Monday, September 19, 2011

Dahsyatnya Seksa Neraka

Oleh Wan Am


Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, antara punca utama manusia begitu mudah terjebak dengan perbuatan dosa adalah kerana kejahilan tentang sesuatu akibat lantaran perbuatan dosa yang dilakukan. Kejahilan mengenai akibat dosa ini jugalah yang menyebabkan ada insan berterusan melakukan maksiat tanpa rasa bersalah sedikit pun. Selagi karat kejahilan itu tidak dihilangkan dengan pengetahuan dan pendidikan, maka seseorang pelaku maksiat itu akan terus obses melayani kehendak hawa nafsu dan syaitan tanpa menyedari tindakannya itu boleh menyerkapnya ke lembah kehancuran.

Firman Allah yang bermaksud:

“Dan (ingatlah kisah) Lut, ketika dia berkata kepada kaumnya: ‘Mengapa kamu mengerjakan perbuatan fahisyah (keji), padahal kamu melihatnya (kekejian perbuatan maksiat itu)? Mengapa kamu mendatangi laki-laki untuk (memenuhi) syahwat(mu), bukan (mendatangi) perempuan? Sungguh, kamu adalah kaum yang tidak mengetahui (akibat perbuatanmu).’” (an-Naml : 54-55)

Allah telah berjanji bahawa para pelaku maksiat dan dosa, tempat mereka di akhirat kelak adalah di neraka. Bagi syaitan, Iblis dan orang-orang kafir, ia akan berada di neraka buat selama-lamanya. Namun, bagi orang Islam yang berdosa (tetapi tidak mensyirikkan Allah), mereka akan tetap diseksa di neraka, namun akhirnya akan turut menempuh alam syurga.

Antara janji Allah dalam al-Quran mengenai seksa neraka yang akan dihadapi oleh para pelaku dosa adalah seperti berikut (yang bermaksud):

“Maka takutlah kamu kepada neraka yang bahan bakarnya ialah manusia dan batu-batu. Neraka itu disediakan bagi mereka yang kafir.” (al-Baqarah : 24)

“Barangsiapa yang menderhakai Allah dan Rasul-Nya dan melampaui batas larangannya, dimasukkan ke dalam neraka, kekal di dalamnya. Dia menderita seksa yang hina dina.” (an-Nisa’ : 14)

“Allah telah menyediakan untuk mereka yang munafik laki-laki mahupun perempuan dan orang kafir itu neraka Jahannam. Mereka itu kekal di dalamnya. Allah melaknati mereka itu dan untuk mereka itu azab yang kekal.” (at-Taubah : 68)

Neraka dalam bahasa arab disebut “an-Naar” yang bermaksud api. Neraka juga dinamakan an-Naar kerana penghuni neraka disediakan bagi mereka tempat tinggal yang dibuat daripada api, pakaian daripada api dan mereka pun diseksa dengan api. Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud:

“Maka Kami memperingatkan kamu dengan neraka yang menyala-nyala, tidak ada yang masuk ke dalamnya melainkan orang yang paling celaka.” (al-Lail :14-15)

Api neraka adalah api yang maha panas. Panasnya api neraka berjuta kali ganda melebihi kepanasan api yang ada di dunia ini. Malah, bumi ini pasti hancur berkecai jika api neraka yang hanya sebesar zarah jatuh ke atasnya.

Ada sebuah hadis daripada Ibnu Mas’ud r.a. berkata, Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Adapun panas api yang kamu nyalakan di dunia ini (termasuk matahari) hanya sepertujuh puluh daripada panasnya api neraka di akhirat. Kalau sedikit sahaja jatuh ke atas dunia, nescaya mendidih air laut kerana panasnya.” (Riwayat Muslim)

Melalui petunjuk hadis, diketahui bahawa neraka itu terdiri daripada tujuh pintu, yang juga bererti tujuh tingkat. Nama-nama tingkat neraka itu pula menurut al-Quran adalah:

1. Neraka Jahannam

“Katakanlah kepada orang kafir itu: ‘Nanti kamu dikalahkan oleh orang Islam, dan dihimpunkan kamu ke dalam beraka Jahannam. Di sanalah tempat yang seburuk-buruknya.” (Ali Imran : 12)

2. Neraka Luza

“Sebab itu Kami beri khabar pertakut kamu dengan neraka Luza (neraka yang menyala-nyala). Tiada yang masuk ke dalamnya selain orang yang celaka. Iaitu orang yang mendustakan agama dan berpaling daripadanya.” (al-Lail : 14-16)

3. Neraka Hathamah

“Sebenarnya dia akan dilemparkan ke dalam neraka Hathamah. Tahukah engkau apakah Hathamah itu? Iaitu api neraka yang bernyala-nyala. Yang membakar hati manusia. Api yang ditutupkan kepada mereka. Sedangkan mereka itu diikatkan kepada tiang yang panjang.” (al-Humazah : 4-9)

