. Malah dikhabarkan Korea Selatan adalah satu-satunya negara di dunia yang mempunyai capaian internet di setiap pelusuknya. Jika anda berada di Korea Selatan, sama ada di desa mahupun di kota, sama ada di dalam premis mahupun di dalam pengangkutan awam, peluang anda untuk mendapat liputan 3G atau 4G adalah besar. Begitu terkehadapannya Korea Selatan dalam teknologi media sosial juga terbukti dengan wujudnya rangkaian media sosial mereka sendiri seperti Daum, KakaoStory dan KakaoTalk dan mereka tidak terlalu bergantung kepada Google, Facebook dan Whatsapp.

Alhamdulillah, kini sudah semakin ramai warga Korea Selatan yang kembali kepada agama fitrah. Antara mereka juga termasuk golongan selebriti yang mempunyai ramai pengikut. Kisah Ayana Moon, seorang artis terkenal yang memeluk Islam dan berhijab telah diketahui ramai. Begitu juga dengan Lee Woon-jae, bekas penjaga gol utama pasukan bolasepak Korea Selatan yang bersyahadah pada tahun 2004. Semoga langkah mereka ini dapat menarik lebih ramai lagi orang-orang Korea Selatan yang majoritinya beragama Kristian dan Buddha untuk mendekati dan lebih memahami ajaran Islam. 

Gambar 13: Bersama ahli-ahli Salam Nuri 

Gambar 14: Presiden Salam Nuri, Dr. Mohamed Nour-El-Din yang berasal dari Mesir

Gambar 15: Tuan Haji Nicholas Sylvester membuat perkongsian tentang Hidayah Centre Foundation

Gambar 16: Saudari Azram Kim (berkaca mata), seorang Muslimah warga Korea Selatan yang aktif dengan Salam Nuri

Gambar 17: Penulis mengendalikan perbincangan mengenai Program Jelajah Masjid

Gambar 18: Makanan Arab, antara menu utama kami sepanjang berada di Seoul

Friday, October 13, 2017

Manama: Masjid Sebagai Pusat Dakwah

Oleh Wan Am

Program Jelajah Masjid (Mosque Tour Program) yang menyasarkan golongan bukan Muslim bukanlah suatu usaha yang baharu di Malaysia. Di masjid-masjid besar dan terkenal di negara kita seperti Masjid Negara, Masjid Jamek, Masjid Putra, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Shah Alam) dan Masjid Wilayah, Program Jelajah Masjid ini telah pun dilaksanakan lebih sedekad yang lepas yang dirintis oleh rakan-rakan pendakwah daripada Islamic Outreach ABIM (IOA). Masjid-masjid tersebut sememangnya menjadi lokasi persinggahan para pelancong yang datang dari seluruh dunia. Maka aktiviti seumpama Program Jelajah Masjid begitu signifikan bagi memanfaatkan kehadiran mereka ke masjid, lebih-lebih lagi menjayakan misi Islam sebagai agama rahmat untuk semua manusia.

Walau bagaimanapun, Program Jelajah Masjid ini masih belum begitu popular di masjid-masjid kariah (local mosques) di negara kita. Kebanyakan masjid kariah masih menfokuskan aktivitinya hanya untuk pembangunan umat Islam sahaja. Walhal jika fungsi masjid dapat dimanfaatkan sebaiknya sebagai pusat penyebaran agama Islam, aktiviti seperti Program Jelajah Masjid ini boleh dianjurkan di masjid-masjid kariah yang menyasarkan golongan bukan Muslim warganegara. Bagi masjid-masjid kariah yang sudah biasa menganjurkan Hari Terbuka Masjid, program seperti ini boleh diluaskan jenis aktivitinya supaya masyarakat bukan Islam juga boleh menyertainya.

