Oleh Wan Am
Mungkin anda tertanya-tanya, apa yang dimaksudkan dengan “membekukan harta”? Ada kaitankah dengan amalan sedekah? Apa pula manfaatnya kepada individu yang melaksanakannya, juga pihak yang menerimanya?
Baiklah, terlebih dahulu, izinkan saya memulakan coretan artikel ini mengenai “wakaf”. Jawapan kepada persoalan-persoalan tadi akan anda peroleh jika anda terus menyorot penulisan ini hingga akhir.
Ibadah wakaf adalah suatu perkara yang mendapat tempat yang istimewa di sisi Allah. Seseorang Muslim digalakkan untuk melaksanakan wakaf buat manfaat orang lain, dengan memenuhi keperluan mereka yang memerlukan semata-mata kerana mencari keredhaan Allah. Wakaf juga merupakan salah satu amal salih yang utama yang akan berguna kepada para pewakaf setelah mereka meninggal dunia.
Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Amal salih yang akan sampai kepada orang yang beriman selepas kematiannya ialah ilmu yang dipelajari kemudian dikembangkannya, anak yang salih, naskhah al-Quran yang ditinggalkannya sebagai pusaka, bangunan masjid yang didirikan olehnya, rumah (wakaf) yang dibina untuk para musafir, terusan yang digalinya atau sedekah yang diberi semasa hidupnya ketika dia masih sihat. Amal salih ini akan sampai kepadanya selepas kematiannya.” (Riwayat Ibnu Majah)
Sedekah jariah adalah satu satu jenis daripada wakaf. Takrifan asal wakaf ialah sesuatu itu ‘dibekukan’ manakala hasilnya diinfakkan di jalan Allah. Dalam sebuah hadis, Ibnu Umar r.a. telah berkata:
“Umar bin al-Khattab r.a. telah diberikan bahagian dalam bentuk sebidang tanah di Khaibar. Beliau pergi berjumpa Rasulullah s.a.w. dan bertanya kepada baginda tentang apa yang sepatutnya dilakukan dengan tanah tersebut. Kata Umar: ‘Wahai Rasulullah! Aku telah diberikan sebidang tanah di Khaibar sedangkan aku belum pernah menerima harta yang lebih berharga daripada itu. Apakah yang engkau perintah aku lakukan?’ Baginda bersabda: ‘Sekiranya kamu mahu, kamu boleh bekukannya dan memberi dalam bentuk sedekah.’ Lalu Umar r.a. telah menjadikannya sebagai sedekah dan menetapkan bahawa ia tidak boleh dijual atau diwarisi. Beliau juga memberikan sedekah kepada fakir miskin, kaum kerabat dan hamba kerana Allah. Begitu juga kepada para musafir dan tetamu. Katanya lagi: ‘Tidak dikira berdosa seseorang yang diamanahkan menjaganya kemudian memakan hasilnya secara berpatutan atau memberi makan kepada orang lain tanpa menyimpan apa-apa untuk masa akan datang.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dalam konteks hidup bermasyarakat, telah disyariatkan ibadah wakaf bertujuan memastikan wujudnya keadaan hidup saling bantu-membantu dalam masyarakat. Selain mendekatkan diri kepada Allah, ibadah wakaf juga membuka peluang yang luas kepada orang Mukmin untuk berlumba-lumba melakukan kebajikan dengan mewakafkan harta mereka di jalan Allah. Sesungguhnya Islam menggalakkan membentuk harta wakaf bagi membesarkan pengertian ihsan dan at-takaful (saling membantu sesama orang Islam) bagi merealisasikan tujuan syariat yang menyarankan agar melakukan kebaikan dan tolong-menolong dalam perkara kebaikan dan takwa.
Firman Allah:
“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebaikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran.” (al-Maidah : 2)
Dalam buku “Memahami Sedekah (dan Keutamaannya)” susunan al-Adib Hamad Hasan Raqit, telah digariskan 11 bidang penting dalam masyarakat yang dapat disumbangkan melalui harta wakaf pada hari ini. Wakaf yang dilaksanakan dalam setiap bidang tersebut pula mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Bidang-bidang tersebut ialah:
1. Membina masjid-masjid dan mengimarahkannya, terutamanya di tempat tinggal orang Islam yang masih belum terdapat masjid atau surau. Pahala amalan ini sangat besar berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w.:
“Sesiapa (yang ikut) membina sebuah masjid kerana Allah, nescaya Allah akan membina untuknya sepertinya (sebuah mahligai) dalam syurga.” (Riwayat Muslim)
2. Membuat sekolah-sekolah, menyebarkan ilmu, menerbitkan buku-buku (keagamaan) dan mengeluarkan belanja untuk menuntut ilmu (keislaman). Samurah bin Jundub r.a. pernah memberitakan, Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Tiadalah suatu sedekah yang lebih besar yang disedekahkan manusia seperti penyebaran ilmu.” (Riwayat Tabarani)
