Thursday, June 23, 2011

Tuntutan Solat Berjemaah

Oleh Wan Am


Sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w. kita amat digalakkan untuk mencontohi Rasulullah s.a.w. dalam segenap aspek kehidupan, termasuklah dalam hal pelaksanaan ibadah solat. Memandangkan begitu tingginya nilai ibadah solat dalam Islam, maka kita sebagai Muslim juga dituntut untuk bersungguh-sungguh mengerjakan ibadah tersebut, sesuai dengan apa yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. kepada kita.

Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda:

"Sesungguhnya amalan pertama seseorang hamba yang dihisab pada hari kiamat ialah solatnya." (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)

Antara perkara utama yang harus kita mencontohi Rasulullah s.a.w. dalam hal solat ini ialah menunaikan solat fardu lima waktu secara berjemaah. Melalui perkataan Nabi s.a.w. kita dapati bahawa baginda amat menitik-beratkan pelaksanaan solat fardu secara berjemaah ini dalam kalangan umatnya. Sehinggakan dalam salah satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah s.a.w. pernah mengancam untuk membakar rumah orang yang meninggalkan solat berjemaah.

Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Nabi s.a.w. bersabda (maksudnya):

"Demi Tuhan yang diriku berada di tangan-Nya, sesungguhnya aku pernah hendak menyuruh para sahabat untuk mencari kayu api, lalu aku menyuruh agar bersolat jemaah. Seterusnya, aku menyuruh seseorang untuk mengimami orang ramai, sementara aku tidak ikut solat berjemaah kerana mencari rumah orang yang tidak mengikuti solat berjemaah, lalu aku bakar rumah mereka." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Malah dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Muslim juga mengisahkan bahawa pernah suatu ketika datang seorang lelaki buta kepada Rasulullah s.a.w. yang meminta keringanan untuk solat di rumah. Namun, tatkala lelaki itu hendak pergi, Rasulullah s.a.w. memanggilnya dan bertanya, "Adakah engkau mendengar laungan azan?" Lelaki buta itu menjawab, "Ya." Rasulullah s.a.w. kemudiannya berkata, "Kalau begitu, penuhilah panggilan itu (solat secara berjemaah)." Mesej daripada hadis ini cukup mudah, iaitu jika lelaki buta pun Rasulullah s.a.w. menganjurkan supaya bersolat secara berjemaah, inikan pula kita manusia normal dan mendengar azan hampir setiap hari. Sudah pasti diri kita lebih dituntut oleh Rasulullah s.a.w. untuk melaksanakan solat berjemaah.

Melalui sirah baginda s.a.w., kita dapati bahawa sejak baginda berhijrah ke Madinah, baginda tidak pernah meninggalkan solat berjemaah sehinggalah baginda wafat (selama 13 tahun di Makkah sejak kedatangan Islam, Rasulullah s.a.w. dan para sahabat terpaksa solat secara bersembunyi atau bersendirian di rumah masing-masing kerana sentiasa berada dalam keadaan ditekan oleh kaum Quraisy). Malah, ketika Rasulullah s.a.w. dalam keadaan sakit tenat pada penghujung hayat baginda, baginda dipapah oleh para sahabat r.a. untuk menunaikan solat berjemaah di masjid. Hal ini sememangnya menampakkan betapa Rasulullah s.a.w. ingin mendidik umatnya agar mengambil berat akan ibadah solat fardu secara berjemaah ini.

Mengenai hukum mengerjakan solat fardu secara berjemaah ini, antara pendapat yang termasyhur ialah daripada Imam Nawawi. Menurut beliau, solat berjemaah pada lima waktu yang fardu (selain solat Jumaat) hukumnya adalah fardu kifayah, yang mana diwajibkan bagi individu lelaki yang berakal, telah baligh, bermukim, mempunyai pakaian menutup aurat dan tidak uzur syar'i. Hukum fardu kifayah ini bermaksud apabila ada sekumpulan orang di sesebuah mukim atau kampung mendirikan solat berjemaah di masjid atau surau, maka gugurlah dosa atas orang-orang di situ yang tidak menunaikan solat berjemaah. Namun jika tidak ada seorang pun di dalam mukim atau kampung tersebut yang menunaikan solat berjemaah, maka semua penduduk di situ mendapat dosa.

Sebenarnya banyak lagi pendapat ulama salaf mengenai hukum solat berjemaah ini. Jika anda berminat untuk mengetahui pendapat-pendapat tersebut secara ringkas, saya mencadangkan anda membaca buku "Solat Berjemaah - Asas Kekuatan Peribadi, Masyarakat dan Ummah" karangan Ustaz Mohammad Subki Abdul Rahman al-Hafiz, terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd. Di bawah tajuk "Hukum Solat Berjemaah Mengikut Pandangan Ulama", anda akan didedahkan dengan pandangan-pandangan ulama daripada empat mazhab utama (Syafi'i, Hambali, Maliki dan Hanafi) mengenai tuntutan solat berjemaah ini.

Banyak kebaikan yang dikurniakan Allah kepada hamba-hamba-Nya yang melaksanakan solat fardu secara berjemaah. Antaranya ialah mereka akan dikurniakan ganjaran pahala yang berganda-ganda. Berdasarkan hadis yang kita sedia maklum, daripada Abdullah bin Umar r.a., sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Solat berjemaah lebih afdal daripada solat bersendirian sebanyak 27 kali ganda." (Riwayat Bukhari)

Selain itu Allah s.w.t. juga menjanjikan keampunan daripada dosa-dosa kepada orang yang menunaikan solat berjemaah. Ini bersesuaian dengan sebuah hadis, daripada Uthman bin Affan r.a. yang mana Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

"Sesiapa yang berwuduk untuk solat, lalu dia menyempurnakan wuduknya, kemudian dia terus berjalan untuk mendirikan solat fardu, lalu dia pun menunaikannya bersama orang lain atau secara berjemaah atau di masjid nescaya Allah akan mengampunkan dosa-dosanya." (Riwayat Muslim)

Malah, sesuatu solat berjemaah itu akan digandakan kelebihannya apabila bertambah bilangan orang yang turut serta dalam solat berjemaah tersebut. Dalam hal ini, ada suatu hadis daripada Ubay bin Kaab r.a., daripada Rasulullah s.a.w. sabdanya:

"Sesungguhnya solat lelaki yang dilakukan bersama seorang lelaki yang lain lebih afdal (di sisi Allah) daripada solatnya secara bersendirian. (Begitu juga) solatnya bersama dua orang lelaki lebih afdal (di sisi Allah) daripada solat yang dilakukan bersama seorang lelaki sahaja. Semakin ramai bilangan ahli jemaah maka ia semakin disukai di sisi Allah." (Riwayat Abu Daud)

Maka dengan segala tuntutan dan kelebihan solat berjemaah ini, apa lagi alasan untuk kita bertangguh, berasa malas atau berat hati untuk mengerjakannya? Mulai sekarang, ayuh kita beriltizam untuk memenuhi masjid sebaik sahaja seruan azan berkumandang bagi menunaikan solat secara berjemaah. Tidak rugi kita berhenti sejenak dan meluangkan sedikit masa untuk solat di masjid. Bahkan, segala usaha kita ini pastinya pula akan dibalas dengan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda oleh Allah yang Maha Penyayang.

No comments:

Post a Comment