Tuesday, April 17, 2018

Sabah: Menjengah Mualaf di Pedalaman

Oleh Wan Am

Kembara dakwah yang saya ikuti pada 12 hingga 15 April 2018 sedikit berbeza dengan kembara-kembara saya sebelum ini. Perbezaannya ialah kembara ini diadakan di dalam negara Malaysia sendiri, iaitu di Sabah, Negeri di Bawah Bayu. Kembara dakwah ini adalah inisiatif daripada Hidayah Centre Foundation (HCF) Cawangan Petaling Jaya yang menjadikan beberapa lokasi di Sabah sebagai destinasi persinggahan iaitu Kota Kinabalu, Kundasang, Ranau, Paitan, Beluran dan Sandakan. Pun begitu, perjalanan ke Sabah terasa juga seperti perjalanan ke luar negara. Apa tidaknya, perjalanan menaiki kapal terbang dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu lebih lama jangka masanya berbanding penerbangan ke negara-negara sekitar Malaysia seperti Singapura, Indonesia dan Thailand.

Bumi Sabah sebenarnya bukanlah asing bagi saya kerana sejak lebih sedekad lalu acap kali juga saya ke sana, namun hanya sampai setakat Kota Kinabalu sahaja. Justeru kembara anjuran HCF Petaling Jaya ini begitu menggamit saya untuk menyertainya kerana inilah peluang saya untuk benar-benar memahami realiti kehidupan dan cabaran dakwah di Sabah, khususnya di kawasan pedalaman. Dengan sedikit ilmu dan pengalaman dakwah yang ada mudah-mudahan dapat juga saya membantu dalam beberapa aktiviti dakwah yang telah disusun oleh pihak penganjur sepanjang berada di sana.

Aktiviti kami secara rasmi bermula di Kota Kinabalu pada sebelah malam Khamis, 12 April 2018. Setelah selesai makan malam di Kota Kinabalu Night Market dan solat Maghrib dan Isyak di Masjid Negeri, rombongan kami dibawa ke Putatan untuk berjumpa dan bertaaruf dengan para pimpinan Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Negeri Sabah. Perkongsian oleh Yang Dipertua IKRAM Sabah, Dr. Hj. Mingu Jumaan juga sedikit sebanyak memberikan pencerahan kepada kami secara umum mengenai negeri Sabah dan suasana dakwah di sana.

Sabah mempunyai keluasan hampir 74,000 kilometer persegi, sekali gus menjadikannya sebagai negeri kedua terbesar di Malaysia selepas Sarawak. Sabah juga terletak di pulau Borneo, pulau ketiga terbesar di dunia. Lebih menarik, Sabah yang didiami kira-kira 3.54 juta penduduk (statistik tahun 2014) adalah terdiri daripada kira-kira 50 etnik yang terbahagi pula kepada hampir 250 sub-etnik. Antara etnik utama di Sabah ialah Kadazan-Dusun, Murut, Rungus, Bajau, Orang Sungai, Kedayan, Bisaya, Banjar, Suluk dan Bugis. Kepelbagaian etnik di Sabah ini sudah pasti mewujudkan kepelbagaian budaya, bahasa, adat, pantang-larang dan sebagainya yang menjadikan Sabah dan penduduknya begitu unik untuk dikenali dan difahami. Kepelbagaian ini jualah yang menandakan kebesaran dan kekuasaan Allah, Tuhan Maha Pencipta. Sebagaimana firman Allah di dalam al-Quran:

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan kebijaksanaan-Nya ialah kejadian langit dan bumi dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan.” (Ar-Ruum 30 : 22)

Dari segi agama, perangkaan banci tahun 2010 yang dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia menunjukkan penganut Islam adalah majoriti di Sabah, iaitu 65.4 peratus. Alhamdulillah, usaha dakwah begitu subur di Sabah dengan penglibatan aktif Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) Islam seperti HCF, Islamic Outreach ABIM, MACMA, USIA, Yayasan Amal dan sebagainya. Peranan yang dimainkan oleh setiap badan Islam yang terlibat amat signifikan memandangkan terlalu ramai mualaf yang perlu disantuni di Sabah setiap tahun. Di bawah HCF Sabah sahaja contohnya, terdapat kira-kira 800 orang saudara baharu yang telah dan sedang disantuni di pelbagai kawasan di Sabah. Sejak 2012 hingga kini terdapat tujuh cawangan HCF yang telah ditubuhkan di Sabah iaitu di Kota Kinabalu, Papar, Keningau, Kota Marudu, Bundu Tuhan, Beluran dan Pagalungan. HCF Sabah juga telah mendapat kebenaran daripada JHEAINS untuk membantu proses pendaftaran pengislaman di Sabah. 

Gambar 1: Sebahagian ahli kembara dakwah yang tiba awal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu

Gambar 2: Kota Kinabalu Night Market, medan santapan yang menjadi tumpuan ramai termasuk pelancong dari luar negara

Gambar 3: Pertemuan dengan pimpinan IKRAM Negeri Sabah di Putatan

Jumaat, 13 April 2018, rombongan kami tiba di Kundasang menjelang waktu tengah hari setelah menempuh perjalanan yang merentas kawasan pergunungan dan bukit-bukau selama hampir tiga jam dari Kota Kinabalu. Di Kundasang, kami terlebih dahulu melawat Desa Dairy Farm, sebuah ladang ternakan tenusu yang suasananya dikatakan mirip ladang-ladang ternakan di New Zealand. Puncak Gunung Kinabalu, gunung tertinggi di Asia Tenggara juga jelas kelihatan dari sini. Ditambah dengan keindahan pemandangan menghijau di sekitar ladang ini, tidak hairanlah Desa Dairy Farm semakin hari semakin popular dan kerap dikunjungi para pelancong terutamanya dari Semenanjung Malaysia dan luar negara. 

