Oleh Wan
Am
Sebagai seorang Muslim, kita harus bersyukur kepada
Allah yang telah memberikan begitu banyak nikmat kepada kita dalam kehidupan
seharian. Bermula daripada kita bangkit dari tidur pada awal pagi hinggalah
kita tidur semula pada sebelah malamnya, juga sejak kita lahir ke dunia ini
hinggalah saat kita menghembuskan nafas terakhir kelak, tidak putus-putus
nikmat Allah yang mengalir buat kita. Samada nikmat itu berupa harta yang
banyak, tubuh badan yang sihat, kelapangan masa, pancaindera yang sempurna,
keluarga yang bahagia, ilmu yang bermanfaat, kemahiran diri dan sebagainya, sungguh
kita tidak akan mampu menghitung nikmat-nikmat Allah tersebut.
Firman Allah di dalam Al-Quran (yang bermaksud):
“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah,
nescaya kamu tidak akan dapat menentukan jumlahnya. Sesungguhnya Allah
benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (An-Nahl 16 : 18)
Berhubung ayat di atas, Ibnu Katsir di dalam kitab
tafsirnya mengatakan, “Sekiranya kalian dituntut untuk mensyukuri semua
nikmat-Nya, tentulah kalian tidak akan mampu melakukannya. Dan seandainya
kalian diperintahkan untuk itu, pastilah kalian lemah dan meninggalkannya
(tidak dapat bersyukur secara semestinya). Seandainya dia mengazab kalian,
tentulah Dia berhak mengazab kalian tanpa berbuat aniaya terhadap kalian. Akan
tetapi, Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang, Dia selalu mengampuni dosa-dosa
yang banyak dan membalas pahala kebaikan sekecil apa pun.”
Di antara nikmat kehidupan yang amat perlu kita
syukuri ialah nikmat iman dan Islam. Malah inilah nikmat terbesar yang dikecap
oleh umat Islam di dunia ini. Kita sebenarnya beruntung kerana tidak semua
manusia mendapat nikmat ini.
Kita berada dalam naungan Islam yang merupakan
agama yang benar, diturunkan oleh Allah kepada umat manusia melalui para
rasul-Nya, sejak Nabi Adam a.s. hinggalah Nabi Muhammad s.a.w. yang merupakan
rasul terakhir. Malah Islam adalah satu-satunya agama yang diterima oleh Allah,
sebagaimana firman-Nya (yang bermaksud):
“Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam.”
(Ali Imran 3 : 19)
Firman Allah
dalam ayat yang lain (yang bermaksud):
“Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk
kamu agama kamu, dan telah Aku cukupkan kepada kamu nikmat-Ku dan telah Aku
redhai Islam itu menjadi agama bagi kamu.” (Al-Ma’idah 5 : 3)
Berdasarkan ayat ketiga daripada surah Al-Ma’idah
ini, Ibnu Katsir di dalam tafsirnya menyebut, “Ini merupakan nikmat Allah yang
paling besar kepada umat ini, kerana Allah telah menyempurnakan bagi mereka
agama mereka; mereka tidak lagi memerlukan agama yang lain, tidak pula
memerlukan nabi lain selain nabi mereka..”
Justeru bagi kita yang telah dilimpahkan begitu
banyak nikmat oleh Allah, bagaimana wajar kita membuktikan kesyukuran kita
kepada-Nya? Jika kita mempunyai harta dan wang ringgit yang banyak, atau kita
mempunyai kelebihan ilmu yang tidak dimiliki oleh orang lain, apakah patut kita
simpan untuk diri kita sahaja?
Sudah semestinya salah satu tanda kesyukuran kita
kepada Allah adalah kita kongsikan nikmat-nikmat tersebut dengan insan lain
yang memerlukan. Lebihan harta yang kita miliki, kita infakkannya kepada mereka
yang dalam kesengsaraan. Ilmu yang kita kuasai, kita sampaikan kepada orang
lain yang tidak tahu. Kelapangan masa yang ada, kita gunakannya dengan aktiviti
yang bermanfaat.
