Thursday, October 12, 2017

Istanbul: Menjejak Kegemilangan Muhammad Al-Fatih

Oleh Wan Am

Istanbul adalah salah sebuah kota utama di dunia yang menyimpan banyak khazanah silam yang berharga. Letaknya di Turki, sebuah negara yang kini diterajui oleh kerajaan yang terserlah komitmennya untuk meninggikan syiar Islam, setelah lebih separuh abad di bawah tampuk kepimpinan sekular. Turki juga dikenali sebagai “Negara Rentas Benua” lantaran dua bahagian negara tersebut terletak di dalam benua Eropah dan Asia yang dipisahkan oleh Selat Bosforus.

Pernah bergelar ‘Constantinople’ sewaktu di bawah pemerintahan Empayar Byzantium (Kristian Timur), Istanbul kemudiannya dikuasai oleh Kerajaan Islam Uthmaniah sehingga lima kurun lamanya. Peristiwa ini menepati ramalan junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w., yang mana baginda pernah bersabda, “Constantinople akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera.” (Hadis riwayat Imam Ahmad).

Kata-kata utusan Allah yang terakhir ini menjadi realiti selepas berlalu 800 tahun. Istanbul disinari cahaya Islam berkat kekuatan iman dan amal serta kecanggihan persenjataan soldadu Islam yang pada waktu itu dipimpin oleh Sultan Muhammad Al-Fatih. Sememangnya kewibawaan Muhammad Al-Fatih menjadi buah mulut ramai orang, sejak dahulu hingga sekarang. Hinggakan isteri saya sendiri menamakan anak lelaki sulung kami bersempena nama beliau. Malah, kembara kami ke bumi Istanbul adalah ilham daripada isteri saya yang begitu kepingin menjejak kesan peninggalan bersejarah Muhammad Al-Fatih dan pemerintahannya yang gemilang.

Gambar 1: Istanbul kami datang!

Rabu, 7 Disember 2016 jam 5.40 pagi, pesawat Turkish Airlines yang kami naiki mendarat di Istanbul Ataturk Airport. Perjalanan selama 10 jam sememangnya melelahkan, namun saya kira berbaloi kerana akhirnya kami selamat tiba di destinasi yang dituju. Ditambah dengan kemudahan dan kualiti perkhidmatan kakitangan pesawat yang sangat memuaskan. Pastinya Turkish Airlines menjadi pilihan kami lagi jika ingin menghala ke mana-mana negara di Eropah pada masa hadapan.

Istanbul pada waktu kedatangan kami ini sedang di penghujung musim luruh, dengan suhu serendah enam darjah celcius. Tidak hairanlah sebaik sahaja keluar dari bangunan lapangan terbang, saya diserang kedinginan yang agak mencengkam. Lantas saya baluti diri dengan baju sejuk dan sarung tangan yang baru dibeli sebelum datang ke Istanbul. Tanpa berlengah kami mengambil teksi untuk menuju ke hotel penginapan kami di Sultanahmed yang telah ditempah lebih awal secara atas talian.

Saya kira lokasi hotel penginapan kami amat strategik kerana terletak berhampiran dengan monumen-monumen tumpuan pelancong di kota Istanbul. Kami hanya perlu berjalan kaki untuk ke Hagia Sophia, Istana Topkapi, Grand Bazaar dan beberapa lagi bangunan bersejarah yang lain. Malah, setiap hari di Istanbul kami dapat menziarahi Masjid Biru (Blue Mosque) yang terkenal itu!

Hari pertama kami di Istanbul, saya dan isteri meredah hujan renyai-renyai untuk ke Masjid Biru. Di masjid yang juga dikenali sebagai Masjid Sultan Ahmed itu, saya lihat berduyun-duyun manusia dari seluruh pelusuk dunia datang bertandang. Yang putih, yang hitam, yang kuning langsat dan sawo matang, semuanya tidak melepaskan peluang untuk menatap Masjid Biru dengan lebih dekat.

Sejarah merakamkan, Masjid Biru ini dibina pada masa pemerintahan Sultan Ahmed I (1603-1617). Dengan reka bentuk yang begitu unik dan mempesonakan, tidak hairanlah masjid yang sudah mencecah usia 400 tahun ini diakui sebagai antara masjid tercantik di dunia. Dewan solat masjid ini turut diserikan dengan keindahan kaligrafi dan bentuk geometri yang begitu halus seninya, membuktikan Islam tidak pernah mengabaikan aspek kesenian dan kebudayaan yang merupakan sebahagian daripada fitrah manusia.

Gambar 2: Panorama indah dari tingkat atas hotel tempat kami menginap di Istanbul

Gambar 3: Penulis dan isteri di perkarangan Masjid Biru di Istanbul

Gambar 4: Bersama seorang warga Palestin (kanan) di dalam dewan solat Masjid Biru

Gambar 5: Corak geometri menghiasi dinding Masjid Biru

Hari kedua di Istanbul, selepas menunaikan solat Subuh di Masjid Biru, kami bergegas menuju ke Hagia Sophia yang terletak bertentangan dengan Masjid Biru. Namun kami tidak dapat terus masuk ke dalamnya kerana ia hanya dibuka kepada pelawat pada jam 9.00 pagi. Sambil menghirup udara pagi yang nyaman dan menyegarkan, kami bersiar-siar di sekitar Sultan Ahmed Park dan menyaksikan beberapa tugu sisa peninggalan Empayar Byzantium iaitu Obelisk, Tiang Serpentine dan Tiang Constantine yang terletak berhampiran kawasan Masjid Biru.

Sewaktu era Byzantium, di kawasan ini telah dibangunkan sebuah gelanggang perlumbaan kereta kuda yang besar dan terkenal yang dinamakan Hippodrome. Di tengah-tengah gelanggang inilah tersergamnya Obelisk, Tiang Serpentine dan Tiang Constantine tersebut. Namun kemudian Hippodrome ini telah dimusnahkan oleh tentera Salib yang menyerang Constantinople, meninggalkan tugu-tugu tersebut yang masih teguh berdiri hingga ke hari ini.

Jam 9.10 pagi, kami membeli pas muzium untuk memasuki Hagia Sophia (juga dikenali sebagai Ayya Sofya). Nasib baik kami tidak perlu beratur panjang kerana masih belum ramai pelawat yang datang pada waktu awal pagi begini. Dengan pas muzium berharga 85 Turkey Lira (TL), kami bukan sahaja dapat melawat Hagia Sophia, malah pas tersebut juga boleh digunakan selama tiga hari untuk memasuki muzium lain di Istanbul seperti Istana Topkapi, Hagia Irene, Muzium Arkeologi Istanbul, Muzium Mozaik Istanbul dan Muzium Sains dan Teknologi Islam.

Hagia Sophia adalah antara monumen utama di Istanbul yang dicari-cari oleh kebanyakan pelancong. Dibina pada tahun 537 Masihi sewaktu pemerintahan Empayar Byzantium, Hagia Sophia asalnya adalah sebuah gereja besar yang pada waktu itu dikenali sebagai St. Sophies. Selama hampir satu abad lamanya ia menjadi pusat ibadat penganut Kristian sebelum diubah suai menjadi masjid oleh Sultan Muhammad Al-Fatih pada tahun 1453.

Tidak hairanlah apabila kami melangkah masuk ke ruang dewan utama Hagia Sophia, kami dapati terdapat kombinasi lakaran dan tulisan lama yang bercirikan kedua-dua agama Kristian dan Islam. Lakaran gambar Mary dan Jesus serta lambang Salib jelas terpampang di dinding-dinding bangunan, selain barang-barang peninggalan empayar Kristian yang masih dipelihara untuk tatapan pengunjung. Tidak ketinggalan tulisan bersaiz besar perkataan ‘Allah’, ‘Muhammad’ dan nama empat Khalifah Ar-Rasyidin (Abu Bakar, Umar, Usman dan Ali) yang tergantung di bahagian atas dewan, juga kaligrafi Islam yang menghiasi kubah.

Gambar 6: Obelisk, tugu pemberian Kerajaan Mesir kepada Kaisar Rom sewaktu era Byzantium

Gambar 7: Bersama seorang rakyat Malaysia yang menuntut di Istanbul dengan berlatarbelakangkan Hagia Sophia

Gambar 8: Suasana di dalam Hagia Sophia yang sentiasa menggamit pelancong

Gambar 9: Sudut di dalam Hagia Sophia yang pernah dijadikan dewan solat

Dari Hagia Sophia, kami berjalan kaki menuju ke muzium seterusnya, iaitu Istana Topkapi (Topkapı Sarayı), bermaksud “Istana Pintu Meriam”. Istana yang dahulunya merupakan pusat pemerintahan Kerajan Islam Uthmaniah ini terdiri daripada empat halaman (courtyard) yang setiap satunya mengandungi bangunan-bangunan yang boleh dimasuki oleh pengunjung, sama ada secara berbayar mahupun percuma. Agak lama juga saya dan isteri menghabiskan masa di sini disebabkan begitu luas kawasan untuk dilawati.