Hidayah Centre Foundation (HCF) sebagai sebuah organisasi yang menjadikan dakwah kepada masyarakat bukan Islam sebagai bidang utamanya, melihat bahawa masjid kariah adalah salah satu platform yang sesuai untuk menyampaikan mesej Islam. HCF komited untuk menjalankan Program Jelajah Masjid dengan lebih giat lagi di masjid-masjid kariah di seluruh negara supaya lebih ramai bukan Muslim warganegara mendapat kefahaman yang benar mengenai agama Islam. Bagi menjayakan usaha ini, pasukan pendakwah yang terlatih melalui Program Jelajah Masjid perlu diwujudkan agar mesej Islam dapat disampaikan dengan lebih berkesan. HCF sendiri melihat peluang dakwah melalui Program Jelajah Masjid begitu subur kerana kebanyakan pihak pentadbiran masjid kariah pada masa kini begitu terbuka dan sedia bekerjasama dalam penganjuran program ini.

Bagi memantapkan perencanaan dan pelaksanaan Program Jelajah Masjid anjuran HCF pada masa hadapan, pada 28 Disember 2016 hingga 10 Januari 2017, saya bersama tiga orang lagi kakitangan HCF iaitu Saudara Faiq, Saudari Erma dan Saudari Naajihah telah mengikuti kursus dakwah di Manama, Bahrain bagi mendalami ilmu dan kemahiran menyampaikan Islam melalui Program Jelajah Masjid. Kursus yang dinamakan “Awareness Through Mosque Tour” atau ATMT ini dianjurkan oleh Discover Islam Bahrain, sebuah badan bukan kerajaan di Bahrain yang aktif dalam dakwah kepada masyarakat bukan Islam dan mempunyai banyak pengalaman berkaitan Program Jelajah Masjid. Semoga penglibatan kami dalam kursus ATMT ini akan sedikit sebanyak membantu usaha HCF dalam menggerakkan Program Jelajah Masjid dengan lebih rancak di masjid-masjid kariah di seluruh negara selepas ini.

Sedikit maklumat mengenai Bahrain. Bahrain adalah sebuah negara pulau di Teluk Parsi (Timur Tengah), berjiran dengan Arab Saudi dan Qatar. Saiz negara Bahrain kecil sahaja, persis negara Singapura. Dengan perjalanan menaiki kereta, dari utara ke selatan Bahrain boleh mengambil masa kira-kira 45 minit, manakala dari timur ke barat kira-kira 30 minit.

Bahrain adalah sebuah negara yang amat kukuh kedudukannya dari segi ekonomi. Hal ini kerana Bahrain terletak di rantau yang kaya dengan sumber minyak. Sewaktu kedatangan saya dan rakan-rakan di Bahrain, kadar tukaran mata wang Ringgit Malaysia (RM) ke Dinar Bahrain (DB) ialah 1 DB bersamaan RM12.00. Pada awalnya saya berfikir panjang juga jika ingin berbelanja di sana. Namun, dengan sedikit wang saku yang diberikan oleh pihak penganjur sewaktu kami sedang berkursus, dapatlah kami membeli cenderamata dan buah tangan untuk dibawa pulang. Sambil berkursus, kami juga diberi peluang bersiar-siar melihat persekitaran dan pembangunan negara Bahrain, khususnya di bandar Manama. 

Gambar 1: Bersama rakan-rakan dari Hidayah Centre Foundation yang mengikuti kursus di Manama, Bahrain

Gambar 2: 100 Residence, pangsapuri penginapan kami selama 10 hari di Bahrain

Gambar 3: Berjalan kaki melewati bandar Manama pada hari pertama di Bahrain

Gambar 4: Bab Al Bahrain, lokasi bersejarah di Manama yang menempatkan ratusan premis perniagaan

Gambar 5: Di dalam City Centre Bahrain, kompleks membeli-belah terbesar di Bahrain yang dibuka pada tahun 2008

Gambar 6: Di hadapan Dragon City, kompleks membeli-belah di Muharraq yang bercirikan senibina Cina dan menjual produk-produk dari China

Gambar 7: Menunggang “Raja Padang Pasir” di Desert Camp

Dari segi demografi, majoriti penduduk Bahrain adalah beragama Islam. Selain Muslim Sunni, Bahrain turut dihuni penganut Syiah yang agak besar jumlahnya. Saya difahamkan oleh rakan di Bahrain, secara tidak rasmi penganut Syiah adalah lebih ramai berbanding Muslim Sunni. Masjid-masjid Syiah juga didirikan di tengah-tengah bandar Manama. Namun, pemerintah Bahrain adalah Muslim Sunni yang cenderung kepada mazhab Maliki.

