Friday, May 8, 2020

Amerika Syarikat: 21 Hari yang Bermakna!

Oleh Wan Am

“Salam Wan, this is Riaz here, Senior Advisor at the U.S. Embassy in Kuala Lumpur, would like to talk to you about the trip to the U.S. from Nov 30 – Dec 21. Do call me when you have a moment, thanks.”

Tengah hari Khamis, 26 September 2019, saya menerima mesej di atas melalui aplikasi Whatsapp. Melihatkan nama Tuan Riazurrahman Sadayan di skrin telefon, sekilas saya teringat akan borang permohonan untuk menyertai International Visitor Leadership Program (IVLP) yang saya hantar kepada beliau kira-kira lima bulan sebelumnya. Program IVLP tersebut diperkenalkan kepada saya oleh guru sekolah saya, Ustaz Mohd Zubir Osman (kini merupakan Pengetua, Sekolah Menengah Islam Al-Amin Bestari D’Merlimau) yang pernah menyertainya pada tahun 2017. Maka dengan berbekalkan sekelumit pengalaman sebagai Ahli Lembaga Pengelola Pusat Pendidikan Al-Amin Berhad, saya mencuba nasib dengan menghantar borang permohonan berkenaan. 

Saya tidak menyangka rezeki Tuhan tiba begitu awal. Sebenarnya saya jangkakan peluang untuk menyertai IVLP mungkin akan tiba setahun dua lagi, jika terpilih. Namun mesej daripada Tuan Riazurrahman tersebut telah mengesahkan perjalanan saya ke Amerika Syarikat pada 30 November hingga 21 Disember 2019 melalui program berkenaan. Alhamdulillah, mungkin peluang ini saya peroleh sekali sahaja dalam seumur hidup dan tidak wajar saya lepaskan!

Setelah mendapat keizinan daripada majikan saya di Hidayah Centre Foundation serta sokongan tidak berbelah bahagi daripada isteri tercinta, maka bermulalah persiapan saya untuk menyertai IVLP ini. Penghargaan khusus saya kepada Pegawai Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia, Puan Nur Farizan Zulkifli yang banyak memberikan nasihat dan panduan kepada saya dalam pelbagai aspek, termasuk urusan permohonan visa (agak rumit juga prosesnya). Saya juga dimaklumkan terdapat lima orang lagi peserta yang akan bersama saya dalam IVLP ini. Tambah menarik, bila dirujuk kepada aturcara program yang kami terima, kami akan berkunjung ke empat destinasi di Amerika Syarikat sepanjang IVLP tersebut iaitu Washington, D.C. (30 November - 5 Disember 2019), San Francisco, California (5 - 11 Disember 2019), Salt Lake City, Utah (11 - 17 Disember 2019) dan Dallas, Texas (17 - 21 Disember 2019).

Sedikit pengenalan ringkas mengenai IVLP. Ia adalah program anjuran Jabatan Negara Amerika Syarikat (U.S. Department of State), dengan matlamat untuk membina persefahaman bersama antara Amerika Syarikat dengan negara-negara lain melalui lawatan profesional oleh para pemimpin dan aktivis dalam pelbagai bidang ke negara tersebut. Sejak dilancarkan pada tahun 1941, ramai dalam kalangan ketua negara dan bekas ketua negara pernah menyertai IVLP (antara alumni IVLP dari Malaysia ialah Allahyarham Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Mahathir Mohamad). Kini setiap tahun IVLP menerima kehadiran lebih 4,500 peserta yang terpilih dari seluruh dunia untuk mengadakan lawatan ke Amerika Syarikat dan memahami selok-belok negara tersebut berdasarkan bidang kerjaya dan medan penglibatan mereka dalam masyarakat. 

IVLP yang kami sertai kali ini adalah bertemakan “School Management and Pedagogy Systems for Madrasah Educators”. Antara objektif yang ingin dicapai dalam IVLP ini ialah untuk memperkenalkan pengurusan sistem pendidikan, pedagogi dan kurikulum peringkat sekolah dan pendidikan tinggi Amerika Syarikat, selain memerhatikan model pengoperasian sekolah awam dan swasta di sana. Bagi mencapai objektif ini, kami akan dibawa melawat pelbagai badan dan institusi pendidikan dan melakukan pertemuan rasmi dengan wakil-wakil organisasi berkenaan (pandangan mereka tidak semestinya mencerminkan pendirian Kerajaan Amerika Syarikat).

Gambar 1: Penulis (kanan sekali) bersama teman-teman IVLP 2019 (dari kiri): Farhan Ashari, Nadziroh Mohd Nasir, Nur Arifah Md Razif, Nurul Nadia Ansar Ahmad Khan dan Noor Hasilah Abdullah

Gambar 2: Pegawai Jabatan Negara Amerika Syarikat, Dr. Lawrence Fisher (kiri sekali) dan Shawn Callavan (tiga dari kiri) menyambut kedatangan kami pada hari pertama kami di Amerika Syarikat. Mereka adalah pengiring kami sepanjang tiga minggu di sana dan boleh bertutur dalam bahasa Melayu

Gambar 3: Makan tengah hari di bandar Washington, D.C. bersama para pegawai Jabatan Negara Amerika Syarikat dan Meridian International Center (organisasi yang menguruskan perjalanan IVLP yang kami sertai)

Gambar 4: Kunjungan rasmi ke bangunan Jabatan Negara Amerika Syarikat di Washington, D.C.

Sebelum mendalami perjalanan sistem pendidikan Amerika Syarikat, kami terlebih dahulu diberikan kefahaman asas mengenai sistem pentadbiran negara tersebut. Amerika Syarikat yang mula terbentuk melalui pengisytiharan kemerdekaan pada 4 Julai 1776 adalah sebuah negara republik berperlembagaan persekutuan yang kini terdiri daripada 50 negeri dan satu daerah persekutuan. Pentadbiran negara tersebut dibahagikan kepada tiga peringkat kerajaan; persekutuan, negeri dan tempatan. 

Kerajaan Persekutuan terdiri daripada tiga cabang bebas yang merangkumi Legislatif (Dewan Perwakilan dan Senat), Eksekutif (diketuai oleh Presiden Amerika Syarikat) dan Kehakiman. Ketiga-tiga cabang ini mempunyai fungsi masing-masing dan saling memeriksa dan mengimbang (check and balance) antara satu sama lain. Kuasa Kerajaan Persekutuan dibataskan oleh Perlembagaan, yang mengikut Pindaan Kesepuluh, menyatakan kuasa lain yang tidak diberikan secara tersurat kepada Kerajaan Persekutuan adalah diperuntukkan bagi negeri atau rakyat. Perlembagaan Amerika Syarikat menghadkan kuasa Kerajaan Persekutuan kepada perkara berkaitan pertahanan, polisi luar negara, pencetakan mata wang, mengawal perdagangan, perhubungan antara negeri-negeri serta melindungi hak asasi manusia (terdapat lima perkara asas berkenaan hak asasi manusia di Amerika Syarikat yang terkandung dalam Bill of Rights; Freedom of Religion, Freedom of Speech, Freedom of the Press, Freedom of Assembly, Freedom of Petition).

Jika diperhatikan pula kepada sistem kerajaan negeri di Amerika Syarikat, setiap negeri (diketuai oleh seorang Gabenor) mempunyai perlembagaan yang tersendiri. Adalah tidak menghairankan jika terdapat perbezaan yang amat ketara dari segi undang-undang dari satu negeri ke negeri yang lain, terutamanya hal-hal berkaitan pendidikan, jenayah, hartanah dan kesihatan. Akta berkaitan pendidikan di Texas mungkin banyak bezanya dengan akta pendidikan di California. Begitu juga sewaktu berada di Salt Lake City di Utah, saya difahamkan penduduk di negeri tersebut bebas memiliki senjata api, yang mana perbuatan tersebut menjadi kesalahan jenayah di banyak negeri yang lain. 

Sewaktu di Washington, D.C., kami dapat melawat beberapa monumen penting dan bersejarah yang menjadi lambang kepada pemerintahan negara Amerika Syarikat. Antaranya ialah White House, U.S. Capitol, Jefferson Memorial dan Lincoln Memorial. Namun yang paling mengujakan saya ialah apabila dapat menjejakkan kaki di Perpustakaan Kongres (Library of Congress) yang merupakan perpustakaan penyelidikan yang berkhidmat untuk Kongres Amerika Syarikat, juga perpustakaan negara untuk Amerika Syarikat. Ia merupakan institusi budaya persekutuan tertua di Amerika Syarikat. Perpustakaan Kongres juga dikatakan sebagai perpustakaan terbesar di dunia. Walaupun ia dibuka untuk orang ramai, namun hanya pegawai kerajaan yang berpangkat tinggi sahaja dibenarkan untuk meminjam buku-buku dan bahan-bahan dalam Perpustakaan Kongres (kecuali peminjaman melalui Pinjaman Antara Perpustakaan yang dibenarkan untuk orang awam).

Bangunan Perpustakaan Kongres yang didirikan sejak tahun 1800 mempunyai reka bentuk yang unik. Setiap sudut binaan di dalam bangunan tersebut tertera ukiran dan lukisan yang mengandungi makna tersendiri dari segi ilmu, nilai dan budaya. Koleksi buku dan bahan-bahan lain di Perpustakaan Kongres pula adalah universal, tidak terhad kepada subjek, format, mahupun sempadan negara, serta termasuk bahan penyelidikan dari seluruh dunia dan dalam lebih 450 bahasa. 

Menurut sejarah, kebanyakan koleksi asal di Perpustakaan Kongres telah dimusnahkan oleh British ketika Perang 1812. Untuk membina semula koleksi mereka, pihak perpustakaan telah membeli koleksi peribadi bekas Presiden Amerika Syarikat, Thomas Jefferson sebanyak 6,487 buah buku (betapa cintanya beliau kepada buku). Namun pada tahun 1851, kebakaran telah berlaku dan memusnahkan sejumlah besar koleksi perpustakaan, termasuk buku-buku daripada koleksi Jefferson. Selain itu di Perpustakaan Kongres kami berpeluang menatap naskhah-naskhah asal dari Tanah Melayu yang berusia ratusan tahun, antaranya karya Munsyi Abdullah, Sejarah Melayu dan surat-surat daripada Sultan Melayu kepada pihak British.