Istana Topkapi mula dibangunkan pada tahun 1465, 12 tahun selepas Kerajaan Islam Uthmaniah berjaya menakluk Constantinople. Kedudukan Istana Topkapi yang berhampiran dengan Teluk Tanduk Emas (Golden Horn Bay), Selat Bosforus dan Laut Marmara cukup strategik pada waktu itu kerana dapat memerhatikan kedatangan musuh dari arah laut. Selama 400 tahun Istana Topkapi menjadi kediaman rasmi sultan-sultan sebelum keruntuhan Kerajaan Islam Uthmaniah pada tahun 1924 dan akhirnya dijadikan muzium atas arahan Presiden Pertama Turki, Mustafa Kemal Atarturk.

Salah satu bahagian yang menarik dan popular di Istana Topkapi ialah bangunan yang dinamakan Sacred Relics (Kutsal Emanetler) yang terletak di halaman ketiga. Di sini dipamerkan barang-barang peninggalan para nabi Allah yang telah dikumpulkan oleh pemerintah Kerajaan Islam Uthmaniah. Termasuk dalam koleksi ini ialah pedang Nabi Daud a.s., tongkat Nabi Musa a.s., jubah Nabi Yusuf a.s. dan bekas makanan milik Nabi Ibrahim a.s. Tidak ketinggalan adalah barang-barang kepunyaan Nabi Muhammad s.a.w. seperti busur anak panah dan pedang, serta surat-surat baginda yang dihantar kepada pembesar-pembesar negara sewaktu era penyebaran Islam. Turut dipamerkan berkaitan baginda s.a.w. yang diakui keasliannya ialah janggut baginda, gigi baginda yang tertanggal sewaktu Perang Uhud dan tapak kaki baginda. Tiada gambar foto yang dapat kami ambil kerana peraturan di bangunan ini melarang para pengunjung untuk berbuat demikian.

Di Istana Topkapi juga kami melawat tempat kediaman rasmi sultan dan kaum kerabatnya yang dipanggil Harem. Ada yang beranggapan, Harem ini bukan sekadar tempat sultan berehat, malah juga tempat sultan berfoya-foya dengan para gundiknya. Benarkah dakwaan ini? Begitu terukkah sultan-sultan Kerajaan Islam Uthmaniah dahulu sehingga sanggup melanggar batas-batas syariat? Atau ini adalah sebahagian strategi musuh-musuh Islam termasuk ahli sejarah Barat untuk menggambarkan keburukan pemerintah-pemerintah Islam?

Sebagai seorang Muslim, janganlah kita cepat termakan dengan cerita-cerita yang belum terbukti kebenarannya. Selidikilah dahulu sesuatu berita yang kita terima sebelum mempercayainya. Harem ini sendiri, jika kita memahami definisi perkataan Harem, ia bermaksud tempat suci atau kawasan suci bagi sesuatu agama yang tidak dibuka kepada semua orang untuk memasukinya. Sebagaimana kota suci Mekah dan Madinah yang digelar “Haramain”. Mungkin di Harem ini juga dahulunya dipraktikkan hukum-hukum Islam, antaranya termasuklah soal hubungan antara wanita dan lelaki ajnabi (boleh dikahwini). Wallahu ‘alam.

Kami akhiri hari kedua di Istanbul dengan aktiviti bersiar-siar dan menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan di Taman Gulhane (Gulhane Park), sebuah taman dalam bandar yang terletak bersebelahan dengan Istana Topkapi. Di sini juga kami berehat sebentar, melepaskan penat setelah berjam-jam berjalan di dalam kawasan Istana Topkapi. Kelihatan ramai orang masih membanjiri taman ini pada waktu sore dengan aktiviti masing-masing. Di Taman Gulhane juga terdapatnya Muzium Sains dan Teknologi Islam, namun pada waktu itu ia telah pun ditutup kepada pelawat. Kami mengambil keputusan untuk mengunjunginya pada hari yang lain.

Gambar 10: Di hadapan pintu masuk utama Istana Topkapi

Gambar 11: Salah satu halaman (courtyard) di dalam Istana Topkapi

Gambar 12: Penulis di dalam Harem, tempat istirehat sultan dan ahli keluarganya 

Gambar 13: Selat Bosforus boleh dilihat dari perkarangan Istana Topkapi

Gambar 14: Menghirup udara petang di Taman Gulhane

Hari ketiga di Istanbul, seperti hari sebelumnya, kami menunaikan solat Subuh secara berjemaah di Masjid Biru. Oh ya, saya masih ingat pada hari sebelumnya, kami sudah pun berada di Masjid Biru sebelum masuk waktu Subuh. Namun tidak seperti di Malaysia, solat Subuh berjemaah di Masjid Biru hanya bermula kira-kira 30 minit selepas azan berkumandang! Rupa-rupanya Muslim di sini mengambil pendapat harus melewatkan sedikit perlaksanaan solat Subuh secara berjemaah agar lebih ramai umat Islam dapat hadir ke masjid.

Selepas mengambil sarapan pagi di hotel penginapan, saya dan isteri mula berjalan kaki menuju ke Grand Bazaar. Sebenarnya boleh sahaja kami menaiki trem di Stesen Sultanahmet dan turun di Stesen Beyazit yang berhampiran dengan pintu masuk Grand Bazaar. Namun kami lebih senang untuk berjalan kaki sambil melihat suasana bandar Istanbul, dan pada masa yang sama dapat menjimatkan wang. Dari Masjid Biru, kami menyusuri landasan trem dan dengan berpandukan peta, akhirnya kami selamat tiba di Grand Bazaar.

Grand Bazaar (Kapalıçarşı) yang siap dibina pada tahun 1461 adalah antara bazar membeli-belah yang paling besar dan tertua di dunia. Bazar yang memuatkan lebih 4000 kedai yang menjual pelbagai jenis produk ini dikatakan menarik 250,000 hingga 400,000 pengunjung dari dalam dan luar Turki setiap hari. Di sini kami memborong barangan seperti baju T, magnet, selendang, pen, poskad dan tarbus untuk dibawa balik dan dihadiahkan kepada ahli keluarga dan handai-taulan. Di sini juga kami terserempak dengan kenalan kami dari Malaysia, Tuan Haji Zulkifli Said yang turut bercuti di Istanbul bersama isteri dan anak-anaknya. Di Malaysia kami jarang berjumpa, di Istanbul pula kami bersua muka.

Pada sebelah petang, selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Biru, kami melawat beberapa lagi muzium, antaranya ialah Hagia Irene yang terletak di dalam kawasan halaman pertama Istana Topkapi. Hagia Irene dahulunya merupakan gereja Ortodoks Timur dan dibina lebih awal daripada Hagia Sophia, iaitu pada abad keempat Masihi. Gereja ini pernah beberapa kali dibangunkan semula selepas berlaku kehancuran dan kerosakan pada struktur bangunannya akibat beberapa peristiwa penting yang berlaku sepanjang lebih seribu tahun usianya. Hagia Irene juga adalah antara gereja di Istanbul yang tidak diubah menjadi masjid pada zaman Kerajaan Islam Uthmaniah.

Selepas melawat Hagia Irene dan kemudiannya Muzium Arkeologi Istanbul, kami bergegas pulang ke hotel penginapan kerana saya perlu membuat persiapan untuk bertemu pelajar dan rakyat Malaysia di Istanbul pada sebelah malam. Sebelum kehadiran saya ke Istanbul, sahabat saya Saudara Safwan Saparuddin yang menetap di Turki telah menyusun satu program khas untuk saya berkongsi ilmu kepada rakyat Malaysia yang bermastautin di sini. Alhamdulillah, pihak Malaysian Student Association in Turkey atau singkatannya MASAT telah bersetuju untuk menjadi penganjur program ini.

Selesai menunaikan solat Maghrib, saya dan isteri menikmati pemandangan senja nan indah di sekitar Masjid Biru sementara menunggu kedatangan seorang lagi kenalan saya, Saudara Halim Khayat yang akan membawa kami ke tempat program di Fatih. Dari Stesen Sultanahmet, kami menaiki trem yang penuh sesak dengan warga Istanbul yang baru pulang dari tempat kerja. Kami turun di Stesen Pazartekke dan dari situ, kami berjalan kaki menuju ke Darul Saadet yang merupakan nama rumah sewa pelajar Malaysia yang biasa dijadikan pusat aktiviti atau program yang berskala kecil. Kira-kira 30 orang warga Malaysia memenuhi Darul Saadet ketika saya membentangkan tajuk “Dakwah is Easy!” selama hampir dua jam, termasuk sesi soal jawab. Turut hadir menyertai program ini ialah Tuan Haji Zakaria Mohd Nani yang merupakan Pengarah Tourism Malaysia-Turki. 

