Tuesday, December 12, 2017

Perth: Harmoninya Hubungan Antara Agama

Oleh Wan Am

Pada 8 hingga 11 Disember 2017, saya meneruskan misi kembara rentas sempadan, kali ini ke Perth, Australia. Alhamdulillah, saya kembali ke bumi ‘Down Under’ setelah kali pertama dan terakhir menjejakkan kaki di negara ini kira-kira 25 tahun dahulu. Masih segar dalam ingatan saat-saat percutian bersama ayah, kakak dan adik lelaki saya selama tujuh hari di Brisbane pada tahun 1993.

Perjalanan kali ini ke Perth tambah bermakna kerana saya turut ditemani oleh isteri tercinta. Sudah pasti kesempatan ini saya manfaatkan sebaiknya untuk meneguhkan ikatan perhubungan kami sebagai pasangan yang mempunyai tanggungjawab besar dalam melayarkan bahtera rumahtangga kami ke fasa-fasa kehidupan seterusnya. Selain itu, kembara ini juga adalah satu cara untuk kami menyahut seruan Tuhan yang menggalakkan kita sebagai hamba-Nya untuk berjalan di serata ceruk dunia dan mengambil pengajaran daripadanya. Firman Allah di dalam Al-Quran (yang bermaksud):

“Dialah yang menjadikan bumi untuk kamu yang mudah dijelajahi, maka jelajahilah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian daripada rezeki-Nya. Dan hanya kepada-Nya kamu (kembali setelah) dibangkitkan.” (Al-Mulk 67 : 15)

Sebelum ke Perth, saya membuat segala persediaan yang diperlukan. Antaranya, saya mendapatkan maklumat asas mengenai suasana di sana seperti cuaca, waktu solat, demografi, restoran halal dan destinasi menarik yang bersesuaian dengan objektif kembara. Maklumat-maklumat sebegini amat penting bagi melancarkan lagi perjalanan kami dari awal hingga akhir. Malah sebelum ke sana, saya menghubungi sahabat-sahabat rakyat Malaysia yang bermastautin di Perth, memaklumkan kedatangan kami. 

Gambar 1: Petang Jumaat, 8 Disember 2017, bermula misi kembara di Perth 

Gambar 2: The Alderney on Hay, tempat penginapan kami di Hay Street di bahagian timur Perth

Perth merupakan ‘jantung’ kepada Australia Barat, negeri terbesar di Australia. Dengan kepadatan penduduk berjumlah kira-kira dua juta orang, Perth adalah sebuah bandar yang permai yang semakin mendapat tempat di hati para pelancong dari dalam dan luar negara tersebut. Bagi mereka yang gemarkan suasana “kampung” dan terhindar daripada hiruk-pikuk kesibukan kota, Perth adalah destinasi yang sesuai untuk dikunjungi. 

Salah satu visata tumpuan pelancong di Perth ialah Kings Park. Ia mula dibangunkan pada tahun 1872 dan merupakan taman dalam bandar terluas di Australia Barat. Di taman ini terdapat pelbagai spesis flora yang unik dan menyegarkan minda, di samping monumen-monumen bersejarah. Dari atas bukit di Kings Park inilah kami dapat menikmati keindahan pemandangan bandar Perth. Dari jauh kelihatan bangunan-bangunan pencakar langit, berhampiran dengannya mengalir Sungai Swan yang memisahkan bahagian utara dan selatan Perth. Sungai Swan merupakan punca utama bekalan air kepada penduduk di Perth. 

Di Caversham Wildlife Park pula, kami menyaksikan kehebatan ciptaan Tuhan berupa haiwan-haiwan asli Australia. Di sini kami berinteraksi dengan haiwan seperti kanggaru, beruang koala dan wombat, di samping mengenali haiwan-haiwan unik yang lain, antaranya wallaby, possum, quoll dan bettong. Kami juga dihidangkan dengan aktiviti demonstrasi yang begitu menghiburkan seperti “Sheep Shearing”, “Whip cracking”, “Billy Tea” dan “Dog Mustering” melalui pertunjukan “Farm Show”. Pada saat-saat begini terkenang pula anak-anak yang ditinggalkan jauh di Malaysia. Pastinya mereka akan berasa seronok jika dapat menyertai kami di Caversham Wildlife Park ini. 

Manakala di Mandurah yang terletak kira-kira 45 minit perjalanan dengan kenderaan dari bandar Perth, kami menaiki bot pelayaran untuk meninjau persekitaran yang indah di pesisiran pantai. Semasa pelayaran kami memerhatikan rumah-rumah besar dan mewah yang masing-masing mempunyai jeti sendiri. Sudah pasti amat tinggi nilai hartanah di kawasan ini. Nasib kami juga begitu baik kerana dapat melihat ikan lumba-lumba berenang berhampiran bot pelayaran kami. 

Terdapat beberapa lagi lokasi tumpuan pelancong yang lain yang menjadi tempat persinggahan kami sepanjang di Perth, antaranya ialah Whiteman Park, Swan Valley, Fremantle Fishing Boat Harbour, E-Shed Markets, Fremantle Markets, Watertown dan Elizabeth Quay. Saya tidak berhasrat untuk menceritakan secara terperinci mengenai tempat-tempat tersebut. Cukuplah untuk saya katakan bahawa di mana pun saya berpijak di bumi Perth ini, ada sesuatu yang saya pelajari untuk manfaat diri saya, dalam misi mendekatkan lagi diri ini kepada Tuhan yang Maha Pencipta. 

Gambar 3: Meninjau bandar Perth dari atas bukit di Kings Park 

Gambar 4: Bunga Lavendar berkembang mekar di Kings Park 

Gambar 5: Pemandangan indah dari atas bot pelayaran di Mandurah, bandar kedua terbesar selepas Perth di Australia Barat

Gambar 6: Rumah-rumah mewah di tepian pantai Mandurah

Gambar 7: “Bermesra” dengan kanggaru di Caversham Wildlife Park

Gambar 8: Wombat, haiwan Asli Australia yang menarik tumpuan pelancong di Caversham Wildlife Park

Gambar 9: E-Shed Markets di Fremantle, tempat pelancong membeli cenderamata dengan harga yang berpatutan

Gambar 10: Ronda-ronda di Watertown, sebuah bazar barangan berjenama di bandar Perth

Gambar 11: Bersama Saudara Meor (kiri) dan Saudara Nuaym (tengah) menikmati pemandangan waktu malam di Elizabeth Quay

Suatu hal yang masih tidak saya lupakan mengenai Perth ialah keadaan musim panas di sana. Kebiasaannya Perth mengalami musim panas pada bulan Disember hingga Februari setiap tahun. Dengan suhu sekitar 35 darjah celcius pada waktu siang, kami bersiar-siar di Perth dalam cuaca yang cukup panas dan kering. Ketika di Mandurah, hampir tiada awan yang menutupi langit biru. Ada juga rakyat Malaysia yang bersama kami mengatakan bahawa mereka seolah-olah berada di Mekah. Suhu pada waktu malam pula turun dengan agak mendadak, antara 15 hingga 20 darjah celcius. Ketika musim panas juga terutamanya pada Disember, matahari terbit seawal jam 5.00 pagi. Justeru ketika di Perth, pada jam 3.30 pagi kami telah bangkit daripada tidur untuk menunaikan solat Subuh.