Gambar 5: Sesi bersama Mr. Akram Elias (Presiden dan CEO, Capital Communications Group, Inc.) yang memberikan penerangan kepada kami tentang sistem pentadbiran Amerika Syarikat

Gambar 6: Di hadapan White House, pusat pentadbiran Presiden Amerika Syarikat

Gambar 7: Arca Thomas Jefferson, Presiden Ketiga Amerika Syarikat dan individu penting yang menulis Pengisytiharan Kemerdekaan 1776

Gambar 8: Di hadapan bangunan Lincoln Memorial

Gambar 9: Bangunan U.S. Capitol yang mula digunakan sejak tahun 1800 menempatkan Dewan Perwakilan dan Senat

Gambar 10: Utah State Capitol Building di Salt Lake City yang menjadi pusat pemerintahan Kerajaan Negeri Utah

Gambar 11: Sesi bersama Rep. Elizabeth Weight (kanan), wakil Parti Demokrat di Utah State House

Gambar 12: Di hadapan bangunan utama Perpustakaan Kongres di Washington, D.C.

Gambar 13: Suasana di dalam ruang bacaan utama di Perpustakaan Kongres

Gambar 14: Ruangan di Perpustakaan Kongres yang menempatkan koleksi asal (dan salinan) buku yang dibeli daripada Thomas Jefferson

Gambar 15: Salah satu bahagian dalam Perpustakaan Kongres yang menempatkan buku dan sumber rujukan dari Asia

Gambar 16: Contoh sumber primer dari Tanah Melayu (dalam Tulisan Jawi) berusia ratusan tahun yang disimpan di Perpustakaaan Kongres

Secara umumnya terdapat dua jenis sekolah di Amerika Syarikat; sekolah awam dan sekolah swasta. Namun sejak awal 1990-an, sekolah piagam awam (public charter school) mula diperkenalkan (bermula di Minnesota pada 1991). Sekolah jenis ini lazimnya diasaskan oleh kumpulan guru, ibu bapa, badan bukan kerajaan atau individu yang pernah atau sedang berkhidmat dengan entiti kerajaan dan universiti. Sekolah piagam awam tidak mengenakan yuran kepada murid, namun menerima pembiayaan daripada kerajaan kurang berbanding sekolah-sekolah awam. 

Bagi sekolah swasta pula, ia tidak menerima sebarang peruntukan daripada kerajaan. Justeru kebiasaannya sekolah jenis ini mengenakan yuran yang tinggi kepada pelajar. Sekolah swasta ditubuhkan sama ada yang berasaskan keuntungan atau bukan untuk keuntungan didirikan bagi memenuhi pelbagai tujuan; untuk pelajar berbakat, untuk pelajar kurang upaya, untuk pelajar mendapatkan ilmu agama, untuk ibu bapa yang mahukan anak mereka mendapat ruang belajar yang kecil dan selesa dan sebagainya. 

Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri saling bekerjasama dalam melaksanakan pendidikan awam. Namun kerajaan negeri dan tempatan lebih berkuasa dalam menentukan piawaian pendidikan untuk sistem sekolah awam di negeri mereka, termasuk dalam aspek kurikulum, peperiksaan, pembangunan guru, teknologi pendidikan, kegiatan luar dan kepimpinan pelajar. Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Pendidikan (Department of Education) lebih berperanan dalam menetapkan dasar pendidikan negara serta memberikan nasihat kepada Presiden Amerika Syarikat berkenaan isu pendidikan secara umum, di samping bertanggungjawab dalam pendidikan tinggi dan vokasional, program bantuan pendidikan persekutuan dan tajaan kepada penyelidikan berkaitan pendidikan. Majoriti besar dana pendidikan awam diperoleh daripada hasil cukai negeri dan tempatan, dibantu peruntukan kewangan daripada Kerajaan Persekutuan. Mengikut undang-undang negeri di Amerika Syarikat, pendidikan adalah diwajibkan kepada semua kanak-kanak.

Gambar 17: Sesi bersama Ms. Sambia-Shivers-Barclay (Lead, International Visitors Program) di bangunan Jabatan Pendidikan Amerika Syarikat di Washington, D.C.

Gambar 18: Sesi bersama pegawai-pegawai Utah State Board of Education di Salt Lake City

Gambar 19: Di bangunan pentadbiran Dallas Independent School District, sesi bersama Timbalan Ketua Akademik, Shannon Trejo (tiga dari kiri) dan Pengarah Pengajian Sosial, Shalon Bond (tiga dari kanan) 

Melalui IVLP ini kami berpeluang melihat pelbagai model sekolah awam di Amerika Syarikat yang secara umumnya dibahagikan kepada tiga peringkat persekolahan; sekolah rendah (elementary school), sekolah menengah (middle school) dan sekolah tinggi (high school). Berikut adalah sekolah-sekolah awam yang kami lawati beserta sedikit latar belakangnya:

1. Howard University Middle School of Mathematics and Science (MS)2

Sekolah yang terletak di Washington, D.C. ini merupakan sekolah piagam awam berprestasi tinggi yang memberikan fokus kepada subjek Matematik dan Sains bagi pelajar Gred 6 hingga 8 (lingkungan umur 12 hingga 14 tahun). Sekolah ini bekerjasama dengan Howard University dalam menyediakan pelajar untuk menceburi kerjaya dalam disiplin STEM (Science, Technology, Engineering and Mathematics). Pada masa ini sekolah ini mempunyai seramai 294 orang pelajar yang hampir kesemuanya adalah berkulit hitam.

2. Oakland International High School (OIHS)

Sekolah ini adalah sekolah komuniti di Oakland, California yang dibuka pada Ogos 2007 dan mendapat sokongan daripada Internationals Network of Public Schools, Oakland Unified School District dan Bill and Belinda Gates Foundation. Sekolah ini menyasarkan para pelajar dalam kalangan warga asing (majoriti adalah pelarian) yang berada di Oakland dan kawasan sekitarnya. Guru-guru di sekolah ini diberikan latihan khas untuk membimbing para pelajar meningkatkan penguasaan mereka dalam bahasa Inggeris melalui tiga pendekatan utama; Heterogenous Groups, Project-based Curriculum dan Intergrated English Language Development.

3. Community School for Creative Education (CSCE)

Sebuah lagi sekolah komuniti di Oakland yang mempunyai pelajar berbilang bangsa dan menerapkan model pendidikan Waldorf (pendidikan yang menitikberatkan kreativiti) dalam kurikulumnya. Ia merupakan sekolah piagam Waldorf pertama di Amerika Syarikat. Sekolah ini berusaha memberikan pendidikan berkualiti tinggi kepada 284 orang pelajarnya (berusia 4 hingga 15 tahun) yang mana 15 peratus daripada mereka adalah pelajar istimewa (special needs), 52 peratus tidak fasih berbahasa Inggeris dan 82 peratus berasal daripada keluarga miskin. 

4. Abraham Lincoln High School (ALHS)

Sebuah sekolah tinggi di San Francisco yang menyediakan pelbagai program persediaan kepada lebih 2000 orang pelajarnya (Gred 9 hingga 12) sebelum menamatkan alam persekolahan. Antaranya ialah empat program utama akademi kerjaya; Teacher Academy, Business Academy, Digital Media Design (DMD) Academy dan The Green Academy. Selain pemantapan bahasa Inggeris, sekolah ini turut menawarkan pembelajaran bahasa antarabangsa yang lain kepada pelajarnya seperti bahasa Sepanyol, bahasa Mandarin, bahasa Perancis dan bahasa Jepun. 

5. Montessori Community School

Ditubuhkan pada tahun 1985, sekolah di Salt Lake City ini melaksanakan kurikulum Montessori kepada para pelajarnya. Kelas dan ruang pembelajaran di sekolah ini direka bentuk sesuai dengan tiga peringkat pembelajaran di sekolah ini iaitu Toddler (umur 18 bulan hingga tiga tahun), Early Childhood (umur tiga hingga enam tahun) dan Elementary (Gred 1 hingga 6). Para ibu bapa turut terlibat secara tidak langsung dalam proses pendidikan di sekolah ini yang mana mereka menawarkan diri menjadi sukarelawan dalam beberapa tugasan mingguan seperti Laundromat, Material Washer, Playdough Maker, Fresh Flower Delivery, Food Prep Supplier dan Librarian. 

6. Irma Lerma Rangel Young Women’s Leadership School

Sekolah ‘magnet’ yang terletak di Dallas ini dibuka untuk pelajar perempuan dalam Gred 6 hingga 12 dan diiktiraf sebagai sekolah awam perempuan pertama di Texas (ditubuhkan pada 2004). Nama sekolah ini diambil bersempena nama seorang wanita Mexico-Amerika pertama yang dipilih sebagai ahli Texas House of Representatives. Pencapaian cemerlang para pelajar sekolah ini dalam kurikulum mahu pun ko-kurikulum serta kejayaan mereka meraih pelbagai anugerah dalam pertandingan di peringkat negeri dan kebangsaan telah turut mengangkat sekolah ini sebagai antara sekolah terbaik di Amerika Syarikat.