Dari Desa Dairy Farm, kami kemudiannya bergerak ke Bundu Tuhan untuk menunaikan solat Jumaat. Bundu Tuhan merupakan sebuah perkampungan kecil yang terletak kira-kira-kira 27 kilometer dari bandar Ranau. Alhamdulillah, saya diberi kesempatan menyampaikan khutbah Jumaat di Surau At-Taqwa yang turut menempatkan pejabat HCF Cawangan Bundu Tuhan. 

Ramainya saudara baharu yang perlu disantuni di Bundu Tuhan merupakan antara sebab utama HCF memilih untuk menubuhkan pejabat cawangannya di sana. Sejak tahun 2013, seramai 163 orang saudara baharu telah didaftarkan di bawah HCF Bundu Tuhan. Usaha menyantuni mereka adalah satu perkara yang amat penting bagi memastikan kebajikan mereka terpelihara dan lebih utama, mereka tidak kembali kepada kepercayaan lama mereka sebelum Islam. Banyak inisiatif telah dianjurkan oleh HCF Bundu Tuhan yang kini digerakkan oleh dua orang kakitangan sepenuh masa, antaranya kelas bimbingan dan ziarah saudara baharu, kursus pemantapan akidah, kursus memperkasa solat, kursus pengurusan jenazah, kursus penyembelihan haiwan dan sebagainya. 

Pada sebelah petang, kami membuat kunjungan ke Gereja Katolik St. Peter Claver yang terletak di bandar Ranau, kira-kira 30 minit masa pemanduan dari pekan Kundasang. Paderi gereja tersebut, Fr. Nicholas Stephen cukup ramah dan secara santai memberi penerangan sambil berdialog dengan kami tentang agama Kristian. Malah beliau turut membawa kami melihat sendiri kolam yang digunakan dalam upacara pembaptisan penganut Kristian. Suatu pengalaman baru buat saya walaupun sebelum ini pernah beberapa kali melawat gereja. 

Perangkaan banci tahun 2010 juga menunjukkan agama Kristian adalah agama kedua terbesar di Sabah, iaitu 26.6 peratus. Mengikut sejarah, agama Kristian mula dianuti oleh penduduk peribumi Sabah setelah kedatangan penjajah Barat pada kurun ke-19. Tidak dinafikan para mubaligh Kristian telah berjaya dalam misi mereka untuk menarik ramai penduduk peribumi Sabah yang asalnya mengamalkan kepercayaan animisme dan berbudaya pagan untuk menganut Kristian. Kini antara mazhab Kristian yang utama di Sabah ialah Roman Katolik, Protestan, Anglikan, Sidang Injil Borneo, Basel dan Seventh-day Adventist.

Gambar 4: Salah sebuah pacuan empat roda milik HCF Sabah yang kami gunakan sepanjang kembara 

Gambar 5: Meninjau puncak Gunung Kinabalu di Pekan Nabalu sewaktu dalam perjalanan ke Kundasang

Gambar 6: Sebahagian pemandangan di Desa Dairy Farm di Kundasang

Gambar 7: Di hadapan Surau At-Taqwa yang turut menempatkan Pejabat Cawangan HCF Bundu Tuhan

Gambar 8: Penulis diberi peluang menyampaikan khutbah solat Jumaat di Surau At-Taqwa di Bundu Tuhan

Gambar 9: Saudara Azwan (kakitangan HCF Bundu Tuhan) membuat perkongsian tentang usaha-usaha dakwah dan sokongan saudara baharu di Bundu Tuhan

Gambar 10: Di hadapan bangunan Gereja Katolik yang kami lawati di bandar Ranau

Gambar 11: Mendengar penerangan dari Fr. Nicholas Stephen  (kanan sekali) di kolam pembaptisan

Hari ketiga kembara, kami sekali lagi menempuh perjalanan panjang menuju ke destinasi berikutnya, iaitu Beluran. Perjalanan menjadi lebih mencabar apabila kami mula memasuki Paitan, sebuah daerah kecil di Beluran. Kami melalui jalan raya yang berlubang-lubang dan beralun sepanjang hampir lima kilometer sebelum akhirnya sampai di Paitan.

Setelah singgah sebentar untuk menjamu selera dan menunaikan solat jamak Zohor dan Asar di Kampung Kobambangan, kami meneruskan perjalanan menuju ke Kampung Kaiboton di Paitan. Di sana nanti kami akan menjalankan ‘kupi-kupi’, sejenis aktiviti yang biasa dilakukan oleh aktivis HCF di Sabah dalam menyantuni keluarga saudara baharu. Sekali lagi kami meredah laluan berliku dan berjam-jam lamanya untuk sampai ke destinasi yang jauh di kawasan pedalaman.

Kira-kira 15 orang penduduk kampung telah sedia menanti ketika kami sampai di Kampung Kaiboton. Turut menyambut kehadiran kami ialah Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kaiboton, Tuan Jamulan. Dalam ucapan aluannya, beliau berharap agar dapat dibina sebuah surau di kampung tersebut bagi memudahkan penduduk beragama Islam melaksanakan solat secara berjemaah. Ucapan yang amat menggambarkan sikap terbuka beliau yang sebenarnya beragama Kristian. Malah Kampung Kaiboton sendiri didiami oleh penduduk yang majoritinya beragama Kristian.

Alhamdulillah, saya juga dijemput untuk menyampaikan ucapan mewakili HCF. Peluang ini saya manfaatkan sepenuhnya untuk memberikan penerangan mengenai Islam kepada mereka yang hadir. Bagi saudara baharu, saya tekankan kepada mereka supaya berusaha mempelajari ilmu Islam agar akidah mereka menjadi lebih mantap. Kepada mereka yang bukan beragama Islam, saya jelaskan kepada mereka asas kepercayaan dalam Islam, iaitu Allah satu-satunya Tuhan dan Nabi Muhammad s.a.w. adalah pesuruh Allah. Saya juga berkongsi dengan mereka manfaat yang mereka akan peroleh sekiranya menganut Islam. Tambah saya lagi, jika ada dalam kalangan mereka yang berminat untuk memeluk Islam, pihak HCF sedia membantu memudahkan proses pendaftaran pengislaman mereka.