Gambar 15: Hidangan sarapan pagi di hotel penginapan kami

Gambar 16: Di hadapan salah satu pintu masuk Grand Bazaar

Gambar 17: Bersama kenalan penulis, Tuan Haji Zulkifli Said dan keluarganya di dalam Grand Bazaar

Gambar 18: Di dalam Hagia Irene, antara gereja tertua di Istanbul

Gambar 19: Di hadapan pintu masuk Muzium Arkeologi Istanbul

Gambar 20: Menikmati waktu senja di sekitar Masjid Biru

Gambar 21: Program khas penulis bersama warga Malaysia yang bermastautin di Turki

Sabtu, 10 Disember 2016, tibalah hari terakhir kami di bumi Istanbul. Masih ada masa untuk kami menjelajah kota ini memandangkan masa perjalanan pulang kami ke Kuala Lumpur adalah pada sebelah malam. Aktiviti hari ini kami mulai dengan melawat Muzium Panorama 1453. Dari Stesen Sultanahmet, kami menaiki trem dan turun di Stesen Topkapi.

Muzium Panorama 1453 menyimpan seribu satu kisah mengenai perjalanan sejarah Daulah Uthmaniah. Di sini juga kami dapat menyelami strategi perencanaan Kerajaan Islam Uthmaniah untuk menawan kota Constantinople daripada Kerajaan Rom yang akhirnya membawa kepada pembukaan kota tersebut oleh Sultan Muhammad Al-Fatih bersama bala tenteranya. Walaupun penerangan pada setiap gambar yang dipamerkan adalah dalam bahasa Turki, namun dengan bantuan ‘audio guide’ yang mempunyai 12 pilihan bahasa (termasuk bahasa Inggeris), kami dapat memahami setiap penerangan tersebut. Audio guide ini boleh didapati di pintu masuk muzium dengan harga sekitar 5 hingga 10 TL.

Sultan Muhammad Al-Fatih telah diangkat menjadi pemerintah Kerajaan Islam Uthmaniah pada usia yang sangat muda, iaitu 19 tahun. Sejak kecil beliau telah dipersiapkan dengan pendidikan yang terbaik oleh ayahandanya, Sultan Murad II dengan pelbagai cabang ilmu pengetahuan, sama ada ilmu agama, akademik, bahasa, malah juga ilmu berkaitan strategi peperangan dan pemerintahan. Beliau juga dikenali sebagai seorang yang berkeperibadian tinggi dengan sifat-sifat mulia seperti tawaduk, berani, sabar dan tegas serta sangat kuat menjaga hubungannya dengan Allah. Tidak hairanlah Islam begitu gemilang sepanjang 30 tahun pemerintahannya, termasuklah jasanya dalam peristiwa penaklukan Constantinople.

Usaha untuk membebaskan Constantinople tidak mudah. Usaha ini sebenarnya telah dilakukan sejak zaman Kerajaan Islam Umaiyah, dituruti dengan beberapa peperangan pada zaman Abbasiah sehinggalah zaman Uthmaniah sebelum Sultan Muhammad Al-Fatih menaiki takhta. Semuanya berlumba-lumba untuk merealisasikan janji Allah sebagaimana hadis Nabi Muhammad s.a.w. yang meramalkan pembukaan Constantinople. Malangnya semua usaha tersebut menemui kegagalan.

Sepanjang dua tahun pertama pemerintahannya, Sultan Muhammad Al-Fatih membuat persiapan rapi bagi menjayakan cita-cita membuka Constantinople. Selain mengkaji pelan kota Constantinople, beliau turut mengenal pasti punca kegagalan semua peperangan terdahulu, selain menjadikan kaedah peperangan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dan Salahuddin Al-Ayyubi (pembebas Baitul Maqdis) sebagai rujukan untuk menggempur Constantinople dan tentera Byzantium. Akhirnya selepas hampir dua bulan peperangan berlangsung, pada 29 Mei 1453 Constantinople berjaya ditawan oleh tentera Islam. Sultan Muhammad Al-Fatih menukar nama kota tersebut kepada “Islambol” yang bermaksud “Islam keseluruhannya” (sebelum kemudiannya ditukar ke Istanbul).

Gambar 22: Menaiki trem menuju ke Muzium Panorama 1453

Gambar 23: Di hadapan bangunan Muzium Panorama 1453

Gambar 24: Patung “wax sculpture” Sultan Muhammad Al-Fatih di hadapan pintu masuk muzium

Gambar 25: Imej di Muzium Panorama 1453 yang menggambarkan peristiwa pembukaan Constantinople pada era Muhammad Al-Fatih

Selesai lawatan kami di Muzium Panorama 1453, kami kembali mengambil trem, menuju pula ke Eminonu untuk menaiki kapal persiaran merentas Selat Bosforus. Bahagian pertama pelayaran, kami diperlihatkan dengan beberapa mercu tanda Istanbul di sebelah Eropah yang terletak di sepanjang Selat Bosforus. Antara yang kelihatan ialah Istana Dolmabahce, Universiti Galatasaray, Masjid Ortakoy dan Kubu Rumeli (Rumeli Fortress), sebuah kota lama yang dibina oleh Sultan Muhammad Al-Fatih. Kira-kira 30 minit kemudian, kapal persiaran yang kami naiki berpatah balik ke Eminonu dan kami menyaksikan pula pemandangan Istanbul di sebelah Asia. Azan Zohor turut kedengaran dari salah sebuah masjid di Istanbul Asia yang terletak berhampiran dengan selat ini.

Di Selat Bosforus ini jugalah azan pernah dikumandangkan dari atas kapal sewaktu Sultan Muhammad Al-Fatih dan armadanya menggempur Constantinople. Melalui Selat Bosforus, tentera Uthmaniah mengepung dan menyerang kubu Byzantium sehingga berpuluh-puluh hari lamanya. Ia bukan suatu usaha yang mudah kerana ternyata tentera Rom bukan calang-calang lawan dan memiliki banyak pengalaman dalam pertempuran. Akhirnya dengan bantuan Allah, hasil strategi peperangan Sultan Muhammad Al-Fatih yang tidak terjangkau dek akal serta keberanian beberapa panglima tentera Islam yang gugur syahid, Selat Bosforus menjadi saksi pembukaan Constantinople oleh Kerajaan Islam Uthmaniah pada tahun 1453.

Muzium Sains dan Teknologi Islam di Taman Gulhane menjadi destinasi kami selepas puas menghirup bayu Selat Bosforus. Muzium yang dibuka pada tahun 2008 ini menyediakan pameran hasil inovasi para ilmuan Islam dalam pelbagai cabang ilmu seperti matematik, geografi, astronomi, kimia, biologi, mekanikal dan sebagainya. Pencapaian-pencapaian ini membuktikan begitu besar sumbangan Islam dalam bidang sains dan teknologi sejak zaman-berzaman sehingga turut menjadi rujukan saintis Barat yang membawa kepada kemajuan tamadun mereka kemudiannya.

Sememangnya Islam amat menggalakkan umatnya untuk menceburi segala bidang ilmu pengetahuan, termasuklah sains dan teknologi. Malah, manusia zaman ini amat memerlukan ilmu tersebut lantaran berada dalam suasana berlumba-lumba menghasilkan pelbagai ciptaan dan penemuan baru. Umat Islam sendiri perlu kembali mengasah dan menyerlahkan potensi akal mereka agar kembali menjadi umat yang gemilang. Allah amat memandang mulia kepada orang yang memanfaatkan akalnya, malah, menggelar mereka sebagai “ulul albab”, sebagaimana yang difirmankan-Nya di dalam Al-Quran:

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi ulul albab (iaitu golongan yang berakal). (Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri dan duduk dan dalam keadaan berbaring dan mereka banyak berfikir tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata, ‘Wahai Tuhan kami, Kamu tidak menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada seksa neraka’.” (Ali Imran : 190-191)

Alhamdulillah, berakhirnya lawatan kami di Muzium Sains dan Teknologi Islam menandakan tamatlah sudah kembara kami di bumi Istanbul. Pelbagai hikmah, pengajaran dan ibrah yang kami peroleh di sini. Penulisan ini akan menjadi lebih panjang jika saya nukilkan segalanya. Mudah-mudahan dapat saya berkongsi pada kesempatan yang lain.

Jika ada rezeki dan peluang juga, moga dapat kami jejakkan kaki kami ke Turki di sebelah Asia pula. Di sana juga banyak tinggalan dan warisan Kerajaan Islam Uthmaniah yang ingin kami tatapi dengan mata kami sendiri. Semoga Allah permudahkan urusan ini, insya-Allah.

Gambar 26: Di hadapan kapal persiaran yang kami naiki untuk merentas Selat Bosforus

Gambar 27: Di tengah-tengah Selat Bosforus yang membiru damai

Gambar 28: D hadapan Muzium Sains dan Teknologi Islam di Taman Gulhane

Gambar 29: Jumpa lagi Istanbul!