Gambar 20: Sesi bersama Pengetua Howard University Middle School of Mathematics and Science (MS)2, Ms. Kathryn Procope

Gambar 21: Rakan-rakan IVLP beramah mesra dengan pelajar (MS)2

Gambar 22: Sesi bersama Ms. Lauren Markham (Community School Program Manager) di Oakland International High School (OIHS)

Gambar 23: Senarai negara asal para pelajar OIHS

Gambar 24: Pintu masuk utama bangunan Community School for Creative Education (CSCE) di Oakland, California

Gambar 25: Sesi bersama Pengasas dan Pengarah Eksekutif CSCE, Dr. Ida Oberman

Gambar 26: Berjalan melihat persekitaran Abraham Lincoln High School (ALHS) di San Francisco

Gambar 27: Bersama guru bahasa Jepun di ALHS, Ms. Arisa Hiroi

Gambar 28: Guru di Montessori Community School di Salt Lake City membuat demonstrasi menggunakan bahan-bahan pembelajaran berasaskan kurikulum Montessori

Gambar 29: Salah satu ruangan kelas yang direka bentuk khas untuk kanak-kanak di Montessori Community School

Gambar 30: Sesi bersama para pentadbir dan guru Irma Lerma Rangel Young Women’s Leadership School di Dallas

Gambar 31: Memerhatikan hasil karya pelajar-pelajar Irma Lerma Rangel

Di Amerika Syarikat juga kami berpeluang menziarahi institusi yang menyediakan program selepas waktu persekolahan. Di San Francisco misalnya, kami melawat Boys & Girls Clubs, sebuah institusi bukan kerajaan yang telah berusia 128 tahun (diasaskan pada 1891). Institusi ini menyasarkan golongan muda berusia 6 hingga 18 tahun dengan penumpuan kepada usaha-usaha kecemerlangan akademik, gaya hidup sihat, berkeperibadian mulia dan hubungan dengan komuniti (objektif secara tersirat adalah untuk mengelakkan pelajar-pelajar di San Francisco terlibat dengan aktiviti-aktiviti tidak sihat selepas waktu persekolahan). Di premis mereka disediakan pelbagai kemudahan seperti kolam renang, gimnasium, studio, bilik permainan, bilik seni dan lain-lain lagi. Di Dallas pula, kami berkunjung ke Heart House, juga institusi bukan kerajaan yang mula beroperasi sejak pertengahan 1990-an dan kini mempunyai seramai 120 orang pelajar. Mereka memberikan khidmat pendidikan tidak rasmi (selepas waktu persekolahan) khusus kepada anak-anak pelarian dari pelbagai negara yang memulakan kehidupan baru di Dallas.

Perpustakaan di Amerika Syarikat turut memainkan peranan penting dalam menyokong sistem pendidikan di negara tersebut. Perpustakaan Kongres sebagai contoh, menyediakan bahan-bahan pembelajaran (termasuk sumber primer dalam bentuk digital) yang boleh diperoleh melalui website mereka dan digunakan oleh guru-guru dalam pengajaran mereka di sekolah. Salt Lake County Library Services pula, selain ruang bacaan dan pembelajaran yang selesa serta alat bantu dengan teknologi terkini yang disediakan di perpustakaan mereka, turut menawarkan pelbagai program kreatif sebagai sokongan kepada pendidikan anak-anak dan ibu bapa. Antara program tersebut ialah 1,000 Books Before Kindergarten, Books for Baby, Storytimes, Vroom App, WeeLearn, BrainFuse dan Telescope Lending Program.

Dua lagi institusi di Dallas yang kami lawati yang memberikan sokongan kepada pembangunan pendidikan dan sosial ialah Region 10 dan CitySquare. Region 10 adalah salah satu daripada 20 pusat perkhidmatan regional yang ditubuhkan oleh Texas State Legislature dengan tujuan untuk memberikan kursus latihan dan pembangunan profesional kepada guru-guru di Texas. Manakala CitySquare adalah sebuah badan yang mempunyai objektif untuk membanteras masalah kemiskinan dan gelandangan dalam kalangan warga Dallas. Antara yang mereka usahakan ialah CitySquare Food Pantry yang memberikan peluang kepada golongan sasaran untuk mengambil apa sahaja barangan makanan yang mereka perlukan setiap 15 hari sekali.

Gambar 32: Bersama Ms. Erin Gutierrez (Pengarah, Pembelajaran & Pembangunan) di Boys & Girls Club of San Francisco

Gambar 33: Gimnasium yang terdapat di Boys & Girls Club

Gambar 34: Sesi bersama Ketua Pegawai Eksekutif Heart House, Ms. Lenita Dunlap

Gambar 35: Antara ruang pembelajaran yang terdapat di Heart House

Gambar 36: Bersama Ms. Kaleena Black (Educational Resources Speacialist, Learning and Innovation Office) di Perpustakaan Kongres

Gambar 37: Lawatan ke Salt Lake County Library Services

Gambar 38: Bersama pegawai-pegawai Region 10 di Dallas

Gambar 39: Antara kemudahan latihan dan pembangunan guru yang disediakan di Region 10 

Gambar 40: Bangunan yang didirikan oleh CitySquare untuk menempatkan stok makanan dan diagihkan kepada warga Dallas yang memerlukan

Gambar 41: Kami diberi peluang melaksanakan kerja-kerja harian yang dilakukan oleh sukarelawan di CitySquare 

Subjek pendidikan agama tidak ditawarkan di sekolah awam di Amerika Syarikat. Justeru pelbagai institusi pendidikan swasta ditubuhkan (kebiasaannya oleh organisasi berkaitan agama) dengan tujuan untuk membekalkan ilmu pendidikan agama kepada generasi muda. Alhamdulillah, melalui IVLP ini kami turut dibawa menziarahi beberapa institusi pendidikan berteraskan agama yang dijalankan sama ada secara sepenuh masa atau separuh masa. Sememangnya lawatan ini sangat memberikan manfaat memandangkan profesion kami yang terlibat secara langsung dalam institusi pendidikan agama di Malaysia.

Institusi pendidikan agama pertama yang kami lawati di Amerika Syarikat ialah Al Fatih Academy (AFA), sebuah sekolah swasta di bawah Muslim Education Resource Council, Inc. (MERCI) yang terletak di Virginia. Sekolah tersebut kini mempunyai 292 orang pelajar dan melaksanakan sistem pembelajaran bermula di peringkat pra-sekolah hingga Gred 8. Selain subjek berkaitan agama Islam (termasuk pendidikan Al-Quran dan bahasa Arab), subjek akademik seperti Sains, Matematik, Bahasa Inggeris dan Pengajian Sosial turut ditawarkan yang memenuhi piawaian Virginia’s Standards of Learning (SOLs). 

Semasa di San Francisco pula, kami telah berkunjung ke Zaytuna College, institusi pengajian tinggi Islam yang pertama ditubuhkan di Amerika Syarikat. Kolej yang memulakan operasinya pada 1996 ini  diasaskan antaranya oleh Sheikh Hamza Yusuf, seorang sarjana Islam terkenal yang juga merupakan Presiden kolej tersebut. Zaytuna College menawarkan kurikulum yang memberikan para pelajarnya asas mengenai warisan intelektual dua tamadun utama dunia; tamadun Islam dan Barat. Selain pembelajaran di dalam kelas, para pelajar kolej ini turut didedahkan dengan aktiviti bersama komuniti setempat; sebahagiannya menjadi tutor atau mentor kepada anak-anak muda di kawasan mereka, manakala sebahagian yang lain menjalankan pelbagai aktiviti khidmat masyarakat. 

Institusi masjid turut menjadi pusat pendidikan agama Islam yang utama di Amerika Syarikat. Di Salt Lake City, kami menziarahi Khadeeja Islamic Center, sebuah masjid yang siap dibina sepenuhnya pada tahun 2001. Masjid ini menjadi tempat perkumpulan utama masyarakat Islam di Salt Lake City, sama ada dalam aktiviti-aktiviti ibadah mahu pun sosial. Ia adalah kemudahan Muslim terbesar di negeri Utah. Dalam bidang pendidikan, masjid ini menawarkan 'Sunday School' untuk anak-anak berumur 5 hingga 16 tahun mendalami ilmu agama Islam dan sehingga kini mempunyai lebih 200 orang pelajar. 

Sebuah lagi organisasi yang kami kunjungi yang menjadikan masjid sebagai pusat pendidikan agama Islam ialah Valley Ranch Islamic Center (VRIC) yang beroperasi di Irving, Texas. VRIC yang ditubuhkan pada 2009 menjalankan usaha pendidikan Islam (termasuk program hafazan Al-Quran) kepada para pelajarnya. Selain pendidikan, VRIC turut aktif memberikan khidmat kepada komuniti di kawasan Valley Ranch, Las Colinas dan Coppell dalam pelbagai aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan.

Sewaktu berada di Salt Lake City, kami turut dibawa melawat pusat pentadbiran dan institusi pendidikan The Church of Jesus Christ of Latter-day Saints (atau dikenali juga sebagai Mormon). Usaha pendidikan mereka yang bermula pada tahun 1912 (dengan jumlah pelajar seramai 70 orang), kini mereka telah mempunyai bilangan pelajar berjumlah 735,991 orang di seluruh dunia. Institusi pendidikan mereka terbahagi kepada dua kategori utama, Seminary (umur 12-18 tahun) dan Institute (umur 18-30 tahun). Di institusi pendidikan mereka, pelajar-pelajar akan mengikuti pengajaran berkaitan agama Kristian bersumberkan kitab Bible. Kebiasaannya Seminary dan Institute ini akan didirikan berhampiran dengan institusi pendidikan awam bagi memudahkan pelajar-pelajar hadir ke kelas agama anjuran mereka.

Gambar 42: Bangunan Al Fatih Academy di Virginia

Gambar 43: Bersama Ms. Pervin Divleli (Co-Founder & Head of School) dan Ms. Afeefa Syeed (Co-Founder & Chief Inspirational Officer) di Al Fatih Academy

Gambar 44: Bilik kaunseling di Al Fatih Academy yang dihias secara kreatif

Gambar 45: Sesi bersama Provos Zaytuna College di Berkeley, Dr. Omar Qureshi (tengah), turut bersama kami ialah Saudara Dani (dua dari kanan), satu-satunya penuntut Zaytuna College dari Malaysia

Gambar 46: Salah sebuah bangunan akademik di Zaytuna College

Gambar 47: Bangunan Masjid Khadeeja Islamic Center di Salt Lake City, Utah

Gambar 48: solat Jumaat di Masjid Khadeeja Islamic Center bersama komuniti Muslim dari lebih seratus negara

Gambar 49: Buku teks yang digunakan dalam program Sunday School di Masjid Khadeeja Islamic Center

Gambar 50: Bangunan Masjid Valley Ranch Islamic Center (VRIC) di Irving, Texas

Gambar 51: Taklimat mengenai Masjid VRIC disampaikan oleh Mr. Fuad M. Dadabhoy (Principal Consultant)

Gambar 52: Bilik kaca kalis bunyi di Masjid VRIC yang digunakan untuk program Hafazan Al-Quran

Gambar 53: Rombongan kami diperkenalkan kepada pelajar-pelajar di East High School Seminary, The Church of Jesus Christ of Latter-day Saints

Gambar 54: Sesi dialog bersama pelajar-pelajar University of Utah yang turut menimba ilmu agama di Institute of Religion, The Church of Jesus Christ of Latter-day Saints

Demikian catatan ringkas pengalaman saya bersama teman-teman IVLP sepanjang 21 hari berada di Amerika Syarikat. Secara peribadi, lawatan sambil belajar ini sangat bermakna kepada saya, malah benar-benar membuka mata saya mengenai realiti sebenar negara “Uncle Sam”. Bak kata pepatah, “Tak kenal maka tak cinta”. Bila sudah mengenali negara Amerika Syarikat dan rakyatnya, sebenarnya banyak juga perkara kebaikan yang boleh kita timba daripada mereka.

