Oleh Wan Am
Cuba anda hayati tiga situasi berikut:
1. Ketika si A sedang mengisi petrol di sebuah stesen minyak, seorang remaja berkopiah datang kepadanya dengan membawa beberapa keping VCD dan naskhah-naskhah buku untuk dijual. Remaja tersebut memberitahu, hasil daripada jualan barangan tersebut akan dimasukkan ke dalam tabung pembinaan sebuah institusi pendidikan agama di sebuah negeri di utara tanah air. Tanpa sebarang bicara dan muka masam mencuka si A cepat-cepat menghulurkan sekeping wang kertas Ringgit Malaysia Satu Ringgit kepada remaja berkenaan lalu masuk ke dalam kereta sejurus selesai mengisi petrol dan terus memecut laju meninggalkan stesen minyak tersebut.
2. Si B terbaca kisah di akhbar mengenai kesusahan hidup anak-anak yatim di sebuah rumah kebajikan yang terletak di ibu kota. Antara barang sumbangan yang diperlukan oleh anak-anak yatim tersebut ialah pakaian, sama ada pakaian sekolah mahu pun pakaian harian. Si B lantas mengumpulkan pakaian lama anak-anaknya yang telah tidak digunakan lagi, lalu menghantarnya ke rumah kebajikan tersebut yang kebetulan terletak tidak jauh dari rumahnya.
3. Si C menghadiri satu majlis keraian sebuah syarikat swasta yang turut dihadiri oleh wakil-wakil media. Dalam majlis tersebut telah diadakan satu majlis penyampaian replika cek berjumlah RM100,000.00 yang akan disumbangkan kepada sebuah badan kebajikan. Si C merasakan sesi penyampaian tersebut seolah-olah suatu usaha untuk menunjuk-nunjuk, sedangkan bagi beliau lebih baik jika penyampaian sumbangan tersebut dilakukan terus kepada pihak badan kebajikan terbabit tanpa perlu diberitahu kepada orang ramai.
Mungkin ada dalam kalangan anda yang menganggap bahawa situasi-situasi di atas adalah sesuatu yang saya imaginasikan. Ya, mungkin betul. Namun, imaginasi sedemikian sebenarnya terhasil daripada peristiwa yang benar-benar berlaku dalam alam realiti. Malah, mungkin juga pernah berlaku pada diri anda.
Lebih utama lagi yang ingin saya tekankan dalam artikel ini ialah selain tujuan yang murni, sedekah juga perlu disertai dengan etika yang betul. Orang yang bersedekah hendaknya turut mengambil berat akan persoalan etika dan syarat bersedekah supaya diberikan pahala oleh Allah. Niat sahaja baik, namun jika caranya tidak kena, jawabnya rendahlah markah sedekah kita. Mungkin juga kita tidak mendapat apa-apa pahala daripada amal sedekah kita, malah lebih teruk lagi menambah dosa pula pada diri.
Lihat sahaja situasi pertama di atas. Walaupun si A bersedekah, namun oleh kerana si A tidak memenuhi etika bersedekah yang sepatutnya, maka pahala sedekahnya pun akan terjejas. Mengapa? Kerana Islam mengajar kita supaya menyerahkan sedekah dengan wajah yang ceria dan berseri. Dengan berkeadaan sedemikian, walaupun jumlah sedekah kita tidak banyak, namun pasti mendatangkan kegembiraan kepada mereka yang menerimanya. Seperti sabda Rasulullah berikut:
"Jangan kamu anggap mudah perbuatan baik, meskipun itu sekadar memberi senyuman ketika bertemu dengan saudaramu. (Riwayat Muslim)
Bagaimana pula dengan situasi kedua? Ada yang tidak kenakah dengan sedekah si B? Sekali pandang seperti OK-OK sahaja. Namun, jika si B memenuhi etika bersedekah yang sebenarnya, pahala sedekahnya pasti akan meningkat berlipat kali ganda. Apa etika itu? Ya, Islam mendidik kita supaya bersedekah dengan harta yang paling baik. Dalam kes ini, memang baik bila si B mendermakan pakaian lama anak-anaknya yang sudah tidak digunakan lagi. Namun adalah lebih baik lagi jika si B membeli pakaian yang baru lalu didermakan terus kepada anak-anak yatim di rumah kebajikan tersebut.