Begitu jugalah dengan nikmat Islam yang ada pada
kita. Kita wajar kongsikannya kepada mereka yang masih belum menerima nikmat
ini. Kita sampaikan mesej Islam kepada rakan-rakan kita yang belum Islam, atau
dalam perkataan lain, berdakwah.
Apa itu dakwah? Dakwah berasal daripada perkataan
bahasa Arab “da’a” yang bermaksud seruan, panggilan atau ajakan. Menurut Dr.
Yusuf al-Qaradawi, dakwah adalah mengajak kepada Islam, mengikuti petunjuk-Nya,
mengukuhkan manhaj-Nya di muka bumi, beribadah kepada-Nya, melepaskan diri
daripada semua ketaatan kepada selain-Nya, membenarkan apa yang dibenarkan
oleh-Nya, menyalahkan apa yang disalahkan-Nya, menyeru kepada yang makruf,
mencegah yang mungkar, dan berjihad di jalan Allah.
Pendek kata, dakwah adalah panggilan ke jalan
Allah, selaras dengan firman Allah (yang bermaksud):
“Katakanlah (Muhammad): ‘Inilah jalan
(agama)ku, aku dan orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan
hujah yang nyata dan Maha Suci Allah dan aku tiada termasuk orang yang
musyrik.’” (Yusuf 12 : 108)
Di dalam Al-Quran, begitu banyak ayat yang menuntut
kita untuk berdakwah. Antaranya, Allah menjanjikan kejayaan dan balasan baik
bagi hamba-Nya yang melaksanakan dakwah, yakni mengajak manusia menyembah
Allah, Tuhan yang Maha Esa. Antaranya adalah sebagaimana firman Allah yang
berikut (yang bermaksud):
“Dan siapakah yang lebih baik perkataannya
daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dan berkata:
‘Sesungguhnya aku termasuk golongan Muslim (yang berserah diri)?’”
(Fussilat 41 : 33)
Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa ajakan kepada
manusia untuk mengabdikan diri hanya kepada Allah adalah sebaik-baik perkataan
yang diungkapkan oleh seseorang Muslim. Dalam era moden ini ajakan tersebut
boleh jadi disampaikan secara lisan, malah boleh juga melalui penulisan, samada
di media cetak mahu pun di media sosial. Apabila ia dikatakan sebagai sebaik-baik
perkataan, sudah pastilah begitu besar pahala yang akan diberikan oleh Allah
kepada umat Islam yang melaksanakan seruan dakwah ini.
Allah turut menjanjikan kejayaan kepada Muslim yang
berdakwah. Allah menyatakannya seperti berikut (yang bermaksud):
“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan
umat yang menyeru kepada kebajikan dan menyuruh kepada yang makruf dan mencegah
dari yang mungkar. Mereka itulah orang yang beruntung.” (Ali Imran 3 : 104)
Daripada ayat-ayat dia atas jelas menunjukkan
kepada kita bahawa bagi seseorang Muslim yang berdakwah, dia akan mendapat
ganjaran yang baik daripada Allah. Bagaimana pula halnya bagi mereka yang tidak
melaksanakan dakwah? Adakah tiada apa-apa balasan yang sesuai buat mereka? Atau
dalam erti kata yang lain, terlepas dari balasan buruk yang mungkin ditimpakan
kepada mereka kerana tidak berdakwah?
Ramai dalam kalangan Muslim beranggapan, dakwah itu
hukumnya fardu kifayah. Jika ada sekumpulan Muslim yang telah melaksanakan
dakwah, maka umat Islam yang lain telah terlepas daripada tanggungjawab
tersebut. Mungkin sebab itu mereka masih malu-alah untuk berkongsi mesej Islam
kepada rakan-rakan non-Muslim mereka.