Mungkin selama ini kita rakyat Malaysia mendapat lebih banyak gambaran negatif mengenai negara Amerika Syarikat, berbanding sisi yang positif. Sejak dahulu media massa kita memaparkan tindak-tanduk kerajaan Amerika Syarikat yang sering menimbulkan konflik dan persengketaan dengan negara-negara lain di dunia. Melalui media juga kita mengenali Amerika Syarikat sebagai sebuah negara yang terkenal dengan pelbagai jenayah dan kegiatan tidak bermoral dalam kalangan rakyatnya. Perkahwinan sejenis juga kini menjadi perkara yang dibenarkan oleh undang-undang di beberapa negeri di Amerika Syarikat.

Saya teringat satu cerita rakan saya yang turut menyertai IVLP ini. Apabila beliau memberitahu kenalannya mengenai penyertaan beliau ke IVLP, lantas beliau ditanyakan soalan, “Tidak ada negara lainkah yang kamu boleh pergi?” Pengalaman saya pula, menjelang tarikh pemergian saya ke Amerika Syarikat, ada ahli keluarga yang risau takut-takut saya ditahan di balai imigresen di sana, memandangkan nama saya ada perkataan “Muhammad”. 

Reaksi sebegini sebenarnya tidaklah terlalu menghairankan. Dunia mengetahui kerajaan Amerika Syarikat mencanang Islamofobia, terutamanya pasca kemusnahan bangunan World Trade Center (WTC) pada 11 September 2001. Amarah umat Islam di Malaysia pastinya masih berbekas dek serangan tentera Amerika Syarikat ke atas Afghanistan dan Iraq beberapa tahun selepas itu. Pada waktu ini pun kerajaan Amerika Syarikat dilihat bersikap ‘berat sebelah’ dalam konflik Palestin-Israel. Rejim Zionis terus bermaharajalela menjarah bumi Palestin kerana ada ‘abang besar’ yang memberikan sokongan. Bangunan Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia pula sering menjadi tempat perhimpunan umat Islam meluahkan perasaan dan menyatakan pendirian secara aman.

Malah mungkin ada juga yang beranggapan, disebabkan kebencian melampau Amerika Syarikat terhadap agama Islam, maka penduduk Muslim di negara tersebut turut sama ditindas. Dengan hanya sekitar 1.1 peratus (3.45 juta) daripada jumlah keseluruhan penduduk Amerika Syarikat yang beragama Islam (data US Cencus, 2017), pasti menjadi masalah untuk mereka mengamalkan ajaran agama dalam kehidupan. Tanggapan ini dikuatkan lagi dengan hasil soal selidik yang dilakukan oleh Pew Research Center kepada responden beragama Islam di Amerika Syarikat pada 2017 yang menunjukkan 75 peratus daripada mereka mengatakan terlalu banyak diskriminasi terhadap umat Islam di negara tersebut, 68 peratus mengatakan Presiden Trump menakutkan mereka, 62 peratus mengatakan orang Amerika tidak melihat Islam sebagai sebahagian daripada masyarakat arus perdana, 60 peratus mengatakan media Amerika Syarikat tidak memaparkan Islam secara adil, dan 50 peratus mengatakan kehidupan mereka menjadi lebih sukar dalam beberapa tahun terakhir ini. 

Alhamdulillah, melalui IVLP ini kami dipertemukan dengan rakan-rakan beragama Islam di Amerika Syarikat. Bukan sahaja warga tempatan, malah pada masa terluang kami juga dapat bersua dengan komuniti Melayu Malaysia yang telah lama bermastautin di sana. Bila berbual dengan mereka, keadaan yang mereka gambarkan mengenai kehidupan Muslim di Amerika Syarikat seolah-olah tidak seperti yang dipaparkan oleh statistik-statistik di atas. Mereka hidup dalam suasana masyarakat majmuk yang aman dan harmoni, malah lebih penting lagi, mereka dapat melaksanakan amalan-amalan agama tanpa sebarang halangan. Masjid-masjid dan institusi pendidikan Islam juga semakin banyak didirikan di seluruh Amerika Syarikat. 

Melalui IVLP ini juga kami dapat berinteraksi dengan warga tempatan yang berlainan agama dan budayanya dengan kami. Sudah pasti perbezaan ini tidak menghalang kami untuk berkenalan lebih rapat dengan mereka. Paling akrab dengan kami ialah dua orang pegawai daripada Jabatan Negara Amerika Syarikat iaitu Shawn Callanan dan Dr. Laurence Fisher (Shawn beragama Kristian Roman Katolik manakala Dr. Laurence adalah penganut agama Yahudi). Merekalah yang mengiringi kami dan banyak membantu mempermudahkan urusan kami sepanjang tiga minggu di Amerika Syarikat. Malah melalui mereka juga saya belajar budaya-budaya positif yang berakar umbi dalam masyarakat mereka (yang masih belum menjadi budaya masyarakat kita di Malaysia). Selain itu ada juga aktiviti yang disusun yang membolehkan kami berkunjung ke rumah penduduk tempatan dan beramah mesra dengan mereka. Sehingga kini saya masih terkenangkan layanan baik mereka kepada kami. 

Saya juga masih ingat satu dialog salah seorang daripada mereka kepada kami, “Jangan anggap segala tindakan Kerajaan Amerika Syarikat adalah pendirian keseluruhan rakyat Amerika...” Tidak sukar untuk saya mengerti maksud mereka. Sudah pasti ada dasar-dasar kerajaan yang tidak mereka persetujui, termasuk yang melibatkan hubungan antara negara. Presiden Amerika Syarikat sekarang, Donald Trump pun sebenarnya tidak digemari oleh majoriti rakyat Amerika. Malah sewaktu saya masih berada di sana, Trump sedang berdepan undi tidak percaya di Dewan Perwakilan kerana salah guna kuasa (kali ketiga dalam sejarah Kongres Amerika Syarikat). 

Peluang pendidikan yang sama rata yang diberikan kepada semua penduduk Amerika Syarikat wajar dipuji dan jika sesuai, dicontohi juga oleh Malaysia. Di sana saya menyaksikan usaha murni sekolah-sekolah awam (dan sekolah piagam awam) yang menyediakan pendidikan percuma dan terbaik bukan sekadar kepada warganegara mereka sahaja, bahkan juga kepada anak-anak pendatang asing yang majoritinya merupakan pelarian. Di Oakland International High School misalnya, guru-gurunya begitu komited memastikan anak-anak bukan warganegara ini dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik melalui pelbagai pendekatan yang kreatif dan efektif. Community School for Creative Education pula, kami difahamkan jika ada anak-anak warga asing kerap tidak hadir ke sekolah, guru sekolah tersebut akan menziarahi keluarga pelajar terlibat dan mengambil tahu permasalahan mereka. Satu lagi pengalaman saya di Heart House di Dallas, saya terkejut melihat statistik pelajar di situ yang ada dalam kalangan mereka dikatakan berasal dari Malaysia. Lantas saya bertanya kepada mereka, “Ada juga anak pelarian dari Malaysia?” Rupa-rupanya mereka adalah orang Rohingya yang sudah beberapa tahun tinggal di Malaysia dan kemudiannya dibawa ke Amerika Syarikat bagi mendapatkan pendidikan yang lebih sempurna di sana. Nah, lihatlah begitu tinggi nilai kemanusiaan pada diri bangsa Amerika yang selama ini mungkin kita tidak pernah mengetahuinya. 

Sesungguhnya banyak lagi yang saya pelajari melalui kembara ke Amerika Syarikat ini. Mana-mana manfaat lain yang saya peroleh berkaitan pendidikan, akan saya utarakan secara khusus kepada Pusat Pendidikan Al-Amin Berhad. Itulah juga antara objektif utama saya ke sana. Jika ada manfaat dari sudut dakwah pula, akan saya sesuaikan dengan penglibatan saya bersama Hidayah Centre Foundation. Namun jika ada pihak lain yang berminat untuk sama-sama mencedok segala manfaat ini, saya bersedia untuk berkongsikannya melalui program-program yang sesuai. 

Alhamdulillah, impian saya selama ini untuk menjejaki bumi Amerika Syarikat telah menjadi kenyataan. Sudah pasti ia adalah nikmat dan pemberian daripada Tuhan yang wajib saya syukuri. Kesibukan bandar Washington, D.C., kelembutan bayu pantai San Francisco, kedinginan hujan salji yang menusuk tulang di Salt Lake City dan kederasan larian kuda-kuda “Cowboy” di Dallas pastinya menjadi kenangan berharga yang tidak akan saya lupakan sepanjang hidup ini. 

Gambar 55: Hotel penginapan penulis dan rakan-rakan IVLP di Washington, D.C.

Gambar 56: Sayup-sayup kelihatan Washington Monument, salah satu mercu tanda di Washington, D.C.

