Dalam masyarakat dunia hari ini, wujud satu golongan yang tidak tahu cara untuk mereka mempercayai Tuhan kerana pada pandangan mereka kewujudan Tuhan tidak dapat dibuktikan. Fahaman ini dikenali sebagai agnotisme. Kebiasaannya fahaman ini dianuti oleh mereka yang pada asalnya menyembah Tuhan, namun kemudiannya memilih untuk menjadi agnostik lantaran keraguan yang mula timbul mengenai kewujudan Tuhan.
Berbeza dengan ateis, golongan agnostik tidak seratus peratus menolak kewujudan Tuhan, namun mereka menuntut jawapan bagaimana kewujudan Tuhan dapat dibuktikan. Menurut pengalaman dan pengkajian penulis, terdapat dua kemusykilan yang lazim ditanyakan oleh golongan agnostik (juga oleh sebahagian ateis) mengenai kewujudan Tuhan. Ia boleh menjadi soalan yang mencabar jika kita sebagai Muslim tidak mempunyai ilmu dan teknik yang betul untuk menjawabnya.
Soalan pertama: “Jika Tuhan mencipta sesuatu, siapa yang mencipta Tuhan?”
Untuk memulakan jawapan kepada soalan ini, kita boleh bertanyakan kembali satu soalan santai kepada agnostik yang bertanya, “Anda mempunyai seorang kawan bernama Peter, dia pergi ke hospital untuk bersalin dan kemudiannya telah melahirkan seorang anak. Adakah anda boleh meneka sama ada anak yang dilahirkan oleh Peter itu lelaki atau perempuan?” Hampir pasti dia akan menjawab, “Soalan ini tidak logik, bagaimana mungkin seorang lelaki boleh melahirkan anak?” Dengan jawapan itu sebenarnya dia juga telah memberikan jawapan kepada soalan yang ditanyakannya tadi.
Katakan kepadanya, “Soalan anda juga adalah soalan yang tidak logik kerana Tuhan itu adalah Yang Maha Pencipta, bukan yang dicipta. Jika ada pihak lain yang mencipta Tuhan, maka logiknya Tuhan itu sudah tidak sewajarnya dianggap Tuhan kerana ada yang lebih berkuasa daripada-Nya. Sedangkan Tuhan itu sifatnya juga adalah Yang Maha Berkuasa, bermaksud tiada satu pun yang boleh mengatasi kekuasaan-Nya.” Ini proses awal untuk mengajak orang agnostik berfikir.
Malah sebenarnya manusia akan menemui jalan buntu jika mereka terus berusaha mencari jawapan siapa pencipta Tuhan. Katakanlah ‘X’ adalah pencipta Tuhan, maka akan timbul pula persoalan lain, “Siapa yang mencipta ‘X’?” Andai ‘Y’ pula adalah pencipta ‘X’, maka soalan seterusnya, “Siapa yang mencipta ‘Y’?” Dan begitulah seterusnya persoalan ini tidak akan berkesudahan.
Mari kita fikirkan analogi berikut pula. Dari manakah asalnya angka ‘1’? Angka selepasnya iaitu ‘2’ berasal daripada ‘1 + 1’, manakala angka ‘4’ berasal daripada ‘2 + 2’, dan begitulah angka-angka lain seterusnya yang semuanya tercipta daripada angka ‘1’. Tidak seperti angka-angka yang lain, angka ‘1’ adalah angka tunggal, ia boleh mencipta angka lain, tetapi ia tidak tercipta daripada angka apa pun. Justeru daripada analogi tersebut, sebenarnya adalah munasabah untuk kita menerima kenyataan bahawa Tuhan itu adalah Tunggal, iaitu Tuhan yang mencipta segala sesuatu tetapi tidak diciptakan.
