Lapangan terbang Presidente Nicolau Lobato International di Dili menjadi tempat mendarat pesawat Citilink yang saya naiki pada tengah hari Khamis, 30 Ogos 2018. Akhirnya saya bersama seorang teman, Saudara Hannan Aminuddin sampai juga di negara Timor Leste setelah mengharungi tempoh perjalanan yang panjang dan memerlukan kami bermalam di Lapangan Terbang Ngurah Rai di Denpasar, Bali sebelum meneruskan penerbangan ke Dili. Ibu negara Timor Leste tersebut hanya boleh dicapai melalui tiga bandaraya sahaja iaitu Singapura, Denpasar dan Darwin (Australia). Kami memilih laluan Kuala Lumpur-Denpasar-Dili kerana kos penerbangannya adalah paling murah berbanding laluan lain.
Turun sahaja daripada pesawat, dalam suasana panas terik mentari, kami bergegas menghampiri bangunan terminal lapangan terbang berkenaan. Pelawat luar negara seperti kami perlu terlebih dahulu mendapatkan visa di sebuah kaunter khas yang boleh dibeli dengan harga USD30 sebelum melalui bahagian imigresen. Keluar sahaja dari balai ketibaan, kami disambut oleh Tuan Mohammad Anwar da Costa atau panggilan mesranya “Pak Anwar”. Beliau telah pun saya kenali sebelum ini dalam sebuah program yang diadakan di Kuala Lumpur.
Pak Anwar merupakan Presiden Fundasaun An-Nur Dili, sebuah badan bukan kerajaan yang aktif dalam pelbagai kegiatan dakwah, pendidikan dan kebajikan di Timor Leste. Pak Anwar lahir dalam keluarga penganut Kristian Roman Katolik, sebelum memilih untuk memeluk Islam pada tahun 1982 ketika masih dalam usia kanak-kanak. Negara Malaysia amat dekat di hati Pak Anwar kerana beliau pernah menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia selama beberapa tahun pada awal dekad 2000-an.
Gambar 1: Bersama Pak Anwar da Costa (kanan sekali) yang menyambut kami di lapangan terbang
Gambar 2: Bangunan terminal lapangan terbang di Dili
Dari lapangan terbang, Pak Anwar terus menuju ke hotel penginapan untuk kami meletakkan beg pakaian sebelum membawa kami keluar semula ke sebuah restoran berhampiran. Kami difahamkan oleh Pak Anwar, tidak banyak restoran halal yang terdapat di bandar Dili. Sambil menikmati juadah tengah hari, Pak Anwar menjelaskan serba ringkas tentang sejarah dan latar belakang negara Timor Leste kepada kami.
Timor Leste dahulunya merupakan sebahagian daripada Republik Indonesia. Pada tahun 1999, berlaku pertelingkahan antara kumpulan pro-kemerdekaan dengan kumpulan anti-kemerdekaan, yang akhirnya membawa kepada kemerdekaan negara tersebut pada tanggal 20 Mei 2002. Timor Leste kemudiannya menjadi anggota rasmi dalam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan sehingga kini masih berstatus pemerhati dalam senarai Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN). Kini Timor Leste mempunyai populasi penduduk sekitar 1.2 juta orang.
Selepas makan tengah hari, Pak Anwar menghantar kami pulang semula ke hotel untuk berehat. Tiada apa-apa program khusus yang disusun untuk kami pada hari tersebut. Justeru pada sebelah petang saya mengambil kesempatan untuk keluar berjalan kaki meninjau kawasan sekitar. Saya bernasib baik kerana hotel kami terletak berhampiran dengan pantai Dili. Dapatlah saya melihat panorama alam yang indah sambil menyaksikan pelbagai gelagat warga tempatan yang menghabiskan masa petang mereka di tepian pantai tersebut.
Menyusuri jalan pulang dari pantai ke hotel penginapan, saya terpandangkan setiap papan nama jalan yang ditulis dalam bahasa Portugis. Inilah sebenarnya bahasa rasmi negara Timor Leste. Malah kini Timor Leste adalah sebahagian anggota Community of Portuguese Language Countries. Dari sudut sejarah, Timor Leste dahulunya pernah berada di bawah penjajahan kolonial Portugis bermula tahun 1515 sebelum akhirnya menjadi sebahagian negara Indonesia pada 1974. Walaupun bahasa Portugis adalah bahasa kebangsaan, namun kebanyakan penduduk Timor Leste lebih menjadikan bahasa Tetum (bahasa tradisi) dan bahasa Indonesia sebagai bahasa pertuturan seharian mereka.