Gambar 57: Aktiviti menonton teater bertajuk “Christmas Carol” bersempena perayaan Hari Natal yang bakal menjelang

Gambar 58: Rakan-rakan rakyat Malaysia membawa kami makan malam di Virginia

Gambar 59: Penulis bersama Ustaz Faisal Tan (kiri) yang merupakan Atase Pendidikan di Kedutaan Malaysia di Amerika Syarikat

Gambar 60: Menziarahi Islamic Center of Washington yang terletak di Massachusetts Avenue 

Gambar 61: Golden Gate Bridge, salah satu visata tumpuan pelancong di San Francisco

Gambar 62: Menyaksikan pokok-pokok tertua dan tertinggi di dunia di Muir Woods

Gambar 63: Pemandangan indah bandar San Francisco dari Twins Peak

Gambar 64: Solat Jumaat di Darussalam Mosque Islamic Society of San Francisco yang terletak di deretan kedai di Jones Street

Gambar 65: Beramah mesra dengan Mr. Steve Fisher dan isterinya di rumah mereka di luar San Francisco

Gambar 66: Bersama Ms. Jane Dewitt (Associate Dean of Academic Planning) di San Francisco State University

Gambar 67: Menara jam di dalam kawasan kampus University of California di Berkeley

Gambar 68: Memerhatikan kumpulan anjing laut yang singgah berehat di Fishermans Wharf

Gambar 69: Hujan salji turun dengan lebatnya pada hari keempat keberadaan kami di Salt Lake City, kali pertama dalam hidup penulis menyaksikan salji di hadapan mata!

Gambar 70: Temple Square pada waktu malam di Salt Lake City yang dihiasi lampu-lampu Krismas yang berwarna-warni

Gambar 71: Suasana pagi hujung minggu di Winter Market at Rio Grande

Gambar 72: Antara objek pameran di Natural History Museum of Utah yang mula dibuka pada 1963

Gambar 73: Park City di Utah, pusat peranginan bertaraf dunia dan pernah menjadi lokasi pertandingan Sukan Olimpik Musim Sejuk pada 2002 

Gambar 74: Aktiviti “Home Hospitality” di rumah pasangan Mr. Ken Ashcraft dan Ms. Danielle Turner yang tinggal di South Fairoaks Drive di Salt Lake City

Gambar 75: Menonton pertunjukan Mormon Tabernacle Choir “Music and the Spoken World” di Temple Square

Gambar 76: Melawat bangunan Family History Library di Salt Lake City

Gambar 77: Bersama komuniti Melayu Malaysia yang bermastautin di Dallas

Gambar 78: Tuan Abdul Rahman Saleh (tengah) membawa kami melawat bangunan sekolah Islam di Irving

Gambar 79: Suasana di dalam Dallas Farmers Market yang dibuka sejak tahun 1941

Gambar 80: Kemeriahan pada waktu malam di Gaylord Texan Resort menjelang Perayaan Hari Natal

Gambar 81: Fort Worth, bandar yang paling pantas berkembang di Amerika Syarikat dari segi jumlah penduduk (data U.S. Cencus Bureau) 

Gambar 82: Menonton pertunjukan di Texas Rodeo Cowboy di Fort Worth

Gambar 83: Penulis di sisi gambar Larry Hagman, salah seorang pelakon utama drama bersiri “Dallas” yang pernah disiarkan di televisyen pada 1978 hingga 1991

Gambar 84: Dari Dallas ke Kuala Lumpur, selamat tinggal dan semoga jumpa lagi Amerika Syarikat!

Monday, April 1, 2019

Brunei: Kuasa Islam di Nusantara Abad ke-16

Oleh Wan Am

Brunei Darussalam merupakan sebuah negara yang terletak di utara Pulau Borneo. Walaupun bersaiz kecil, Brunei diiktiraf sebagai salah sebuah negara maju di dunia dan kaya dengan sumber minyak dan gas. Seperti Malaysia, Brunei juga pernah berada di bawah jajahan kolonial Inggeris dan mencapai kemerdekaan pada 1 Januari 1984. Kini negara Brunei terbahagi kepada empat daerah besar iaitu Belait, Tutong, Brunei Muara dan Temburong. Ketika permusafiran singkat saya ke Brunei pada 24 hingga 26 November 2018, saya menetap di rumah sahabat saya di Jerudong yang terletak di dalam daerah Brunei Muara.

Brunei adalah tempat di mana ibu saya dibesarkan oleh ayah angkatnya yang berasal dari Johor. Pada tahun 1960-an, datuk angkat saya tersebut pernah dilantik sebagai Penyusun dan Pengelola Sekolah-sekolah Agama Brunei dan beliau bertanggungjawab secara langsung dalam mengembangkan pendidikan agama Islam di negara tersebut. Ketika itu Sultan Brunei, Sultan Haji Omar Ali Saifuddien memberikan perhatian yang bersungguh-sungguh terhadap perkembangan pendidikan agama Islam di Brunei, termasuk penubuhan sekolah-sekolah agama. Usaha ini telah mendapat kerjasama daripada Kerajaan Johor dan kemudiannya membolehkan Kerajaan Brunei membangunkan sistem pendidikan agama Islam dengan sebaiknya.

Tamadun di Brunei dikatakan bermula pada abad ke-14 Masihi, sejajar dengan perkembangan agama Islam di alam Melayu pada waktu itu. Kenyataan ini dibuktikan melalui tinggalan-tinggalan arkeologi serta dokumen bertulis, termasuk dari sumber luar. Sebelum itu tiada sumber yang jelas yang menunjukkan Brunei mencapai ketamadunannya semasa di bawah pengaruh Srivijaya dan Majapahit. Agama Islamlah yang telah membuatkan orang-orang Brunei mengecap kemajuan dalam kehidupan mereka dan fakta ini tidak dipertikaikan oleh ahli-ahli sejarah. 

Gambar 1: 24 November 2018, penulis menjejakkan kaki di Brunei setelah meninggalkannya lebih 30 tahun dahulu

Gambar 2: Perbandingan nilai mata wang Dollar Brunei dengan Ringgit Malaysia (1 Dollar Brunei bersamaan RM3.125)

Gambar 3: Menikmati masakan Brunei, termasuk makanan tradisi Ambuyat (diperbuat daripada tepung sagu)

Seperti di belahan Nusantara yang lain, Islam dipercayai berkembang di Brunei hasil usaha para mubaligh yang datang dari negara Arab, China dan India. Walaupun Islam dikatakan telah sampai di Brunei sejak awal abad ke-10 Masihi (menurut sumber-sumber Cina), namun hanya pada abad ke-14 Masihi Islam menjadi agama anutan penduduk Brunei secara keseluruhannya. Antara individu paling berjasa “mengislamkan” Brunei ialah Syarif Ali, seorang pendakwah Arab yang berkahwin dengan puteri Sultan Brunei dan kemudiannya menaiki takhta kerajaan Brunei setelah kemangkatan ayahanda mentuanya. Sudah pasti dengan kedudukan tersebut memudahkan baginda mengembangkan ajaran Islam kepada rakyatnya, malah baginda jugalah yang membina masjid pertama di Brunei. 

Fakta-fakta bertulis juga memaparkan kegemilangan dan kemakmuran Kesultanan Brunei sebagai kerajaan Islam, malah juga sebagai pusat kegiatan dan penyebaran agama Islam pada abad ke-16. Keadaan ini telah menarik perhatian dua kuasa besar Eropah iaitu Portugis dan Sepanyol yang datang ke Asia Tenggara pada watu itu dan bercita-cita untuk menguasai laluan perkapalan di Laut China Selatan dan Laut Sulu, juga membawa misi menyebarkan ajaran Kristian kepada warga tempatan. Kekuasaan Brunei sudah pasti dilihat sebagai ancaman kepada mereka untuk merealisasikan cita-cita tersebut. 

Kekuatan Kerajaan Islam Brunei jugalah yang telah berjaya menafikan percubaan Portugis dan Sepanyol untuk menakluk mereka. Buktinya, apa yang dilakukan oleh Portugis terhadap Melaka pada tahun 1511 tidak berjaya mereka ulangi di Brunei. Kekuatan ketenteraan Kerajaan Brunei telah membatalkan hasrat mereka untuk menyerang negara tersebut secara langsung, sebaliknya hanya menumpukan kepada usaha diplomasi bagi mencapai objektif mereka untuk menguasai jalan perdagangan. Usaha Sepanyol kemudiannya untuk menguasai Brunei melalui cara kekerasan juga tidak berjaya. Walaupun serangan demi serangan terhadap Brunei dilancarkan, namun usaha mereka menemui kegagalan dek kerana kekuatan ketenteraan dan benteng pertahanan Kerajaan Brunei serta taktik peperangan yang berjaya melemahkan mereka.

Gambar 4: Penulis bersiar-siar di Bandar Seri Begawan, ibu kota negara Brunei Darussalam

Gambar 5: Makam Sultan Syarif Ali (tahun memerintah 1425-1432) yang terletak di Kota Batu 

Keunikan Brunei berbanding negara-negara Islam yang lain boleh ditinjau melalui peranan institusi masjid. Sejak kedatangan Islam, masjid menjadi pusat kegiatan utama dalam kehidupan masyarakat Brunei. Masjid adalah tapak pertama di mana Sultan Syarif Ali menyampaikan ajaran Islam kepada rakyat jelata. Kejayaan orang-orang Brunei menghalau keluar orang-orang Sepanyol yang telah membakar masjid mereka ketika pemerintahan Sultan Saiful Rijal turut membuktikan kedudukan masjid yang begitu istimewa di dalam sanubari warganya sejak zaman-berzaman.

Hari ini masjid menjadi pusat perkumpulan dan penyatuan umat Islam di Brunei. Masjid-masjid dibangunkan melalui cara bergotong-royong oleh pelbagai lapisan masyarakat. Selain tempat beribadat, masjid di Brunei juga menjadi pusat pelbagai kegiatan sosial masyarakat seperti majlis-majlis perkahwinan dan hari kebesaran Islam, serta berperanan penting dalam bidang pendidikan agama Islam melalui penganjuran kelas-kelas pembelajaran Al-Quran, kursus-kursus, ceramah keagamaan dan sebagainya.

Kepentingan institusi masjid di Brunei juga boleh disingkap melalui kewujudan jawatan-jawatan utama berkaitan masjid oleh baginda Sultan. Seramai lima orang Manteri Agama (diketuai oleh Pehin Datu Seri Maharaja yang merupakan Kepala Manteri Agama, selebihnya ialah Pehin Datu Imam, Pehin Siraja Khatib, Pehin Tuan Imam dan Pehin Udana Khatib) mempunyai peranan tersendiri dalam segenap segi kehidupan beragama di Brunei, termasuk berkaitan hal ehwal masjid. Mereka juga menjadi tempat rujukan pemerintah dan masyarakat berkaitan urusan keagamaan dan pentadbiran negara.