Perkara lain yang turut menarik perhatian saya ialah mengenai perkhidmatan bas awam di Perth. Tidak sukar untuk kita bergerak di dalam bandar Perth kerana terdapatnya sistem perkhidmatan bas awam yang begitu efisyen dan selesa. Begitu banyak perhentian bas yang disediakan bagi setiap empat laluan di bandar Perth yang ditandakan dengan warna biru, merah, kuning dan hijau dan saling berhubung antara satu sama lain. Lebih menarik, perkhidmatan bas awam di bandar Perth ini tidak mengenakan apa-apa bayaran kepada para penumpangnya, dalam erti kata yang lain, percuma!

Selain itu, saya dapati ramai golongan warga emas di Perth masih kuat bekerja. Pemandu bas persiaran yang kami naiki sepanjang di Perth misalnya telah berusia 60 tahun dan memandu bas hampir setiap hari. Pada suatu pagi di bandar Perth juga saya melihat sebuah lori sampah yang dipandu oleh seorang pekerja yang agak berusia dan beliau jugalah yang memasukkan sampah daripada tong-tong sampah di tepi jalan ke dalam lori sampah tersebut seorang diri. Ada yang memberitahu saya, Perth adalah “bandar orang tua” kerana ramai orang muda telah berhijrah ke bandar-bandar besar yang lain di Australia. Sebab itu banyak sektor pekerjaan di Perth turut diisi oleh warga tua. Mungkin juga mereka masih bekerja kerana mengambil berat akan aspek kesihatan.

Gambar 12: Bas awam di bandar Perth yang boleh dinaiki secara percuma

Gambar 13: Suasana di dalam bas awam di bandar Perth

Gambar 14: Saudara Eddie, 60 tahun yang merupakan pemandu bas persiaran yang kami naiki

Islam adalah agama kedua terbesar di dunia (selepas Kristian). Namun Islam adalah agama yang paling pantas berkembang pada masa kini berbanding agama-agama lain. Ia adalah fakta yang tidak dipertikaikan, malah hal ini boleh diperhatikan bukan sahaja di negara-negara majoriti Muslim tetapi juga di negara di mana umat Islam adalah minoriti.

Pertumbuhan bilangan umat Islam berlaku dengan pesat di Australia. Menurut laporan International Centre for Muslim and non-Muslim Understanding (MnM) oleh Universiy of South Australia pada 2011, terdapat kira-kira 500,000 orang Islam di negara tersebut, yang mana peningkatan sebanyak 39.9 peratus penduduk Muslim dalam jangka masa lima tahun, iaitu dari 2006 hingga 2011. Walau bagaimanapun jumlah ini masih kecil jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan populasi di Australia, iaitu sekitar 2.2 peratus.

Bumi Perth tidak terkecuali daripada terkena tempias ini. Banyaknya bilangan masjid dan restoran halal di Perth kini secara tidak langsung menggambarkan perkembangan Islam di sana. Mungkin hal ini juga menjadi faktor utama begitu ramai pelancong Muslim berkunjung ke Perth, selain pertambahan bilangan Muslim yang bermastautin di sana dari tahun ke tahun.

Setiap kali kembara yang saya lalui, saya pasti tidak melepaskan peluang untuk menziarahi mana-mana masjid yang berada di tempat tersebut. Dengan bantuan rakan-rakan rakyat Malaysia yang tinggal di Perth, saya dapat melawat beberapa masjid seperti Perth Mosque, Al-Majid Mosque dan Masjid Al-Taqwa (Mirrabooka). Catatan sejarah menunjukkan Perth Mosque yang terletak di William Street di Nortbridge adalah masjid tertua di Perth, mula didirikan pada tahun 1905. Manakala Al-Majid Mosque di Hepburn Ave dibina hasil usaha rakyat Malaysia. Ada lagi beberapa masjid di Perth yang tidak sempat saya kunjungi, antaranya Queens Park Mosque, Rivervale Mosque dan Masjid Ibrahim.

Namun masih banyak kawasan di Perth yang tidak mempunyai masjid. Di apartmen kami di Hay Street sendiri tiada masjid yang berhampiran. Musolla yang terletak di Murray Street (kira-kira tiga kilometer dari tempat penginapan kami) pula hanya dibuka pada waktu Zohor dan Asar. Justeru disebabkan ketiadaan masjid, banyak solat saya terutamanya pada waktu Subuh, Maghrib dan Isyak hanya dapat dilaksanakan di apartmen penginapan saya sahaja.

Disebabkan tidak banyak masjid di Perth jugalah terdapat gereja Kristian yang membuka tempat mereka untuk umat Islam menunaikan solat Jumaat. Pengalaman ini dikongsi sendiri oleh kenalan saya, Saudara Wan Imran (Setiausaha Persatuan Anak Melayu Australia Barat – MAWA) yang bermastautin di sana. Beliau sering menunaikan solat Jumaat di Uniting Church in the City di William Street yang terletak berdekatan dengan pejabat beliau. Sebuah lagi gereja yang menjadi tempat umat Islam menunaikan solat Jumaat ialah Gereja Anglikan St Paul di Beaconsfield. Inilah gambaran keharmonian hubungan antara agama di Perth.

Jika dibandingkan dengan masjid-masjid utama di Malaysia, saiz masjid di Perth tidaklah besar. Sehinggakan terdapat solat Jumaat di beberapa masjid yang terpaksa dilakukan sebanyak dua sesi kerana tidak dapat menampung ahli jemaah yang ramai. Namun, masjid-masjid di sini tidak kurang aktif dengan pelbagai program bersama masyarakat. Perth Mosque sendiri telah menganjurkan “Mosque Open Day” pada 28 Oktober 2017 yang dibuka penyertaannya kepada orang ramai, termasuk masyarakat bukan beragama Islam. Ia adalah suatu usaha yang baik kerana program-program sebegini terbukti mampu menjernihkan salah tanggapan masyarakat bukan Islam tentang Islam, di samping peluang terbaik untuk menjelaskan asas-asas Islam kepada mereka.

Gambar 15: Bilik solat yang disediakan di lapangan terbang Perth untuk kemudahan pelancong Muslim

Gambar 16: Di dalam dewan solat Al-Majid Mosque

Gambar 17: Gereja Uniting Church in the City yang terletak di deretan kedai di William Street

Di Perth, tidak sukar untuk kami mencari makanan halal. Sepanjang kembara di sana, saya dapati ada sahaja restoran halal yang dibuka di kawasan-kawasan utama, termasuk di pusat-pusat membeli-belah yang menjadi tumpuan pelancong. Antara restoran halal yang menjadi medan santapan kami ialah Charcoal Chicken di Dianella, Cicerello’s Fish ‘N’ Chips di Fremantle dan Ispa Kebabs di Watertown. Sebenarnya masih banyak lagi restoran halal lain dengan pelbagai jenis hidangan di Perth. Bilangan restoran halal ini pula sentiasa bertambah dari semasa ke semasa, berkadaran dengan pertambahan bilangan umat Islam sama ada dalam kalangan pelancong mahupun mereka yang bermastautin di sana.

