Tuesday, July 5, 2011

Beruntunglah Kaki yang Melangkah

oleh Wan Am


Setiap anggota tubuh badan kita sebenarnya memiliki peranan yang cukup besar dalam membantu kita mempersiapkan bekalan yang bermanfaat untuk kehidupan yang lebih bahagia di akhirat nanti. Mata kita misalnya, jika kita gunakan untuk melihat perkara kebaikan, ia akan mendatangkan pahala kepada kita. Mulut jika kita gunakan untuk bercakap hal-hal yang bermanfaat, kita juga akan beroleh pahala. Tangan kita jika digerakkan untuk melaksanakan kerja-kerja kebaikan dan mencegah kemungkaran, pahala jualah yang akan dikurniakan Allah kepada kita. Begitu jugalah dengan kaki, jika kita gunakan untuk melangkah ke tempat-tempat kebaikan, pastilah kita akan beroleh pelbagai anugerah yang menguntungkan daripada Allah buat manfaat diri kita.

Dalam konteks ini, bagi kita yang gemar mengerjakan solat fardu secara berjemaah di masjid, ada berita gembira yang sedang menunggu kita. Keberuntungan kita bukan setakat memperoleh ganjaran lumayan daripada Allah melalui solat berjemaah, malah Allah yang Maha Penyayang turut menjanjikan ganjaran "luar biasa" kepada kita sebaik sahaja kita mula melangkahkan kaki untuk menuju ke masjid. Keadaan ini adalah berasaskan kepada banyaknya kata-kata Rasulullah s.a.w. yang menjelaskan keutamaan bagi mereka yang berjalan ke masjid untuk menunaikan solat berjemaah.

Melalui beberapa kitab rujukan seperti "Syarhu ad-Durusi al-Muhimmati li ‘Ammati al-Ummati" oleh Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz dan "Wajibnya Solat Berjemaah di Masjid" oleh Dr. Fadhl Ilahi, keutamaan bagi orang yang melangkah ke masjid bolehlah dirumuskan seperti berikut:

1. Dicatatkan setiap langkah kaki menuju dan pulang dari masjid.

"Dari Ubay bin Kaab r.a. tentang kisah seorang Ansar yang tidak pernah tertinggal solat berjemaah, dan tidak pula ia menginginkan rumahnya berdekatan dengan masjid, bahwa ia berkata kepada Nabi s.a.w.: 'Aku tidak gembira jika rumahku (terletak) berdekatan masjid. Aku ingin agar langkahku ke masjid dan kepulanganku ketika aku kembali kepada keluargaku dicatat.' Maka Rasulullah s.a.w. bersabda: “Allah telah menghimpun semua itu untukmu.” (Riwayat Muslim)

2. Para malaikat saling berebut untuk mencatatnya.

Dari Ibnu Abbas r.a., ia mengatakan, Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Malam tadi Rabb-ku tabaarakta wata’aala, mendatangiku dalam rupa yang paling indah.” Lalu Dia berfirman, “Wahai Muhammad! Tahukah engkau, untuk apa para malaikat yang mulia saling berebut?” Rasulullah s.a.w. berkata: ”Aku menjawab,’Tidak’. Lalu Dia meletakkan Tangan-Nya di antara kedua pundakku sehingga aku merasakan kesejukannya di dadaku. Lalu aku mengetahui apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi.” Dia berfirman,”Wahai Muhammad! Tahukah engkau untuk apa para malaikat yang mulia saling berebut?” Aku menjawab, ”Ya, tentang kafarat (perkara-perkara yang menghapuskan dosa). Kafarat itu adalah diam di masjid setelah melaksanakan solat, berjalan kaki untuk melaksanakan solat berjemaah, dan menyempurnakan wuduk pada saat yang tidak disukai.” (Riwayat Tirmizi)

3. Berjalan menuju ke masjid untuk solat berjemaah, juga berjalan pulang dari masjid termasuk salah satu sebab dihapuskan kesalahan dan ditinggikan darjat.