Salah sebuah masjid bersejarah di Brunei yang terletak di Bandar Seri Begawan ialah Masjid Omar Ali Saifuddien. Masjid ini dibuka secara rasminya pada 26 September 1958 dan merupakan Masjid Negara yang pertama yang boleh memuatkan sekitar 3000 orang jemaah. Masjid ini juga diiktiraf sebagai salah sebuah masjid tercantik di dunia. Perkara lain yang menarik mengenai masjid ini ialah kubah utamanya yang disaluti dengan emas tulen.

Bersebelahan dengan masjid ini terdapat sebuah replika kapal abad ke-16 yang dinamakan Bahtera Mahligai. Ia dibina pada tahun 1967, bersempena ulang tahun sambutan Nuzul Al-Quran ke-1400. Ia pernah digunakan sebagai astaka pertandingan musabaqah Al-Quran pada penghujung tahun 1960-an sehingga awal tahun 1970-an. 

Gambar 6: Masjid Omar Ali Saifuddien di Bandar Seri Begawan menjadi simbol kejayaan Islam di Brunei

Gambar 7: Bahtera Mahligai, replika di tengah lagun bersebelahan Masjid Omar Ali Saifuddien

Gambar 8: Masjid Al-Ameerah Al-Hajah Maryam, masjid di Jerudong yang aktif dengan pelbagai kegiatan agama dan kemasyarakatan

Gambar 9: Dewan solat utama Masjid Al-Ameerah Al-Hajah Maryam yang indah dan mendamaikan

Di Brunei, Tulisan Jawi digunakan dengan begitu meluas. Tulisan Jawi hampir kelihatan di setiap papan tanda yang terdapat di Brunei, begitu juga dengan penerbitan pelbagai bahan bercetak dalam tulisan tersebut. Sebenarnya Brunei adalah satu-satunya negara di alam Melayu yang masih mengekalkan penggunaan Tulisan Jawi dalam seluruh sektornya. Hal ini turut menjadi daya tarikan kepada para pelawat yang datang berkunjung ke Brunei.

Tulisan Jawi merupakan salah satu sistem tulisan rasmi di Brunei, bersesuaian dengan status negara tersebut sebagai sebuah negara Islam. Keseriusan Kerajaan Brunei untuk memartabatkan Tulisan Jawi, antaranya dibuktikan melalui surat pekeliling Jabatan Perdana Menteri Brunei bilangan 21/1988 yang menjadikan Tulisan Jawi sebagai sebahagian daripada peraturan negara. Kanak-kanak di Brunei juga mendapat pendedahan awal kepada Tulisan Jawi bagi membolehkan tulisan ini terpelihara dan diwarisi dari satu generasi ke satu generasi.

Tulisan Jawi sudah berakar umbi di Brunei sejak abad ke-15 Masihi lagi. Pada waktu itu, Tulisan Jawi terpahat di batu nisan tokoh-tokoh besar Brunei, termasuk Sultan Syarif Ali sendiri. Tulisan Jawi semakin popular digunakan pada kurun berikutnya dalam dokumen-dokumen bertulis yang penting di Brunei, termasuk surat-surat perjanjian, kitab-kitab agama dan penulisan sastera. Malah orang-orang luar yang datang ke Brunei perlu menguasai Tulisan Jawi jika ingin berinteraksi dengan lebih baik dengan penduduk tempatan. Ternyata Tulisan Jawi mempunyai kedudukan yang tinggi dan pengaruh yang besar di Brunei sejak dahulu hingga kini. 

Gambar 10: Contoh penggunaan Tulisan Jawi pada papan tanda kedai runcit

Gambar 11: Contoh penggunaan Tulisan Jawi pada bahan penerbitan bercetak

Dari segi perkembangan Islam di Brunei, statistik terkini menunjukkan 67 peratus rakyat Brunei adalah beragama Islam. Selebihnya adalah penganut agama Buddha (14%), Kristian (9.7%) dan lain-lain (12%). Sebagai sebuah negara Islam, keadaan ini dimanfaatkan oleh badan dakwah di Brunei untuk menyampaikan risalah Islam kepada takungan bukan Muslim yang agak besar, terutamanya warga tempatan dalam kalangan orang Cina, Iban, Kedayan, Kayan, Kenyah, Kiput, Muru, Dusun dan Tutung.

Alhamdulillah, diberitakan begitu ramai mualaf baru di Brunei setiap tahun. Berdasarkan data sepuluh tahun terakhir, terdapat sekitar 12,000 orang telah memeluk agama Islam di Brunei. Berdasarkan jumlah tersebut sudah pasti usaha pengukuhan akidah dan kebajikan begitu signifikan bagi memastikan golongan mualaf terus istikamah dalam mengamalkan ajaran Islam.

Antara organisasi penting yang bertanggungjawab terhadap golongan mualaf di Brunei ialah Pusat Dakwah Islamiah Brunei Darussalam (PDI). Badan ini mula beroperasi pada 1 Januari 1985 dan bernaung di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei. Melalui PDI, pelbagai usaha pendidikan, kebajikan dan pemantauan terhadap golongan mualaf yang dijalankan bagi memenuhi segala keperluan mereka sebagai saudara baharu dalam Islam.

Antara inisiatif PDI terhadap golongan mualaf adalah penganjuran kelas-kelas khas bagi menjawab semua pertanyaan mereka tentang Islam. Kursus-kursus lanjutan juga ditawarkan bagi mualaf yang ingin memahami agama Islam dengan lebih mendalam. Pihak kerajaan turut memberikan sumbangan wang secara berkala kepada mualaf (juga kepada tanggungan mereka) untuk digunakan sebagai perbelanjaan harian.

Selain itu, pihak kerajaan juga melaksanakan program peningkatan keupayaan mualaf dalam bidang kemahiran hidup dan keterampilan diri, bertujuan menjadikan mereka lebih mandiri dan berdaya saing. Bagi mereka yang telah selesai mengikuti program tersebut, PDI akan memberikan sejumlah modal perniagaan untuk mereka mengembangkan pendapatan. Seterusnya, pihak kerajaan akan menanggung kos produk hasil usaha para mualaf untuk dipasarkan oleh PDI. Modal dan keuntungan setelah pemasaran akan dipulangkan kembali kepada mualaf agar mereka dapat mengembangkan perniagaan dengan lebih meluas.

Selain aspek rohani, intelektual dan ekonomi, PDI juga turut mengambil berat terhadap aspek kesihatan jasmani mualaf. PDI mengadakan kerjasama dengan pihak hospital dan petugas kesihatan yang akan secara langsung memantau tahap kesihatan fizikal mualaf. Hal ini bertujuan memastikan para mualaf akan sentiasa mempunyai tubuh badan yang sihat bagi melaksanakan amal ibadat serta seluruh kegiatan harian mereka.

Sesungguhnya program bersepadu yang dilakukan secara sistematik oleh PDI ini telah membuatkan golongan mualaf di Brunei merasa diri mereka begitu dihargai dan terus teguh untuk bersama dalam agama Islam. Dengan sokongan sedemikian, tidak pernah kedengaran di Brunei isu mualaf yang menjadi papa dan hidup melarat, apatah lagi untuk mereka kembali ke agama asal. Mungkin ini juga salah satu faktor yang menarik lebih ramai warga Brunei untuk memeluk Islam dari semasa ke semasa.

Perkembangan Islam di Brunei juga boleh ditinjau dari aspek undang-undang. Ketika artikel ini sedang ditulis, Kerajaan Brunei sedang merancang untuk melaksanakan undang-undang Syariah dengan kanun keseksaan yang baru. Brunei sebenarnya sudah mula memperkenalkan undang-undang jenayah Islam secara berperingkat sejak 2014. Pada 29 Disember 2018, Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei melalui Jabatan Peguam Negara Brunei telah mengeluarkan makluman bahawa Arahan Kanun Keseksaan Syariah 2013 akan berkuat kuasa bermula 3 April 2019.

Arahan Kanun Keseksaan Syariah tersebut adalah undang-undang Syariah yang melaksanakan sepenuhnya hukum jenayah Islam yang terbahagi kepada hudud, qisas dan takzir. Tujuan undang-undang ini, selain daripada menghalang perbuatan jenayah dan mencegahnya agar tidak bertentangan dengan Islam, juga adalah untuk mendidik, menghormati dan melindungi semua hak secara sah dari individu, masyarakat atau warga negara tanpa mengira agama dan bangsa.

Gambar 13: Rakan penulis di Brunei, Saudara Samira (kanan) merupakan seorang mualaf berketurunan Dusun

Gambar 14: Bangunan Pusat Dakwah Islamiah Brunei Darussalam

Monday, September 10, 2018

Dili: Sinar Dari Kota ‘Portugis Timur’

Oleh Wan Am

Lapangan terbang Presidente Nicolau Lobato International di Dili menjadi tempat mendarat pesawat Citilink yang saya naiki pada tengah hari Khamis, 30 Ogos 2018. Akhirnya saya bersama seorang teman, Saudara Hannan Aminuddin sampai juga di negara Timor Leste setelah mengharungi tempoh perjalanan yang panjang dan memerlukan kami bermalam di Lapangan Terbang Ngurah Rai di Denpasar, Bali sebelum meneruskan penerbangan ke Dili. Ibu negara Timor Leste tersebut hanya boleh dicapai melalui tiga bandaraya sahaja iaitu Singapura, Denpasar dan Darwin (Australia). Kami memilih laluan Kuala Lumpur-Denpasar-Dili kerana kos penerbangannya adalah paling murah berbanding laluan lain. 

Turun sahaja daripada pesawat, dalam suasana panas terik mentari, kami bergegas menghampiri bangunan terminal lapangan terbang berkenaan. Pelawat luar negara seperti kami perlu terlebih dahulu mendapatkan visa di sebuah kaunter khas yang boleh dibeli dengan harga USD30 sebelum melalui bahagian imigresen. Keluar sahaja dari balai ketibaan, kami disambut oleh Tuan Mohammad Anwar da Costa atau panggilan mesranya “Pak Anwar”. Beliau telah pun saya kenali sebelum ini dalam sebuah program yang diadakan di Kuala Lumpur. 