Tidak disangka-sangka, selepas program ringkas kami dengan mereka berakhir, dua orang daripada penduduk kampung yang hadir menyatakan hasrat untuk memeluk Islam. Alhamdulillah, nikmat Allah kepada kami pada hari tersebut kerana dapat membawa dua orang lagi hamba Allah kembali kepada agama fitrah. Terasa begitu berbaloi perjalanan kami ke sini. Tanpa berlengah kami melaksanakan urusan pengislaman mereka. Saya sendiri memberikan penerangan secara ringkas kepada mereka tentang Islam sebelum proses syahadah dilakukan oleh Saudara Zakwan yang merupakan kakitangan sepenuh masa HCF di Beluran.

Gambar 11: Bergambar di tempat penginapan kami di Kinabalu Homestay Kundasang sebelum  bertolak ke Beluran

Gambar 12: Singgah di Masjid Jamek Al-Jinal di Kampung Kobambangan, Paitan

Gambar 13: Tiba di Kampung Kaiboton dengan sedikit barangan bantuan kepada penduduk 

Gambar 14: Rombongan kami bersama Pengerusi JKKK dan para penduduk Kampung Kaiboton 

Gambar 15: Penulis menyampaikan penerangan mengenai dua kalimah syahadah kepada dua orang penduduk Kampung Kaiboton yang ingin memeluk Islam

Selepas program bersama penduduk Kampung Kaiboton berakhir, HCF Petaling Jaya telah mengadakan majlis ringkas penyerahan sebuah motosikal kepada HCF Beluran. Alhamdulillah, motosikal ini dibeli hasil infak orang ramai. Sudah tentu dengan adanya motosikal ini sedikit sebanyak dapat membantu pergerakan dan usaha dakwah Saudara Zakwan dan seorang lagi kakitangan HCF Beluran, Saudara Zohan yang kerap memasuki kawasan pedalaman, malah setiap bulan perlu menghadiri mesyuarat HCF Sabah di Kota Kinabalu. Semoga Allah mengganjari pahala yang berlipat kali ganda kepada semua penyumbang yang budiman. Setiap pusingan roda motosikal tersebut yang digunakan untuk dakwah, pasti ada pahala yang mengalir buat mereka, insya-Allah. 

Malam itu kami menginap di Kampung Dampiron di Beluran yang merupakan tempat asal Saudara Zakwan. Rasa hiba menyelubungi diri bila melihatkan keadaan persekitaran dan kehidupan penduduk kampung yang serba kekurangan. Disebabkan masih tiada bekalan elektrik, penduduk kampung terpaksa menggunakan generator pada setiap malam, yang membuatkan mereka perlu berbelanja hampir RM500 sebulan untuk membeli minyak petrol. Penduduk juga bergantung kepada air dari bukit dan air hujan untuk kegunaan harian memandangkan tiadanya air bersih yang dibekalkan ke kampung mereka. Bekalan bahan mentah pula hanya boleh diperoleh di pekan berhampiran yang jauhnya tiga jam perjalanan berulang-alik menaiki motosikal. Seakan tidak percaya, masih ada rakyat Malaysia hidup sedemikian rupa walaupun negara sudah lebih 60 tahun merdeka.

Saudara Zakwan sebenarnya merupakan seorang saudara baharu yang memeluk Islam pada tahun 2010. Langkah beliau disusuli oleh adik-beradiknya seorang demi seorang, hingga akhirnya ibu bapa mereka turut memilih Islam sebagai cara hidup. Begitu juga dengan Saudara Zohan yang melafazkan kalimah syahadah pada tahun 2016, hasil sentuhan dakwah Saudara Zakwan. Cita-cita mereka begitu murni, iaitu untuk mengajak lebih ramai lagi penduduk di Beluran menganut Islam. 

Beluran dihuni oleh penduduk yang majoritinya adalah Orang Sungai. Selain Beluran, Orang Sungai juga berada di berapa daerah lain di Sabah seperti Kinabatangan, Pitas, Paitan, Tangod, Sugut dan Membakut. Dalam etnik Orang Sungai terdapat beberapa sub-etnik, antaranya Idahan, Milian, Liwago, Begahak, Bengkoka, Bulud Upi, Dewara, Dumpas dan Inokang. Dari segi agama, lebih ramai Orang Sungai di Beluran beragama Kristian, namun ada juga yang masih menganuti kepercayaan animisme, selain mereka yang beragama Islam.

Menurut Zakwan, HCF telah bertapak di Beluran sejak tahun 2016 dan sepanjang tempoh itu, lapan buah kampung telah diziarahi secara berkala oleh beliau dan Zohan. Di kampung-kampung tersebut terdapat ramai saudara baharu yang sebenarnya telah lama memeluk Islam tetapi tidak mendapat perhatian dan pendidikan Islam yang sewajarnya. Disebabkan itu, ramai dalam kalangan mereka yang masih kuat mengamalkan ajaran agama lama mereka. Inilah cabaran yang harus dipikul oleh Zakwan, Zohan dan mana-mana pendakwah yang ingin menyantuni golongan saudara baharu di Beluran. Selain bantuan kebajikan, kelas bimbingan saudara baharu juga perlu diadakan secara konsisten agar mereka benar-benar hidup berlandaskan ajaran Islam.