Sedangkan di dalam Al-Quran jelas menunjukkan
bahawa Allah mengancam hamba-hamba-Nya yang tidak berdakwah. Mereka termasuk
dalam golongan yang zalim, sebagaimana firman Allah (yang bermaksud):
“‘…dan siapakah yang lebih zalim daripada
orang yang menyembunyikan syahadah dari Allah yang ada padanya?’ Dan Allah
sekali-kali tidak lalai dari apa yang kamu kerjakan.” (Al-Baqarah 2 : 140)
Tidak sukar untuk kita fahami mengapa Allah
mengatakan mereka yang tidak berdakwah itu adalah orang yang zalim. Bayangkan
kita sedang melalui sebatang sungai, kemudian kita ternampak ada orang sedang
hampir lemas, terkapai-kapai meminta pertolongan. Jika kita mempunyai sifat
kemanusiaan, pastilah kita akan cuba menyelamatkan orang tersebut, samada kita
sendiri menyelamatkannya atau kita meminta bantuan orang lain untuk
menyelamatkannya. Jika kita membiarkan sahaja orang itu terus dalam bahaya, dan
memikirkan, “Eh, ini bukan urusan aku..” atau “Tak mengapalah, pasti ada orang
lain yang akan datang menyelamatkannya..”, tidakkah kita ini mempunyai ciri
orang yang zalim?
Selain itu, kita biasa mendengar rakan-rakan
saudara baharu kita bercerita, mereka dahulu sebelum kembali kepada Islam,
tiada siapa pun daripada rakan-rakan mereka yang beragama Islam yang berdakwah
kepada mereka. Akhirnya mereka menerima hidayah melalui jalan yang lain seperti
perkahwinan, membuat pengkajian agama-agama, bermimpi didatangi orang salih dan
sebagainya. Jika mereka mati dalam keadaan kufur, mereka boleh menyalahkan kita
di hadapan Allah kelak kerana kita tidak menyampaikan Islam kepada mereka.
Akhirnya kita juga akan menerima balasan buruk daripada Allah kerana tidak
berdakwah.
Sudah pasti kita tidak mahu menerima nasib sebegitu. Sebab itu di dunia ini kita perlu menyampaikan Islam kepada rakan-rakan kita yang belum Islam, supaya di akhirat nanti mereka tiada alasan lagi untuk menyalahkan kita. Jika kita telah berdakwah namun mereka tidak menerima seruan dakwah kita, jawapan mereka nanti adalah sebagaimana yang dinyatakan Allah di dalam Al-Quran (yang bermaksud):
“Mereka menjawab, ‘Benar, sesungguhnya seorang pemberi peringatan telah datang kepada kami, tetapi kami mendustakannya dan kami katakan: Allah tidak menurunkan sesuatu apa pun,’ kamu sebenarnya dalam kesesatan yang besar. Dan mereka berkata, ‘Sekiranya (dahulu) kami mendengar atau memikirkan (peringatan itu) tentulah kami tidak termasuk dalam kalangan penghuni neraka yang menyala-nyala.’” (Al-Mulk 67 : 9-10)
Di akhirat kelak, bukan sahaja orang kafir, malah kita
sebagai Muslim juga akan ditanya oleh Allah tentang tanggungjawab berdakwah.
Firman Allah (yang bermaksud):
“Dan (ingatlah) ketika suatu umat di antara
mereka berkata, ‘Mengapa kamu menasihati kaum yang akan dibinasakan atau diazab
Allah dengan azab yang sangat keras?’ Mereka menjawab, ‘Agar kami mempunyai
alasan (lepas tanggungjawab) kepada Tuhanmu dan agar mereka bertakwa.” (Al-A’raf
7 : 164)
Ya, tugas kita menyampaikan Islam kepada non-Muslim bukanlah untuk memastikan mereka memeluk Islam. Tugas kita hanyalah menceritakan keindahan dan kebenaran Islam kepada mereka, juga membetulkan salah tanggapan mereka tentang Islam. Di akhirat nanti yang akan ditanya oleh Allah ialah adakah kita telah melaksanakan tanggungjawab menyampaikan mesej Islam, bukan berapa ramai non-Muslim yang telah kita Islamkan. Pendek kata, “Convey not convert.”
Rujukan:
2. Pengantar Ilmu Dakwah, Lembaga Zakat Selangor & KUIS, 2015
3. Dakwah Seruan Menuju Allah, Dr. Taufiq al-Waie, Time Training &
Services, 2010
No comments:
Post a Comment