Namun pada waktu malam di Perth, kami menyediakan sendiri hidangan malam. Penyediaan hidangan menjadi lebih mudah kerana bilik apartmen kami dilengkapi dengan dapur dan peralatan memasak. Bekalan bahan mentah termasuk daging ayam halal juga mudah didapati kerana terdapat pasaraya yang berhampiran dengan apartmen kami yang turut menjual daging ayam halal tersebut.

Aspek pendidikan Islam turut diberikan perhatian di Perth. Tertubuhnya beberapa institusi pendidikan Islam swasta bertitik-tolak daripada kesedaran dalam kalangan Muslim di sana akan peri pentingnya generasi anak-anak Muslim di Perth dibekalkan dengan ilmu-ilmu agama bagi mendepani realiti dan cabaran kehidupan dalam masyarakat majmuk. Buat masa ini terdapat dua buah sekolah Islam swasta di Perth iaitu Al-Hidayah Islamic School dan Langford Islamic College. Tidak sedikit cabaran yang dihadapi oleh para penggerak di sekolah-sekolah tersebut dalam memastikan kelangsungan sistem pendidikan Islam yang telah mereka usahakan.

Alhamdulillah, sewaktu di Perth juga saya telah diberikan peluang untuk berkongsi pengalaman dakwah melalui slot di Radio Melayu Perth. Slot radio yang ke udara di frekuensi 95.3 pada setiap Sabtu jam 9.00 malam hingga 10.30 malam ini bukan sahaja didengari oleh orang Melayu warganegara Malaysia, Singapura dan Indonesia yang bermastautin di Australia Barat, malah diikuti juga oleh warga Melayu di Pulau Krismas dan Pulau Cocos. Radio Melayu Perth ini telah beroperasi sejak tahun 1990 dan kini dikendalikan oleh tiga orang penyampai radio sambilan yang bertugas secara bergilir-gilir. Dikhabarkan kini terdapat kira-kira 6,000 orang Melayu yang mendiami keseluruhan Perth.

Gambar 18: ‘Charcoal Chicken’, restoran halal di Dianella

Gambar 19: Makan tengahari di Cicerello’s Fish N Chips sewaktu bersiar-siar di Fremantle 

Gambar 20: Ispa Kebabs, antara restoran halal di pusat membeli-belah Watertown

Gambar 21: Di pasaraya ini kami membeli barangan mentah termasuk daging ayam halal

Gambar 22: Isteri penulis di hadapan bangunan Al-Hidayah Islamic School

Gambar 23: Bangunan “Malaysia Hall” yang terletak di bandar Perth


Gambar 24: Di dalam konti Radio Melayu Perth bersama DJ Wan Imran

Demikian perkongsian ringkas mengenai kembara kami di Perth. Segala pengalaman tersebut mudah-mudahan menjadikan kami sebagai insan yang sentiasa bersyukur kepada Tuhan. Kembara singkat di bandar “mesra pelancong Muslim” ini juga bukan semata-mata untuk berbulan madu, tetapi juga memberi dan menerima sesuatu sebagai sekelumit usaha dakwah kepada masyarakat seantero dunia. Sesungguhnya Islam adalah agama untuk semua manusia. Menjadi kewajipan kepada kita sebagai Muslim untuk menyebarkan risalah Islam dengan segala kemampuan kita, bila-bila masa dan walau di mana sahaja kita berada.

“Dan tidak kami utuskan kamu (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat kepada sekalian alam.” (Al-Anbiya’ 21 : 107)

Thursday, October 19, 2017

Tokyo: “The Sleeping Muslims”

Oleh Wan Am

Siapa yang tidak mengenali negara Jepun. Sebagai salah sebuah negara maju, Jepun adalah destinasi yang menjadi buah mulut manusia di seluruh dunia. Malah, banyak yang boleh dipelajari daripada pencapaian yang dialami oleh negara Jepun pada hari ini. Sehinggakan pada awal 1980-an, Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah memperkenalkan “Dasar Pandang ke Timur”, menjadikan Jepun (selain Korea Selatan) sebagai teladan dalam membangunkan potensi rakyat Malaysia serta meningkatkan prestasi pembangunan negara.

Justeru, kesempatan untuk saya berada di bumi Tokyo pada 28 September hingga 1 Oktober 2017, saya manfaatkan sebaiknya untuk memahami “Negara Matahari Terbit” dan rakyatnya dengan lebih dekat. Tanpa melupakan matlamat utama kunjungan saya ke sana iaitu untuk menjayakan program “Workshop: Delivering Islam to Japanese” yang dianjurkan oleh MADANI dan AMIR (Aspiring Malaysian Rijal), dua organisasi Islam yang digerakkan oleh warga Malaysia di Jepun. Dengan pesawat Airasia, saya berlepas dari Kuala Lumpur dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda di Tokyo selepas melalui tempoh enam jam penerbangan (terdapat satu lagi lapangan terbang antarabangsa di Narita yang agak jauh dari Tokyo).

Gambar 1: Khamis, 28 September 2017 penulis tiba di Tokyo, tuan rumah Sukan Olimpik tahun 2020

Tiada siapa boleh menafikan kemajuan negara Jepun. Dalam aspek sains dan teknologi misalnya, Jepun amat terkehadapan dalam bidang-bidang seperti automotif, robotik, elektronik, semikonduktor, optik dan sebagainya. Jenama-jenama dari Jepun seperti Toyota, Honda, Nissan, Sony, Panasonic, Canon dan Toshiba (sekadar menyebut beberapa nama) begitu popular dan diterima baik oleh masyarakat seantero dunia.

Selain itu, saya sendiri dapat melihat begitu efisyennya sistem pengangkutan awam di Jepun. Tren merupakan pengangkutan utama di Tokyo yang mempunyai rangkaian rel bawah tanah paling menyeluruh di dunia, manakala bas, monorel dan trem menjadi alat penghantar sekunder. Dengan adanya 16 syarikat swasta yang mengendalikan perkhidmatan tren yang saling berhubung antara satu sama lain, juga bilangan stesen yang begitu besar jumlahnya (khususnya di Tokyo), ia menjadi pilihan utama warga Jepun untuk ke mana-mana. Saya sendiri, dengan bantuan rakan warganegara Malaysia yang bermastautin di sana lebih senang menggunakan tren untuk pergi ke lokasi-lokasi yang dituju sepanjang berada di Tokyo.

Kemajuan pesat yang dicapai oleh negara Jepun telah membuatkan begitu ramai orang luar datang ke negara tersebut dengan pelbagai tujuan, tidak terkecuali dari Malaysia sendiri. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Japan National Tourism Organization (JNTO), seramai 394,200 rakyat Malaysia berada di Jepun sepanjang 2016. Statistik oleh Japan Student Services Organization (JASSO) pula menunjukkan bilangan pelajar Malaysia yang menuntut di pelbagai institusi pengajian tinggi di Jepun pada 2016 adalah seramai 2,734 orang.