Di Bahrain juga terdapat penduduk yang bukan beragama Islam. Mereka membentuk hampir 20 peratus daripada keseluruhan penduduk di Bahrain (mengikut banci tahun 2001). Kebanyakan daripada mereka adalah warga asing dari negara bukan Islam seperti Filipina dan Sri Lanka yang datang bekerja di Bahrain. Keberadaan mereka di Bahrain nampaknya dimanfaatkan sebaiknya oleh badan-badan dakwah di negara tersebut yang berusaha menyampaikan Islam kepada mereka.

Antara badan dakwah yang bergiat cergas dalam lapangan dakwah di Bahrain ialah Discover Islam Bahrain (DIB). Sejak ditubuhkan pada tahun 1988 oleh sekumpulan ahli perniagaan, DIB sehingga kini terus aktif memberikan penerangan dan pendidikan mengenai Islam kepada masyarakat pelbagai agama di dalam dan luar Bahrain. Selain Program Jelajah Masjid yang berpusat di Masjid Al-Fateh, DIB turut mengadakan aktiviti dakwah di lapangan (street dakwah) di kawasan-kawasan awam, malah pusat penerangan Islam (Islamic Information Centre) juga diwujudkan di kawasan tumpuan orang ramai seperti di kompleks membeli-belah Dragon City di Muharraq. Tidak ketinggalan, DIB juga giat menerbitkan bahan-bahan dakwah sama ada berbentuk media cetak mahupun elektronik yang merangkumi pelbagai topik penting mengenai Islam dalam pelbagai bahasa.

Melalui usaha dakwah DIB serta badan-badan dakwah yang lain, tidak sedikit daripada mereka yang bukan Muslim di Bahrain telah kembali kepada agama fitrah. Malah, dikhabarkan lebih 300% peningkatan bilangan pengislaman di seluruh Bahrain antara tahun 2015 dan 2016. Bagi golongan mualaf, kelas-kelas bimbingan dianjurkan oleh DIB bagi mengukuhkan akidah dan kehidupan mereka berlandaskan syariat Islam.

Gambar 7: Penulis di hadapan pejabat Discover Islam Bahrain (DIB) di Manama

Gambar 8: Pendakwah dan sukarelawan DIB yang terlibat dalam aktiviti dakwah di lapangan

Gambar 9: Menziarahi Pusat Penerangan Islam di bawah kelolaan DIB di Dragon City

Gambar 10: Antara bahan-bahan dakwah yang diterbitkan oleh DIB

Alhamdulillah, sepanjang 10 hari di Bahrain, saya berpeluang menjejaki beberapa buah masjid, antaranya Masjid Abu Bakr, Masjid Bait Al-Quran, Masjid Sheikh Isa dan Masjid Yateem. Namun masjid paling popular di Bahrain ialah Masjid Al-Fateh yang terletak di Juffair, Manama. Inilah juga destinasi pertama kami sebaik sahaja sampai di Bahrain. 

Masjid Al-Fateh mula dibina pada tahun 1984 dan dibuka secara rasminya empat tahun kemudian. Masjid ini sebenarnya adalah salah satu bangunan utama di dalam kompleks yang dinamakan Ahmed Al-Fateh Islamic Centre. Al-Fateh adalah gelaran kepada Sheikh Ahmed bin Mohammed bin Khalifah yang merupakan pemerintah pertama negara Bahrain. Dengan keluasan 6500 meter persegi dan boleh memuatkan sehingga 7000 ahli jemaah pada satu-satu masa, Masjid Al-Fateh diiktiraf sebagai salah satu masjid terbesar di dunia. 

