Monday, June 6, 2011

Kedudukan Masjid Dalam Islam

Oleh Wan Am



Pembinaan masjid yang tumbuh bak cendawan selepas hujan akhir-akhir ini di beberapa negara yang umat Islam adalah minoriti, terutamanya di dunia Barat merupakan suatu perkembangan yang cukup positif. Ini boleh dijadikan indikator bahawa Islam kini semakin diterima sebagai satu cara hidup, walaupun serangan "Islamiphobia" begitu hebat diarahkan di seantero dunia. Negara-negara yang sebelum ini jarang kita dengar akan perkembangan Islam di sana, kini semakin ramai rakyatnya yang terpikat dengan Islam lantas kembali kepada fitrah, sehinggakan masjid-masjid perlu dibangunkan dengan lebih banyak lagi bagi memberikan peluang kepada mereka untuk beribadah dengan lebih selesa.

Di Sweden misalnya, pihak berkuasa di ibu negara tersebut iaitu Stockholm merancang untuk membina enam lagi masjid baru bagi menampung tempat ibadah yang lebih kondusif kepada umat Islam kerana dua masjid yang sedia ada sudah begitu padat. Tiga masjid akan didirikan di Skarholmen, Rinkeby dan Tensta manakala tiga masjid lagi akan dibina di pinggir bandaraya Stockholm iaitu di Haninge, Botkyrka dan Nacka. Kini dianggarkan terdapat kira-kira 500,000 orang Islam di Sweden daripada 8.9 juta penduduk dan Islam menjadi agama rasmi kedua di negara tersebut.

Di Perancis pula, rakyat beragama Islam di sana beroleh berita gembira pada tahun lalu apabila Kerajaan Perancis membenarkan pembinaan masjid terbesar di negara itu yang boleh memuatkan sehingga 7,000 jemaah pada satu-satu masa. Pembinaan masjid di Marseille, bandaraya kedua terbesar di Perancis ini dijangka siap dibina menjelang 2012 yang akan dilengkapi dengan menara setinggi 25 meter, dewan solat utama, kelas membaca al-Quran, perpustakaan, restoran dan bilik minum teh. Ketika ini di Marseille yang dihuni 250,000 umat Islam tidak terdapat masjid dan mereka menggunakan bilik sewa, tempat letak kereta dan tingkat bawah tanah rumah untuk mengerjakan solat berjemaah.

Manakala di Rusia kini telah terdaftar secara rasmi sebanyak 4,750 masjid di sana berbanding sebanyak 343 masjid pada pertengahan dekad 1980-an. Jumlah ini terus bertambah apabila ada orang perseorangan dan dermawan asing menghulurkan dana untuk membaik pulih masjid yang telah tidak digunakan (terdapat sekitar 12,000 masjid di Rusia pada awal abad ke-20). Ketika ini umat Islam Rusia adalah komuniti Muslim terbesar di benua Eropah yang mana 16 peratus daripada 145 juta penduduk Rusia beragama Islam.

Masjid sememangnya diiktiraf sebagai suatu tempat yang mempunyai martabat yang tinggi dalam Islam. Manakan tidak, masjid adalah rumah Allah Tuhan sekalian alam, malah suatu tempat yang dikhususkan untuk umat Islam menunaikan ibadat paling dituntut dalam agama iaitu solat fardu lima waktu. Selain itu, masjid juga mampu menjadi pusat kepada segala segi kegiatan manusia jika fungsi masjid benar-benar diteroka dengan sebaiknya.

Mengenai definisi masjid, asal perkataan masjid adalah daripada perkataan dalam bahasa Arab iaitu “sajada” yang bermaksud sujud. Sujud yang kita fahami ialah perbuatan yang meletakkan dahi ke bumi atau tanah. Dalam hal ini seorang ulama besar iaitu az-Zarkashi telah berkata, “Ini kerana sujud merupakan rangkaian solat yang paling mulia, mengingat betapa dekatnya seorang hamba dengan Tuhannya ketika sujud, maka tempat tersebut dinamakan masjid dan tidak dinamakan marka’ (tempat rukuk)." Selain itu sajada juga membawa makna patuh, taat serta tunduk dengan penuh hormat.