3. Menyara orang fakir, orang tua dan orang yang lemah terutamanya kalangan kaum kerabat kita.
4. Menyara anak yatim, yang mana Nabi s.a.w. telah bersabda bahawa orang yang menyara anak yatim akan dapat masuk syurga dan berada dekat dengan baginda (hadis riwayat Muslim).
5. Berbuat kebaikan kepada mangsa bencana. Sabda Nabi s.a.w.:
“Sesiapa yang memberi makan kepada seorang Mukmin sehingga dapat mengenyangkannya daripada lapar, nescaya Allah akan memasukkannya ke dalam sebuah pintu daripada pintu-pintu syurga, dan tiadalah yang dapat memasukinya melainkan orang sepertinya.” (Riwayat Tabarani)
6. Membuat persiapan kepada para pejuang di jalan Allah dan menyara keluarga mereka. Sabda Nabi s.a.w.:
“Sesiapa yang menyiapkan kelengkapan tentera di jalan Allah, maka sesungguhnya dia juga (dikira) turut berperang; dan siapa tidak mampu untuk keluar berperang, maka dia tinggal menjaga kebaikan anak isteri, maka sesungguhnya dia juga (dikira berpahala sebagai) turut berperang.” (Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, at-Tirmizi dan an-Nasa’i)
7. Memberi pinjaman (wang atau barangan) kepada orang yang susah dan melepaskan orang-orang yang terkena bala. Sabda Nabi s.a.w.:
“Tiadalah seseorang Islam yang memberi hutang kepada seseorang Islam sekali, melainkan (pahalanya) seperti dia bersedekah kepadanya dua kali.” (Riwayat Ibnu Majah)
8. Mengeluarkan perbelanjaan untuk mendamaikan antara dua orang (yang berselisih) dan menggunakan harta untuk menyelesaikan perselisihan antara orang-orang Islam. Rasulullah s.a.w. pernah bertanya kepada Abu Ayub al-Ansari r.a. dengan pertanyaan: “Tidak inginkah aku tunjukkan (cadangkan) suatu perniagaan kepada engkau?” Abu Ayub menjawab: “Malah, wahai Rasulullah.” Rasulullah s.a.w. lalu bersabda: “Iaitu engkau berusaha untuk mendamaikan antara dua orang manusia apabila mereka rosak-merosakkan (bersengketa), dan engkau mendekatkan antara mereka apabila mereka jauh-menjauhkan.” (Riwayat Tabarani)
9. Mewujudkan hospital-hospital, tempat pemeriksaan doktor, tempat-tempat pelarian dan menolong orang yang bersedih.
10. Bersedekah dengan mewakafkan kebun-kebun, pokok-pokok berbuah dan tanaman-tanaman. Sabda Nabi s.a.w.:
“Tiadalah seorang Islam yang yang menanam suatu tanaman, atau menumbuhkan suatu tumbuhan, maka hasilnya dimakan burung, atau manusia atau binatang, melainkan dia memperoleh pahala sedekah dengan sebabnya.” (Riwayat Bukhari)
11. Bersedekah daripada pendapatan wakaf bagi memerdekakan tawanan, melepaskan hutang orang yang berhutang dan melepaskan bala bencana orang yang terkena musibah.
Dengan kelebihan-kelebihan yang telah dijanjikan Tuhan kepada mereka yang mewakafkan harta di jalan-Nya, marilah kita merebut peluang ini dengan memenuhi pintu-pintu kebaikan yang sentiasa terbuka dengan pemberian wakaf kita. Sesungguhnya Allah akan melimpahkan nikmat dan menggandakan ganjaran kepada orang yang berbuat baik. Sedarlah kita bahawa dengan berwakaf juga secara tidak langsung kita dapat memajukan masyarakat serta mengurangkan masalah kemiskinan yang membelenggu sebahagian daripada orang Islam (juga bukan Islam). Hinggakan, orang yang berwakaf termasuk dalam golongan orang seperti yang disabdakan oleh Nabi s.a.w.:
“Orang-orang yang mengasihi itu akan dikasihi Tuhan ar-Rahman.” (Riwayat at-Tirmizi)
No comments:
Post a Comment