Tokyo merupakan ibu negara Jepun, sekali gus bandaraya terbesar di negara tersebut. Tokyo juga merupakan pusat kerajaan Jepun dan Istana Diraja. Selain itu, Tokyo juga dianggap sebagai satu daripada tiga “pusat pemerintahan” ekonomi dunia, selain bandaraya New York dan London. Jumlah penduduk secara keseluruhan di Tokyo mencecah 12 juta orang. Selain warga tempatan, antara bangsa-bangsa asing yang utama di Tokyo ialah orang Cina, Korea Selatan, Korea Utara, Filipina, Amerika Syarikat, Britain, Brazil dan Perancis. 

Gambar 2: Penulis di tengah-tengah bandaraya Tokyo yang sentiasa sesak dengan kenderaan dan manusia pada waktu siang

Gambar 3: Takeshita Street, kawasan tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara

Gambar 4: Di hadapan Stesen Hiyoshi yang terletak berhampiran tempat penginapan penulis

Gambar 5: Suasana di dalam salah sebuah keretapi yang dinaiki oleh penulis

Gambar 6: Di dalam kampus Keio University Faculty of Science and Technology di Yokohama

Gambar 7: Suasana pagi di Meiji University di kampus Ikuta, Kanagawa

Statistik semasa menunjukkan kurang satu peratus daripada penduduk di Jepun adalah Muslim. Namun, dalam keadaan Islam adalah agama yang begitu minoriti di Jepun, Islam sebenarnya adalah agama yang sedang berkembang pesat di Jepun. Antara petanda kepada perkembangan ini ialah begitu banyak masjid yang telah didirikan di seluruh negara Jepun terutamanya dalam beberapa dekad terakhir ini. Melalui pertemuan saya dengan Saudara Kyoichiro Sugimoto (seorang pendakwah tempatan), beliau mengatakan bahawa kini bilangan masjid dan musolla di Jepun adalah melebihi 100 buah. Selain menjadi pusat ibadah dan pelbagai aktiviti umat Islam, masjid-masjid di Jepun juga menjadi tumpuan para pelancong bukan Islam.

Salah satu masjid yang popular di Jepun ialah Tokyo Camii. Masjid ini juga adalah antara masjid yang tertua di Jepun (selain Masjid Kobe), dibina oleh komuniti Muslim Tatar pada hujung 1930-an. Tokyo Camii kini ditadbir oleh kerajaan Turki. Tidak hairanlah jika seni bina masjid ini yang selesai dibangunkan semula pada tahun 2000 mirip dengan masjid-masjid di Turki.

Alhamdulillah, saya berpeluang menunaikan Solat Jumaat di Tokyo Camii. Khutbah disampaikan dalam bahasa Turki dan Inggeris, didahului oleh terjemahan isi khutbah dalam bahasa Jepun oleh seorang pegawai masjid rakyat tempatan. Selesai solat Jumaat, saya meninjau di bahagian bawah masjid. Di situ terdapat kemudahan seperti dewan serbaguna, perpustakaan, kelas, pejabat dan Pusat Kebudayaan Turki (Turkish Culture Center). Tokyo Camii juga hidup dengan pelbagai program keilmuan dan aktiviti yang sesuai disertai oleh Muslim daripada pelbagai peringkat umur.

Ketika di Tokyo Camii juga, saya dapati ramai pengunjung bukan Islam sama ada dari dalam atau luar Jepun yang melawat masjid ini. Saya cuba mendekati beberapa orang daripada mereka, terutamanya warga tempatan. Daripada interaksi dengan mereka, barulah saya memahami bahawa ramai rakyat Jepun tidak fasih berbahasa Inggeris. Saya terpaksa meminta rakan saya yang boleh berbahasa Jepun untuk menterjemahkan perbualan kami.

Gambar 8: Tokyo Camii yang terletak di Oyama-Cho, Shibuya-ku, Tokyo

Gambar 9: Pelawat dari dalam dan luar Jepun tidak putus-putus mengunjungi Tokyo Camii 

Gambar 10: Di dalam dewan solat Tokyo Camii 

Gambar 11: Dewan Serbaguna di bahagian bawah masjid

Gambar 12: Bersama Saudara Naguma, isteri dan anak beliau di perkarangan Tokyo Camii 

Gambar 13: Bersama Saudara Hiromichi dan Saudari Naoko yang mengunjungi Tokyo Camii 

Gambar 14: Bersama Saudara Kyoichiro Sugimoto (tengah), seorang pendakwah yang giat menyampaikan mesej Islam kepada rakyat tempatan

Sehingga kini orang-orang Turki adalah antara komuniti Muslim yang terbesar di Jepun. Menurut sejarah, Jepun pernah mempunyai hubungan dengan pemerintah Islam di Turki. Pada tahun 1890, Kerajaan Turki Uthmaniah di bawah pimpinan Sultan Abdul Hamid II telah menghantar sebuah kapal tentera laut bernama “Ertugrul” ke Jepun bertujuan menjalin hubungan diplomatik dengan negara tersebut yang ketika itu diperintah oleh Maharaja Meiji. Namun dalam perjalanan pulang ke Istanbul, satu tragedi berlaku apabila kapal tersebut telah tenggelam dipukul ribut di perairan Oshima dan mengorbankan 540 orang daripada 609 penumpang dan anak kapalnya.

Perkembangan Islam di Jepun juga boleh ditinjau dari aspek pendidikan Islam. Terdapat usaha mengadakan kelas-kelas kefahaman Islam di masjid-masjid besar di Jepun khususnya kepada golongan saudara baharu. Sesi penerangan Islam juga giat dijalankan setiap hari kepada mereka yang ingin mengenali agama Islam. Begitu juga kelas-kelas bahasa Arab dianjurkan kepada warga tempatan yang berminat untuk menguasai bahasa tersebut.

Yuai International Islamic School (YUAI) yang ditubuhkan secara rasminya pada tahun 2016 telah membuka lembaran baru dalam dunia pendidikan Islam di Jepun. Penubuhan YUAI adalah hasil kerjasama antara FGA Education Foundation dan Islamic Center of Japan. YUAI (dalam bahasa Jepun, yuai bermaksud “cinta dan persahabatan”) adalah sekolah Islam pertama di Jepun, dibuka kepada pelbagai lapisan umur kanak-kanak, bermula peringkat tadika hinggalah ke sekolah menengah.

YUAI menawarkan pendidikan bersepadu dan holistik yang menekankan penerapan nilai-nilai Islam, di samping kecemerlangan intelektual melalui perlaksanaan kurikulum Cambridge University. Bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah tersebut. Bagi tahun pertama operasinya, YUAI menggunakan sebuah bangunan tiga tingkat di Shibuya-Ku, Tokyo sebagai premis sekolah, dengan bilangan pelajar seramai 20 orang.

Keadaan yang ada di YUAI telah membuatkan saya terimbas kenangan sewaktu zaman kanak-kanak di Sekolah Rendah Islam Al-Amin Kuala Lumpur di Jalan Gurney pada lewat 1980-an. Tidak jauh berbeza suasana dan cabarannya. Saya percaya selepas 10 atau 20 tahun akan datang, YUAI pasti akan membesar dan mendapat sambutan yang lebih menggalakkan, selari dengan kesedaran Islam yang semakin diterima oleh warga tempatan.