Wednesday, October 11, 2017

Beijing: Sujud di Masjid Berusia Seribu Tahun

Oleh Wan Am

Saya menjejakkan kaki di Beijing Capital International Airport pada tengah malam Rabu, 8 Jun 2016. Alhamdulillah, sejak saya mula bertugas sepenuh masa di Hidayah Centre Foundation (HCF) pada awal 2015, inilah perjalanan kali pertama saya ke luar negara di bawah payung HCF. Peluang yang pastinya tidak saya lepaskan, apatah lagi menuju ke sebuah negara yang ada di sana warisan sejarah Islam dan dakwah yang pernah dirintis oleh generasi sahabat Nabi Muhammad s.a.w. Lebih-lebih lagi perjalanan kami ini dalam bulan Ramadhan, bulan penuh keberkatan. Semoga Allah memberkati permusafiran kami ini.

Kehadiran saya ke Beijing bersama Prof. Dr. Taufiq Yap Yun Hin (Presiden Malaysian Chinese Muslim Association - MACMA) adalah bagi memenuhi jemputan AMIR (Aspiring Malaysian Rijal) China bagi mengisi program bersama para pelajar Malaysia di sana. AMIR China adalah sebuah pertubuhan yang dianggotai oleh pelajar-pelajar Malaysia di negara tersebut. Saya difahamkan, majoriti pelajar Malaysia di Beijing menuntut di dua universiti utama di sana iaitu Beijing Foreign Studies University (BFSU) dan Beijing Language and Culture University (BLCU).

Saya cukup bertuah kerana dapat bersama Prof. Dr. Taufiq dalam kembara ke Beijing ini. Beliau bukanlah calang-calang orang. Sebagai seorang Profesor di Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan pernah meraih pelbagai anugerah dan pengiktirafan dalam bidang sains dan kimia (antaranya ‘Anugerah Saintis Muda Negara 2002’, ‘The Outstanding Young Malaysian Award 2008’ dan ‘Top Research Scientist Malaysia 2013’), beliau adalah seorang Muslim yang wajar dicontohi oleh kita semua. Beliau telah membuktikan bahawa walaupun pernah bergelar ‘saudara baharu’, ia tidak menjadi halangan untuk beliau cemerlang dalam karier yang diceburi, malah turut terkehadapan sebagai salah seorang tokoh pendakwah di negara ini. 

Gambar 1: Penulis dan Prof. Dr. Taufiq Yap Yun Hin (kiri sekali) bersama Saudara Sharif dan Saudara Nazirul di Beijing Capital International Airport

Di lapangan terbang, kami disambut oleh dua orang ahli AMIR China iaitu Saudara Sharif dan Saudara Nazirul. Dengan menaiki teksi, mereka membawa kami terus ke bandaraya Beijing yang terletak kira-kira 30 kilometer dari lapangan terbang. Sebelum kami dihantar ke tempat penginapan kami di BFSU, Sharif dan Nazirul terlebih dahulu membawa kami ke Western Mahua, sebuah restoran berstatus halal yang terletak betul-betul di luar kawasan universiti tersebut.

Rupa-rupanya sudah sampai masa untuk kami bersahur! Disebabkan pada ketika ini di Beijing adalah musim panas, maka sempena bulan Ramadhan, waktu imsak adalah lebih kurang jam 2.25 pagi. Saya diberitahu pada siang hari nanti kami akan berpuasa selama lebih kurang 17 jam, lebih 4 jam berbanding keadaan biasa di Malaysia. Pengalaman berharga untuk saya dan sudah pasti menguji kesabaran saya jua. 

Gambar 2: Western Mahua, restoran halal yang terletak di luar kawasan Beijing Foreign Studies University (BFSU)

Awal pagi Khamis, 9 Jun 2016, kami dijemput oleh ahli-ahli AMIR China dari tempat penginapan kami menuju ke lokasi program. Kenderaan yang kami naiki bukanlah kenderaan yang biasa kita dapati di Malaysia. Alhamdulillah, merasa juga saya menaiki motor elektrik, sejenis kenderaan yang banyak digunakan oleh penduduk di China. Penggunaan motor elektrik adalah langkah yang amat digalakkan oleh Kerajaan China bagi membendung masalah pencemaran udara. Dikatakan tahap kualiti udara di Beijing agak teruk, hinggakan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di sana sering menunjukkan bacaan yang amat membimbangkan dan boleh mengancam kesihatan penduduk.

Dalam perjalanan ke tempat program, rakan yang membawa saya bercerita serba sedikit mengenai motor elektrik ini. Harganya tidak terlalu mahal, sekitar 1400 Yuan (RM900). Dengan harga tersebut ramai pelajar Malaysia di Beijing mampu memiliki motor elektrik bagi memudahkan perjalanan mereka ke mana-mana destinasi yang tidak terlalu jauh dari tempat pengajian mereka. Tidak seperti motosikal biasa yang menggunakan petrol untuk menggerakkannya, motor elektrik sebaliknya hanya memerlukan bateri khas untuk mengecasnya dari semasa ke semasa (sebagaimana kita biasa mengecas telefon bimbit). Lebih memudahkan ialah penunggang motor elektrik tidak perlu memiliki sebarang lesen memandu untuk menunggangnya ke mana-mana. 

Gambar 3: Motor elektrik, kenderaan “rasmi” kami untuk berulang-alik dari tempat penginapan ke dewan program

Gambar 4: Di hadapan pintu masuk utama BFSU

Gambar 5: Di hadapan bangunan Fakulti Bahasa dan Kesusasteraan Cina di BFSU

Akhirnya kami tiba di Fakulti Bahasa dan Kesusasteraan Cina di BFSU. Di Dewan Wenhuating, seramai hampir 250 orang pelajar Malaysia sudah bersiap sedia untuk mengikuti pembentangan kami. Saya sendiri tidak menyangka begitu tinggi jumlah kehadiran peserta ke program ini. Fikir saya, mungkin mereka jarang mendapat peluang untuk menimba ilmu berkaitan agama Islam secara langsung di sini. Mungkin juga kerana berada di negara majoriti bukan Muslim, maka mereka merasakan ilmu ini sangat signifikan untuk difahami dan diamalkan oleh mereka.

Walau apapun tujuan mereka, saya harus mengambil kesempatan ini untuk berkongsi ilmu yang dimiliki dengan mereka. Selain isi pembentangan saya yang berkisar teknik dan langkah berdakwah, saya turut berpesan kepada mereka supaya memanfaatkan penguasaan mereka dalam bahasa Mandarin untuk berdakwah. Ujar saya kepada mereka, “Jika anda pulang ke Malaysia suatu hari nanti, anda adalah orang yang paling sesuai untuk menyampaikan mesej Islam kepada rakan-rakan kita dalam kalangan kaum Cina. Jangan sia-siakan kemahiran anda yang boleh berbahasa Mandarin untuk mendapat pahala yang sangat besar daripada Allah.”

Prof. Dr. Taufiq pula membuat pembentangan berkenaan kepercayaan dan budaya dalam masyarakat Cina. Selain penerangan ringkas mengenai agama-agama seperti Buddha, Taoisme dan Konfusian, beberapa perayaan dan acara utama masyarakat Cina turut disentuh seperti Tahun Baharu Cina, Chap Goh Meh, Cheng Beng (atau Qing Ming), Festival Perahu Naga dan Perayaan Hantu Lapar. Pada pandangan saya, amat penting untuk kita sebagai Muslim mempunyai sedikit pengetahuan mengenai perkara-perkara tersebut jika kita ingin berinteraksi dengan lebih baik dengan rakan-rakan Cina kita. Malah kita sebenarnya menyahut seruan Allah di dalam Al-Quran yang menuntut kita yang hidup dalam masyarakat majmuk untuk saling berkenal-kenalan antara satu sama lain.

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami ciptakan kamu lelaki dan wanita dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku untuk kamu bertaaruf (saling kenal-mengenal)…” (Al-Hujurat 49 : 13)

Selain itu, beliau turut berkongsikan beberapa salah faham terhadap Islam yang biasa membelenggu masyarakat Cina di Malaysia. Antara salah faham tersebut ialah masuk Islam masuk Melayu, tidak boleh tinggal bersama keluarga asal selepas memeluk Islam, adat Cina dibuang, nama Cina perlu ditukar dan sebagainya. Sebagai Muslim, kita seharusnya dapat menjawab isu ini dengan baik kepada mereka supaya sedikit demi sedikit salah tanggapan mereka tentang Islam dapat dihilangkan.