Dari Abu Hurairah r.a. bahwa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“'Mahukah aku tunjukkan kepada kalian tentang perkara yang akan menghapuskan kesalahan-kesalahan dan juga mengangkat beberapa darjat?' Para sahabat menjawab, 'Tentu, wahai Rasulullah.' Baginda bersabda, 'Menyempurnakan wuduk pada saat yang tidak disukai, banyak melangkah ke masjid-masjid, dan menunggu solat setelah melaksanakan solat. Maka, itulah ar-ribath (berjuang di jalan Allah).” (Riwayat Muslim)

Dari Abdullah bin Amr r.a., ia mengatakan, Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Barangsiapa yang pergi menuju masjid untuk solat berjemaah, maka satu langkah akan menghapuskan satu kesalahan dan satu langkah lainnya akan ditulis sebagai satu kebajikan untuknya, baik ketika pergi mahupun pulangnya.” (Riwayat Ahmad)

4. Pahala orang yang keluar dalam keadaan suci (telah berwuduk) untuk melaksanakan solat berjemaah seperti pahala orang yang melaksanakan haji dan umrah.

Dari Abu Umamah r.a., ia mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Barangsiapa yang keluar dari rumahnya menuju masjid dalam keadaan bersuci (telah berwuduk) untuk melaksanakan solat fardu (berjemaah), maka pahalanya seperti pahala orang yang melaksanakan haji dan ihram.” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

5. Orang yang keluar menuju masjid untuk melaksanakan solat berjemaah berada dalam jaminan Allah.

Dari Abu Umamah r.a., dari Rasulullah s.a.w., baginda bersabda:

“Ada tiga golongan yang semuanya dijamin oleh Allah Taala, iaitu orang yang keluar untuk berperang di jalan Allah, maka ia dijamin oleh Allah hingga Dia mewafatkannya lalu memasukkannya ke dalam syurga atau mengembalikannya dengan membawa pahala dan ghanimah, kemudian orang yang pergi ke masjid, maka ia dijamin oleh Allah hingga Dia mewafatkannya lalu memasukkannya ke dalam syurga atau mengembalikannya dengan membawa pahala, dan orang yang masuk rumahnya dengan mengucapkan salam, maka ia dijamin oleh Allah.” (Riwayat Abu Daud)

6. Orang yang keluar untuk melaksanakan solat berjemaah berada dalam solat hingga kembali ke rumah.

Dari Abu Hurairah r.a., ia mengatakan, Abul Qasim (Rasulullah) s.a.w. bersabda:

“Jika salah seorang dari kalian berwuduk di rumahnya, kemudian datang ke masjid, maka ia berada dalam solat hingga ia kembali. Oleh kerananya, jangan mengatakan demikian (seraya menjaringkan di antara jari-jemarinya).” (Riwayat Ibnu Khuzaimah)

7. Khabar gembira bagi orang-orang yang berjalan dalam kegelapan (untuk melaksanakan solat berjemaah) dengan memperoleh cahaya yang sempurna pada hari kiamat.

Dari Sahl bin Sa’ad as-Sa’di r.a., ia mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Hendaklah orang-orang yang berjalan dalam kegelapan menuju masjid bergembira dengan (mendapatkan) cahaya yang sempurna pada hari kiamat.” (Riwayat Ibnu Majah)

8. Allah menyiapkan persinggahan di syurga bagi sesiapa yang pergi menuju ke masjid atau pulang darinya.

Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi Ss.a.w., baginda bersabda:

“Barangsiapa yang pergi ke masjid dan pulang (darinya), maka Allah menyiapkan untuknya persinggahan di syurga setiap kali pergi dan pulang.” (Muttafaq ‘alaih)

Seperti yang ditekankan oleh Dr. Said bin Ali bin Wahf al-Qahtani dalam bukunya yang telah diterjemahkan dalam bahasa Melayu berjudul "Masjid - Kemuliaan, Fadilat dan Adab-adabnya", perhatikan juga adab-adab yang harus dijaga sewaktu menuju ke masjid bagi menunaikan solat berjemaah:

1. Orang yang hendak menyertai solat berjemaah di masjid digalakkan agar berwuduk secara sempurna terlebih dahulu di rumah. berdasarkan hadis Ibnu Mas'ud r.a.:

"Tidaklah seseorang yang bersuci secara sempurna (di rumahnya), lalu pergi menuju masjid, melainkan dengan setiap langkah yang ditempuhinya Allah akan mencatat untuknya satu kebaikan, meninggikan darjatnya satu tingkat dan menghapuskan satu dosanya." (Riwayat Muslim)