4. Neraka Sair

“Bahawasanya orang-orang yang memakan harta anak yatim dengan aniaya, sesungguhnya mereka memakan api sepenuh perutnya. Dan nanti mereka akan dimasukkan ke dalam neraka Sair.” (an-Nisa’ : 10)

5. Neraka Saqru

“Di dalam syurga mereka saling bertanya dari hal orang berdosa. Apakah sebabnya kamu masuk neraka Saqru. jawabnya: Kerana kami tidak sembahyang, tidak memberi makan orang miskin, kami percaya kepada yang bukan-bukan. Kami mendustakan hari kiamat.” (al-Mudasir : 40-46)

6. Neraka Jahim

“Ambillah orang-orang yang berdosa itu, dan bawalah ke dalam neraka Jahim. Sesudah itu tumpahkan ke kepalanya air panas untuk menyeksanya. Rasailah seksaan itu, sesungguhnya dahulu orang yang gagah lagi mulia. Inilah seksa yang kamu ragu-ragukan di masa dahulu itu.” (ad-Dukhan : 47-50)

7. Neraka Hawiyah

“Dan barangsiapa yang ringan timbangannya, maka dia dilemparkan ke neraka Hawiyah. Tahukah engkau apakah neraka Hawiyah itu? Iaitu api yang sangat panas.” (al-Qari’ah : 8-11)

Sesungguhnya neraka itu dimasuki dengan dua cara; pertama, dihalau dan dilemparkan masuk ke neraka. Cara ini digunakan kepada mereka yang kafir, munafik dan iblis. Manakala cara kedua ialah dengan meniti Titian Shirathal-Mustaqim. Cara ini akan dilalui oleh umat bertauhid, umat Nabi Muhammad s.a.w., dan umat nabi-nabi yang terdahulu, baik mereka yang beramal salih mahupun mereka yang derhaka. Bagi mereka yang akan masuk syurga, mereka akan selamat melalui titian ini. Namun bagi mereka yang diputuskan hukumannya di neraka, mereka akan terjatuh ke dalam lubang Neraka Jahannam.

Dalam al-Quran juga Allah telah menceritakan mengenai cara penghuni neraka itu dibakar. Bila sahaja kulit tubuh mereka hangus, kulit yang baru akan tumbuh dan tubuhnya dibakar lagi sehingga hangus. Kemudian tumbuh lagi kulit yang baru dan dibakar lagi, dan begitulah seterusnya mereka diseksa berulang-ulang dengan penuh kesakitan.

“Terbakar muka mereka oleh api, dan mereka di dalam bermuka masam.” (al-Mukminun : 104)

“Bukan begitu: Sesungguhnya neraka itu menyala-nyala, lagi membongkar kulit kepala.” (al-Ma’arij : 15-16)

“Pada hari itu seksaan menutupi mereka dari atas kepala dan dari bawah kaki. Ketika itu Allah berkata: ‘Tahanlah olehmu seksaan ini (hasil dari) apa yang kamu usahakan di dunia.’” (al-Ankabut : 55)

Dalam bukunya “Tazkirah”, Sheikh Qurtubi menulis, “Pada waktu api membakar itu, maka mengelupas seluruh kulit, gugur daging yang melekat di tubuh dan kelihatan tulang memutih. Mereka meronta-ronta kesakitan, memekik sekuat-kuatnya. Mereka menangis. Air mata bercucuran. habis air mata, maka keluarlah darah. Terjadilah penyesalan-penyesalan. Namun sedikit pun tiada gunanya...”

Ya, walau menangis air mata darah sekali pun, penghuni neraka sudah tidak akan lagi mendapat keampunan daripada Allah. Segala penyesalan sudah tidak berguna lagi. Tiada ahli keluarga dan rakan-rakan yang akan dapat membantu. Hatta Malaikat penjaga neraka pun tidak akan dapat berbuat apa-apa untuk menyelamatkannya daripada terus diazab.

“Rasalah olehmu, kerana kamu melupakan peristiwa yang akan terjadi pada hari ini. Kerana itu maka Kami melupakan kamu pula. Dan rasalah seksaan itu selama-lamanya. Hal ini adalah kerana amal perbuatan kamu sendiri.” (as-Sajadah : 14)

Dengan janji Tuhan mengenai seksaan di neraka yang amat dahsyat, saya percaya tak mungkin akan terlintas walau sedikit pun di hati nurani kita untuk mendiaminya walau sebentar. Tak mungkin kita mahu termasuk dalam golongan yang merasai kesakitan yang amat sangat di neraka sedangkan terdapat golongan manusia lain yang bersenang-lenang dengan segala nikmat Tuhan yang penuh gratis di syurga. Justeru selagi masa masih bersisa, bertaubatlah kita atas dosa-dosa yang pernah dilakukan. Ketahuilah bahawa walau mungkin dosa kita menggunung tinggi, namun pintu keampunan Allah itu sentiasa terbuka seluas tujuh petala langit dan bumi.

No comments:

Post a Comment