Turut menarik perhatian kami melalui perkongsian Prof. Dr. Taufiq ialah mengenai seorang figura Muslim dari negara China yang terkenal dalam sejarah, iaitu Laksamana Cheng Ho. Nama ini tidak asing bagi kita di Malaysia kerana beliau mempunyai hubungan akrab dengan Kesultanan Melayu Melaka sekitar kurun ke-15 Masihi. Cheng Ho atau nama Islamnya Muhammad Ma Ho merupakan pemimpin beberapa misi diplomatik Kerajaan Dinasti Ming ke dunia luar, termasuk negara-negara umat Islam di Asia Tenggara, Asia Selatan dan Afrika Timur. Pencapaian dan jasa beliau kepada Kerajaan Dinasti Ming begitu signifikan sehingga menjadi bahan kajian dan penulisan ahli-ahli sejarah termasuk dari Barat. 

Gambar 6: Bersama para peserta program yang kami kendalikan

Usai program pada sebelah tengah hari, rakan-rakan pelajar Malaysia membawa kami melawat Beijing. Sebagai sebuah bandar lama, Beijing sememangnya terkenal dengan beberapa mercu tanda yang cukup bersejarah dan mengagumkan. Namun disebabkan tempoh kunjungan kami yang agak singkat di Beijing, kami hanya dapat bertandang ke beberapa lokasi sahaja. Antaranya ialah sebuah kompleks keagamaan yang dipanggil Tiantan atau Temple of Heaven yang terletak di tenggara Beijing.

Di dalam kompleks ini terdapat beberapa bangunan yang boleh dikunjungi oleh pelancong. Sebelum sampai ke sana, kami melalui kawasan taman yang ditumbuhi pokok-pokok hijau dan rimbun. Saya dapati begitu ramai warga tempatan yang melakukan pelbagai aktiviti di taman ini seperti bersenam taichi, bersukan, bermain muzik dan berkelah bersama keluarga.

Setelah beberapa minit berjalan kaki, akhirnya kami tiba di bangunan utama kuil yang dikenali sebagai ‘The Hall of Prayer for Good Harvests’. Ia adalah bangunan berbentuk silinder dengan ketinggian 38 meter dan atap bersusun tiga. Menurut sejarah, bangunan ini mula didirikan pada tahun 1420 semasa pemerintahan Maharaja Yongle daripada Dinasti Ming. Sejak itu bangunan ini beberapa kali dibaik pulih sehingga terhasil bangunan yang ada sekarang. Ia menjadi tempat maharaja berdoa untuk mendapat hasil tanaman yang baik. Selain itu di dalam kuil tersebut terdapat dua lagi monumen iaitu ‘The Imperial Vault of Heaven’ dan ‘The Circular Mound Altar’.

Gambar 7: Melalui kawasan taman sebelum sampai ke bangunan utama di Temple of Heaven

Gambar 8: Penulis di perkarangan The Hall of Prayer for Good Harvests

Gambar 9: Hong Qiao Pearl Market, tempat penulis membeli buah tangan

Dari Temple of Heaven, kami berjalan kaki selama kira-kira 10 minit untuk sampai di Hong Qiao Pearl Market. Di pasar raya ini dijual pelbagai jenis barangan dan cenderamata, selain barang kemas dan permata. Di Hong Qiao Pearl Market, saya dan Prof. Dr. Taufiq membeli buah tangan untuk dibawa balik dan dihadiahkan kepada ahli-ahli keluarga. Dengan bantuan Nazirul, saya dapat membeli barangan yang saya inginkan dengan harga yang beberapa kali ganda lebih murah berbanding harga yang biasa dikenakan kepada pelancong. Rupa-rupanya jika kita datang ke tempat sebegini, adalah lebih baik jika kita bersama orang yang bermastautin di sini dan pandai tawar-menawar dengan penjual agar kita dapat membeli barangan dengan harga yang berpatutan. Menjelang Maghrib, setelah berehat sebentar di rumah penginapan kami di BFSU, kami dibawa semula ke Western Mahua untuk berbuka puasa.

Malam kedua di Beijing, kami menunaikan Solat Sunat Tarawih secara berjemaah di bangunan asrama kediaman pelajar-pelajar Malaysia di BFSU. Laluan koridor yang sempit di tingkat empat bangunan asrama tersebut menjadi tempat solat bagi lelaki, manakala bagi wanita, mereka solat berjemaah di dalam sebuah bilik serbaguna yang sederhana besar. Inilah cabaran pelajar beragama Islam di sini. Mereka tiada tempat yang luas dan selesa untuk menunaikan solat secara berjemaah dalam jumlah yang ramai di universiti. Masjid yang ada pula agak jauh dan perlu berkenderaan ke sana.

Malam itu kami bersahur awal, kira-kira jam 11.30 malam. Rakan-rakan membawa kami ke sebuah gerai yang menjual cucuk-cucuk, atau dalam bahasa Mandarin disebut Chuanr (seperti sate). Cucuk-cucuk ini dimasak dan disediakan oleh sepasang suami isteri yang beragama Islam. Seingat saya, Itulah kali pertama saya bertemu orang Islam warga tempatan sejak tiba di Beijing.

Dianggarkan kini terdapat lebih 20 juta umat Islam di China. Nampak seperti satu jumlah yang besar, namun angka ini sebenarnya hanyalah kira-kira dua peratus daripada jumlah penduduk negara tersebut secara keseluruhannya, iaitu 1.3 bilion. Mereka berada di beberapa wilayah di China, antaranya di Xi’an, Xinjiang, Gansu, Ningxia dan Shanxi. Di Beijing sahaja terdapat lebih 200,000 orang Islam. Orang Hui adalah etnik Muslim terbesar di China, diikuti Uyghur.

Gambar 10: Hidangan juadah berbuka puasa di Western Mahua

Gambar 11: Bangunan asrama pelajar Malaysia di BFSU

Gambar 12: Suasana solat terawih berjemaah di asrama pelajar Malaysia di BFSU

Gambar 13: Chuanr atau cucuk-cucuk masakan Muslim di Beijing

Pada keesokan harinya, rakan-rakan membawa kami melawat Niujie Street. Kawasan ini yang terletak di dalam daerah Xuanwu sememangnya terkenal sebagai penempatan terbesar umat Islam di Beijing. Di Niujie Street inilah terletaknya Masjid Niujie, sebuah masjid yang menjadi tumpuan para pelancong dari dalam dan luar negara China dek kerana usianya yang telah melangkaui seribu tahun. Suasana Islam di Beijing benar-benar saya rasai apabila dapat bersama-sama dengan komuniti Muslim menunaikan solat Jumaat di masjid ini.

Masjid Niujie mula dibina pada tahun 996 Masihi oleh ilmuan Arab pada masa pemerintahan Dinasti Liao. Sewaktu pemerintahan maharaja Dinasti Ming pada 1474, masjid ini dinamakan “Libaisi”, dan ditambah baik keadaannya pada zaman Dinasti Qing. Sejak tertubuhnya kerajaan Republik Rakyat China pada tahun 1949, Masjid Niujie telah mengalami empat kali proses renovasi secara besar-besaran iaitu pada tahun 1955, 1979, 1996 dan 2000. Keindahan dan keunikan seni bina masjid ini hasil gabungan sentuhan Arab dan China sememangnya tidak dapat dipertikaikan dan pasti memukau mana-mana mata yang memandang.

Begitu lama usia Masjid Niujie ini boleh difahami kerana bersesuaian dengan usia kelahiran agama Islam yang sangat awal di China. Sejarah menunjukkan Islam kali pertama disebarkan ke China pada tahun 650 Masihi apabila khalifah Uthman bin Affan menghantar rombongan dikepalai oleh sahabat Nabi Muhammad s.a.w. yang tersohor, Saad bin Abi Waqqas. Kedatangan mereka disambut baik oleh Maharaja Dinasti Tang pada waktu itu, malah perintah dikeluarkan supaya dibina sebuah masjid di Canton (kini Guangzhou). Islam terus berkembang pesat pada zaman pemerintahan Dinasti Song (960-1279), malah mencapai puncak kegemilangannya ketika pemerintahan Dinasti Yuan dan Dinasti Ming.

Selain Masjid Niujie, terdapat juga restoran halal dengan kepelbagaian jenis masakan tempatan di Niujie Street. Kami turut dibawa membeli-belah di sebuah pasar raya yang menjual beraneka produk makanan halal basah dan kering. Selain itu, terdapat juga Sekolah Rendah Huimin, sebuah sekolah Islam yang didirikan untuk anak-anak orang Islam di Beijing. 

Gambar 14: Masjid Niujie yang berusia lebih seribu tahun

Gambar 15: Di dalam dewan solat Masjid Niujie

Gambar 16: Bangunan Sekolah Rendah Huimin, sekolah Islam yang terletak di Niujie Street

Malam menjelang tiba. Inilah malam terakhir kami di Beijing. Kami dibawa ke Restoran Donglaishun (berstatus halal) yang terletak di salah sebuah kompleks membeli-belah di Youyi untuk berbuka puasa. Peking duck (itik panggang) menjadi menu utama santapan kami, selain masakan-masakan Cina lain yang begitu menyelerakan. Sambil menikmati hidangan, saya turut memerhatikan begitu ramai pengunjung memenuhi restoran ini, lebih-lebih lagi pelanggan bukan Muslim.