2. Orang yang hendak pergi ke masjid hendaklah menjauhi bau-bauan yang tidak enak.

"Dari Jabir bin Abdullah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Barangsiapa memakan bawang putih atau bawang merah, hendaklah dia menjauhi dari kami atau menjauhi masjid kami dan hendaklah dia berada di rumahnya sahaja.'" (Riwayat Bukhari)

3. Sebelum melangkah ke masjid, seseorang digalakkan untuk menghias dirinya pada kadar yang sepatutnya dan memakai pakaian yang cantik. Ini bagi menyahut seruan Allah:

"Wahai Bani Adam, pakailah pakaian kamu yang cantik setiap kali memasuki masjid (untuk mengerjakan solat)..." (al-A'raf : 31)

4. Sewaktu sedang berjalan menuju ke masjid, seseorang itu hendaklah berjalan dengan tenang dan tidak tergesa-tergesa. Ini berpandukan hadis berikut:

"Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w. baginda bersabda: 'Apabila kamu telah mendengar iqamah, tetap berjalanlah kamu menuju solat berjemaah dengan tenang dan tidak tergesa-gesa dan janganlah kamu mempercepatkan langkah kamu. Selanjutnya kerjakanlah rakaat yang kamu dapati (bersama imam) dan sempurnakanlah rakaat yang tertinggal.'" (Riwayat Bukhari)

5. Kita diperintahkan untuk memilih masjid yang terdekat dengan tempat tinggal kita untuk menunaikan solat berjemaah. Berdasarkan hadis berikut:

"Daripada Abdullah bin Umar r.a. dia berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Hendaklah seseorang di antara kamu mengerjakan solat di masjid yang terdekat dengan tempat tinggalnya dan janganlah mencari masjid yang lain.'" (Riwayat Tabarani)

Monday, July 4, 2011

Solat dan Beberapa Kajian Moden

Oleh Wan Am

Ibadah solat dalam Islam yang dikerjakan sehari-hari bukan sahaja memberikan kebaikan maknawi kepada para pelakunya, malah turut memberikan manfaat kepada jasmani manusia. Dalam hal ini, terdapat penemuan-penemuan moden yang membuktikan bahawa jika ibadah solat ini dilakukan dengan cara yang betul, ia akan mendatangkan banyak faedah dari sudut kesihatan.

Contohnya kedudukan jantung yang berada lebih tinggi dari kepala sewaktu aktiviti sujud dalam solat. Keadaan ini sebenarnya memudahkan darah untuk turun ke otak, yang mana akan membuatkan otak manusia menjadi semakin cergas. Win Wenger dalam bukunya "How to Increase Your Intelligence" menerangkan bahawa aktviti yang membalikkan badan dari atas ke bawah akan meningkatkan kadar oksigen di otak dan sekali gus meningkatkan kemampuan otak untuk bekerja.

Gerakan semasa solat seperti berdiri, rukuk, duduk dan sujud yang dilakukan secara berulang-ulang dalam sehari semalam juga sebenarnya baik untuk membantu memantapkan sendi manusia. Artikel "Chronic Pain: Exercise Can Bring Relief" di MayoClinic.com telah menyebut bahawa senaman secara berterusan amat penting bagi kesihatan bahagian sendi manusia. Hal ini berlaku disebabkan senaman merangsang pengeluaran hormon endorphin yang berfungsi mengurangkan deria sakit. Antara senaman yang boleh dilakukan adalah menggerakkan sendi melalui pergerakan badan dari semasa ke semasa. Justeru aktiviti yang dilakukan sepanjang solat dikerjakan sangat membantu dalam aspek ini.

Solat yang dilakukan secara berjemaah juga mengandungi rahsianya yang tersendiri di sudut kesihatan. Dalam satu artikel oleh Wan Marzuki Wan Ramli yang diterbitkan oleh Berita Harian pada 13 Januari 2007, beliau telah mendedahkan bahawa terdapat seorang profesor fizik di Amerika Syarikat yang membuat kajian mengenai kelebihan solat berjemaah dalam Islam. Dan natijah daripada kajian tersebut, dengan hidayah daripada Allah, profesor tersebut akhirnya telah memeluk agama Islam.