Mana-mana mata yang memandang Masjid Al-Fateh pasti akan berasa takjub dengan keindahan dan keunikan seni binanya. Tambah menarik, bahagian serta hiasan di dalam masjid diperbuat daripada bahan-bahan yang datang dari pelbagai negara. Misalnya, lantai masjid diperbuat daripada marmar dari Itali, permaidani masjid didatangkan dari Ireland, pintu masjid diperbuat daripada kayu bernilai tinggi dari India, 12 buah tingkap kaca buatan Iran, dan lampu-lampu yang bergemerlapan dari Austria dan Perancis yang menghiasi dewan solat masjid. 

Dengan ciri-ciri tersebut, tidak hairanlah Masjid Al-Fateh menjadi salah satu destinasi ‘wajib’ bagi para pelancong yang berkunjung ke Bahrain. Setiap kali saya berada di masjid tersebut, saya melihat tidak putus-putus pelancong asing melawat masjid ini yang dibuka setiap hari (kecuali hari Jumaat), antara jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang. Kehadiran mereka disambut mesra oleh para petugas dan sukarelawan masjid yang sememangnya telah dilatih melalui modul ATMT dan menguasai beberapa bahasa seperti bahasa Inggeris, Perancis, Filipina dan Rusia. Sambil berkongsi maklumat mengenai masjid, para sukarelawan turut mengambil peluang menyampaikan maklumat mengenai Islam. Dengan cara tersebut, para pengunjung terutamanya yang bukan beragama Islam sekurang-kurangnya mempunyai pengetahuan asas mengenai Allah dan Nabi Muhammad s.a.w. sebelum meninggalkan masjid tersebut.

Gambar 11: Penulis di hadapan Masjid Al-Fateh yang tersergam indah di Juffair, Manama

Gambar 13: Suasana tenang di dalam dewan solat Masjid Al-Fateh

Gambar 14: Penulis bersama pasangan pelancong dari Jerman yang melawat Masjid Al-Fateh

Gambar 15: Di perkarangan Masjid Sheikh Isa 

Gambar 16: Solat Maghrib di Masjid Yateem yang terletak berhampiran Bab Al Bahrain

Masjid Al-Fateh adalah lokasi utama di mana kami mengikuti kursus ATMT secara teori dan praktikal yang dikendalikan oleh DIB. Selain kami berempat yang mewakili HCF, turut hadir dari Malaysia ialah rakan-rakan pendakwah dari IOA, IPSI (Islamic Propagation Society International) dan Darul Fitrah. Lebih mengujakan, kami turut disertai oleh para pendakwah dari Singapura, Filipina, Sri Lanka, India, Arab Saudi, Turki, Finland dan beberapa negara yang lain. Sedikit sebanyak kami turut memahami realiti dakwah di negara-negara tersebut melalui slot perkongsian dakwah yang diadakan semasa kursus.

Secara peribadi, ATMT benar-benar membuka mata dan minda saya mengenai peranan masjid dalam dakwah kepada masyarakat bukan Islam. Persoalan seperti “Bolehkah orang bukan Islam memasuki masjid?” yang mungkin masih menghantui sebahagian umat Islam di negara kita seharusnya tidak menjadi isu. Jika kita merujuk kepada Al-Quran dan Sunnah, tiada dalil yang benar-benar muktamad (qat’ie) yang melarang orang bukan Islam untuk memasuki masjid. Malah melalui sirah Nabi Muhammad s.a.w., kita memahami bahawa baginda sendiri menggunakan masjid sebagai platform untuk menyampaikan Islam kepada orang-orang bukan Islam. 