Kami kemudiannya bergerak ke Masjid Lan Dian Chang di Youyi untuk mengerjakan solat fardhu Maghrib dan Isyak. Alhamdulillah, di masjid ini juga kami dapat bersama-sama warga tempatan menunaikan Solat Sunat Tarawih. Benarlah seperti yang dikhabarkan orang, begitu laju bacaan imam sewaktu Solat Tarawih. Surah Al-Fatihah dibacakan dengan hanya sekali nafas sahaja. Dan kami selesai melaksanakan lapan rakaat Solat Tarawih dalam jangka masa tidak sampai 15 minit!

Jam 1.30 pagi Sabtu, 11 Jun 2016, saya dan Prof. Dr. Taufiq berada di dalam pesawat MAS yang berlepas meninggalkan Beijing. Saya bersyukur kepada Allah kerana mempermudahkan urusan kami sepanjang berada di sana. Jauh di sudut hati, saya berharap agar langkah kerdil kami ini sedikit sebanyak menjadi asbab limpahan hidayah-Nya kepada lebih ramai manusia di bumi Tuhan ini.

Namun, kita menyedari bahawa tugas kita menyampaikan Islam kepada non-Muslim bukanlah untuk memaksa mereka memeluk Islam. Tugas kita hanyalah menceritakan keindahan dan kebenaran Islam kepada mereka, juga membetulkan salah tanggapan mereka tentang Islam. Di akhirat nanti yang akan ditanya oleh Allah ialah adakah kita telah melaksanakan tanggungjawab menyampaikan mesej Islam, bukan berapa ramai non-Muslim yang telah kita Islamkan. Pendek kata, “Dakwah is convey, not convert.”

Gambar 17: Berbuka puasa di Restoran Donglaishun

Gambar 18: Juadah berbuka puasa di Restoran Donglaishun

Gambar 19: Penulis berpeluang menunaikan Solat Sunat Tarawih di Masjid Lan Dian Chang di Youyi

Saturday, October 7, 2017

Banda Aceh: Sedekad Berlalunya Tsunami

Oleh Wan Am

Islam adalah agama yang paling dominan di Indonesia. Bahkan, Indonesia juga mempunyai bilangan umat Islam yang terbesar di dunia, iaitu kira-kira 202.9 juta orang (87.2% daripada jumlah penduduk di Indonesia pada 2011). Dengan sedemikian besar jumlahnya, maka sudah tentu besar jualah jasa dan pengorbanan para pendakwah silam yang telah memainkan peranan penting dalam menyebarkan Islam ke negara tersebut yang dahulunya pernah berada di bawah pengaruh tamadun Hindu-Buddha. Mereka termasuk dalam golongan yang Allah janjikan kejayaan, sebagaimana firman Allah di dalam Al-Quran:

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan (Islam) dan menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar, mereka itulah orang yang beruntung.” (Ali Imran 3 : 104)

Pada 22 hingga 26 Oktober 2014, saya mendapat peluang untuk mengikuti rombongan Pusat Pendidikan Al-Amin Berhad (PPAAB) ke Indonesia, secara khususnya Banda Aceh. Sebenarnya sudah agak lama saya tidak ke luar negara. Teringat zaman kanak-kanak dahulu, saya berpeluang menjejakkan kaki ke beberapa bandar utama dunia, antaranya Brisbane (tahun 1993), Vienna (tahun 1994) dan London (tahun 1996). Disebabkan ayah saya dahulu adalah seorang kakitangan Malaysia Airlines (MAS), maka kami anak-anak kakitangan sekali-sekala mendapat tiket percuma untuk melancong ke luar negara.

Gambar 1: Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Iskandar Muda di Banda Aceh

Justeru, apabila mengetahui perancangan PPAAB untuk mengadakan perjalanan ke Banda Aceh, saya lantas mendaftarkan diri, moga-moga dapat saya belajar sesuatu melalui kembara ini. Aceh yang benar-benar saya kenal lewat peristiwa tsunami pada tahun 2004, sudah pasti banyak perubahan yang berlaku selepas sedekad berlalu.

Namun kembara ini bukanlah perjalanan kali pertama saya ke bumi Aceh. Pada Ogos 2005 saya pernah sampai di Meulaboh (sebuah daerah di Aceh) dalam misi Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia atau JIM (sebuah badan bukan kerajaan yang saya anggotai pada waktu itu) membantu meringankan bebanan warga di sana pasca-tsunami. Pada waktu itu juga isu Kristianisasi sedang meledak di Aceh. Maka ketika itu saya turut diminta untuk berkongsi dengan alim ulama dan masyarakat tempatan mengenai usaha-usaha dakwah dalam masyarakat majmuk yang kami jalankan di Malaysia dalam satu seminar yang mereka anjurkan.

Banda Aceh yang dahulunya dikenali sebagai “Kutaradja” merupakan ibu kota kepada wilayah Aceh yang terletak di Sumatera Utara, Indonesia. Dikatakan Banda Aceh adalah kota Islam yang tertua di Asia Tenggara. Banda Aceh pernah menjadi ibu kota Kesultanan Aceh Darussalam, sebuah kerajaan Islam yang muncul pada abad ke-14 setelah keruntuhan Kerajaan Srivijaya dan Majapahit yang berdiri megah sebelumnya.

Terdapat beberapa sumber yang menyebut tentang awal kedatangan Islam di Aceh. Salah satunya menyatakan bahawa Islam telah diperkenalkan di Aceh sekitar tahun 606 hingga 699 Masihi yang dibawa oleh sahabat Nabi Muhammad s.a.w. iaitu Ibnu Mas’ud. Ada juga sumber yang menyatakan kedatangan Islam di Aceh adalah melalui delegasi yang dikirim oleh Khalifah Uthman bin Affan pada tahun 30 Hijrah (651 Masihi). Namun pendapat yang paling kuat diyakini oleh ahli sejarah adalah kedatangan Islam paling awal di Asia Tenggara adalah di Perlak (Aceh) sebelum abad kelapan Masihi (hasil Seminar Nasional Sejarah di Medan pada 1963 dan Seminar Sejarah di Banda Aceh pada 1978).

Aceh yang juga digelar “Serambi Mekah” adalah tempat di mana lahirnya ulama-ulama Islam yang terkenal. Antara mereka ialah empat ulama besar Kerajaan Aceh iaitu Sheikh Hamzah Fansuri, Sheikh Syamsuddin Sumatrani, Syeikh Nuruddin Ar-Raniry dan Sheikh Abdurrauf As-Singkily. Setiap daripada mereka mempunyai pengaruh yang besar dalam perkembangan Islam di Aceh khususnya dan di Indonesia umumnya pada zaman mereka.

Di Banda Aceh, kami menginap di Sei Hotel, sebuah hotel bertaraf tiga bintang yang terletak di Gampong Mulia di Kuta Alam. Jaraknya dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Iskandar Muda kira-kira 11 kilometer. Harganya berpatutan dan kemudahan yang ada tidak mengecewakan. Malah terdapat sebuah masjid kecil yang terletak berhampiran dengan hotel ini. Dengan hanya berjalan kaki sejauh kurang satu kilometer, kami dapat menunaikan solat Subuh secara berjemaah di masjid tersebut sepanjang masa kami berada di sana.

Di Banda Aceh, kami diberi peluang merasai pelbagai jenis hidangan tempatan. Di Rumah Makan Delima Baru misalnya, kami dijamu nasi putih berlaukkan ayam tangkap, gulai kambing dan beberapa hidangan lain. Ayam tangkap adalah masakan khas Aceh yang merupakan ayam goreng dengan bumbu yang dicampur dengan rempah-rempah khas.

Pada salah satu malam di sana kami turut merasai keenakan masakan ‘Ayam Penyet Pak Ulis’, sebuah kedai makan di Banda Raya yang bergiat aktif dalam banyak projek kebajikan. Selain itu kami turut dibawa ke Pantai Lampuuk untuk makan tengah hari berlaukkan ikan bakar sambil menyaksikan pemandangan persisiran pantai yang cukup indah.

Jika diingat kembali, sedap-sedap belaka makanan yang saya nikmati sepanjang berada di sana. Namun masih segar dalam ingatan saya juga, selepas pulang ke Malaysia, perut saya meragam hampir seminggu lamanya; mungkin penangan makanan-makanan yang dijamah sepanjang berada di Banda Aceh. 