Pak Anwar merupakan Presiden Fundasaun An-Nur Dili, sebuah badan bukan kerajaan yang aktif dalam pelbagai kegiatan dakwah, pendidikan dan kebajikan di Timor Leste. Pak Anwar lahir dalam keluarga penganut Kristian Roman Katolik, sebelum memilih untuk memeluk Islam pada tahun 1982 ketika masih dalam usia kanak-kanak. Negara Malaysia amat dekat di hati Pak Anwar kerana beliau pernah menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia selama beberapa tahun pada awal dekad 2000-an. 

Gambar 1: Bersama Pak Anwar da Costa (kanan sekali) yang menyambut kami di lapangan terbang

Gambar 2: Bangunan terminal lapangan terbang di Dili

Dari lapangan terbang, Pak Anwar terus menuju ke hotel penginapan untuk kami meletakkan beg pakaian sebelum membawa kami keluar semula ke sebuah restoran berhampiran. Kami difahamkan oleh Pak Anwar, tidak banyak restoran halal yang terdapat di bandar Dili. Sambil menikmati juadah tengah hari, Pak Anwar menjelaskan serba ringkas tentang sejarah dan latar belakang negara Timor Leste kepada kami. 

Timor Leste dahulunya merupakan sebahagian daripada Republik Indonesia. Pada tahun 1999, berlaku pertelingkahan antara kumpulan pro-kemerdekaan dengan kumpulan anti-kemerdekaan, yang akhirnya membawa kepada kemerdekaan negara tersebut pada tanggal 20 Mei 2002. Timor Leste kemudiannya menjadi anggota rasmi dalam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan sehingga kini masih berstatus pemerhati dalam senarai Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN). Kini Timor Leste mempunyai populasi penduduk sekitar 1.2 juta orang.

Selepas makan tengah hari, Pak Anwar menghantar kami pulang semula ke hotel untuk berehat. Tiada apa-apa program khusus yang disusun untuk kami pada hari tersebut. Justeru pada sebelah petang saya mengambil kesempatan untuk keluar berjalan kaki meninjau kawasan sekitar. Saya bernasib baik kerana hotel kami terletak berhampiran dengan pantai Dili. Dapatlah saya melihat panorama alam yang indah sambil menyaksikan pelbagai gelagat warga tempatan yang menghabiskan masa petang mereka di tepian pantai tersebut. 

Menyusuri jalan pulang dari pantai ke hotel penginapan, saya terpandangkan setiap papan nama jalan yang ditulis dalam bahasa Portugis. Inilah sebenarnya bahasa rasmi negara Timor Leste. Malah kini Timor Leste adalah sebahagian anggota Community of Portuguese Language Countries. Dari sudut sejarah, Timor Leste dahulunya pernah berada di bawah penjajahan kolonial Portugis bermula tahun 1515 sebelum akhirnya menjadi sebahagian negara Indonesia pada 1974. Walaupun bahasa Portugis adalah bahasa kebangsaan, namun kebanyakan penduduk Timor Leste lebih menjadikan bahasa Tetum (bahasa tradisi) dan bahasa Indonesia sebagai bahasa pertuturan seharian mereka. 

Gambar 3: Antara restoran halal yang terdapat di bandar Dili

Gambar 4: Di tepian pantai Dili, sayup-sayup kelihatan Pulau Atauro di belakang penulis

Gambar 5: Papan nama jalan di Dili dalam bahasa Portugis

Awal pagi Jumaat, 31 Ogos 2018, selepas menunaikan solat Subuh, Pak Anwar membawa kami keluar untuk melawat bandar Dili. Ternyata bandarnya damai dan tenang, tiada kesesakan lalu lintas dan hiruk-pikuk manusia. Saya juga dapati tiada satu pun bangunan tinggi yang dibina di bandar yang mempunyai penduduk sekitar 250,000 orang ini. 

Pagi itu Pak Anwar turut membawa kami melawat Cristo Rei yang terletak di bahagian timur Dili. Cristo Rei merupakan nama yang diberikan kepada sebuah patung Jesus yang dibina di puncak Bukit Fatucama. Saya difahamkan Cristo Rei yang dirasmikan pada 15 Oktober 1996 (pada era Presiden Soeharto) ini adalah antara patung Jesus terbesar di dunia. Tidak hairanlah ia menjadi lokasi tumpuan pelancong paling popular di Dili dan menjadi simbol kepada agama Katolik yang merupakan agama majoriti di Timor Leste. 

Ketika Portugis menjajah Timor Leste (pada waktu itu dikenali sebagai Timor Portugis), mereka turut membawa semboyan Gospel bersamanya. Pihak gereja memainkan peranan penting dalam menyebarkan agama Katolik melalui usaha-usaha kebajikan dan pendidikan yang dijalankan. Sedikit demi sedikit rakyat Timor Portugis mula menjadi penganut Katolik (namun masih ramai berpegang kepada kepercayaan tradisional). Sebelum tahun 1974, penduduk Timor Portugis yang beragama Katolik masih minoriti, iaitu kurang daripada 30 peratus. Namun setelah menyertai Indonesia, bilangan tersebut semakin meningkat dari tahun ke tahun hinggalah mencecah sekitar 80 peratus pada 1989. Menurut data Cencus pada 2015, jumlah penganut Katolik di Timor Leste telah pun mencapai 97.57 peratus, diikuti 1.96 peratus penganut Kristian Protestan, manakala kurang satu peratus penduduk terdiri daripada penganut agama Islam, Buddha, Hindu dan lain-lain.

Terdapat laluan tangga khas yang disediakan untuk sampai ke puncak Bukit Fatucama. Saya dan Hannan mengambil keputusan untuk mendaki hingga ke puncak bukit tersebut walaupun rasa penat masih menguasai diri. Lagipun entah bila lagi kami akan sampai di Dili. Sememangnya pendakian tersebut sangat berbaloi kerana setelah sampai di puncak, kami dapat menikmati pemandangan laut, bukit-bukau dan gunung-ganang serta bandar Dili yang sangat indah.

Gambar 6: Penulis berlatarbelakangkan Bukit Fatucama, dari jauh kelihatan patung Cristo Rei tersergam di puncak bukit tersebut

Gambar 7: Laluan tangga yang disediakan untuk sampai ke puncak Bukit Fatucama

Gambar 8: Kawasan khas yang dibina untuk upacara penganut Katolik berhampiran puncak Bukit Fatucama

Gambar 9: Menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan dari puncak Bukit Fatucama

Pada sebelah tengah hari, Pak Anwar membawa kami melawat Masjid An-Nur yang terletak di Kampung Alor, Dili. Masjid ini diiktiraf sebagai masjid terbesar dan  tertua di Dili. Masjid An-Nur didirikan sejak 1955, sekali gus menjadikan masjid ini pernah merentas tiga fasa utama negara berkenaan; zaman penjajahan Portugis, zaman pemerintahan Indonesia dan kini zaman kemerdekaan Timor Leste. 

Mengikut sejarah, sekumpulan pedagang keturunan Arab telah datang dan menetap di Dili pada awal 1940-an dan mereka inilah yang merintis pembangunan Masjid An-Nur. Lebih menarik pembinaan masjid ini langsung tidak mendapat tentangan daripada majoriti penduduk Dili yang beragama Katolik, malah turut mendapat sokongan daripada pemimpin mereka pada waktu itu iaitu Uskup Jaime Garcia. Ternyata pada waktu itu di bawah penjajahan Portugis, penduduk berbilang agama di Dili hidup dalam suasana aman dan harmoni. 

Agama Islam terus berkembang pesat di Timor Leste (pada waktu itu dikenali sebagai Timor Timur) pada era pemerintahan Indonesia. Justeru berlaku renovasi kepada bangunan Masjid An-Nur bagi menampung pertambahan bilangan umat Islam khususnya di Dili. Majlis perasmian bangunan Masjid An-Nur yang ‘berwajah baru’ disempurnakan oleh Panglima Kodam Udayana, Mayor Jenderal Dading Kalbuadi pada 20 Mac 1981.

Namun berlaku detik hitam di Dili yang melibatkan Masjid An-Nur pada hampir dua dekad yang lepas. Pada September 1999, banyak masjid dan gereja di bandar tersebut dirosakkan akibat rusuhan kaum yang berlaku. Ketika keadaan semakin tidak terkawal, umat Islam di Dili menjadikan Masjid An-Nur sebagai tempat perlindungan. Presiden Timor Leste pada waktu itu, Kay Rala Xanana Gusmao telah mengeluarkan jaminan keselamatan kepada mereka yang berlindung di masjid tersebut. 

Alhamdulillah, saya berkesempatan menunaikan Solat Jumaat di Masjid An-Nur. Dengan keluasan 5,400 meter persegi, bangunan masjid ini mampu menampung kehadiran tiga ribu umat Islam yang datang untuk melaksanakan solat secara berjemaah. Sememangnya Masjid An-Nur menjadi pusat ibadat dan pendidikan yang utama bagi umat Islam di Dili. Masjid ini juga menjadi tempat perkumpulan umat Islam bagi aktiviti sambutan hari kebesaran Islam seperti Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha. 

Gambar 10: Penulis di hadapan Masjid An-Nur yang tersergam indah di Kampung Alor, Dili

Gambar 11: Suasana solat Jumaat di dalam Masjid An-Nur

Gambar 12: Gerai-gerai makanan masakan Muslim yang dibuka di sekitar kawasan Masjid An-Nur

Gambar 13: Kelas bacaan Al-Quran di Masjid An-Nur yang dijalankan untuk kanak-kanak

Usai Solat Jumaat, kami kemudiannya menghabiskan masa dengan melawat Sekolah An-Nur yang terletak bersebelahan Masjid An-Nur. Ia adalah sebuah sekolah swasta yang menggunakan kurikulum pendidikan kebangsaan dan diuruskan sepenuhnya oleh Fundasaun An-Nur. Sekolah ini melaksanakan pembelajaran bermula peringkat tadika hinggalah sekolah menengah (tingkat-tingkat persekolahan di sana disebut TK - Taman Kanak-kanak, SD - Sekolah Dasar, SMP - Sekolah Menengah Pertama dan SMA - Sekolah Menengah Atas). Selain sekolah ini, Fundasaun An-Nur turut membuka sebuah sekolah dasar di daerah Baucau. 