Di Kampung Dampiron terdapat sebuah surau yang telah lama dibina. Kedudukannya tidak jauh dari rumah Zakwan, di tepi jalan utama. Ketika kedatangan kami, surau ini sedang dicat baru. Pastilah ia mendapat penjagaan yang baik dari penduduk Muslim di kampung tersebut. Namun disebabkan jumlah orang Islam yang sedikit, bilangan mereka yang datang solat berjemaah di surau berkenaan boleh dibilang dengan jari. Keadaan tandas surau pula amat daif dan usang. Ketiadaan bekalan air bersih benar-benar menyulitkan mereka yang ingin menggunakan tandas ini. Malah ia adalah satu-satunya tandas di surau tersebut yang terpaksa dikongsi oleh lelaki dan perempuan. 

Pada malam itu juga kami kaum lelaki tidur di surau tersebut. Di dalam kegelapan (kerana tiada bekalan elektrik), kami lena sambil menahan bau cat yang masih kuat. Beberapa kali juga saya terjaga kerana melawan gigitan nyamuk, ditambah sedikit kesejukan dek bayu malam yang bertiup lembut. 

Gambar 16: Penyerahan motosikal secara rasmi oleh HCF Petaling Jaya kepada HCF Beluran

Gambar 17: Bersama Saudara Zohan (dua dari kiri) dan Saudara Zakwan (kanan sekali), dua orang kakitangan sepenuh masa HCF Beluran

Gambar 18: Di halaman rumah Saudara Zakwan di Kampung Dampiron

Gambar 19: Generator yang digunakan oleh keluarga Saudara Zakwan di rumah mereka untuk menjana elektrik

Gambar 20: Sumber air dari bukit, di sini penulis membersihkan diri sewaktu menginap di Kampung Dampiron

Gambar 21: Sesi perkongsian dakwah HCF Beluran oleh Saudara Zakwan

Gambar 22: Bangunan surau di Kampung Dampiron

Gambar 23: Keadaan tandas surau yang begitu daif dan perlu ditambah baik

Pagi Ahad, 15 April 2018, saya dan rakan-rakan meninggalkan Kampung Dampiron dengan seribu satu rasa di jiwa. Rasa syukur, insaf, duka, kagum, kecewa dan sebagainya, bercampur-baur. Walau apa pun perasaannya, kami semua sepakat untuk terus membantu usaha dakwah di Beluran, walaupun nanti kami berada jauh beribu batu dan dipisahkan lautan. Sekurang-kurangnya sumbangan wang ringgit boleh meringankan bebanan kehidupan dan kelangsungan dakwah mereka. Beberapa bentuk sokongan dakwah juga telah dikenal pasti dan akan dibincangkan dengan lebih terperinci sebaik sahaja kami pulang ke Kuala Lumpur. 

Bandar Sandakan menerima kunjungan kami menjelang waktu Zohor. Kami terus menuju ke Masjid Nur Assyakirin, Indah Jaya bagi membuat persiapan diri, memandangkan sewaktu di Beluran kami hanya dapat membasahkan badan secara ala kadar sahaja. Setelah selesai menunaikan Solat Jamak Taqdim Zohor dan Asar di masjid tersebut, kami dibawa makan tengah hari di kedai makan “Ikan Bakar Mama Resepi” dengan hidangan nasi dan lauk-pauk yang begitu menyelerakan. 

Tidak banyak aktiviti yang dapat kami lakukan di bandar Sandakan memandangkan kami perlu berada di Lapangan Terbang Sandakan pada sebelah petang. Namun dengan sisa-sisa masa yang masih ada, kami dapat juga bersiar-siar di tengah-tengah bandar ini yang nampaknya sarat dengan warga tempatan dan pelancong asing pada hujung minggu. Pasar Umum Sandakan menjadi destinasi kami membeli makanan kering untuk dibawa pulang. Sempat juga saya menjengah ke dalam Harbour Mall yang terletak bersebelahan pasar tersebut. 

Alhamdulillah, kembara dakwah Sabah benar-benar memberikan pengalaman dan pengajaran yang tidak terhingga, khususnya kepada diri saya sendiri. Melihatkan usaha gigih para pendakwah tempatan yang serba kekurangan amat memotivasikan saya agar lebih bersyukur dengan segala kemudahan yang ada, malah perlu memanfaatkannya sebaik mungkin bagi mencapai hasil yang lebih cemerlang dalam dakwah. Pengalaman menyantuni warga masyarakat yang tinggal nun jauh di kawasan pedalaman, terselit pengajaran betapa besarnya tanggungjawab untuk berdakwah kepada mereka yang masih asing daripada risalah Islam. Juga kesempatan mengislamkan mereka yang telah dibuka pintu hatinya oleh Tuhan untuk menerima hidayah, menyedarkan saya betapa ramai manusia yang sebenarnya sedang menanti kita untuk memimpin mereka ke jalan kebenaran. 

Semoga Allah memberikan kekuatan kepada kita semua untuk terus istikamah dalam perjuangan Islam dan dakwah. Hanya kepada Allah kita sembah, dan hanya kepada-Nya kita memohon pertolongan. 

Gambar 24: Masjid Nur Assyakirin, Indah Jaya di bandar Sandakan

Gambar 25: Hidangan makan tengah hari yang membuka selera di kedai makan “Ikan Bakar Mama Resepi”

Gambar 26: Di hadapan pintu masuk utama Pasar Umum Sandakan

Gambar 27: Kembara Dakwah Sabah berakhir di sini, semoga ukhuwah terus berkekalan, insya-Allah!

Monday, January 8, 2018

Warsaw: Kota Lama Era Rennaissance

Oleh Wan Am

Pesawat Qatar Airways dengan nombor penerbangan QR 261 selamat mendarat di Lapangan Terbang Chopin di Warsaw kira-kira jam 8.00 malam, 22 Disember 2017. Setelah melalui perjalanan yang panjang, saya akhirnya tiba di Poland, sebuah negara yang berada di benua Eropah. Saya masih ingat kira-kira tiga minggu sebelumnya, saya menerima mesej jemputan untuk berkongsi ilmu dengan pelajar-pelajar Malaysia di Warsaw. Selepas menyatakan persetujuan, saya lantas berkomunikasi dengan rakan-rakan di Poland untuk mengetahui keadaan di sana sambil membuat perancangan yang sesuai.