Gambar 2: Bas yang dinaiki oleh rombongan kami sepanjang berada di Banda Aceh

Gambar 3: Sei Hotel, tempat saya dan rakan-rakan ahli rombongan PPAAB menginap

Gambar 4: Bersama ahli-ahli Lembaga Pengelola dan kakitangan PPAAB di lobi Sei Hotel

Gambar 5: Masjid Al Anshar, tempat kami menunaikan solat Subuh berjemaah di Banda Aceh

Gambar 6: Hidangan tempatan yang kami nikmati di Rumah Makan Delima Baru

Gambar 7: Meninjau panorama Pantai Lampuuk nan indah

Gambar 8: Penulis di hadapan makam Sheikh Abdurrauf As-Singkily, salah seorang ulama Aceh yang terkenal

Pastinya ramai masih mengingati bencana tsunami yang melanda beberapa negara di Asia Tenggara (juga beberapa negara lain di dunia) pada tanggal 26 Disember 2004. Gempa bumi berukuran 9.2 pada Skala Richter telah menggegar Lautan Hindi, mengakibatkan berlakunya ombak besar tsunami setinggi 30 meter yang kemudiannya meragut ratusan ribu nyawa manusia di 14 buah negara. Ia merupakan kejadian gempa ketiga paling dahsyat pernah berlaku dalam sejarah dunia.

Aceh paling merasai kesannya. Lebih 120,000 rakyat Aceh dilaporkan terkorban. Manakala ratusan ribu lagi warganya cedera, ditambah begitu banyak kerosakan infrastruktur serta kehancuran bangunan dan kawasan perumahan. Banyak kawasan di Aceh yang asalnya padat dengan penempatan, bertukar menjadi padang jarak padang tekukur.

Kami berada di bumi Banda Aceh selepas hampir sedekad berlalunya tragedi yang amat menyayat hati pada abad ini. Di sana kami telah dibawa mengunjungi beberapa lokasi berkaitan tragedi tsunami 2004, antaranya ialah Kuburan Masal Siron. Ia merupakan tanah perkuburan mangsa tsunami yang terbesar yang terletak di Kacamatan Ingin Jaya, Aceh Besar (terdapat juga perkuburan mangsa tsunami yang lain iaitu di Kacamatan Kaway dan Johan Pahlawan). Lubang bersaiz besar terpaksa digali bagi mengebumikan mayat-mayat mangsa tsunami secara besar-besaran.

Setelah berlakunya tsunami, puluhan ribu mayat yang tidak dikenal pasti identitinya terdampar di merata-rata tempat. Masih banyak mayat yang tidak dituntut oleh pihak keluarga walaupun proses pengasingan mayat telah dibuat. Akhirnya pihak kerajaan pada waktu itu membuat keputusan untuk mengebumikan segera mayat-mayat tersebut bagi mengelakkan timbulnya penyakit berbahaya kepada rakyat tempatan yang masih hidup. Di Kuburan Masal Siron inilah sebanyak 46,718 mayat mangsa tsunami yang terkorban disemadikan. 

Gambar 9: Pasar Atjeh, bangunan ini dibina semula hasil sumbangan rakyat negara Jepun setelah mengalami kerosakan teruk akibat bencana tsunami pada tahun 2004

Gambar 10: Rombongan kami di hadapan pintu utama Kuburan Masal Siron

Rombongan kami turut dibawa ke Gampong Lampulo, sebuah kawasan pinggir bandar yang kini menjadi tumpuan pengunjung dari dalam dan luar Indonesia dek kerana terdapatnya kapal nelayan yang ter’sadai’ di atas sebuah rumah penduduk tempatan. Semasa peristiwa tsunami 2004, kapal nelayan tersebut yang berukuran panjang 25 meter, lebar 5.5 meter dan berat 20 tan ini hanyut sejauh satu kilometer dari Kuala Sungai Lampulo dan tersangkut di atas bumbung rumah Ibu Abasiah, salah seorang penduduk Gampong Lampulo yang terselamat dalam tragedi itu.

Terdapat satu catatan yang menarik pada sebuah papan tanda yang diletakkan di hadapan rumah tersebut. Ia berbunyi:

“…Tetapi Allah s.w.t. berkehendak lain musibah gempa bumi dan tsunami telah membawa kapal ini terdampar sejauh 1 km dari tempat dockingnya ke permukiman penduduk. Alhamdulillah Allah s.w.t. menyelamatkan 59 warga dalam kapal kayu tersebut. Konon setelah mereka yang bersempatan naik ke dalam boat tersebut tidak melihat bahwa ketika air sudah mulai agak surut di bawah kapal kayu tersebut ada buaya yang lumayan besar, demikian dituturkan oleh Kakak ibu Abasiah yang berlindung di lantai dua rumahnya sendiri dengan posisi rumahnya berhadapan langsung dengan rumah ibu Abasiah.”

Gambar 11: Di hadapan rumah Ibu Abasiah di Gampung Lampulo yang tersadai di atasnya kapal nelayan

Selain itu kami juga menyaksikan sebuah kapal besar Pembangkit Listrik Tenaga Diesel (PLTD) yang masih terdampar di Gampong Punge Blang Cut sehingga ke hari ini. Kapal tersebut berukuran panjang 63 meter, luas 1900 meter persegi dan berat 2600 tan. Diceritakan bahawa kapal ini hanyut sejauh lima kilometer dari Pantai Ulee Lheue ketika berlakunya peristiwa tsunami 2004. Berhampiran monumen ini didirikan beberapa kedai cenderamata yang boleh dibeli oleh para pelancong sebagai tanda kenangan.

Sebuah lagi monumen utama di Banda Aceh yang menyimpan banyak khazanah berkaitan peristiwa tsunami ialah Muzium Tsunami Aceh. Muzium ini terletak di Jalan Iskandar Muda, dibuka kepada orang ramai untuk mengunjunginya setiap hari (kecuali hari Jumaat). Bangunan muzium empat tingkat ini mempunyai reka bentuk yang unik kerana jika dilihat dari jauh, bentuknya seperti sebuah bahtera besar.

Muzium ini telah dibuka secara rasmi pada Februari 2008. Tujuan pembangunan muzium ini, selain memperingati tragedi tsunami 2004 adalah juga sebagai pusat informasi dan pendidikan kepada rakyat tentang bahaya tsunami. Malah muzium ini juga telah direka khas sebagai pusat perlindungan kepada orang ramai jika berlakunya tsunami pada bila-bila masa.

Terdapat pelbagai segmen menarik di dalam muzium yang disediakan untuk para pengunjung. Antaranya ialah tayangan simulasi elektronik mengenai gempa bumi di Lautan Hindi pada 2004, koleksi gambar mangsa-mangsa yang terlibat, rakaman cerita daripada mereka yang terselamat, ruangan interaktif media 4D dan banyak lagi. Selain itu terdapat juga kemudahan seperti perpustakaan, kedai cenderamata dan kafetaria di muzium tersebut.  

Gambar 12: kapal besi PLTD Apung (tanker) yang terdampar di Gampong Punge Blang Cut

Gambar 13: Pemandangan dari luar Muzium Tsunami Aceh

Gambar 14: Bergambar di hadapan pintu masuk muzium

Gambar 15: Salah satu lukisan di muzium yang menggambarkan kejadian tsunami 2004

Banda Aceh kaya dengan masjid-masjid yang bersejarah. Hal ini bukan sesuatu yang menghairankan memandangkan telah berabad-abad lamanya Islam bertapak di bumi Aceh. Antara masjid yang terkenal ialah Masjid Raya Baiturrahman. Masjid ini telah dibina pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda pada tahun 1612 (1022 H). Sewaktu peristiwa tsunami 2004, masjid ini tidak mengalami kerosakan yang besar dan tetap tersergam berdiri walaupun bangunan-bangunan di sekitarnya hancur berkecai. Di masjid ini jugalah orang-orang Aceh berlindung dan terselamat daripada bencana tersebut.

Melalui catatan sejarah, Masjid Raya Baiturrahman pernah menjadi saksi pertempuran sengit antara pihak kolonial Belanda dengan rakyat Aceh pada tahun 1873. Pada waktu itu pihak Belanda mengerahkan kira-kira 3000 askarnya untuk menyerang Aceh dan berdepan dengan rakyat tempatan yang bersenjatakan rencong, klewang dan meriam. Walaupun tentera penjajah berjaya meraih kemenangan pada peringkat awalnya (termasuk menawan Masjid Raya Baiturrahman), namun mereka perlu membayar harga yang mahal apabila panglima utamanya, Jeneral Kohler ditembak mati oleh salah seorang penembak tepat (sniper) Aceh tidak jauh dari kedudukan masjid tersebut. Perang Aceh ini berlanjutan selama 40 tahun lamanya, malah ia telah membawa kepada pembentukan tanah jajahan Hindia Timur Belanda dan kemudiannya Republik Indonesia.

Masjid Raya Baiturrahman yang ada sekarang bukanlah masjid yang asal. Masjid ini sebenarnya telah terbakar sewaktu Perang Aceh 1873, namun kemudiannya dibina semula pada tahun 1879. Dari semasa ke semasa masjid ini telah mengalami banyak penambahbaikan dari segi infrastrukturnya, malah fungsinya sebagai pusat aktiviti umat Islam semakin diperluaskan, termasuk pusat pendidikan agama bagi anak-anak tempatan.