Gambar 3: Antara restoran halal yang terdapat di bandar Dili
Gambar 4: Di tepian pantai Dili, sayup-sayup kelihatan Pulau Atauro di belakang penulis
Gambar 5: Papan nama jalan di Dili dalam bahasa Portugis
Awal pagi Jumaat, 31 Ogos 2018, selepas menunaikan solat Subuh, Pak Anwar membawa kami keluar untuk melawat bandar Dili. Ternyata bandarnya damai dan tenang, tiada kesesakan lalu lintas dan hiruk-pikuk manusia. Saya juga dapati tiada satu pun bangunan tinggi yang dibina di bandar yang mempunyai penduduk sekitar 250,000 orang ini.
Pagi itu Pak Anwar turut membawa kami melawat Cristo Rei yang terletak di bahagian timur Dili. Cristo Rei merupakan nama yang diberikan kepada sebuah patung Jesus yang dibina di puncak Bukit Fatucama. Saya difahamkan Cristo Rei yang dirasmikan pada 15 Oktober 1996 (pada era Presiden Soeharto) ini adalah antara patung Jesus terbesar di dunia. Tidak hairanlah ia menjadi lokasi tumpuan pelancong paling popular di Dili dan menjadi simbol kepada agama Katolik yang merupakan agama majoriti di Timor Leste.
Ketika Portugis menjajah Timor Leste (pada waktu itu dikenali sebagai Timor Portugis), mereka turut membawa semboyan Gospel bersamanya. Pihak gereja memainkan peranan penting dalam menyebarkan agama Katolik melalui usaha-usaha kebajikan dan pendidikan yang dijalankan. Sedikit demi sedikit rakyat Timor Portugis mula menjadi penganut Katolik (namun masih ramai berpegang kepada kepercayaan tradisional). Sebelum tahun 1974, penduduk Timor Portugis yang beragama Katolik masih minoriti, iaitu kurang daripada 30 peratus. Namun setelah menyertai Indonesia, bilangan tersebut semakin meningkat dari tahun ke tahun hinggalah mencecah sekitar 80 peratus pada 1989. Menurut data Cencus pada 2015, jumlah penganut Katolik di Timor Leste telah pun mencapai 97.57 peratus, diikuti 1.96 peratus penganut Kristian Protestan, manakala kurang satu peratus penduduk terdiri daripada penganut agama Islam, Buddha, Hindu dan lain-lain.
Terdapat laluan tangga khas yang disediakan untuk sampai ke puncak Bukit Fatucama. Saya dan Hannan mengambil keputusan untuk mendaki hingga ke puncak bukit tersebut walaupun rasa penat masih menguasai diri. Lagipun entah bila lagi kami akan sampai di Dili. Sememangnya pendakian tersebut sangat berbaloi kerana setelah sampai di puncak, kami dapat menikmati pemandangan laut, bukit-bukau dan gunung-ganang serta bandar Dili yang sangat indah.
Gambar 6: Penulis berlatarbelakangkan Bukit Fatucama, dari jauh kelihatan patung Cristo Rei tersergam di puncak bukit tersebut
Gambar 7: Laluan tangga yang disediakan untuk sampai ke puncak Bukit Fatucama
Gambar 8: Kawasan khas yang dibina untuk upacara penganut Katolik berhampiran puncak Bukit Fatucama
Gambar 9: Menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan dari puncak Bukit Fatucama
Pada sebelah tengah hari, Pak Anwar membawa kami melawat Masjid An-Nur yang terletak di Kampung Alor, Dili. Masjid ini diiktiraf sebagai masjid terbesar dan tertua di Dili. Masjid An-Nur didirikan sejak 1955, sekali gus menjadikan masjid ini pernah merentas tiga fasa utama negara berkenaan; zaman penjajahan Portugis, zaman pemerintahan Indonesia dan kini zaman kemerdekaan Timor Leste.