Selain itu, perkembangan Islam di Jepun juga turut memberikan tempias kepada perkembangan industri makanan halal di sana. Pertambahan bilangan Muslim dari tahun ke tahun khususnya di Tokyo telah menyebabkan pertambahan premis dan restoran halal. Malah kini di Tokyo sahaja dianggarkan terdapat lebih 200 restoran yang berstatus halal. Saya sendiri dapat merasai juadah masakan Jepun di restoran halal di Tokyo iaitu di Restoran Honnoru Ramen di Ebisu. Sewaktu saya melawat Keio University Faculty of Science and Technology dan Meiji University Kampus Ikuta, kafetaria di universiti-universiti tersebut juga menyediakan menu makanan halal untuk santapan pelajar beragama Islam. 

Gambar 15: Penulis dibawa menziarahi Yuai International Islamic School (YUAI), sekolah Islam pertama di Jepun

Gambar 16: Bangunan YUAI yang terletak di Shibuya-ku, Tokyo

Gambar 17: Honnoru Ramen, salah sebuah restoran halal di Ebisu, Tokyo

Sewaktu di Tokyo, saya juga berpeluang melawat tempat ibadat agama Shinto yang terletak di Meiji Jingu Mae Eki. Di situ saya melihat berduyun-duyun warga Jepun datang untuk bersembahyang, memohon kepada “Tuhan” agar mengabulkan permintaan mereka. Di satu bahagian dalam kawasan tempat ibadat tersebut saya melihat begitu banyak kepingan kayu yang tergantung dan tertulis di atasnya pelbagai pengharapan dan permohonan. Ada yang mengharapkan kebahagiaan hidup, ada yang memohon kesihatan tubuh badan, ada yang inginkan kemurahan rezeki dan pelbagai lagi permintaan yang ditulis dalam pelbagai bahasa.

Agama Shinto adalah agama yang paling dominan di Jepun. Ia dianuti oleh warga Jepun sejak berkurun lamanya, mengikuti kepercayaan yang diwarisi daripada nenek moyang mereka. Agama ini mirip kepada kepercayaan animisme, kerana Shinto juga berteraskan pemujaan kepada roh-roh alam dan nenek moyang. Malah agama Shinto juga dikatakan telah bercampur dengan pengaruh agama Buddha, Taoisme dan Konfusian.

Menurut Saudara Sugimoto, tidak sukar untuk kita sebagai Muslim meyakinkan orang-orang Jepun mengenai konsep ketuhanan dalam Islam. Sememangnya orang Jepun percaya adanya satu kuasa yang besar (great power) yang mentadbir alam ini. Jika kita dapat menjelaskan dengan baik tentang kewujudan dan keesaan Allah, juga bukti kebenaran Al-Quran serta kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai utusan terakhir, mungkin lebih ramai orang Jepun akan tertarik dengan Islam dan akhirnya kembali kepada agama fitrah.

Memang benar kata orang, orang Jepun lebih “Islam” daripada orang Islam sendiri. Saya menerima hakikat ini selepas melihat dengan mata saya sendiri, begitu banyak budaya baik bangsa Jepun yang wajar kita contohi yang selaras dengan ajaran Islam. Sesuailah jika ada yang menggelarkan mereka sebagai “The Sleeping Muslims”.

Paling jelas adalah budaya orang Jepun yang amat mementingkan kebersihan. Setiap kawasan yang saya sempat jejaki di Tokyo, saya dapati begitu bersih keadaannya. Sampah diasingkan dan dibuang ke dalam tong-tong yang telah disediakan mengikut kategori. Setiap kali selepas makan di restoran atau kafetaria, kita sendiri perlu mengemas meja makan kita dan meletakkan pinggan dan gelas yang kita gunakan di tempat yang telah disediakan. Paling menyerlah, tandas-tandas di Tokyo begitu bersih, sama ada di universiti, di stesen keretapi, di masjid, di sekolah, di lapangan terbang, malah di lokasi awam yang menjadi tumpuan pelancong.

Orang Jepun juga terkenal dengan budaya menepati masa. Sikap menghargai masa ini amat ditekankan oleh mereka sejak usia kanak-kanak. Ketika saya berjalan pada suatu pagi di Keio University, saya melihat ada beberapa pelajar lelaki dan perempuan sedang berlari-lari anak menuju ke bangunan universiti. Saya diberitahu oleh rakan saya, pelajar-pelajar tersebut sebenarnya takut terlewat hadir ke kelas masing-masing, sebab itu mereka berlari bagi memastikan mereka sampai tepat pada masanya. Budaya menepati masa ini juga boleh dinilai melalui sistem pengangkutan awam di Jepun seperti tren yang tiba tepat pada masanya. Dikatakan purata kelewatan tren di Jepun hanyalah tujuh saat setahun!

Orang Jepun juga begitu jujur, sopan dan menghormati orang lain. Ketika saya menemani rakan saya yang mempunyai sedikit urusan di Keio University, saya melihat kakitangan yang melayan rakan saya itu melemparkan senyuman dan berkali-kali menundukkan diri sambil mengucapkan “Arigato gozaimasu” (terima kasih). Begitu juga ketika memasuki restoran, pekerja restoran sangat mengalu-alukan kehadiran kita sambil berkata “Irasshaimase” (selamat datang). Dari segi kejujuran, ada satu peristiwa ketika saya berada di Tokyo Camii, saya melihat ada dua buah beg pakaian yang ditinggalkan di tepi jalan utama di luar masjid yang menjadi laluan orang ramai. Rakan saya berkata kepada saya, “Beg itu selamat di situ, tiada orang Jepun yang akan mengambilnya.” Lantas saya berfikir, “Kalau di Malaysia mungkin beg itu sudah lesap selepas beberapa minit..”  

Gambar 18: Di pintu masuk utama rumah ibadat agama Shinto di Meiji Jingu Mae Eki di Tokyo

Gambar 19: Kepingan-kepingan kayu yang tertulis di atasnya seribu satu permohonan

Gambar 20: Persekitaran Meiji University yang begitu bersih 

Gambar 21: Tong sampah di Jepun dibahagikan mengikut kategori sampah

Alhamdulillah, banyak yang saya pelajari sepanjang kembara singkat saya di Tokyo. Dalam sesi pembentangan saya sewaktu program bersama rakan-rakan rakyat Malaysia pada hari terakhir saya di sana, saya kongsikan beberapa peluang yang boleh dimanfaatkan dalam usaha dakwah kepada penduduk Jepun. Antaranya, bilangan imigran Muslim (termasuk dari Malaysia) yang sangat besar di Jepun seharusnya membantu merancakkan kegiatan dakwah di Jepun. Imigran Muslim sebenarnya menjadi penyumbang besar kepada populasi umat Islam di Jepun. Daripada jumlah 101,375 Muslim di Jepun pada 2013, hampir 90% adalah bukan warganegara Jepun.