Masjid kedua di Banda Aceh yang menjadi destinasi persinggahan kami ialah Masjid Rahmatullah. Masjid ini telah dibuka secara rasminya pada 12 September 1997 oleh Prof. Syamsudin Mahmud, Gabenor Aceh pada waktu itu. Lokasinya di Kecamatan Lhoknga, berhampiran Pantai Lampuuk. Alhamdulillah, kami berpeluang bersujud dan menunaikan Solat Jumaat di masjid ini. Masjid ini juga diingati ramai kerana ia adalah satu-satunya bangunan yang masih tegak berdiri sedang bangunan-bangunan lain di sekelilingnya hancur musnah pasca-tsunami 2004.

Selain itu, rombongan kami turut dibawa menyaksikan Masjid Baiturrahim Ulee Lheue, sebuah lagi masjid lama yang menyimpan lembaran sejarahnya yang tersendiri. Sebagaimana Masjid Raya Baiturrahman, Masjid Baiturrahim telah menempuh fasa perjalanan sejarah Aceh yang cukup panjang. Masjid ini didirikan pada abad ke-17 sewaktu era Kesultanan Aceh. Kini masjid ini mampu menampung seramai 1500 jemaah pada satu-satu masa.

Sewaktu peristiwa tsunami 2004, kawasan Ulee Lhue hampir rata seluruhnya, tiada bangunan yang tersisa, kecuali Masjid Baiturrahim yang masih utuh berdiri. Walaupun terletak berhampiran pantai dan diterjang ombak tsunami yang cukup ganas, diberitakan bahawa kerosakan yang dialami oleh masjid tersebut hanyalah sekitar 20 peratus sahaja. Masjid ini juga menjadi tempat perlindungan beberapa rakyat tempatan yang terselamat dan mereka menyaksikan sendiri begitu dahsyatnya arus tsunami menghancur-leburkan apa sahaja yang ada dalam laluannya dari atas kubah masjid tersebut.

Satu perkara yang ingin saya tekankan kepada rakan-rakan beragama Islam, kita tidak perlu jadikan peristiwa terselamatnya masjid-masjid di Banda Aceh ini daripada musibah tsunami sebagai hujah untuk membuktikan kebenaran agama Islam. Jika ia dijadikan hujah, maka ia boleh membuka peluang kepada penganut agama lain menggunakan hujah yang sama. Mereka boleh mengatakan, agama mereka juga benar kerana rumah ibadat agama mereka juga ada yang terselamat daripada musibah yang seumpamanya (contohnya gereja-gereja yang terselamat daripada taufan Greg yang pernah melanda Filipina).

Sesungguhnya banyak lagi hujah lain yang boleh kita gunakan untuk membuktikan kebenaran Islam. Malah hujah kita yang paling utama sewajarnya adalah kitab Al-Quran itu sendiri yang merupakan mukjizat terbesar Nabi Muhammad s.a.w. dan masih kekal untuk kita tatapi hingga ke hari ini, malah akan terpelihara sehingga hari kiamat. Telah terbukti begitu ramai manusia di seluruh dunia sejak dahulu hingga sekarang akhirnya menemui jalan kebenaran hasil pengkajian dan interaksi mereka dengan Al-Quran.  

Gambar 16: Di hadapan Masjid Raya Baiturrahman yang kaya dengan sejarah

Gambar 17: Kelas pendidikan Islam untuk anak-anak remaja Aceh yang dijalankan di perkarangan Masjid Raya Baiturrahman

Gambar 18: Masjid Rahmatullah, antara masjid yang terselamat semasa peristiwa tsunami 2004

Gambar 19: Model Masjid Rahmatullah di Muzium Tsunami Aceh, gambaran keadaan sekelilingnya pasca-tsunami

Gambar 20: Masjid Baiturrahim, sebuah lagi masjid lama yang turut terselamat dalam peristiwa tsunami 2004

Lewat peristiwa tsunami, ribuan anak-anak Aceh menjadi yatim piatu. Mereka langsung hilang tempat pergantungan untuk meneruskan kehidupan. Mujur masih ada insan-insan berjiwa murni yang membuka pesantren dan menawarkan tempat untuk mereka berteduh dan lebih utama, menimba ilmu pengetahuan. Peluang terbentang untuk mereka kembali mewarnai masa hadapan.

Pesantren adalah sejenis sistem pendidikan tradisional yang telah bertapak di Indonesia sejak zaman kolonial Belanda lagi. Jika disingkap sejarahnya, pesantren didirikan oleh golongan ulama bagi mengekalkan identiti umat Islam yang pada waktu itu cukup hebat diasak oleh pihak penjajah melalui sistem pendidikannya. Walau serba-serbi kekurangan, tidak dinafikan melalui sistem pesantren sejak dahulu hingga sekarang telah lahir ramai alim ulama dan pendakwah dalam kalangan anak-anak tempatan yang akhirnya menyumbang kepada pembangunan umat dan negara mereka.

Di Banda Aceh, kami berkesempatan menziarahi Dayah Darul Hijrah. Pesantren yang terletak di Kabupaten Aceh Besar ini tidak asing pada pendengaran saya kerana sekumpulan para pelajarnya yang merupakan anak-anak Aceh pernah mendapat tajaan daripada JIM (hasil sumbangan orang ramai) untuk meneruskan pembelajaran di situ. Alhamdulillah, saya kira ia adalah pelaburan yang berbaloi kerana selepas satu dekad, Dayah Darul Hijrah telah mengeluarkan graduannya yang berjaya melanjutkan pengajian di peringkat tertinggi sama ada di dalam mahu pun luar negara, antaranya di Universiti Al-Azhar di Mesir, Universiti Darul Hadis (Arab Saudi) dan institusi pengajian tinggi tempatan seperti Universitas Syiah Kuala, Universitas Islam Negeri Ar-Raniry dan Politeknik Aceh.

Sebuah lagi sekolah di Banda Aceh yang kami lawati ialah Fatih Bilingual School (FBS). Sekolah bertaraf antarabangsa yang terletak di Lamlagang ini ditubuhkan pada tahun 2005, hasil usaha sekumpulan sukarelawan dari Turki. Mereka terdiri daripada guru-guru dan usahawan yang bercita-cita untuk membina sebuah institusi pendidikan sebagai sumbangan mereka membantu anak-anak Aceh meneruskan pembelajaran pasca-tsunami. Dengan gabungan kurikulum pendidikan nasional dan konsep bilingual, dalam masa yang singkat FBS diiktiraf sebagai sebuah sekolah yang berprestij dan menjadi kebanggaan Aceh hasil pencapaian cemerlang para pelajarnya dalam pelbagai pertandingan sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa. 

Gambar 21: Salah sebuah bangunan sekolah di Dayah Darul Hijrah

Gambar 22: Musolla di Dayah Darul Hijrah yang didirikan hasil sumbangan orang ramai

Gambar 23: Di hadapan salah sebuah bangunan Fatih Bilingual School

Gambar 24: Suasana di dalam kelas di Fatih Bilingual School

Di Banda Aceh juga, kami tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke Universitas Islam Negeri Ar-Raniry (UNIAR) yang terletak di Darussalam Banda Aceh. Nama Ar-Raniry diambil bersempena nama Syeikh Nuruddin Ar-Raniry, seorang ulama besar dan mufti Aceh yang sangat berpengaruh semasa pemerintahan Sultan Iskandar Tsani pada tahun 1637 hingga 1641. UNIAR dibuka pada tahun 1960, didahului dengan penubuhan beberapa fakulti iaitu Fakulti Syariah, Fakulti Tarbiah dan Fakulti Usuluddin. Sejak itu UNIAR terus berkembang dan kini mempunyai sembilan fakulti dan satu program pascasarjana di bawahnya. Daripada hampir 500 pelajar Malaysia di Banda Aceh, majoriti daripada mereka menuntut di universiti ini dalam bidang pengajian Islam.

Kembara selama lima hari sudah pasti tidak mencukupi untuk saya mengenali Banda Aceh secara mendalam. Malah sepanjang masa di sana kami tidak berpeluang untuk berinteraksi dengan orang-orang tempatan dan melihat budaya mereka dengan lebih dekat. Namun, semangat juang mereka dapat saya rasakan bila melihat Aceh kembali bangkit selepas sedekad berlalunya bencana bah besar. Semangat juang ini yang ingin saya bawa pulang. Walau sebesar mana ujian Tuhan kepada kita, rupa-rupanya ada lagi insan lain yang diuji lebih hebat daripada kita.

“Dialah yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (Al-Mulk 67 : 2)

Gambar 25: Di hadapan pintu masuk utama Universitas Islam Negeri Ar-Raniry (UINAR)

Gambar 26: Perbincangan bersama Rektor UINAR, Prof. Dr. H. Farid Wajdi Ibrahim

Gambar 27: Rombongan PPAAB bersama pelajar-pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Banda Aceh