Mengikut sejarah, sekumpulan pedagang keturunan Arab telah datang dan menetap di Dili pada awal 1940-an dan mereka inilah yang merintis pembangunan Masjid An-Nur. Lebih menarik pembinaan masjid ini langsung tidak mendapat tentangan daripada majoriti penduduk Dili yang beragama Katolik, malah turut mendapat sokongan daripada pemimpin mereka pada waktu itu iaitu Uskup Jaime Garcia. Ternyata pada waktu itu di bawah penjajahan Portugis, penduduk berbilang agama di Dili hidup dalam suasana aman dan harmoni.
Agama Islam terus berkembang pesat di Timor Leste (pada waktu itu dikenali sebagai Timor Timur) pada era pemerintahan Indonesia. Justeru berlaku renovasi kepada bangunan Masjid An-Nur bagi menampung pertambahan bilangan umat Islam khususnya di Dili. Majlis perasmian bangunan Masjid An-Nur yang ‘berwajah baru’ disempurnakan oleh Panglima Kodam Udayana, Mayor Jenderal Dading Kalbuadi pada 20 Mac 1981.
Namun berlaku detik hitam di Dili yang melibatkan Masjid An-Nur pada hampir dua dekad yang lepas. Pada September 1999, banyak masjid dan gereja di bandar tersebut dirosakkan akibat rusuhan kaum yang berlaku. Ketika keadaan semakin tidak terkawal, umat Islam di Dili menjadikan Masjid An-Nur sebagai tempat perlindungan. Presiden Timor Leste pada waktu itu, Kay Rala Xanana Gusmao telah mengeluarkan jaminan keselamatan kepada mereka yang berlindung di masjid tersebut.
Alhamdulillah, saya berkesempatan menunaikan Solat Jumaat di Masjid An-Nur. Dengan keluasan 5,400 meter persegi, bangunan masjid ini mampu menampung kehadiran tiga ribu umat Islam yang datang untuk melaksanakan solat secara berjemaah. Sememangnya Masjid An-Nur menjadi pusat ibadat dan pendidikan yang utama bagi umat Islam di Dili. Masjid ini juga menjadi tempat perkumpulan umat Islam bagi aktiviti sambutan hari kebesaran Islam seperti Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.
Gambar 10: Penulis di hadapan Masjid An-Nur yang tersergam indah di Kampung Alor, Dili
Gambar 11: Suasana solat Jumaat di dalam Masjid An-Nur
Gambar 12: Gerai-gerai makanan masakan Muslim yang dibuka di sekitar kawasan Masjid An-Nur
Gambar 13: Kelas bacaan Al-Quran di Masjid An-Nur yang dijalankan untuk kanak-kanak
Usai Solat Jumaat, kami kemudiannya menghabiskan masa dengan melawat Sekolah An-Nur yang terletak bersebelahan Masjid An-Nur. Ia adalah sebuah sekolah swasta yang menggunakan kurikulum pendidikan kebangsaan dan diuruskan sepenuhnya oleh Fundasaun An-Nur. Sekolah ini melaksanakan pembelajaran bermula peringkat tadika hinggalah sekolah menengah (tingkat-tingkat persekolahan di sana disebut TK - Taman Kanak-kanak, SD - Sekolah Dasar, SMP - Sekolah Menengah Pertama dan SMA - Sekolah Menengah Atas). Selain sekolah ini, Fundasaun An-Nur turut membuka sebuah sekolah dasar di daerah Baucau.
Walaupun sekolah An-Nur diuruskan oleh organisasi Islam, saya difahamkan daripada lebih 2,000 orang pelajar sekolah ini, 95 peratus daripada mereka adalah anak-anak orang bukan Islam di Dili. Malah guru-gurunya juga lebih ramai yang bukan beragama Islam. Lebih menarik, dikhabarkan ada pelajar-pelajar sekolah An-Nur memilih untuk memeluk Islam sewaktu masih di bangku sekolah, malah tindakan mereka ini tidak mendapat tentangan daripada ibu bapa mereka yang beragama Kristian. Begitulah suburnya peluang dakwah di Timor Leste melalui medan pendidikan.
Namun realitinya masih tiada sekolah Islam yang formal yang didirikan di Timor Leste, termasuk di Dili. Buat masa ini anak-anak beragama Islam hanya mendapat peluang menimba ilmu pendidikan agama secara tidak formal di masjid. Terdapat keperluan mendesak untuk diwujudkan sekolah Islam di sana untuk anak-anak mendapat pendidikan Islam dengan lebih baik, ditambah dengan keadaan anak-anak yang belajar di sekolah kerajaan yang dilingkungi oleh majoriti pelajar bukan Islam dan turut diajar doa-doa yang bersumberkan agama lain.