Hal ini bersesuaian dengan firman Allah berikut:
"Kamu tidak akan memperoleh kebaikan sehinggalah kamu mengeluarkan sebahagian daripada apa yang kamu cintai." (ali Imran : 92)
Malah Rasulullah s.a.w. juga pernah bersabda mengenai seseorang yang bersedekah dengan jenis kurma yang berkualiti rendah:
"Jika pemilik barang sedekah ini hendak bersedekah, hendaklah dia memberikan yang lebih baik daripada ini. Pemilik barang sedekah ini sesungguhnya akan makan kurma yang rendah kualitinya pada hari kiamat." (Riwayat Abu Daud dan an-Nasa'i)
Dalam situasi ketiga pula, si C beranggapan adalah lebih baik jika sedekah kita dilakukan secara sembunyi-sembunyi. Sedekah yang dipamerkan kepada orang ramai, takut timbul perasaan riak pula pada diri yang bersedekah. Kan dah merosakkan pahala sedekah kita?
Benar, menyembunyikan sedekah itu adalah lebih utama, namun menampakkan sedekah kita jika itu lebih baik adalah satu tindakan yang betul dan dituntut oleh Islam. Pendek kata, sedekah dibolehkan secara tersembunyi atau terang-terangan. Secara tersembunyi lebih baik, kecuali jika penderma ingin tindakannya menjadi motivasi kepada orang lain agar turut bersedekah, maka atas tujuan ini adalah baik untuk “menunjukkan” dermanya.
Al-Quran ada menjelaskan mengenai perkara ini:
"Kalau kamu menampakkan sedekah-sedekah itu (secara terang-terangan), maka yang demikian adalah baik (kerana dapat menjadi contoh). Dan kalau kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin maka itu adalah lebih baik bagi kamu; dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan." (al-Baqarah : 271)
Mengenai ayat tersebut, Ibnu Kathir dalam kitab tafsirnya ada menyebut, "Di dalamnya terdapat petunjuk bahawa sedekah secara tersembunyi adalah lebih utama daripada sedekah secara terang-terangan kerana ia dapat menjauhkan daripada sifat riak. Pengecualian jika suasana mengarah seseorang untuk menampakkan sedekahnya kerana sesuatu kemaslahatan yang penting, agar orang ramai mengikuti tindakannya. Maka dalam suasana seperti ini menampakkannya adalah lebih utama."
Selain contoh-contoh di atas, berikut saya perturunkan beberapa lagi etika yang wajar kita pentingkan sewaktu melaksanakan amal sedekah:
1. Sedekah harus berasal daripada harta yang diperoleh melalui jalan yang halal.
"Barangsiapa mencari harta dengan cara yang haram, kemudian dia gunakan harta itu untuk silaturahim atau sedekah atau sedekah di jalan Allah, semua itu akan dikumpulkan untuk memukulnya di neraka Jahannam." (Riwayat Abu Daud)
2. Sedekah harus dilakukan dengan ikhlas, mengharap keredaan Allah dan tidak dicemari sifat riak atau ujub. Niat sedekah adalah semata-mata kerana Allah.
"Setiap perbuatan itu ditentukan oleh niat. Setiap orang akan mendapatkan sesuai dengan apa yang diniatkannya..." (Muttafaq Alaih)
3. Sedekah harus diberikan kepada pihak yang sangat memerlukan. Jika ada ahli keluarga kita yang dalam kesempitan, maka menyerahkan sedekah kepada mereka adalah lebih baik berbanding selainnya.
"Sedekah kepada orang miskin mendapat satu pahala, iaitu pahala sedekah. Tetapi jika sedekah itu diserahkan kepada ahli keluarga, maka ia menjadi dua pahala, iaitu pahala sedekah dan pahala silaturahim." (Riwayat Ahmad dan at-Tirmizi)
4. Orang yang ingin bersedekah wajib segera menunaikan sedekahnya selagi dia masih hidup.
"Hendaklah kamu bersedekah ketika kamu dalam keadaan sihat dan merasa berat menunaikannya; ketika kamu masih mengharapkan kekayaan dan takut akan kemiskinan..." (Muttafaq Alaih)
5. Menjauhkan diri dari sikap membangkit-bangkitkan sedekah yang diberikan dan menyakiti hati orang yang menerima sedekah.
"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu rosakkan sedekah-sedekah kamu dengan sikap membangkit-bangkitkan tentang sedekah itu dan kata-kata yang menyakiti (hati penerimanya)." (al-Baqarah : 264)
No comments:
Post a Comment