Kedinginan mula terasa sewaktu saya melangkah masuk ke bangunan lapangan terbang. Dengan menggunakan perkhidmatan WiFi percuma, saya terus menghantar mesej melalui aplikasi Whatsapp kepada isteri saya untuk memaklumkan ketibaan saya di sini. Sudah pasti isteri saya sedang tidur ketika mesej ini sampai kepadanya kerana waktu Malaysia ketika itu jam 3.00 pagi, awal tujuh jam berbanding waktu Poland.

Agak mendebarkan juga ketika melalui kaunter imigresen. Saya ditanya beberapa soalan oleh pegawai yang bertugas, antaranya ialah apa tujuan datang ke Warsaw, berapa lama di sini dan di mana tempat menginap. Setelah memberikan semua maklumat yang diperlukan, saya melepasi kaunter imigresen dengan penuh kelegaan. Hati saya tambah berbunga apabila melihat kelibat Saudara Zairul dan Saudara Anas yang telah sedia menanti di balai ketibaan. Saudara Zairul dan Saudara Anas merupakan warganegara Malaysia yang kini sedang menuntut di Medical University of Warsaw dalam bidang perubatan.

Gambar 1: Bersama Saudara Anas Alwi di Lapangan Terbang Chopin di Warsaw, ibu kota negara Poland

Melihatkan papan tanda yang tertulis ‘Lotnisko Chopina Warszawa’ (Lapangan Terbang Chopin, Warsaw), saya bertanya kepada mereka, siapa gerangannya Chopin ini? Mereka memberitahu, Chopin adalah seorang pemain piano terkenal yang berasal dari Poland. Daripada Google, saya kemudiannya memperoleh maklumat lebih terperinci mengenai beliau. Chopin atau nama penuhnya Frederic Chopin hidup pada tahun 1810 hingga 1849. Sejak usia remaja lagi beliau telah menunjukkan bakatnya sebagai pemain piano dan penggubah lagu. Kerana keadaan politik yang tegang di Poland, beliau telah berhijrah ke Perancis dan menghabiskan sisa hidupnya di sana sebagai ahli piano yang terkemuka. Kerana jasanya, nama beliau turut diabadikan dalam salah satu festival di Poland iaitu Pertandingan Piano Chopin Antarabangsa.

Di Warsaw, saya tinggal di rumah sewa pelajar Malaysia yang terletak di Aleja (Jalan) Jana Pawla II. Hari pertama di sini, saya dapati cuaca begitu sejuk di luar, ditambah hujan renyai-renyai yang berterusan sepanjang hari. Musim sejuk di Poland yang saban tahun berlaku sekitar bulan Disember hingga Februari biasanya boleh berlaku dalam dua keadaan, sama ada sejuk dan bersalji, atau pun hujan dan berangin. Perancangan kami untuk bersiar-siar pada siang hari nampaknya tidak kesampaian. Jika keluar juga, mereka takut saya diserang demam.  

Gambar 2: Rumah sewa pelajar Malaysia di Aleja Jana Pawla II, tempat penulis menginap

Lewat petang, bila melihatkan hujan sudah mulai reda, saya membuat keputusan untuk menjengah sebentar di kawasan sekitar. Nampaknya baju sejuk, long john, sarung penutup kepala dan sarung tangan serta stokin tebal yang saya pakai masih tidak mampu menangkis cuaca dingin yang begitu menyengat. Namun bila memikirkan entah bila lagi saya akan berpeluang ke Warsaw, saya gagahkan diri juga untuk berjalan dan memerhatikan bandar tersebut yang merupakan bandar terbesar di Poland dan dihuni lebih kurang 1.8 juta penduduk.

Setelah berjalan kaki kira-kira dua kilometer, di Aleja Solidarnosci saya menemui dua buah gereja yang besar. Pertama, Church of the Nativity of the Blessed Virgin Mary (Kościół Narodzenia Najświętszej Maryi Panny), sebuah gereja Roman Katolik yang dibina antara tahun 1682-1732. Kedua, gereja aliran Protestan yang dinamakan Evangelical Reformed Church (Kościół Ewangelicko-Reformowany), dibuka secara rasminya pada tahun 1880. Sememangnya terdapat banyak gereja lama di Warsaw memandangkan agama Kristian sudah lama bertapak di negara tersebut. Malah lebih 90 peratus rakyat Poland adalah penganut Kristian, majoritinya adalah aliran Roman Katolik, diikuti Protestan dan Kristian Ortodoks. 

Gambar 3: Suasana petang yang sibuk dan sejuk di bandar Warsaw

Gambar 4: Amrit Oriental Food, restoran halal di Aleja Jana Pawla II

Gambar 5: Church of the Nativity of the Blessed Virgin Mary, gereja Roman Katholik di Aleja Solidarnosci

Gambar 6: Evangelical Reformed Church, gereja Protestan di Aleja Solidarnosci

Disebabkan hujan kembali lebat, saya bergegas pulang ke rumah. Hari juga sudah menjelang senja, maka saya perlu membuat persiapan untuk menunaikan solat jamak Maghrib dan Isyak. Waktu solat Maghrib adalah seawal jam 3.30 petang. Musim sejuk menyebabkan malam di Warsaw menjadi lebih panjang daripada biasa.