Walaupun sekolah An-Nur diuruskan oleh organisasi Islam, saya difahamkan daripada lebih 2,000 orang pelajar sekolah ini, 95 peratus daripada mereka adalah anak-anak orang bukan Islam di Dili. Malah guru-gurunya juga lebih ramai yang bukan beragama Islam. Lebih menarik, dikhabarkan ada pelajar-pelajar sekolah An-Nur memilih untuk memeluk Islam sewaktu masih di bangku sekolah, malah tindakan mereka ini tidak mendapat tentangan daripada ibu bapa mereka yang beragama Kristian. Begitulah suburnya peluang dakwah di Timor Leste melalui medan pendidikan. 

Namun realitinya masih tiada sekolah Islam yang formal yang didirikan di Timor Leste, termasuk di Dili. Buat masa ini anak-anak beragama Islam hanya mendapat peluang menimba ilmu pendidikan agama secara tidak formal di masjid. Terdapat keperluan mendesak untuk diwujudkan sekolah Islam di sana untuk anak-anak mendapat pendidikan Islam dengan lebih baik, ditambah dengan keadaan anak-anak yang belajar di sekolah kerajaan yang dilingkungi oleh majoriti pelajar bukan Islam dan turut diajar doa-doa yang bersumberkan agama lain.

Pada sebelah malam, Pak Anwar membawa kami menziarahi sahabat kami dari Malaysia iaitu Tuan Haji Zulkifli Saad di kediaman beliau di Green Diamond Residence, Pantai Kelapa. Beliau sebelum ini pernah bertugas selama beberapa bulan di Hidayah Centre Foundation, sebelum mendapat tawaran untuk berkhidmat secara kontrak di Bank Negara Timor Leste di Dili. Kerja yang sesuai dengan pengalaman beliau selama puluhan tahun bertugas di Bank Negara Malaysia sebelum bersara.

Gambar 14: Penulis di hadapan salah satu bangunan Sekolah An-Nur di Kampung Alor, Dili

Gambar 15: Suasana pembelajaran di dalam kelas di Sekolah An-Nur

Gambar 16: Makan malam di rumah Tuan Haji Zulkifli Saad (berbaju merah) yang sedang bertugas di Dili

Hari ketiga di Dili, saya dan Saudara Hannan dipertemukan dengan pendakwah-pendakwah Fundasaun An-Nur yang datang dari beberapa daerah di Timor Leste. Kehadiran mereka ini yang kesemuanya berlatarbelakangkan mualaf menunjukkan agama Islam sedang berkembang di negara tersebut. Malah kini selain Masjid An-Nur di Dili, terdapat masjid-masjid lain yang didirikan di setiap daerah di Timor Leste, merangkumi daerah Aileu, Ainaro, Liquiça, Baucau, Viqueque, Lospalos, Bobonaro, Cova-Lima, Manatuto, Manufahi, Oecussi-Ambeno dan Ermera.

Jika ditinjau melalui sejarah, agama Islam sebenarnya lebih dahulu bertapak di Timor Leste, sebelum kedatangan Portugis yang membawa ajaran Katolik. Dikatakan Islam disebarkan ke negara tersebut melalui usaha dakwah para pedagang Arab, juga oleh golongan ulama dari kerajaan-kerajaan Islam yang wujud pada waktu itu seperti Gowa-Tallo, Tertate dan Samudera Pasai. Namun setelah kedatangan Portugis, lebih ramai penduduk tempatan tertarik untuk menganut agama Katolik dan agama tersebut kemudiannya menjadi agama majoriti di Timor Leste. 

Bermula pertengahan 1970-an, ketika Timor Leste berada di bawah pemerintahan Indonesia, bilangan penganut Islam kembali meningkat di negara tersebut. Antara faktor utama kepada peningkatan ini ialah usaha dakwah yang turut mendapat sokongan daripada Dewan Dakwah Islamiyah Indonesia (DDII). Pada satu ketika jumlah umat Islam di Timor Leste mencapai 40 peratus. Bilangan masjid dan madrasah juga bertambah dari semasa ke semasa di seluruh Timor Leste. Namun jumlah umat Islam merosot dengan begitu drastik setelah Timor Leste menjadi sebuah negara pada 2002. Antara faktor utama terjadinya keadaan sedemikian ialah ramai penduduk Muslim yang berasal dari Indonesia mengambil keputusan untuk kembali ke negara asal mereka. 

Justeru, dengan jumlah umat Islam yang kini berjumlah hanya sekitar 4000 orang, para pendakwah di Timor Leste menghadapi cabaran yang cukup besar. Daripada perkongsian yang mereka berikan, antara cabaran yang mereka hadapi ialah kekangan dari sudut dana dan kewangan. Rata-rata pendakwah yang ada datang daripada keluarga miskin. Dalam kehidupan seharian, mereka berdepan dengan kos hidup yang tinggi (mata wang yang digunakan di Timor Leste ialah US Dollar). Pendapatan yang ada kadang-kala tidak mencukupi. Namun dalam keadaan hidup yang ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’, mereka tetap bersemangat untuk menjalankan usaha dakwah di tempat masing-masing. Dalam hal ini Fundasaun An-Nur memberikan peruntukan yang semampunya kepada mereka dari semasa ke semasa untuk menjalankan program-program dakwah yang sesuai. 

Cabaran lain yang dihadapi oleh para pendakwah di Timor Leste adalah dalam aspek media. Dalam keadaan dunia semakin terbuka dengan penggunaan pelbagai teknologi media (termasuk dalam kalangan rakyat Timor Leste sendiri), majoriti pendakwah mereka masih ketinggalan dalam aspek berkenaan. Mungkin disebabkan kebanyakan mereka berasal dari kawasan pedalaman, maka mereka tidak mempunyai pengetahuan berkaitan media sedia ada. Fundasaun An-Nur juga tidak mempunyai laman web sendiri kerana tiada orang yang berkemahiran untuk mewujudkannya. Justeru pada kesempatan tersebut Saudara Hannan yang mempunyai kepakaran dalam bidang media berkongsi serba ringkas tentang kepentingan dakwah masa kini melalui media serta platform-platform media yang boleh dimanfaatkan untuk dakwah. 

Selain itu, cabaran dakwah yang mereka hadapi juga datangnya daripada masyarakat bukan Islam di Timor Leste. Gara-gara Islamofobia, kebanyakan orang bukan Islam di sana tidak mendapat maklumat yang tepat mengenai Islam, malah mempunyai banyak salah tanggapan tentang Islam. Para pendakwah yang ada pula tidak mempunyai ilmu dan kemahiran yang mencukupi untuk menangkis segala salah tanggapan tersebut. Malah mereka juga terpaksa berhadapan dengan gerakan mubaligh Kristian yang cukup kuat di sana. 

Namun dari satu sudut, umat Islam di Timor Leste masih beruntung kerana pihak pemerintah sangat menjaga hubungan baik dengan mereka. Walaupun bilangan penganut Islam sangat minoriti, pihak kerajaan tetap menghormati kebebasan mereka untuk melaksanakan ajaran agama. Malah hari-hari kebesaran Islam seperti Hari Raya Aidilfitiri dan Hari Raya Aidiladha turut diisytiharkan sebagai cuti umum di Timor Leste. 

Gambar 17: Meninjau panorama matahari terbit di pantai Dili

Gambar 18: Menziarahi pejabat Fundasaun An-Nur yang terletak di Masjid An-Nur

Gambar 19: Kain rentang gambar bangunan asal Masjid An-Nur yang disimpan di pejabat Fundasaun An-Nur

Gambar 20: Bergambar kenangan bersama para pendakwah Fundasaun An-Nur yang datang dari seluruh Timor Leste

Gambar 21: Bersama anak-anak generasi masa hadapan Timor Leste

Ahad, 2 September 2018, hari terakhir kami di Timor Leste. Pada sebelah pagi Pak Anwar sempat membawa kami keluar untuk membeli cenderamata dan buah tangan di di bandar Dili, antaranya ialah di kompleks membeli-belah ‘Timor Plaza’ dan di bazaar kraftangan tradisional ‘Dili Tais Market’. Seperti pengalaman saya yang lepas di negara Kemboja, di sini juga saya perlu berbelanja secara berhemah kerana segala transaksi perniagaan adalah dalam US Dollar. Tepat jam 2.15 petang, saya sudah pun berada di dalam perut pesawat Sriwijaya Air untuk berangkat ke Denpasar sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Kuala Lumpur pada sebelah malam. 

Kembara empat hari ke Timor Leste menerbitkan pengalaman yang begitu berharga buat diri saya. Masih terbayang sinar keikhlasan dan kesungguhan pada raut wajah para pendakwah yang saya temui. Walau serba kekurangan dan pelbagai halangan hidup, pendakwah-pendakwah ini tetap berusaha untuk melaksanakan tanggungjawab dakwah mereka, mendepani masyarakat bukan Islam yang hampir seratus peratus bilangannya. Saya difahamkan juga, tidak mudah untuk mereka datang berprogram bersama kami. Mereka perlu menempuh masa perjalanan yang panjang, menaiki kenderaan awam yang tidak selesa serta keadaan jalan raya yang kurang memuaskan untuk sampai ke Dili. Ada juga yang menaiki motosikal yang memakan masa hampir 10 jam semata-mata untuk bertemu dengan kami. 

Semoga Allah terus memberikan kekuatan dan kemudahan kepada para pejuang Islam di Timor Leste!

Gambar 22: Suasana di dalam Timor Plaza, pusat membeli-belah terbesar di Dili

Gambar 23: Deretan kedai di Dili Tais Market yang menjual pelbagai kraftangan tradisional dan cenderamata

Gambar 24: Penulis di hadapan hotel penginapan pada hari terakhir di Dili