Melalui kajian tersebut, beliau telah mendapati bahawa tubuh badan manusia mengandungi dua cas elektrik; cas positif dan cas negatif. Dalam proses pembakaran tenaga yang berlaku sehari-hari (melalui aktiviti yang kita lakukan), banyak berlaku pertukaran cas positif dan cas negatif. Keadaan ini telah menyebabkan ketidakseimbangan dalam tubuh, yang mana akhirnya menyebabkan badan terasa letih setelah melakukan sesuatu pekerjaan. Justeru bagi mengembalikan semula kesegaran tubuh pada tahap normal, cas-cas ini perlu diseimbangkan semula.

Berkaitan dengan solat berjemaah, timbul beberapa persoalan dalam minda profesor tersebut. Pertama, mengapa Islam mensyariatkan solat berjemaah? Dan kedua, mengapa solat lima waktu yang didirikan orang Islam mempunyai bilangan rakaat yang tidak sama? Akhirnya kajian beliau mendapati bahawa bilangan rakaat berbeza dalam solat yang dilakukan secara berjemaah bertindak menyeimbangkan cas dalam badan kita.

Ketika solat berjemaah, kita diperintahkan untuk meluruskan saf, bahu bertemu bahu dan bersentuhan tapak kaki. Perintah tersebut sebenarnya mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Melalui kajian sains, didapati bahawa sentuhan yang berlaku antara tubuh kita dengan tubuh orang lain yang berada di kiri dan di kanan kita akan menstabilkan kembali cas yang diperlukan oleh tubuh. Keadaan ini berlaku apabila cas yang berlebihan, sama ada cas negatif atau positif akan dikeluarkan, manakala yang berkurangan akan ditarik ke dalam tubuh kita. Semakin lama pergeseran ini berlaku, semakin seimbang cas dalam tubuh kita. Beliau turut menambah, setiap kali kita bangun dari tidur, badan kita akan berasa segar dan sihat selepas berehat beberapa jam.

Ketika ini tubuh kita mengandungi cas positif dan negatif yang hampir seimbang. Oleh itu, kita hanya memerlukan sedikit lagi proses pertukaran cas supaya keseimbangan tubuh badan yang penuh dapat dicapai. Sebab itu, solat Subuh didirikan dua rakaat.

Seterusnya, selepas sehari kita bekerja kuat dan memerah otak, semua cas ini kembali tidak stabil akibat kehilangan cas lebih banyak daripada tubuh badan yang sudah digunakan. Oleh itu, kita memerlukan lebih banyak pertukaran cas. Solat jemaah yang disyariatkan Islam berperanan memulihkan keseimbangan cas berkenaan. Sebab itu, solat Zohor didirikan empat rakaat untuk memberi ruang yang lebih kepada proses pertukaran cas di dalam tubuh.

Keadaan sama turut berlaku pada sebelah petang. Banyak tenaga dikeluarkan ketika menyambung kembali tugas selepas waktu Zohor. Ia menyebabkan sekali lagi kita kehilangan cas yang banyak. Seperti solat Zohor, empat rakaat solat Asar yang dikerjakan akan memberikan ruang kepada proses pertukaran cas dengan lebih lama.

Lazimnya selepas waktu Asar, kita tidak lagi melakukan aktiviti yang banyak menggunakan tenaga. Masa yang diperuntukkan pula tidak begitu lama. Maka, solat Maghrib hanya dikerjakan sebanyak tiga rakaat adalah lebih sesuai dengan penggunaan tenaga yang kurang berbanding dua waktu sebelumnya.

Timbul persoalan dalam fikiran profesor itu mengenai solat Isyak yang dikerjakan sebanyak empat rakaat. Secara logiknya, pada waktu malam kita tidak banyak melakukan kegiatan dan sudah tentu tidak memerlukan proses pertukaran cas yang banyak. Selepas kajian lanjut dilakukan, beliau mendapati bahawa ada keistimewaan mengapa Allah mensyariatkan empat rakaat dalam solat Isyak.