Jam 4.00 petang, rakan-rakan pelajar Malaysia membawa saya keluar untuk meninjau bandar Warsaw dengan lebih dekat. Kami menggunakan pengangkutan awam seperti trem dan bas untuk pergi ke tempat-tempat yang telah dirancang untuk saya kunjungi. Sememangnya rangkaian trem, bas dan metro sentiasa menjadi pilihan penduduk di Warsaw kerana ia memudahkan pengguna untuk akses ke semua bahagian di bandar ini. Jarak antara satu hentian ke hentian yang lain juga tidak terlalu jauh kerana banyaknya bilangan hentian trem dan bas yang disediakan. Lebih memudahkan, saya boleh menaiki mana-mana trem dan bas dalam masa 24 jam dengan hanya satu tiket berharga 15 Złoty. 

Złoty adalah mata wang rasmi untuk Poland. Nilainya tidak jauh berbeza dengan Ringgit Malaysia. Sewaktu artikel ini ditulis, nilai 1 Złoty bersamaan dengan RM1.16. Bila mengetahui kadar tukaran mata wang tersebut, saya tidaklah terlalu risau untuk berbelanja di Warsaw.

Gambar 7: Waktu solat pada musim sejuk di Warsaw

Gambar 8: Perkhidmatan trem yang efisyen di Warsaw

Gambar 9: Złoty, mata wang rasmi Poland

Dari Stesen Kino Femina, kami menaiki trem menuju ke destinasi pertama, iaitu Kota Lama Warsaw (Warszawa Stare Miasto). Dari namanya sahaja boleh difahami, ia pastinya suatu lokasi yang sangat tinggi nilainya di sisi sejarah. Bahkan Kota Lama Warsaw ini yang mula dibangunkan pada abad ke-13 Masihi, secara rasminya berada di dalam senarai UNESCO World Heritage pada 2 September 1980. 

Di Kota Lama Warsaw terdapat beberapa monumen yang boleh dilawati oleh para pengunjung. Antara yang utama ialah Royal Castle, Old Town Market Square dan Cathedral Crypt. Begitu juga beberapa tugu seperti Zygmunt Column, Syrenka Mermaid dan Maly Powstaniec yang masing-masing mempunyai lagendanya yang tersendiri. Saya melihat para pelancong tetap membanjiri tempat ini walaupun hujan masih belum benar-benar berhenti. 

Menyusuri Kota Lama Warsaw ini yang terletak berhampiran Sungai Vistula, saya merasakan seolah-olah sedang berada di Eropah pada zaman Renaissance. Keindahan senibina bangunan-bangunannya tidak dapat disangkal. Lampu-lampu yang bergemerlapan menambahkan lagi kecantikan kota ini pada waktu malam. Walau dalam kebasahan, saya tidak melepaskan peluang untuk bergambar di sini. Sudah pasti gambar-gambar ini begitu penting sebagai sebahagian daripada bahan penulisan saya nanti.

Sebenarnya majoriti bangunan yang ada di Kota Lama Warsaw ini bukanlah bangunan yang asal. Rakaman sejarah menunjukkan lebih 90 peratus kawasan di Kota Lama Warsaw musnah dibedil tentera Jerman ketika peristiwa ‘The Warsaw Uprising’ (Kebangkitan Warsaw) pada tahun 1944. Sejak itu kota Warsaw dibangunkan kembali secara berperingkat, termasuk bangunan-bangunannya yang dibina semula mengikut rupa bentuk yang asal. 

Gambar 10: Suasana di dalam trem di Warsaw

Gambar 11: Di dataran Kota Lama Warsaw yang indah dan penuh sejarah

Gambar 12: Dalam kehujanan para pelawat (termasuk penulis) membanjiri Kota Lama Warsaw

Gambar 13: Bersama rakan-rakan pelajar Malaysia yang mengiringi penulis menjelajah bumi Warsaw

Selepas melawat Kota Lama Warsaw, saya dibawa melihat beberapa mercu tanda Warsaw yang lain. Antaranya ialah Stadium Nasional Warsaw (Stadion Narodowy), sebuah stadium bolasepak yang dibina pada tahun 2010 dan berkapasiti 58,145 penonton. Stadium ini pernah menjadi tuan rumah kepada Kejohanan Bolasepak Euro 2012, pertandingan bolasepak paling berprestij di rantau Eropah. Poland boleh dikatakan sebagai salah sebuah negara elit dalam arena bolasepak di Eropah dan turut melayakkan diri ke Piala Dunia 2018 di Rusia. Malah bagi penggemar bolasepak pasti ramai yang mengenali Robert Lewandowski, seorang penyerang bertaraf dunia dari Poland yang kini bermain untuk kelab gergasi Jerman, Bayern Munich.

Destinasi persinggahan saya seterusnya ialah Palace of Culture and Science atau PKiN (Pałac Kultury i Nauki).  Ia merupakan bangunan tertinggi di Poland dan dibuka kepada orang ramai sejak tahun 1955. PKiN yang mempunyai ketinggian 231 meter dan terdiri daripada 42 tingkat ini menempatkan pejabat-pejabat syarikat dan menjadi pusat kepada pelbagai aktiviti kebudayaan dan kemasyarakatan seperti konsert, panggung wayang, teater, perpustakaan, muzium, kolam renang dan institusi pendidikan. Lampu-lampu LED yang berwarna-warni menerangi PKiN yang menjadikan bangunan ini begitu memukau dipandang pada waktu malam.

Dari PKiN, kami berjalan kaki ke Warsaw Central (Warszawa Centralna). Suasana di sini tidak ubah seperti KL Sentral yang terdapat di negara kita. Selain menjadi stesen keretapi (metro) utama di bandar Warsaw serta adanya hentian bas dan trem di luar stesen, di sini juga terdapat pelbagai premis dan kemudahan yang disediakan untuk orang ramai, termasuk kompleks membeli-belah yang besar. Di sana sini saya memerhatikan warga tempatan bersesak-sesak menuju ke laluan masing-masing. Malah mungkin juga ramai dalam kalangan mereka sibuk membuat persiapan menjelang hari Krismas pada 25 Disember. 