Kehadiran pelancong yang bukan beragama Islam ke masjid-masjid di Jepun juga seharusnya dijadikan peluang untuk menyampaikan mesej Islam kepada mereka. Masjid adalah tempat yang paling sesuai untuk kita menceritakan tentang Islam dan ajarannya kepada mana-mana individu bukan Islam yang berminat untuk memahaminya. Tiada apa yang perlu disembunyikan jika mereka sudah berada di dalam masjid. Malah mungkin ada nanti dalam kalangan mereka yang mendapat hidayah dan memeluk Islam hasil penerangan yang baik daripada kita tentang Islam.

Selain itu, daripada pengalaman saya berinterasi dengan beberapa warga tempatan sewaktu mereka mengunjungi Tokyo Camii, saya memahami satu perkara penting. Jika ingin berdakwah kepada orang Jepun, kuasailah bahasa mereka. Nampak seperti mereka akan lebih mudah untuk berbual dengan kita jika kita bercakap dalam bahasa mereka. Pesan saya kepada para peserta program tersebut, manfaatkanlah kemahiran berbahasa Jepun yang dimiliki untuk menyebarkan mesej Islam.

Terakhir, pesan saya kepada mereka, tonjolkanlah akhlak yang baik kepada rakan-rakan mereka. Ia juga adalah salah satu cara mudah untuk kita berdakwah. Disebabkan orang-orang Jepun sudah mempunyai nilai-nilai Islam dalam diri mereka, mungkin mereka kelak akan mudah menerima mesej Islam dan akhirnya dengan hidayah Allah, menjadi sebahagian keluarga besar Muslim hasil daripada pergaulan baik kita dengan mereka. 

Gambar 22: Penulis bersama Pengerusi Hidayah Centre Foundation, Tuan Haji Nicholas Sylvester (barisan hadapan, tengah) dan para peserta program “Workshop: Delivering Islam to Japanese” anjuran MADANI dan AMIR di Tokyo

Monday, October 16, 2017

Port Moresby: Cabaran Mereka yang Berhijrah

Oleh Wan Am

Seumur hidup ini, tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk sampai di sebuah negara yang bernama Papua New Guinea. Malah, saya tidak pernah tahu di mana kedudukan negara ini secara tepat di dalam peta dunia, apatah lagi sejarah penubuhan dan perkembangan negara tersebut serta latar belakang penduduknya. Sebab itu apabila diberitahu oleh pihak majikan yang saya telah dipilih untuk bertemu komuniti Muslim di sana, saya seakan-akan tidak percaya.

Saya lantas mencari maklumat di internet berkenaan Papua New Guinea. Ia adalah sebuah negara kepulauan di zon Oceania yang dihuni lebih tujuh juta penduduk, berjiran dengan Papua, sebuah wilayah di bawah negara Indonesia. Ia terletak di utara negara Australia dan merupakan sebahagian daripada negara-negara Komanwel. Port Moresby adalah ibu kota negara ini.

Selain Australia, negara-negara lain yang terletak di sekitar Papua New Guinea ialah Solomon Islands, Nauru, Tuvalu, Kiribati, Fiji, Samoa, Vanuatu, Tonga dan beberapa lagi negara kepulauan yang lain. Saya diberitahu oleh seorang rakan di Papua New Guinea, negara-negara tersebut juga mempunyai penduduk yang beragama Islam. Terlintas sejenak di fikiran, begitu besar pahala orang-orang yang merintis usaha penyebaran dakwah di negara-negara tersebut. Sudah pasti cabaran yang dilalui oleh mereka juga sangat besar, berdepan dengan penduduk pribumi yang mewarisi kepercayaan nenek moyang zaman-berzaman, menjadikan objek alam sebagai Tuhan.  

Gambar 1: Kedudukan Papua New Guinea dan negara-negara sekitarnya dalam peta dunia

Setelah melalui perjalanan selama hampir 15 jam dari Kuala Lumpur (termasuk transit di Manila selama beberapa jam), akhirnya saya bersama Pengurus Besar Hidayah Centre Foundation (HCF), Tuan Haji Abdul Rahman Kassim tiba di Lapangan Terbang Jackson di bandar Port Moresby sekitar jam 8.15 pagi Jumaat, 15 September 2017. Kami disambut oleh Saudara Ahmed John Kale, seorang pendakwah yang telah kami kenali sebelum ini sewaktu beliau menghadiri program di Kuala Lumpur. Saudara Ahmed juga yang menjadi orang perantaraan dalam urusan lawatan kami ini, malah beliau sentiasa mengiringi kami sepanjang tiga hari dua malam kami berada di Port Moresby. Beliau adalah seorang anak muda yang komited dan sangat bersemangat untuk melaksanakan tanggungjawab dakwah. Jika diberikan bimbingan yang baik, saya percaya suatu hari nanti beliau akan memainkan peranan yang besar dalam penyebaran mesej Islam di bumi Papua New Guinea, insya-Allah.

Dari lapangan terbang, kami terus dibawa ke bangunan pusat kegiatan Islamic Society of Papua New Guinea (ISPNG) di Hohola, sebuah daerah kecil di Port Moresby. Kami disambut mesra oleh beberapa orang pimpinan ISPNG termasuk Presidennya, Saudara Fred Hussein Barre yang merupakan seorang pegawai polis yang berjawatan penting di Port Moresby. Setelah berbual ringkas sambil bersarapan pagi, kami kemudian bergegas membuat persiapan diri bagi menghadiri perjumpaan bersama pegawai Kedutaan Malaysia di Papua New Guinea yang telah disusun awal oleh pihak ISPNG. Malah sebelum kedatangan kami ke Port Morseby, saya telah dihubungi oleh Saudara Mohd Rezza Mohd Yusof (Setiausaha Ketiga Kedutaan Malaysia) yang mengalu-alukan kehadiran kami ke negara tersebut.  

Gambar 2: Presiden ISPNG, Saudara Fred Husein Barre (kiri) menyambut ketibaan kami di bangunan pusat kegiatan ISPNG

Sebelum bertolak ke bangunan Kedutaan Malaysia, saya mengambil kesempatan menunaikan Solat Sunat Dhuha di masjid yang terletak bersebelahan dengan bangunan pusat kegiatan ISPNG. Itulah Masjid ISPNG, atau boleh juga dipanggil Masjid Hohola, satu-satunya masjid yang terdapat di Port Moresby. Masjid yang boleh memuatkan kira-kira 1,500 jemaah pada satu-satu masa ini selain menjadi pusat ibadat dan penyebaran Islam, ia juga adalah tempat perkumpulan Muslim dari dalam dan luar Port Moresby dalam sambutan perayaan-perayaan utama umat Islam seperti Hari Raya Aidilftri dan Aidiladha.

Saya difahamkan oleh rakan Muslim di sini bahawa pembinaan Masjid ISPNG adalah hasil usaha mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Sebelum adanya masjid ini, umat Islam di Port Moresby menunaikan solat berjemaah di sebuah bangunan kayu dua tingkat yang terletak bersebelahan dengan tapak Masjid ISPNG. Apabila Tun Dr. Mahathir melawat Port Moresby sewaktu beliau masih lagi bergelar Perdana Menteri Malaysia dan melihat tiada masjid di sini, beliau meminta kebenaran daripada pihak pemerintah Papua New Guinea untuk membantu membangunkan sebuah masjid di Port Moresby. Hasil sumbangan para dermawan dari Malaysia (juga dari Indonesia), akhirnya terbinalah Masjid ISPNG pada tahun 2001. 