Kita sedia maklum, umat Islam digalakkan tidur awal supaya mampu bangun untuk menunaikan tahajud (sembahyang malam) pada sepertiga malam. Ringkasnya, solat Isyak sebanyak empat rakaat itu sebenarnya akan menstabilkan cas dalam badan serta memberikan tenaga untuk kita bangun pada waktu malam untuk beribadat (qiamullail).

Begitulah indahnya Islam. Setiap ibadah yang disyariatkan oleh Allah untuk kita laksanakan terbukti mempunyai fadilatnya yang pelbagai. Semuanya pula untuk kebaikan diri kita bukan sahaja di akhirat, malah untuk hidup kita di dunia lagi. Dengan penemuan-penemuan yang diketengahkan tadi pula sewajarnya menjadikan kita orang yang tidak lagi memandang enteng kepada tuntutan melakukan solat, apa lagi dilakukan secara berjemaah.

Apabila suara azan sudah berkumandang, berhentilah sejenak dan bersegeralah kita ke masjid!

Thursday, June 23, 2011

Tuntutan Solat Berjemaah

Oleh Wan Am


Sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w. kita amat digalakkan untuk mencontohi Rasulullah s.a.w. dalam segenap aspek kehidupan, termasuklah dalam hal pelaksanaan ibadah solat. Memandangkan begitu tingginya nilai ibadah solat dalam Islam, maka kita sebagai Muslim juga dituntut untuk bersungguh-sungguh mengerjakan ibadah tersebut, sesuai dengan apa yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. kepada kita.

Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda:

"Sesungguhnya amalan pertama seseorang hamba yang dihisab pada hari kiamat ialah solatnya." (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)

Antara perkara utama yang harus kita mencontohi Rasulullah s.a.w. dalam hal solat ini ialah menunaikan solat fardu lima waktu secara berjemaah. Melalui perkataan Nabi s.a.w. kita dapati bahawa baginda amat menitik-beratkan pelaksanaan solat fardu secara berjemaah ini dalam kalangan umatnya. Sehinggakan dalam salah satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah s.a.w. pernah mengancam untuk membakar rumah orang yang meninggalkan solat berjemaah.

Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Nabi s.a.w. bersabda (maksudnya):

"Demi Tuhan yang diriku berada di tangan-Nya, sesungguhnya aku pernah hendak menyuruh para sahabat untuk mencari kayu api, lalu aku menyuruh agar bersolat jemaah. Seterusnya, aku menyuruh seseorang untuk mengimami orang ramai, sementara aku tidak ikut solat berjemaah kerana mencari rumah orang yang tidak mengikuti solat berjemaah, lalu aku bakar rumah mereka." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Malah dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Muslim juga mengisahkan bahawa pernah suatu ketika datang seorang lelaki buta kepada Rasulullah s.a.w. yang meminta keringanan untuk solat di rumah. Namun, tatkala lelaki itu hendak pergi, Rasulullah s.a.w. memanggilnya dan bertanya, "Adakah engkau mendengar laungan azan?" Lelaki buta itu menjawab, "Ya." Rasulullah s.a.w. kemudiannya berkata, "Kalau begitu, penuhilah panggilan itu (solat secara berjemaah)." Mesej daripada hadis ini cukup mudah, iaitu jika lelaki buta pun Rasulullah s.a.w. menganjurkan supaya bersolat secara berjemaah, inikan pula kita manusia normal dan mendengar azan hampir setiap hari. Sudah pasti diri kita lebih dituntut oleh Rasulullah s.a.w. untuk melaksanakan solat berjemaah.

Melalui sirah baginda s.a.w., kita dapati bahawa sejak baginda berhijrah ke Madinah, baginda tidak pernah meninggalkan solat berjemaah sehinggalah baginda wafat (selama 13 tahun di Makkah sejak kedatangan Islam, Rasulullah s.a.w. dan para sahabat terpaksa solat secara bersembunyi atau bersendirian di rumah masing-masing kerana sentiasa berada dalam keadaan ditekan oleh kaum Quraisy). Malah, ketika Rasulullah s.a.w. dalam keadaan sakit tenat pada penghujung hayat baginda, baginda dipapah oleh para sahabat r.a. untuk menunaikan solat berjemaah di masjid. Hal ini sememangnya menampakkan betapa Rasulullah s.a.w. ingin mendidik umatnya agar mengambil berat akan ibadah solat fardu secara berjemaah ini.