Kita terus berikan jawapan yang lebih serius mengenai persoalan ini dengan menerangkan ciri-ciri Tuhan yang dinyatakan di dalam Al-Quran, melalui ayat-ayat berikut (yang bermaksud):
“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; Dia tidak beranak, dan Dia pula tidak diperanakkan; Dan tidak ada sesiapa pun yang serupa dengan-Nya.’" (Al-Ikhlas 112 : 1-4)
Melalui surah Al-Ikhlas ini, kita mengenali Tuhan kepada sekalian alam ini ialah Allah. Perkataan “Allah” disebut lebih 2,500 kali di dalam Al-Quran. Perkataan “Allah” adalah kata ganti nama khas yang merujuk kepada Tuhan yang Maha Esa, yang telah mencipta, mentadbir dan memiliki alam semesta ini beserta isinya. Segala yang ada di dalam alam semesta ini bergantung kepada Allah.
Melalui surah ini juga, kita mengetahui bahawa Allah tidak beranak dan tidak diperanakkan. Ini bermaksud Allah tidak mempunyai ibu atau bapa dan tidak mempunyai anak. Logiknya jika Tuhan mempunyai ibu dan bapa, sudah tentu ibu dan bapa Tuhan itu lebih berkuasa daripada-Nya. Sedang Allah itu bersifat Al-‘Aziiz, bermaksud Maha Berkuasa. Tidak ada satu pun kekuatan yang dapat mengatasi kekuasaan-Nya. Dengan sifat tersebut membuktikan Allah tidak sekali-kali diciptakan, malah Dialah Tuhan yang mencipta segala kejadian.
Firman Allah di dalam Al-Quran (yang bermaksud):
“Allah tidak sekali-kali mempunyai anak, dan tidak ada sama sekali sebarang tuhan bersama-Nya; (kalaulah ada banyak tuhan) tentulah tiap-tiap tuhan itu akan menguasai dan menguruskan segala yang diciptakannya dengan bersendirian, dan tentulah setengahnya akan bertindak mengalahkan setengahnya yang lain. Maha Suci Allah dari apa yang dikatakan oleh mereka (yang musyrik) itu.” (Al-Mu’minun 23 : 91)
Melalui ayat “Dan tidak ada sesiapa pun yang serupa dengan-Nya” pula, kita memahami bahawa Allah Yang Maha Pencipta mestilah berbeza dengan apa yang dicipta-Nya. Kalaulah Tuhan itu cirinya sama dengan ciptaan-Nya, maka Tuhan itu juga adalah bersifat sementara (temporal) sebagaimana ciptaan-Nya. Tuhan tidak sepatutnya terikat dengan masa, kerana masa itu sendiri adalah ciptaan Tuhan.
Allah adalah bersifat Al-Awwal, bermaksud Maha Permulaan. Allah adalah awal daripada segala segala sesuatu. Sebelum makhluk dan seluruh jagat raya ini diciptakan, Allah sudah ada. Allah juga bersifat Al-Aakhir, bermaksud Maha Akhir, iaitu Allah tidak ada masa berakhirnya. Tidak seperti makhluk, keberadaan Allah itu kekal. Semua makhluk ada masa berakhirnya, iaitu kematian atau kehancuran. Sedang Allah adalah abadi sepanjang masa.
“Dialah Yang Awal dan Yang Akhir Yang Zahir dan Yang Batin, dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu.” (Al-Hadid 57 : 3)
Soalan kedua: “Jika Tuhan itu ada, kenapa Tuhan biarkan manusia dalam kesusahan dan ditimpa bencana?”
Tidak dinafikan, ramai manusia yang menjadi tidak percaya kepada Tuhan apabila sesuatu yang buruk berlaku kepada mereka. Mereka merasakan Tuhan itu tidak adil kerana menyebabkan mereka ditimpa kesusahan, sehingga kemudiannya mereka mula meragui kewujudan Tuhan, malah ada yang langsung menolak kewujudan Tuhan. Ini adalah sesuatu yang normal bagi mereka yang tidak mengetahui hikmah di sebalik kesusahan yang mereka alami. Mungkin juga mereka beranggapan, disebabkan Tuhan itu Maha Berkuasa, sepatutnya Tuhan menghapuskan sahaja semua kesusahan yang ada di atas dunia ini dan memberikan hanya penghidupan yang baik kepada semua manusia.