Dalam satu peristiwa, baginda s.a.w. menerima kunjungan seramai 60 orang penganut Kristian dari Najran dan baginda s.a.w. berdialog dengan mereka mengenai agama Islam dan Kristian di dalam Masjid Nabawi. Baginda s.a.w. juga membenarkan sekumpulan orang Arab Bani Thaqif dari Taif untuk berkhemah di dalam Masjid Nabawi dan melihat orang-orang Islam beribadah. Juga kisah seorang tawanan perang bernama Thumamah Ibn Athal yang ditempatkan di Masjid Nabawi selama tiga hari tiga malam dan kemudiannya memeluk Islam sebaik sahaja dibebaskan. Jika ini adalah metod Rasulullah s.a.w. dalam berdakwah, mengapa kita sebagai pendakwah pada masa kini tidak mencontohinya? 

Mesej Islam sebenarnya akan dapat disampaikan dengan lebih mudah dan berkesan apabila masjid digunakan sebagai platform dakwah. Apabila orang bukan Islam memasuki masjid (dengan kebenaran pihak pentadbiran masjid), kita tidak perlu ragu-ragu lagi untuk menjelaskan ajaran Islam khususnya berkaitan akidah Islam. Malah pelbagai salah tanggapan mereka mengenai Islam boleh kita rungkaikan melalui perbincangan yang harmoni dan terbuka semasa mereka di dalam masjid. Peluang sebegini mungkin sukar kita peroleh ketika melaksanakan aktiviti dakwah yang lain di luar masjid. Selain itu terdapat beberapa lagi kelebihan lain yang membuatkan dakwah melalui masjid begitu efektif dalam konteks dakwah kepada masyarakat bukan Islam. 

Melalui kursus ATMT juga kami dibimbing supaya memanfaatkan setiap ruang di dalam masjid untuk memberikan penjelasan tentang Islam kepada bukan Muslim. Di dalam dewan solat misalnya, sambil mereka melihat persekitarannya, kita ambil peluang untuk menceritakan tentang ibadah solat dalam Islam. Di bahagian mihrab dan mimbar juga ada perkara yang boleh kita jelaskan mengenai Islam. Hiasan dan kaligrafi arab yang terdapat di dinding masjid, itu juga peluang untuk kita berkongsi tentang Islam, termasuk mengenai Allah dan Nabi Muhammad s.a.w. Al-Quran yang tersusun di rak masjid juga harus dimanfaatkan supaya mereka lebih dekat dengan Islam. Dengan teknik ini, kita sebenarnya menyahut seruan Allah agar berdakwah dengan penuh hikmah, sebagaimana firman-Nya di dalam Al-Quran:

“Dan serulah manusia ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan berilah nasihat yang baik dan jika kamu berbahas, berbahaslah dengan cara yang terbaik..” (Fushilat 41 : 33)

Dengan segala manfaat yang diperoleh melalui kursus ATMT, saya dan rakan-rakan yang mengikutinya berazam untuk menyemarakkan lagi usaha dakwah melalui masjid di seluruh negara, dengan fokus khas diberikan oleh HCF kepada masjid-masjid kariah. Kami juga bersedia berkongsi ilmu ATMT dengan mana-mana Muslim yang berminat untuk menjadi pendakwah dan penganjur Program Jelajah Masjid. Semoga usaha dan sumbangan kerdil kami ini dapat memantapkan lagi usaha dakwah kepada masyarakat bukan Islam yang telah sekian lama digerakkan di Malaysia bumi tercinta ini, insya-Allah.

Gambar 17: Perkongsian pengalaman dakwah oleh rakan-rakan dari Finland

Gambar 18: Sesi teori ATMT yang dijalankan di Masjid Al-Fateh

Gambar 19: Memerhatikan salah seorang Mosque Tour Guide yang memberikan penerangan mengenai Islam kepada pelancong di Masjid Al-Fateh

Gambar 20: Latihan praktikal ATMT turut dijalankan di Masjid Sheikh Isa

Gambar 21: Slot ATMT turut diadakan secara santai di Desert Camp

Gambar 22: Bersama dif-dif jemputan dan delegasi dari pelbagai negara dalam Majlis Graduasi ATMT