Mengenai hukum mengerjakan solat fardu secara berjemaah ini, antara pendapat yang termasyhur ialah daripada Imam Nawawi. Menurut beliau, solat berjemaah pada lima waktu yang fardu (selain solat Jumaat) hukumnya adalah fardu kifayah, yang mana diwajibkan bagi individu lelaki yang berakal, telah baligh, bermukim, mempunyai pakaian menutup aurat dan tidak uzur syar'i. Hukum fardu kifayah ini bermaksud apabila ada sekumpulan orang di sesebuah mukim atau kampung mendirikan solat berjemaah di masjid atau surau, maka gugurlah dosa atas orang-orang di situ yang tidak menunaikan solat berjemaah. Namun jika tidak ada seorang pun di dalam mukim atau kampung tersebut yang menunaikan solat berjemaah, maka semua penduduk di situ mendapat dosa.

Sebenarnya banyak lagi pendapat ulama salaf mengenai hukum solat berjemaah ini. Jika anda berminat untuk mengetahui pendapat-pendapat tersebut secara ringkas, saya mencadangkan anda membaca buku "Solat Berjemaah - Asas Kekuatan Peribadi, Masyarakat dan Ummah" karangan Ustaz Mohammad Subki Abdul Rahman al-Hafiz, terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd. Di bawah tajuk "Hukum Solat Berjemaah Mengikut Pandangan Ulama", anda akan didedahkan dengan pandangan-pandangan ulama daripada empat mazhab utama (Syafi'i, Hambali, Maliki dan Hanafi) mengenai tuntutan solat berjemaah ini.

Banyak kebaikan yang dikurniakan Allah kepada hamba-hamba-Nya yang melaksanakan solat fardu secara berjemaah. Antaranya ialah mereka akan dikurniakan ganjaran pahala yang berganda-ganda. Berdasarkan hadis yang kita sedia maklum, daripada Abdullah bin Umar r.a., sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Solat berjemaah lebih afdal daripada solat bersendirian sebanyak 27 kali ganda." (Riwayat Bukhari)

Selain itu Allah s.w.t. juga menjanjikan keampunan daripada dosa-dosa kepada orang yang menunaikan solat berjemaah. Ini bersesuaian dengan sebuah hadis, daripada Uthman bin Affan r.a. yang mana Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

"Sesiapa yang berwuduk untuk solat, lalu dia menyempurnakan wuduknya, kemudian dia terus berjalan untuk mendirikan solat fardu, lalu dia pun menunaikannya bersama orang lain atau secara berjemaah atau di masjid nescaya Allah akan mengampunkan dosa-dosanya." (Riwayat Muslim)

Malah, sesuatu solat berjemaah itu akan digandakan kelebihannya apabila bertambah bilangan orang yang turut serta dalam solat berjemaah tersebut. Dalam hal ini, ada suatu hadis daripada Ubay bin Kaab r.a., daripada Rasulullah s.a.w. sabdanya:

"Sesungguhnya solat lelaki yang dilakukan bersama seorang lelaki yang lain lebih afdal (di sisi Allah) daripada solatnya secara bersendirian. (Begitu juga) solatnya bersama dua orang lelaki lebih afdal (di sisi Allah) daripada solat yang dilakukan bersama seorang lelaki sahaja. Semakin ramai bilangan ahli jemaah maka ia semakin disukai di sisi Allah." (Riwayat Abu Daud)

Maka dengan segala tuntutan dan kelebihan solat berjemaah ini, apa lagi alasan untuk kita bertangguh, berasa malas atau berat hati untuk mengerjakannya? Mulai sekarang, ayuh kita beriltizam untuk memenuhi masjid sebaik sahaja seruan azan berkumandang bagi menunaikan solat secara berjemaah. Tidak rugi kita berhenti sejenak dan meluangkan sedikit masa untuk solat di masjid. Bahkan, segala usaha kita ini pastinya pula akan dibalas dengan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda oleh Allah yang Maha Penyayang.