Ironinya, mereka tidak pula memikirkan bahawa tidak semua manusia di atas dunia ini yang dirundung kesusahan. Jika diperhatikan sebenarnya lebih ramai manusia hidup dalam kesenangan berbanding mereka yang hidup melarat. Lebih ramai manusia yang sihat berbanding yang sakit. Lebih ramai juga manusia yang hidup dalam suasana aman berbanding kacau-bilau. Semua itu juga adalah kurniaan Tuhan kepada manusia. Maka adalah tidak adil untuk kita beranggapan bahawa Tuhan hanya memberikan kesusahan kepada manusia. Sewajarnya apabila kita melihat sekeping duit syiling, haruslah kita melihat kepada kedua-dua belah permukaannya!
Untuk menjawab persoalan di atas, mari kita amati kisah berikut. Pada suatu hari terdapat seorang lelaki ke kedai gunting rambut untuk menggunting rambutnya. Ketika rambutnya sedang digunting, dia dan si tukang gunting rambut berbual tentang banyak perkara termasuk mengenai Tuhan, sehinggalah si tukang gunting rambut itu berkata, “Saya tidak percaya kewujudan Tuhan.” Pelanggan itu bertanya, “Mengapa awak berkata demikian?” Si tukang gunting rambut itu menjawab, “Kalau betul Tuhan itu wujud, kenapa ketika manusia dalam kesusahan Tuhan tak bantu. Kalau betul Tuhan itu wujud, semestinya takkan ada manusia dalam kesusahan di dunia ini.” Mendengar jawapan tersebut, pelanggan tersebut mendiamkan diri sambil tersenyum. Apabila rambutnya siap digunting, lelaki tersebut terus keluar dari kedai tersebut.
Namun tidak lama kemudian lelaki itu datang semula ke kedai tersebut dengan membawa seorang pengemis yang keadaan rambutnya sangat kusut. Lantas dia bertanya kepada si tukang gunting rambut, “Benarkah tukang gunting rambut wujud di bandar ini?” Tukang gunting rambut itu menjawab, “Mestilah wujud, saya ni kan tukang gunting rambut.” Lantas pelanggan itu membalas, “Kalau betul tukang gunting rambut wujud, mengapa ada orang yang rambutnya kusut masai seperti ini. Kalau betul tukang gunting rambut wujud, sudah pasti rambutnya terurus.” Si tukang gunting rambut pun berkata, “Dia yang tak pernah mencari tukang gunting rambut, mestilah rambutnya tak terurus.” Mendengar jawapan tersebut, pelanggan itu pun berkata, “Maka, itulah jawapan saya untuk soalan kamu tadi. Manusia ditimpa kesusahan kerana mereka jauh daripada Tuhan. Kalau mereka mencari atau mendekati Tuhan dengan cara melaksanakan segala perintah Tuhan, pasti Tuhan akan membantu mereka keluar daripada kesusahan.”
Berdasarkan kisah tersebut, kita akan memahami bahawa kesusahan yang dialami oleh manusia sebenarnya adalah berpunca daripada diri mereka sendiri. Malah disebabkan nafsu serakah manusia, muncullah pelbagai kerosakan, kesesatan dan kemaksiatan di dalam dunia ini. Bencana yang menimpa manusia juga adalah balasan daripada Tuhan kepada mereka yang melampaui batas. Allah berfirman di dalam Al-Quran (yang bermaksud):
“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Ar-Ruum 30 : 41)
Walaupun punca kepada segala kerosakan dan kemaksiatan adalah disebabkan oleh manusia, namun Allah tetap memberikan peluang kepada mereka untuk meneruskan kehidupan di atas muka bumi ini. Itulah tanda pemurahnya Tuhan kepada manusia. Jika mereka terus melakukan kerosakan dan kemaksiatan, Tuhan berjanji akan memberikan balasan yang setimpal kepada mereka pada Hari Pembalasan yang telah ditetapkan. Firman Allah di dalam Al-Quran (yang bermaksud):
“Dan kalaulah Allah mengirakan kesalahan manusia serta terus menyeksa mereka disebabkan amal-amal jahat yang mereka telah kerjakan, tentulah Dia tidak membiarkan tinggal di muka bumi sesuatu makhluk yang bergerak; akan tetapi (Dia tidak bertindak dengan serta merta, bahkan) Dia memberi tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa yang tertentu; kemudian apabila sampai tempoh mereka (maka Allah akan membalas masing-masing dengan adilnya), kerana sesungguhnya Allah sentiasa Melihat keadaan hamba-hamba-Nya.” (Fatir 35 : 45)
Hakikatnya sebagai Muslim, kita meyakini bahawa segala kesusahan yang menimpa manusia adalah ujian daripada Tuhan. Malah itulah sebenarnya antara tujuan penciptaan manusia, juga merupakan salah satu jawapan kepada persoalan asas manusia “Mengapa manusia diciptakan?” Di dalam Al-Quran, Allah menyatakan bahawa tujuan kehidupan manusia adalah untuk Dia menguji siapa yang paling baik amalannya.