Waktu telah melewati jam 8.00 malam ketika kami beransur pulang ke rumah. Saya kira cukuplah lawatan saya ke beberapa lokasi di Warsaw pada malam itu. Dengan suhu di bawah lima darjah celcius, saya sendiri sudah tidak mampu lagi untuk menahan kesejukan. Lagi pun saya perlu berehat secukupnya sebelum mengendalikan beberapa slot ceramah bersama pelajar-pelajar Malaysia pada keesokan harinya. 

Gambar 14: Di hadapan Palace of Culture and Science yang bergemerlapan pada waktu malam

Gambar 15: Stadium Nasional Warsaw, gelanggang rasmi pertandingan bolasepak Euro 2012

Gambar 16: Warsaw Central, stesen pengangkutan awam utama di Warsaw

24 Disember 2017, hari kedua saya di Warsaw. Dari Aleja Jana Pawla II, kami menuju ke tempat program di Hale Banacha dengan menaiki trem dan bas. Masa perjalanan ke sana kurang daripada 30 minit walaupun kami perlu beberapa kali bertukar kenderaan. Saya dapati waktu menunggu trem hanyalah beberapa minit sahaja kerana kerapnya bilangan trem yang tiba di sesebuah stesen. Dianggarkan juga terdapat lebih 1,500 bas yang beroperasi di sekitar bandar. Inilah kelebihan sistem pengangkutan awam di Warsaw yang sedikit sebanyak boleh dicontohi oleh Malaysia. 

Pada hari ini, dari pagi hingga ke malam saya mengisi masa saya bersama rakan-rakan rakyat Malaysia yang menuntut di Warsaw. Mereka adalah sebahagian daripada kira-kira 100 orang rakyat Malaysia yang bermastautin di Poland, kebanyakannya adalah pelajar. Selain Warsaw, terdapat juga pelajar Malaysia di bandar-bandar lain seperti Kraków, Poznań, Lublin, Rzeszów dan Łódź. Saya difahamkan, mereka yang bersama saya pada hari ini adalah pelajar daripada generasi terakhir yang mendapat tajaan biasiswa memandangkan pihak Kerajaan Malaysia sudah tidak lagi menghantar pelajar ke sini. Kebanyakan pelajar Malaysia di sini juga aktif dengan AMAR Poland, sebuah persatuan yang dianggotai oleh pelajar-pelajar Malaysia. 

Bersama ahli-ahli AMAR Poland, saya kongsikan topik-topik asas mengenai dakwah dalam masyarakat majmuk. Selain isi-isi utama dalam bahan pembentangan, saya turut berpesan kepada mereka, rebutlah peluang berada di bumi Poland ini untuk berdakwah. Walaupun berada di negara minoriti Muslim, hal itu tidak sepatutnya menghalang kita daripada berkongsi mesej Islam. Lebih besar cabaran dakwah, lebih besar pahala daripada Allah. Dakwah boleh dilaksanakan dengan pelbagai cara. Laksanakanlah dakwah dengan berhikmah dan sesuai dengan suasana semasa. Jangan lupa juga untuk berdoa kepada Allah supaya dilimpahkan hidayah kepada rakan-rakan yang telah dikenali di sini.

Sewaktu program berlangsung, salah seorang peserta ada meminta pendapat saya mengenai ucapan “Merry Christmas” kepada rakan yang beragama Kristian. Soalan yang relevan memandangkan inilah juga perkara yang sering dibincangkan di Malaysia setiap kali menjelang perayaan Hari Krismas. Dalam hal ini, tiada dalil yang jelas dan muktamad sama ada daripada Al-Quran atau pun Hadis yang melarang umat Islam untuk memberikan ucapan tahniah sempena perayaan agama lain. Maka ulama berbeza pandangan dalam mengeluarkan fatwa mereka. 

Ada ulama yang melaras keras untuk memberikan ucapan seumpama “Merry Christmas”. Bagi mereka, perkataan ini boleh menyebabkan dosa syirik kerana mengakui kebenaran agama lain. Bila kita mengucapkan “Merry Christmas”, kita seolah-olah menggalakkan mereka untuk terus mengamalkan ajaran Kristian yang jelas bertentangan dengan akidah Islam.

Namun ada ulama yang berpandangan, hukumnya harus untuk mengungkapkan ucapan sedemikian. Ia adalah salah satu cara berbuat kebaikan kepada rakan-rakan bukan Muslim sebagaimana yang dianjurkan dalam Al-Quran. Namun keharusan ini tidaklah sampai membolehkan seseorang Muslim untuk menyertai aktiviti ritual agama rakan bukan Islam mereka sewaktu perayaan tersebut. Antara ulama besar yang memberikan pandangan ini ialah Dr Yusuf Al-Qaradawi dan Dr Mustafa Al-Zarqa. Malah Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Zulkifli Muhammad Al-Bakri turut bersetuju dengan pandangan ini melalui fatwanya yang dikeluarkan pada Disember 2016. Menurut beliau, hukum mengucapkan “Merry Christmas” adalah harus dan perlu meraikan garis panduan yang sesuai dengan syariat Islam. Justeru dalam konteks dakwah dalam masyarakat majmuk, saya secara peribadi lebih selesa dengan pendapat ini. 