Gambar 3: Di hadapan Masjid ISPNG yang tersergam indah di Port Moresby

Gambar 4: Bangunan kayu dua tingkat yang digunakan oleh Muslim di Port Moresby untuk menunaikan solat fardhu berjemaah sebelum adanya Masjid ISPNG

Sekitar jam 10.45 pagi waktu tempatan, kami tiba di bangunan Kedutaan Malaysia di Savannah Heights. Selain Saudara Rezza, kami turut disambut oleh Tuan Muhd Irfan Zulkurnain yang merupakan Counsellor di Kedutaan Malaysia. Kami dimaklumkan, buat masa ini jawatan Duta Malaysia ke Papua New Guinea masih kosong kerana Duta Malaysia sebelumnya telah dipindahkan ke Jordan.

Tuan Muhd Irfan telah memberikan taklimat ringkas berkenaan Papua New Guinea kepada kami. Menurut beliau, Islam adalah seumpama “bayi” di negara ini. Ia adalah agama yang baru muncul kira-kira empat dekad yang lepas yang kini dianuti kurang daripada lima peratus daripada keseluruhan penduduk Papua New Guinea. Walaupun bergelar Muslim, kebanyakan daripada mereka tidak mengamalkan sepenuhnya ajaran Islam lantaran kurangnya pendidikan mengenai ajaran Islam dalam kalangan mereka. Selain kekurangan guru untuk mengajar asas-asas Islam, kemudahan-kemudahan seperti kelas untuk saudara baharu, bilik mesyuarat dan bangunan pusat kegiatan ISPNG juga berada dalam keadaan yang agak daif.

Oleh hal yang demikian, pihak Kedutaan Malaysia sedang bekerjasama dengan ISPNG untuk mencari dana sebanyak 2.5 juta Kina (kira-kira RM3.6 juta) bagi membina Pusat Dakwah Islam (Islam Dakwah Centre – IDC) yang boleh dimanfaatkan oleh ISPNG untuk aktiviti dakwah dan pendidikan mereka. Tambah Tuan Irfan lagi, beliau amat mengalu-alukan penglibatan HCF dan NGO-NGO lain serta rakyat Malaysia umumnya untuk turut menyumbang dari segi kewangan dalam menjayakan projek pembinaan IDC ini. 

Gambar 5: Bersama pegawai Kedutaan Malaysia di Papua New Guinea, Tuan Irfan (tengah, berkemeja putih) dan Saudara Rezza (kanan sekali)

Lebih kurang jam 12.00 tengahari, kami kembali ke Masjid ISPNG untuk menunaikan Solat Jumaat. Khutbah disampaikan oleh Imam Masjid ISPNG, Mikail Abdul Aziz yang berasal dari Nigeria. Imam Mikail yang juga merupakan Penasihat ISPNG adalah seorang pendakwah yang telah berada di Papua New Guinea sejak tahun 1989. Banyak sumbangan beliau terhadap pembangunan umat Islam dan dakwah selama hampir 30 tahun beliau berada di negara ini. Dalam khutbah beliau, selain menekankan tentang tanggungjawab Muslim untuk menyampaikan Islam kepada masyarakat bukan Islam, Imam Mikail turut memaklumkan kehadiran kami berdua dari Malaysia ke Port Moresby. Selesai menunaikan solat Jumaat, Tuan Haji Abdul Rahman telah diberi peluang untuk memperkenalkan HCF kepada ahli-ahli jemaah yang hadir.

Aktiviti kami seterusnya pada sebelah petang adalah perjumpaan dengan kumpulan wanita Islam yang bergiat cergas dalam usaha dakwah melalui ISPNG. Kebanyakan daripada mereka adalah saudara baharu dan tidak bekerja. Namun dalam kalangan mereka ada yang membuat jualan sayur-sayuran secara kecil-kecilan di sekitar Masjid ISPNG pada setiap hari Jumaat. Keuntungan yang mereka peroleh bukan sekadar untuk menampung perbelanjaan harian mereka, malah turut disalurkan ke tabung ISPNG untuk kegunaan aktiviti persatuan. Begitu hebat sumbangan wanita Islam di Papua New Guinea dalam usaha dakwah, walau kehidupan mereka sendiri ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang!

Melalui perbincangan dengan mereka, saya memahami bahawa mereka begitu bersungguh-sungguh untuk berdakwah kepada masyarakat bukan Islam di negara mereka. Mereka berharap pihak HCF dapat menganjurkan kursus yang boleh mereka ikuti agar ilmu dan kemahiran dakwah mereka dapat dipertingkatkan. Ada juga yang mencadangkan pihak HCF dapat menyediakan peralatan seperti mesin jahit yang dapat digunakan oleh golongan wanita Islam di sini bagi menjana pendapatan harian.

Aktiviti kami pada hari pertama di Port Moresby diakhiri dengan pertemuan bersama para pimpinan dan aktivis dakwah ISPNG pada sebelah malam. Mereka yang hadir bukan sahaja warga tempatan, malah juga berasal dari negara luar seperti Bangladesh dan Indonesia. Melalui perbincangan dengan mereka, saya lebih memahami suasana dakwah dan perkembangan umat Islam di Papua New Guinea. Di Port Moresby misalnya, penduduk tempatan yang beragama Islam ramai yang tinggal di Bushwara, sebuah kawasan yang terletak di pinggir bandar Port Moresby. Bushwara juga boleh dianggap sebagai pusat aktiviti umat Islam yang utama di Port Moresby, selain Masjid ISPNG.

Antara perkara lain yang penting juga untuk difahami ialah jika ingin melihat perkembangan umat Islam di Papua New Guinea, jangan menilai kepada realiti yang ada di Port Moresby. Sebenarnya bilangan umat Islam lebih ramai di wilayah-wilayah lain, antaranya di kawasan tanah tinggi di negara ini seperti di Chimbu (Simbu), Lae dan Mount Hagen. Jumlah Muslim juga semakin bertambah dari hari ke hari di kawasan-kawasan tersebut hasil usaha rakan-rakan pendakwah daripada Jemaah Tabligh, alhamdulillah.

Mereka juga berkongsi cabaran-cabaran yang dihadapi dalam menggerakkan dakwah di Papua New Guinea. Antaranya ialah tiadanya sistem pendidikan Islam yang sempurna, terutamanya untuk mendidik generasi muda. Mereka memerlukan bangunan yang sesuai untuk dijadikan sekolah Islam, juga tenaga guru yang terlatih. Buat masa ini kelas yang berjalan untuk anak-anak hanyalah kelas Iqra yang diadakan pada setiap hari Ahad. Dari segi pendidikan juga, mereka berharap lebih ramai ulama dan pendakwah dari luar negara datang membimbing umat Islam di sini, khususnya kepada golongan saudara baharu yang berada di wilayah-wilayah yang disebutkan tadi selain Port Moresby. Ulama dan pendakwah yang datang haruslah fasih berbahasa Inggeris kerana itulah bahasa perantaraan utama penduduk di negara ini.

