Friday, June 3, 2011

Kita dan Masjid

Oleh Wan Am


Ada kalanya jika saya tidak sempat tiba di rumah dari pejabat sebelum waktu matahari terbenam, saya akan singgah di sebuah Masjid Jamek di tengah perjalanan bagi menunaikan solat fardu Maghrib secara berjemaah. Masjid tersebut saya kira agak berusia juga, namun keadaan fizikalnya masih berada pada tahap yang memuaskan. Pastilah ia mendapat penjagaan yang baik daripada ahli-ahli jawatankuasa serta para jemaahnya.

Setiap kali saya berjemaah Maghrib di situ, saya dapati hampir 80 peratus ahli jemaahnya adalah terdiri daripada mereka yang berumur 50 tahun dan ke atas. Dalam hati tertanya-tanya juga, ke mana perginya anak-anak muda? Saya cuba bersangka baik, mungkin kebanyakan orang muda di kawasan ini sudah berhijrah ke bandar. Atau mungkin juga mereka seperti saya, bekerja di lokasi yang agak jauh dari tempat tinggal dan terpaksa solat Maghrib di mana-mana destinasi ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja. Boleh jadi juga mereka berjemaah di masjid atau surau lain yang ada di dalam kawasan ini.

Saya tinggalkan dulu isu mengenai orang muda dan masjid. Nanti saya bangkitkan semula dalam artikel yang berikutnya insya-Allah. Dalam ruangan ini, ada suatu hal yang lebih menarik yang ingin saya kongsikan. Hal tersebut adalah mengenai seorang ahli jemaah "istimewa" yang kerap saya temui setiap kali persinggahan saya di masjid ini.

Seingat saya, setiap kali saya hadir solat Maghrib berjemaah di masjid ini, insan tersebut yang pada telahan saya berusia dalam lingkungan 20-an pasti tidak ketinggalan untuk turut serta bersama kami. Ketika kami solat berjemaah, dia akan turut serta solat berjemaah, namun bersendirian berada di saf ketiga.

Kadangkala selepas solat berjemaah, sempat juga saya perhatikan beliau solat bersendirian kerana tidak sempat berjemaah Maghrib bersama kami. Saya dapati solatnya sebanyak satu rakaat sahaja. Sujudnya pula sebanyak tiga kali termasuk satu selepas tahiyat akhir. Ketika solat pula matanya meliar ke kanan dan ke kiri.

Bagi saya keadaan sedemikian bukanlah suatu yang pelik memandangkan "keistimewaan" yang ada pada beliau. Hal yang lebih ingin saya tekankan, malah menjadi muhasabah buat diri saya sendiri ialah komitmen beliau yang tidak pernah "miss" bertandang ke masjid untuk solat berjemaah walau dirinya dalam keadaan sedemikian rupa. Kita yang dikurniakan Tuhan sempurna sifat ini pun tidak selalu hadir solat berjemaah di masjid. Malah lebih teruk lagi, mungkin dalam sebulan kehadiran kita di masjid untuk solat berjemaah boleh dibilang dengan jari.

Jika kita benar-benar sedar akan kelebihan solat berjemaah di masjid, saya kira tidak akan ada lagi isu kekurangan ahli jemaah sewaktu solat fardu lima waktu di masjid-masjid kita. Bahkan, melangkahkan kaki ke masjid pun sudah boleh meraih pahala dan menghapus dosa. Itu belum ditambah lagi dengan keutamaan-keutamaan yang bakal kita peroleh sewaktu berada di dalam rumah Allah.

Saya percaya kita biasa mendengar hadis yang menyatakan solat secara berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian sebanyak 27 darjat. Saya terfikir, kalaulah Tuhan memberikan peluang kepada kita untuk nampak betapa besarnya darjat yang dijanjikan-Nya itu, sudah pasti masjid-masjid kita akan penuh sesak dengan ahli jemaah selepas setiap kali azan solat fardu berkumandang, suatu keadaan yang boleh kita lihat semasa solat Jumaat dan solat sunat dua hari raya.

Fungsi masjid kita pula pada ketika ini masih perlu dipertingkatkan. Namun, tidak pula kita nafikan bahawa usaha-usaha masyarakat kita untuk memakmurkan masjid kini semakin bertambah baik. Kalau anda mendengar slot "Salam Masjid" yang ke udara di Radio IKIM.fm pada setiap petang Jumaat, anda akan dapati begitu bersemaraknya program dan aktiviti yang diadakan di masjid-masjid di seluruh negara. Ini suatu perkembangan yang amat menggalakkan.

Selain itu, kesedaran kepada masyarakat bahawa masjid bukan sekadar tempat untuk menunaikan ibadah solat semata-mata harus terus kita giatkan. Masyarakat harus kembali dicelikkan dengan peranan masjid yang sebenar, iaitu sebagai pusat kegiatan aktiviti umat Islam yang merangkumi pelbagai aspek kehidupan, sebagaimana yang pernah berlaku pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. Menjadi tanggungjawab kita juga untuk memberikan kefahaman kepada masyarakat bahawa dengan solat berjemaah dan bersosial di masjid, kita akan berpeluang untuk saling berkenalan dan berukhuwah sesama umat Islam. Malah, melalui institusi masjid jugalah kita akan mengetahui peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam komuniti kita seperti kematian, perkahwinan, jiran-jiran kita yang berada dalam situasi kesusahan dan sebagainya.

Akhirnya, dalam satu hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Tirmidzi dan Ibnu Majah, baginda telah berpesan bahawa antara tujuh golongan manusia yang akan diberikan perlindungan oleh Allah dalam naungannya pada hari yang tiada naungan melainkan perlindungan Allah itu sendiri ialah lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid. Justeru, marilah kita bulatkan tekad dan teguhkan komitmen untuk terus memakmurkan masjid dengan solat dan ibadah kita, mudah-mudahan Allah memasukkan kita dalam golongan tersebut, insya-Allah.

No comments:

Post a Comment