Pada sebelah malam, Pak Anwar membawa kami menziarahi sahabat kami dari Malaysia iaitu Tuan Haji Zulkifli Saad di kediaman beliau di Green Diamond Residence, Pantai Kelapa. Beliau sebelum ini pernah bertugas selama beberapa bulan di Hidayah Centre Foundation, sebelum mendapat tawaran untuk berkhidmat secara kontrak di Bank Negara Timor Leste di Dili. Kerja yang sesuai dengan pengalaman beliau selama puluhan tahun bertugas di Bank Negara Malaysia sebelum bersara.
Gambar 14: Penulis di hadapan salah satu bangunan Sekolah An-Nur di Kampung Alor, Dili
Gambar 15: Suasana pembelajaran di dalam kelas di Sekolah An-Nur
Gambar 16: Makan malam di rumah Tuan Haji Zulkifli Saad (berbaju merah) yang sedang bertugas di Dili
Hari ketiga di Dili, saya dan Saudara Hannan dipertemukan dengan pendakwah-pendakwah Fundasaun An-Nur yang datang dari beberapa daerah di Timor Leste. Kehadiran mereka ini yang kesemuanya berlatarbelakangkan mualaf menunjukkan agama Islam sedang berkembang di negara tersebut. Malah kini selain Masjid An-Nur di Dili, terdapat masjid-masjid lain yang didirikan di setiap daerah di Timor Leste, merangkumi daerah Aileu, Ainaro, Liquiça, Baucau, Viqueque, Lospalos, Bobonaro, Cova-Lima, Manatuto, Manufahi, Oecussi-Ambeno dan Ermera.
Jika ditinjau melalui sejarah, agama Islam sebenarnya lebih dahulu bertapak di Timor Leste, sebelum kedatangan Portugis yang membawa ajaran Katolik. Dikatakan Islam disebarkan ke negara tersebut melalui usaha dakwah para pedagang Arab, juga oleh golongan ulama dari kerajaan-kerajaan Islam yang wujud pada waktu itu seperti Gowa-Tallo, Tertate dan Samudera Pasai. Namun setelah kedatangan Portugis, lebih ramai penduduk tempatan tertarik untuk menganut agama Katolik dan agama tersebut kemudiannya menjadi agama majoriti di Timor Leste.
Bermula pertengahan 1970-an, ketika Timor Leste berada di bawah pemerintahan Indonesia, bilangan penganut Islam kembali meningkat di negara tersebut. Antara faktor utama kepada peningkatan ini ialah usaha dakwah yang turut mendapat sokongan daripada Dewan Dakwah Islamiyah Indonesia (DDII). Pada satu ketika jumlah umat Islam di Timor Leste mencapai 40 peratus. Bilangan masjid dan madrasah juga bertambah dari semasa ke semasa di seluruh Timor Leste. Namun jumlah umat Islam merosot dengan begitu drastik setelah Timor Leste menjadi sebuah negara pada 2002. Antara faktor utama terjadinya keadaan sedemikian ialah ramai penduduk Muslim yang berasal dari Indonesia mengambil keputusan untuk kembali ke negara asal mereka.
Justeru, dengan jumlah umat Islam yang kini berjumlah hanya sekitar 4000 orang, para pendakwah di Timor Leste menghadapi cabaran yang cukup besar. Daripada perkongsian yang mereka berikan, antara cabaran yang mereka hadapi ialah kekangan dari sudut dana dan kewangan. Rata-rata pendakwah yang ada datang daripada keluarga miskin. Dalam kehidupan seharian, mereka berdepan dengan kos hidup yang tinggi (mata wang yang digunakan di Timor Leste ialah US Dollar). Pendapatan yang ada kadang-kala tidak mencukupi. Namun dalam keadaan hidup yang ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’, mereka tetap bersemangat untuk menjalankan usaha dakwah di tempat masing-masing. Dalam hal ini Fundasaun An-Nur memberikan peruntukan yang semampunya kepada mereka dari semasa ke semasa untuk menjalankan program-program dakwah yang sesuai.