Gambar 17: Menaiki bas awam menuju ke Hale Banacha

Gambar 18: Bersiar-siar di Targowisko Banacha, suasananya seperti uptown di Malaysia

Gambar 19: Bersama pimpinan AMAR Poland yang menyertai program latihan dakwah yang penulis kendalikan

Gambar 20: Penulis bersama Presiden AMAR Poland, Saudara Zairul Anuar Zailani

25 Disember 2017, tibalah hari terakhir saya di Warsaw. Alhamdulillah, hari ini saya dapat menunaikan aktiviti wajib saya setiap kali ke luar negara, iaitu menziarahi masjid tempatan. Di Warsaw terdapat beberapa masjid yang dibangunkan. Namun disebabkan kekangan masa dan jarak yang jauh antara satu masjid dengan masjid yang lain, saya hanya dapat menziarahi sebuah masjid sahaja, iaitu Islamic Cultural Center (Ośrodek Kultury Muzułmańskiej). Masjid ini juga lebih dikenali dengan nama Masjid Blue City. Selain masjid ini, masjid lain yang terdapat di Warsaw ialah Islamic Centre Warsaw (Warsaw Mosque) di Wiertnicza dan Masjid Wilanow.

Masjid Blue City yang terletak di Aleja Bohaterów Września dibuka secara rasminya pada tahun 2015. Jika dilihat dari luar, ia tidak kelihatan seperti masjid. Fikir saya, mungkin beginilah reka bentuk masjid-masjid di Eropah. Namun masjid ini tetap menawan hasil sentuhan corak Eropah dan Timur Tengah. Tidak hairanlah perkataan dalam bahasa Arab turut digunakan dalam beberapa papan tanda di masjid ini kerana Masjid Blue City sebenarnya dibangunkan oleh warga Arab yang bermastautin di sini. 

Seperti masjid di negara-negara minoriti Muslim yang lain yang pernah saya kunjungi, Masjid Blue City juga tidaklah terlalu besar saiznya. Masjid ini hanya boleh memuatkan kira-kira 600 orang ahli jemaah pada satu-satu masa. Selain dewan solat, terdapat juga kemudahan lain yang disediakan di masjid ini seperti dewan konferens dan perpustakaan. Malah di bahagian tingkat bawah masjid terdapat restoran dan kedai menjual bahan mentah yang dibuka yang pastinya memudahkan orang-orang Islam di sini mendapatkan atau menyediakan makanan halal.

Saya turut berkesempatan menunaikan Solat Zohor di masjid ini. Bila melihatkan orang-orang Islam yang hadir untuk solat berjemaah, saya dapati lebih ramai orang luar berbanding warga tempatan. Mungkin inilah cerminan kepada realiti Islam di Poland memandangkan 80 peratus daripada umat Islam di negara ini sebenarnya terdiri daripada imigran. 

Melalui maklumat yang saya peroleh, terdapat sekitar 35,000 penduduk yang beragama Islam di Poland. Sememangnya ia adalah angka yang begitu kecil jika dibandingkan dengan jumlah rakyat Poland seramai 37.95 juta orang (statistik tahun 2016). Selain 22,000 orang Islam di Warsaw, umat Islam juga tinggal di beberapa bandar utama lain seperti Poznań, Białystok, Kraków, Wrocław, Lublin dan Gdańsk.

Walaupun jumlah Muslim begitu minoriti, namun Masjid Blue City tetap hidup dengan pelbagai kegiatan yang bermanfaat untuk umat Islam dan masyarakat umumnya. Masjid ini turut menjadi pusat operasi kepada beberapa persatuan Islam, antaranya Muslim Association of Cultural Shaping, Muslim Relief Foundation, The Muslim League in the Republic of Poland dan Associations of Muslim Students. Selain itu masjid ini juga menawarkan khidmat penerangan tentang masjid dan Islam kepada mana-mana kumpulan masyarakat di Poland sama ada golongan remaja dan dewasa dan serta badan-badan kerajaan mahu pun organisasi bukan kerajaan yang ingin melawat masjid ini. Dengan fungsi yang pelbagai ini, sedikit sebanyak Masjid Blue City menjadi pemangkin kepada perkembangan Islam di negara ini. 

Namun perkembangan Islam ini juga nampaknya menjadi ancaman kepada segelintir kumpulan masyarakat di Poland, khususnya kumpulan anti-Islam. Bagi mereka, pertambahan bilangan umat Islam akan membahayakan kehidupan masyarakat mereka. Mereka nampak hanya yang buruk-buruk mengenai Islam. Sesungguhnya inilah kesan Islamofobia yang dicanang oleh Barat. Baru sahaja berlaku satu peristiwa kira-kira sebulan sebelum kedatangan saya ke Warsaw, yang mana Masjid Blue City telah dilempar dengan batu sehingga berlaku keretakan pada pintu dan dinding masjid yang diperbuat daripada kaca. Inilah antara cabaran yang perlu dihadapi oleh para pendakwah di Poland. Semoga mereka terus istikamah menyampaikan Islam kepada rakyat di negara tersebut yang saya percaya masih ramai yang tidak mempunyai pengetahuan tentang Islam. 

Jam 3.50 petang, pesawat Qatar Airways membawa saya beransur-ansur meninggalkan bandar Warsaw. Bukan sekadar kenangan yang dibawa pulang, namun paling utama ialah pengajaran yang ditimba yang boleh memperkayakan semangat dan pengalaman dakwah saya. Juga sekelumit harapan semoga objektif utama kembara ini tercapai, iaitu melahirkan pendakwah generasi baru yang meneruskan sunnah Nabi Muhammad s.a.w. yang terbesar, iaitu mengajak manusia seluruhnya kepada Islam. 

Gambar 21: Di hadapan Masjid Blue City

Gambar 22: Dewan solat utama Masjid Blue City

Gambar 23: Menunaikan solat berjemaah bersama komuniti Muslim di Warsaw

Gambar 24: Bahan penerbitan Islami dalam bahasa Polish yang dipamerkan di Masjid Blue City

Gambar 25: Kesan retakan di pintu cermin Masjid Blue City yang dilempar dengan batu

Gambar 26: Majlis perpisahan bersama pimpinan AMAR Poland di lapangan terbang sebelum berangkat pulang