Monday, June 6, 2011

Kedudukan Masjid Dalam Islam

Oleh Wan Am



Pembinaan masjid yang tumbuh bak cendawan selepas hujan akhir-akhir ini di beberapa negara yang umat Islam adalah minoriti, terutamanya di dunia Barat merupakan suatu perkembangan yang cukup positif. Ini boleh dijadikan indikator bahawa Islam kini semakin diterima sebagai satu cara hidup, walaupun serangan "Islamiphobia" begitu hebat diarahkan di seantero dunia. Negara-negara yang sebelum ini jarang kita dengar akan perkembangan Islam di sana, kini semakin ramai rakyatnya yang terpikat dengan Islam lantas kembali kepada fitrah, sehinggakan masjid-masjid perlu dibangunkan dengan lebih banyak lagi bagi memberikan peluang kepada mereka untuk beribadah dengan lebih selesa.

Di Sweden misalnya, pihak berkuasa di ibu negara tersebut iaitu Stockholm merancang untuk membina enam lagi masjid baru bagi menampung tempat ibadah yang lebih kondusif kepada umat Islam kerana dua masjid yang sedia ada sudah begitu padat. Tiga masjid akan didirikan di Skarholmen, Rinkeby dan Tensta manakala tiga masjid lagi akan dibina di pinggir bandaraya Stockholm iaitu di Haninge, Botkyrka dan Nacka. Kini dianggarkan terdapat kira-kira 500,000 orang Islam di Sweden daripada 8.9 juta penduduk dan Islam menjadi agama rasmi kedua di negara tersebut.

Di Perancis pula, rakyat beragama Islam di sana beroleh berita gembira pada tahun lalu apabila Kerajaan Perancis membenarkan pembinaan masjid terbesar di negara itu yang boleh memuatkan sehingga 7,000 jemaah pada satu-satu masa. Pembinaan masjid di Marseille, bandaraya kedua terbesar di Perancis ini dijangka siap dibina menjelang 2012 yang akan dilengkapi dengan menara setinggi 25 meter, dewan solat utama, kelas membaca al-Quran, perpustakaan, restoran dan bilik minum teh. Ketika ini di Marseille yang dihuni 250,000 umat Islam tidak terdapat masjid dan mereka menggunakan bilik sewa, tempat letak kereta dan tingkat bawah tanah rumah untuk mengerjakan solat berjemaah.

Manakala di Rusia kini telah terdaftar secara rasmi sebanyak 4,750 masjid di sana berbanding sebanyak 343 masjid pada pertengahan dekad 1980-an. Jumlah ini terus bertambah apabila ada orang perseorangan dan dermawan asing menghulurkan dana untuk membaik pulih masjid yang telah tidak digunakan (terdapat sekitar 12,000 masjid di Rusia pada awal abad ke-20). Ketika ini umat Islam Rusia adalah komuniti Muslim terbesar di benua Eropah yang mana 16 peratus daripada 145 juta penduduk Rusia beragama Islam.

Masjid sememangnya diiktiraf sebagai suatu tempat yang mempunyai martabat yang tinggi dalam Islam. Manakan tidak, masjid adalah rumah Allah Tuhan sekalian alam, malah suatu tempat yang dikhususkan untuk umat Islam menunaikan ibadat paling dituntut dalam agama iaitu solat fardu lima waktu. Selain itu, masjid juga mampu menjadi pusat kepada segala segi kegiatan manusia jika fungsi masjid benar-benar diteroka dengan sebaiknya.

Mengenai definisi masjid, asal perkataan masjid adalah daripada perkataan dalam bahasa Arab iaitu “sajada” yang bermaksud sujud. Sujud yang kita fahami ialah perbuatan yang meletakkan dahi ke bumi atau tanah. Dalam hal ini seorang ulama besar iaitu az-Zarkashi telah berkata, “Ini kerana sujud merupakan rangkaian solat yang paling mulia, mengingat betapa dekatnya seorang hamba dengan Tuhannya ketika sujud, maka tempat tersebut dinamakan masjid dan tidak dinamakan marka’ (tempat rukuk)." Selain itu sajada juga membawa makna patuh, taat serta tunduk dengan penuh hormat.