Banyak lagi hambatan lain yang mereka kongsikan kepada kami. Bagi mengatasinya, mereka berharap pihak HCF dapat menghantar seseorang yang mampu membantu mereka membuat perancangan yang berkesan berkaitan pembangunan dan pendidikan umat Islam di Papua New Guinea. Dengan pengalaman HCF menggerakkan usaha dakwah dan sokongan saudara baharu di Malaysia selama bertahun-tahun, mereka yakin HCF mampu membimbing mereka secara tidak langsung dalam usaha yang sama di Papua New Guinea. Janji kami, kehadiran kami tidak terhenti setakat ini sahaja. Dengan izin Allah, kami akan hadir lagi membantu apa-apa yang diperlukan dari semasa ke semasa. 

Gambar 6: Pasar kecil yang dibuka di kawasan Masjid ISPNG pada setiap Jumaat

Gambar 7: Pertemuan bersama kumpulan wanita Muslim yang aktif bersama ISPNG

Gambar 8: Bersama barisan pimpinan dan pendakwah ISPNG

16 September 2017, hari kedua kami di Port Moresby. Seperti Malaysia, 16 September juga adalah tarikh keramat di Papua New Guinea kerana pada tarikh inilah negara ini mencapai kemerdekaannya dari Australia pada tahun 1975. Tidak hairanlah sehari sebelumnya saya melihat ramai warga di sini, khususnya golongan kanak-kanak yang mengibarkan bendera negara mereka di tepi jalan raya, malah ada yang menjual bendera pelbagai saiz kepada pemandu-pemandu kenderaan yang berhenti di persimpangan lampu isyarat. Pada hari ini saya memilih untuk memakai t-shirt yang bercorakkan bendera negara Papua New Guinea yang telah dihadiahkan oleh Ahmed kepada saya, sebagai tanda menghormati sambutan hari kemerdekaan yang diraikan oleh para penduduk negara tersebut.

Destinasi utama kami pada hari ini ialah Bushwara. Perjalanan ke sana dari bandar Port Moresby mengambil masa kira-kira 30 minit. Dianggarkan sebanyak 120 keluarga di sini yang beragama Islam daripada jumlah lima ribu penduduk. Bushwara adalah sebuah perkampungan yang indah dan damai, dikelilingi bukit-bukau dan kawasan pertanian.

Lebih kurang 15 orang penduduk Muslim Bushwara hadir dalam pertemuan yang diatur bersama kami. Kami menyelami masalah dan perasaan yang mereka hadapi sebagai golongan saudara baharu. Tiada banyak beza dengan apa yang kami dapati semasa perjumpaan dengan pimpinan ISPNG pada hari sebelumnya.

Seperti yang diperkatakan oleh salah seorang daripada mereka, Muslim di sini hanyalah pada nama mereka sahaja. Realitinya ramai dalam kalangan mereka tidak mengamalkan ajaran Islam dengan sempurna. Mereka memerlukan alim ulama yang mencukupi untuk membimbing mereka secara konsisten dan bersistematik. Bukan sahaja di Port Morseby, malah juga di wilayah-wilayah yang lain yang ada di sana orang-orang Islam, terutamanya di Chinbu yang merupakan wilayah paling ramai umat Islam. Rupa-rupanya ramai yang hadir bertemu dengan kami ini berasal dari Chinbu.

Menurut mereka lagi, Islam kini sedang tersebar dengan meluas di Papua New Guinea. Sebab utama yang menarik mereka kepada Islam ialah konsep ketuhanan dalam Islam itu sendiri yang sangat mudah untuk difahami dan dipercayai. Allah adalah satu-satunya Tuhan yang wajib disembah, dan Dia adalah Pencipta segala yang ada di dalam alam semesta ini. Jika seseorang Muslim dapat menyampaikan konsep ini dengan baik kepada warga tempatan yang masih belum beragama Islam, insya-Allah mereka dengan mudah akan menerimanya, seterusnya melafazkan syahadah, kembali kepada agama fitrah.

Alhamdulillah, di Bushwara juga saya dapat berkenalan dengan Saudara George dan Saudara Joe, kedua-duanya beragama Kristian. Dalam perbualan kami, George ada memberitahu saya yang dia ingin tahu beberapa perkara mengenai Islam. Namun kami tidak dapat berbual lebih lama kerana rombongan kami perlu bergegas ke tempat lain. Agak terkilan rasa di hati ini. Sebelum berpisah, saya sempat menghadiahkan risalah mengenai Islam kepada mereka. Mudah-mudahan itu menjadi bukti saya kepada Tuhan di akhirat kelak, bahawa saya telah menunaikan tanggungjawab menyampaikan Islam kepada mereka.

Pada sebelah malamnya kami dijamu makan malam oleh pimpinan ISPNG di The Laguna Hotel. Ini adalah aktiviti terakhir kami di Port Moresby sebelum berangkat pulang ke Malaysia pada awal pagi keesokan harinya. Dalam pertemuan ini kami berkenalan dengan beberapa orang lagi pimpinan utama ISPNG. Antara mereka ialah Saudara Ya’akob, seorang pimpinan veteran yang merupakan antara tujuh orang terawal yang memeluk agama Islam di Papua New Guinea.

Gambar 9: Penulis di hadapan bangunan pusat kegiatan ISPNG

Gambar 10: Pemandangan di perkampungan Bushwara yang sedang mengalami musim kering

Gambar 11: Pertemuan bersama komuniti Muslim di Bushwara

Gambar 12: Bergambar kenang-kenangan bersama komuniti Muslim di Bushwara, berlatarbelakangkan sebuah surau kecil

Gambar 13: Masalah bekalan air yang kerap berlaku di Bushwara menyebabkan penduduk sentiasa berjimat-cermat dalam penggunaan air, termasuk ketika mengambil wudhuk

Gambar 14: Keadaan di dalam Masjid Bushwara yang serba daif

Gambar 15: Bersama George (kiri) dan Joe, dua orang warga Bushwara yang beragama Kristian

Gambar 16: Bersama Saudara Abdul Ghaffar (Imam Masjid Bushwara) di hadapan Vision City, kompleks membeli-belah terbesar di Port Moresby

Gambar 17: Makan malam bersama pimpinan ISPNG di The Laguna Hotel

Awal pagi Ahad, 17 September 2017, tibalah waktu untuk kami berangkat meninggalkan Port Moresby. Imam Mikail, Ahmed dan beberapa orang lagi menghantar kami ke lapangan terbang. Pelukan erat sesama kami mengakhiri pertemuan kami bersama mereka. Terasa ukhuwah Islamiah yang sangat utuh walau kami bakal dipisahkan beribu batu dan perkenalan cuma sebentar.

Sepanjang berada di awan biru saya asyik mengenangkan layanan baik mereka sepanjang kami berada di Port Moresby. Mereka sangat menghargai kehadiran kami. Semoga sedikit pengorbanan kami sepanjang kembara empat hari ini akan terus memancarkan sinar hidayah yang lebih bergemerlapan di bumi Papua New Guinea selepas ini, insya-Allah.