Cabaran lain yang dihadapi oleh para pendakwah di Timor Leste adalah dalam aspek media. Dalam keadaan dunia semakin terbuka dengan penggunaan pelbagai teknologi media (termasuk dalam kalangan rakyat Timor Leste sendiri), majoriti pendakwah mereka masih ketinggalan dalam aspek berkenaan. Mungkin disebabkan kebanyakan mereka berasal dari kawasan pedalaman, maka mereka tidak mempunyai pengetahuan berkaitan media sedia ada. Fundasaun An-Nur juga tidak mempunyai laman web sendiri kerana tiada orang yang berkemahiran untuk mewujudkannya. Justeru pada kesempatan tersebut Saudara Hannan yang mempunyai kepakaran dalam bidang media berkongsi serba ringkas tentang kepentingan dakwah masa kini melalui media serta platform-platform media yang boleh dimanfaatkan untuk dakwah.
Selain itu, cabaran dakwah yang mereka hadapi juga datangnya daripada masyarakat bukan Islam di Timor Leste. Gara-gara Islamofobia, kebanyakan orang bukan Islam di sana tidak mendapat maklumat yang tepat mengenai Islam, malah mempunyai banyak salah tanggapan tentang Islam. Para pendakwah yang ada pula tidak mempunyai ilmu dan kemahiran yang mencukupi untuk menangkis segala salah tanggapan tersebut. Malah mereka juga terpaksa berhadapan dengan gerakan mubaligh Kristian yang cukup kuat di sana.
Namun dari satu sudut, umat Islam di Timor Leste masih beruntung kerana pihak pemerintah sangat menjaga hubungan baik dengan mereka. Walaupun bilangan penganut Islam sangat minoriti, pihak kerajaan tetap menghormati kebebasan mereka untuk melaksanakan ajaran agama. Malah hari-hari kebesaran Islam seperti Hari Raya Aidilfitiri dan Hari Raya Aidiladha turut diisytiharkan sebagai cuti umum di Timor Leste.
Gambar 17: Meninjau panorama matahari terbit di pantai Dili
Gambar 18: Menziarahi pejabat Fundasaun An-Nur yang terletak di Masjid An-Nur
Gambar 19: Kain rentang gambar bangunan asal Masjid An-Nur yang disimpan di pejabat Fundasaun An-Nur
Gambar 20: Bergambar kenangan bersama para pendakwah Fundasaun An-Nur yang datang dari seluruh Timor Leste
Gambar 21: Bersama anak-anak generasi masa hadapan Timor Leste
Ahad, 2 September 2018, hari terakhir kami di Timor Leste. Pada sebelah pagi Pak Anwar sempat membawa kami keluar untuk membeli cenderamata dan buah tangan di di bandar Dili, antaranya ialah di kompleks membeli-belah ‘Timor Plaza’ dan di bazaar kraftangan tradisional ‘Dili Tais Market’. Seperti pengalaman saya yang lepas di negara Kemboja, di sini juga saya perlu berbelanja secara berhemah kerana segala transaksi perniagaan adalah dalam US Dollar. Tepat jam 2.15 petang, saya sudah pun berada di dalam perut pesawat Sriwijaya Air untuk berangkat ke Denpasar sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Kuala Lumpur pada sebelah malam.
Kembara empat hari ke Timor Leste menerbitkan pengalaman yang begitu berharga buat diri saya. Masih terbayang sinar keikhlasan dan kesungguhan pada raut wajah para pendakwah yang saya temui. Walau serba kekurangan dan pelbagai halangan hidup, pendakwah-pendakwah ini tetap berusaha untuk melaksanakan tanggungjawab dakwah mereka, mendepani masyarakat bukan Islam yang hampir seratus peratus bilangannya. Saya difahamkan juga, tidak mudah untuk mereka datang berprogram bersama kami. Mereka perlu menempuh masa perjalanan yang panjang, menaiki kenderaan awam yang tidak selesa serta keadaan jalan raya yang kurang memuaskan untuk sampai ke Dili. Ada juga yang menaiki motosikal yang memakan masa hampir 10 jam semata-mata untuk bertemu dengan kami.
Semoga Allah terus memberikan kekuatan dan kemudahan kepada para pejuang Islam di Timor Leste!
Gambar 22: Suasana di dalam Timor Plaza, pusat membeli-belah terbesar di Dili
Gambar 23: Deretan kedai di Dili Tais Market yang menjual pelbagai kraftangan tradisional dan cenderamata
Gambar 24: Penulis di hadapan hotel penginapan pada hari terakhir di Dili
No comments:
Post a Comment