Oleh Wan Am
Tugas menyampaikan Islam kepada masyarakat yang masih belum
kembali kepada Islam adalah menjadi tanggungjawab kepada semua Muslim. Ia
bukanlah terbeban kepada golongan “ustaz” dan “ustazah” sahaja. Dalam al-Quran,
begitu banyak ayat yang menuntut kita sebagai umat Islam untuk menyampaikan
mesej Islam kepada mereka yang masih belum bersama Islam.
Antara ayat yang amat memotivasikan saya untuk berdakwah,
yakni menyampaikan Islam kepada non-Muslim adalah seperti berikut (yang
bermaksud):
“Dan (ingatlah) ketika suatu umat di antara mereka berkata, ‘Mengapa
kamu menasihati kaum yang akan dibinasakan atau diazab Allah dengan azab yang
sangat keras?’ Mereka menjawab, ‘Agar kami mempunyai alasan (lepas
tanggungjawab) kepada Tuhanmu dan agar mereka bertakwa.” (al-A’raf 7 : 164)
Ya, tugas kita menyampaikan Islam kepada non-Muslim bukanlah
untuk memastikan mereka memeluk Islam. Hidayah itu milik Allah. Tugas kita
hanyalah menceritakan keindahan Islam kepada mereka, juga membetulkan salah
tanggapan mereka tentang Islam. Di akhirat nanti yang akan ditanya oleh Allah
ialah adakah kita telah melaksanakan tanggungjawab menyampaikan mesej Islam,
bukan berapa ramai non-Muslim yang telah kita Islamkan.
Justeru, selain kesedaran berdakwah, persediaan untuk
menyampaikan Islam kepada non-Muslim juga adalah suatu perkara yang perlu kita
titik-beratkan. Kita perlu bersedia pada bila-bila masa untuk menyampaikan
mesej Islam kerana di sekeliling kita sebenarnya ada ramai non-Muslim yang
sedang menunggu-nunggu penjelasan mengenai Islam daripada kita. Lebih penting
lagi ialah bagaimana untuk kita sampaikan Islam secara mudah kepada mereka yang
mungkin pada waktu itu tidak mempunyai masa yang lama untuk mendengar tentang
Islam daripada kita.
Bayangkan jika tidak semena-mena ada seorang non-Muslim
datang kepada anda dan bertanyakan, “Boleh anda jelaskan mengenai Islam secara
ringkas kepada saya?” Agaknya apa reaksi anda pada waktu itu? Terkejut? Terdiam
sebentar? Tergaru-garu kepala yang tidak gatal?
Malah lebih mustahak lagi, apakah jawapan bernas yang anda
akan kongsikan dengan beliau mengenai Islam?
Ada satu pengalaman menarik yang berlaku sewaktu saya
mengendalikan aktiviti ziarah rumah ibadat agama-agama lain pada bulan Ogos
2015 bersama lebih kurang 25 orang pelatih kursus dakwah anjuran Hidayah Centre
Foundation. Kebiasaannya dalam program sebegini, apabila kita pergi ke mana-mana
rumah ibadat seperti gereja, kuil Hindu, kuil Buddha dan gurdwara, pihak mereka
akan berkongsikan kepada kita mengenai agama dan kepercayaan mereka serta
secara ringkas latar belakang rumah ibadat berkenaan.
Namun ketika kami mengunjungi sebuah kuil Hindu di pinggir bandaraya
Kuala Lumpur pada bulan Ogos 2015 tersebut, kata-kata pertama yang keluar dari
mulut Pengurus kuil Hindu tersebut kepada kami ialah “Bolehkah kamu terangkan
kepada saya tentang Islam?” Suasana menjadi hening sebentar, agaknya kami semua
tersentak dengan soalan itu yang tidak disangka-sangka terpacul dari mulut
beliau. Walaupun begitu, beberapa detik kemudian seorang demi seorang peserta
program memberikan penjelasan mengenai Islam kepada pengurus kuil Hindu
tersebut dengan begitu meyakinkan. Pastilah ia adalah hasil latihan teori
dakwah yang mereka ikuti selama lima hari sebelum mereka menyertai aktiviti
ziarah rumah ibadat ini.
Melalui pengalaman ini, jelaslah kepada saya (dan mungkin
juga kepada anda) bahawa kita perlu bersedia pada bila-bila masa untuk
berkongsi mesej Islam kepada non-Muslim di sekeliling kita.
Selain itu, aktiviti Street Dakwah yang kerap kami di
Hidayah Centre laksanakan saban bulan di tempat-tempat awam juga memerlukan
setiap daripada kami untuk bersedia memberikan penerangan mengenai Islam kepada
non-Muslim. Dalam aktiviti Street Dakwah, kita bukan sahaja mendapatkan
pandangan non-Muslim mengenai Islam berdasarkan tema yang ditetapkan (contoh
tema Street Dakwah ialah ketuhanan, kerasulan Nabi Muhammad, Al-Quran,
ketuhanan Jesus dan sebagainya), malah kadangkala kita dihujani soalan-soalan
daripada non-Muslim yang jelas menampakkan mereka begitu keliru dengan Islam.
Lebih menarik, tidak kurang juga dalam kalangan mereka yang berminat dan
bersedia untuk mendengar lebih lanjut tentang Islam. Hinggakan pernah berlaku
pengislaman dalam aktiviti Street Dakwah yang diadakan hasil penjelasan yang
baik yang diberikan mengenai Islam!
No comments:
Post a Comment