Kemuliaan masjid terserlah sehinggakan dalam al-Quran sendiri Allah telah menyebut perkataan masjid sebanyak 27 kali pada 26 ayat. Daripada jumlah perkataan itu, 15 daripadanya adalah kalimat “Masjidil Haram”. Masjidil Haram yang terletak di Makkah merupakan salah satu daripada tiga buah masjid yang paling utama dalam Islam selain Masjid Nabawi di Madinah dan Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis.

Menurut Dr. Sa’id bin ‘Ali bin Wahf al-Qahtani dalam bukunya “Masjid – Kemuliaan, Fadilat dan Adab-adabnya”, begitu tinggi dan agungnya kedudukan masjid dalam pandangan Allah sehinggakan Allah telah menyandarkan kata masjid kepada diri-Nya sebagai bentuk pemuliaan dan pengagungan. Seperti firman-Nya yang bermaksud:

“Sesungguhnya masjid-masjid itu adalah milik Allah, janganlah kamu menyembah seseorang pun di dalamnya selain Allah.” (al-Jin : 18)

Dalam ayat yang lain Allah berfirman:

“Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian.” (at-Taubah : 18)

Begitu tingginya martabat masjid di sisi Allah juga jelas tergambar dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah r.a., yang mana Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:

“Tempat yang paling dicintai Allah di permukaan bumi ini adalah masjid dan tempat yang paling dibenci oleh Allah adalah pasar.” (Riwayat Muslim)

Berhubung hadis ini, Imam Nawawi telah menyatakan, “Maksud sabda Nabi s.a.w. ‘tempat yang paling dicintai Allah di permukaan bumi ini adalah masjid’, kerana masjid merupakan tempat untuk mengerjakan ketaatan kepada Allah dan dibina berlandaskan takwa, sedangkan maksud sabda Nabi s.a.w. ‘tempat yang paling dibenci oleh Allah adalah pasar’, kerana pasar merupakan tempat orang membuat kecoh dan menipu, tempat terjadinya riba, sumpah palsu dan pengkhianatan janji, dan merupakan tempat orang lalai dari zikrullah dan lain-lain.”

Selain itu, peristiwa Israk dan Mikraj juga jelas membuktikan kepentingan masjid kepada umat manusia. Sepertimana yang difirmankan Allah dalam surah al-Israk ayat pertama, Rasulullah s.a.w. telah memulakan perjalanan israknya dari Masjidil Haram. Masjid al-Aqsa pula menjadi tempat baginda memulakan perjalanan mikrajnya ke langit untuk bertemu Allah. Seperti kata ulama, dengan tercatatnya nama kedua-dua nama masjid ini dalam ayat tersebut, Allah sebenarnya ingin memberitahu kepada kita bahawa betapa pentingnya masjid dalam kehidupan manusia.

Dalam peristiwa hijrah Nabi Muhammad s.a.w., bagi menjayakan matlamat untuk menubuhkan sebuah negara Islam di Madinah, baginda telah menyediakan batu asas yang kukuh, yang mana salah satu perkara utama yang baginda laksanakan ialah membina masjid. Bermula dengan masjid kecil yang berlantaikan tanah dan beratapkan pelepah kurma, baginda dan para sahabat kemudiannya dapat membangunkan masjid yang lebih besar, dan akhirnya masjid yang dinamakan "Masjid an-Nabawi" ini menjadi pusat kepada kegiatan dan pergerakan umat Islam sehingga tertegaknya suatu tamadun yang paling hebat dalam sejarah manusia!

Justeru, dengan kemuliaan-kemuliaan yang ada pada masjid, kita sebenarnya mempunyai kerja besar untuk mengembalikan semula peranan masjid dalam kehidupan masyarakat, khususnya dalam kalangan generasi muda. Tidak keterlaluan juga untuk dikatakan bahawa menjadi tugas kita untuk berusaha memakmurkan masjid sebagai pusat segala aktiviti manusia. Di samping komitmen kita untuk memberikan kefahaman kepada masyarakat bahawa segala kegiatan manusia akan dikira sebagai ibadah jika ia diniatkan kerana Allah, maka komitmen sedemikian jugalah yang terpikul di bahu kita untuk menyedarkan masyarakat bahawa masjidlah tempat paling sesuai untuk manusia menterjemahkan segala ibadah dan kegiatan hidup mereka dalam segenap lapangan.

No comments:

Post a Comment