“Dia lah yang telah menciptakan mati dan hidup (kamu) untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Berkuasa (membalas amal kamu) lagi Maha Pengampun (bagi orang-orang yang bertaubat).” (Al-Mulk 67 : 2)
Realitinya setiap manusia berhadapan dengan ujian hidup yang berbeza-beza. Ada manusia yang diuji dengan penyakit. Ada manusia yang diuji dengan hidup melarat. Juga ujian-ujian kehidupan lain seperti kehilangan insan tersayang, bebanan hutang keliling pinggang, dilemparkan cemuhan dan cacian, kediaman ditimpa bencana alam dan kegagalan dalam suatu pekerjaan. Malah, ramai juga manusia yang diuji Tuhan dengan kemewahan dan limpahan harta kekayaan.
“Setiap yang bernyawa akan merasakan mati, dan Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan, dan kepada Kami-lah kamu semua kembali.” (al-Anbiya’ 21 : 35)
Salah satu bentuk ujian yang dihadapi oleh manusia ialah musibah. Musibah bolehlah diertikan sebagai segala sesuatu yang tidak disukai oleh manusia seperti kemiskinan, kegagalan, bencana, kesakitan, kematian dan lain-lain. Musibah pasti menimpa semua manusia, tidak kira apa latar belakangnya. Yang kaya atau yang miskin, yang baik atau yang jahat, yang muda dan yang tua, semuanya tidak terkecuali daripada merasai musibah dalam kehidupan mereka.
Malah Tuhan turut menimpakan musibah ke atas orang beriman yang melakukan kebaikan. Musibah ini adalah tanda kasih sayang Tuhan kepada hamba-Nya yang beriman. Mereka yang merasai musibah ini akan mendapat pahala yang berganda serta ditinggikan darjatnya di sisi Tuhan.
Antara orang beriman yang turut diuji Tuhan dalam bentuk musibah ialah para Nabi dan Rasul. Melalui Al-Quran, kita mengetahui kisah Nabi Nuh a.s. yang diuji dengan banjir besar, Nabi Ibrahim a.s. dicampakkan ke dalam api besar yang marak membara, Nabi Yusuf a.s. difitnah dan dipenjarakan oleh pemerintah Mesir, Nabi Ayub a.s. ditimpa penyakit kulit yang berat, serta Nabi Yunus a.s. yang ditelan oleh ikan Nuun. Namun mereka semua diselamatkan oleh Tuhan daripada ujian-ujian tersebut kerana kesabaran dan keteguhan iman mereka kepada Tuhan.
“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: ‘Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?’ Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).” (Al-Baqarah 2 : 214)
Sesungguhnya dunia ini adalah tempat ujian, bukan syurga. Jika tiada ujian di dunia ini, maka tidak perlulah Tuhan mencipta syurga sebagai tempat pembalasan. Disebabkan dunia ini bukan syurga juga, maka setiap manusia akan merasai kematian. Bagi manusia yang berjaya menghadapi ujian Tuhan sewaktu mereka hidup di atas dunia ini, Allah menjanjikan syurga buat mereka di hari Akhirat kelak.
Rujukan:
Gejala Agnostik Satu Ancaman Akidah, Majlis Agama Islam Selangor, 2015
Islam Questions & Answers, Muhammad Nabil Fikri Suberi dan Kamarudin Abdullah, Islamic Propagation Society International, Januari 2016
Why Does Allah Allow Bad Things to Happen?, Sharifah Khadijah Husien Alkaff, Islamic Dawah Centre Bunei Darussalam, 2017
No comments:
Post a Comment