Kemuliaan masjid terserlah sehinggakan dalam al-Quran sendiri Allah telah menyebut perkataan masjid sebanyak 27 kali pada 26 ayat. Daripada jumlah perkataan itu, 15 daripadanya adalah kalimat “Masjidil Haram”. Masjidil Haram yang terletak di Makkah merupakan salah satu daripada tiga buah masjid yang paling utama dalam Islam selain Masjid Nabawi di Madinah dan Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis.

Menurut Dr. Sa’id bin ‘Ali bin Wahf al-Qahtani dalam bukunya “Masjid – Kemuliaan, Fadilat dan Adab-adabnya”, begitu tinggi dan agungnya kedudukan masjid dalam pandangan Allah sehinggakan Allah telah menyandarkan kata masjid kepada diri-Nya sebagai bentuk pemuliaan dan pengagungan. Seperti firman-Nya yang bermaksud:

“Sesungguhnya masjid-masjid itu adalah milik Allah, janganlah kamu menyembah seseorang pun di dalamnya selain Allah.” (al-Jin : 18)

Dalam ayat yang lain Allah berfirman:

“Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian.” (at-Taubah : 18)

Begitu tingginya martabat masjid di sisi Allah juga jelas tergambar dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah r.a., yang mana Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:

“Tempat yang paling dicintai Allah di permukaan bumi ini adalah masjid dan tempat yang paling dibenci oleh Allah adalah pasar.” (Riwayat Muslim)

Berhubung hadis ini, Imam Nawawi telah menyatakan, “Maksud sabda Nabi s.a.w. ‘tempat yang paling dicintai Allah di permukaan bumi ini adalah masjid’, kerana masjid merupakan tempat untuk mengerjakan ketaatan kepada Allah dan dibina berlandaskan takwa, sedangkan maksud sabda Nabi s.a.w. ‘tempat yang paling dibenci oleh Allah adalah pasar’, kerana pasar merupakan tempat orang membuat kecoh dan menipu, tempat terjadinya riba, sumpah palsu dan pengkhianatan janji, dan merupakan tempat orang lalai dari zikrullah dan lain-lain.”

Selain itu, peristiwa Israk dan Mikraj juga jelas membuktikan kepentingan masjid kepada umat manusia. Sepertimana yang difirmankan Allah dalam surah al-Israk ayat pertama, Rasulullah s.a.w. telah memulakan perjalanan israknya dari Masjidil Haram. Masjid al-Aqsa pula menjadi tempat baginda memulakan perjalanan mikrajnya ke langit untuk bertemu Allah. Seperti kata ulama, dengan tercatatnya nama kedua-dua nama masjid ini dalam ayat tersebut, Allah sebenarnya ingin memberitahu kepada kita bahawa betapa pentingnya masjid dalam kehidupan manusia.

Dalam peristiwa hijrah Nabi Muhammad s.a.w., bagi menjayakan matlamat untuk menubuhkan sebuah negara Islam di Madinah, baginda telah menyediakan batu asas yang kukuh, yang mana salah satu perkara utama yang baginda laksanakan ialah membina masjid. Bermula dengan masjid kecil yang berlantaikan tanah dan beratapkan pelepah kurma, baginda dan para sahabat kemudiannya dapat membangunkan masjid yang lebih besar, dan akhirnya masjid yang dinamakan "Masjid an-Nabawi" ini menjadi pusat kepada kegiatan dan pergerakan umat Islam sehingga tertegaknya suatu tamadun yang paling hebat dalam sejarah manusia!

Justeru, dengan kemuliaan-kemuliaan yang ada pada masjid, kita sebenarnya mempunyai kerja besar untuk mengembalikan semula peranan masjid dalam kehidupan masyarakat, khususnya dalam kalangan generasi muda. Tidak keterlaluan juga untuk dikatakan bahawa menjadi tugas kita untuk berusaha memakmurkan masjid sebagai pusat segala aktiviti manusia. Di samping komitmen kita untuk memberikan kefahaman kepada masyarakat bahawa segala kegiatan manusia akan dikira sebagai ibadah jika ia diniatkan kerana Allah, maka komitmen sedemikian jugalah yang terpikul di bahu kita untuk menyedarkan masyarakat bahawa masjidlah tempat paling sesuai untuk manusia menterjemahkan segala ibadah dan kegiatan hidup mereka dalam segenap lapangan.