Wednesday, November 2, 2016

Jom Berdakwah!

Oleh Wan Am

Sebagai seorang Muslim, kita harus bersyukur kepada Allah yang telah memberikan begitu banyak nikmat kepada kita dalam kehidupan seharian. Bermula daripada kita bangkit dari tidur pada awal pagi hinggalah kita tidur semula pada sebelah malamnya, juga sejak kita lahir ke dunia ini hinggalah saat kita menghembuskan nafas terakhir kelak, tidak putus-putus nikmat Allah yang mengalir buat kita. Samada nikmat itu berupa harta yang banyak, tubuh badan yang sihat, kelapangan masa, pancaindera yang sempurna, keluarga yang bahagia, ilmu yang bermanfaat, kemahiran diri dan sebagainya, sungguh kita tidak akan mampu menghitung nikmat-nikmat Allah tersebut.

Firman Allah di dalam Al-Quran (yang bermaksud):

“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak akan dapat menentukan jumlahnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (An-Nahl 16 : 18)

Berhubung ayat di atas, Ibnu Katsir di dalam kitab tafsirnya mengatakan, “Sekiranya kalian dituntut untuk mensyukuri semua nikmat-Nya, tentulah kalian tidak akan mampu melakukannya. Dan seandainya kalian diperintahkan untuk itu, pastilah kalian lemah dan meninggalkannya (tidak dapat bersyukur secara semestinya). Seandainya dia mengazab kalian, tentulah Dia berhak mengazab kalian tanpa berbuat aniaya terhadap kalian. Akan tetapi, Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang, Dia selalu mengampuni dosa-dosa yang banyak dan membalas pahala kebaikan sekecil apa pun.”

Di antara nikmat kehidupan yang amat perlu kita syukuri ialah nikmat iman dan Islam. Malah inilah nikmat terbesar yang dikecap oleh umat Islam di dunia ini. Kita sebenarnya beruntung kerana tidak semua manusia mendapat nikmat ini.

Kita berada dalam naungan Islam yang merupakan agama yang benar, diturunkan oleh Allah kepada umat manusia melalui para rasul-Nya, sejak Nabi Adam a.s. hinggalah Nabi Muhammad s.a.w. yang merupakan rasul terakhir. Malah Islam adalah satu-satunya agama yang diterima oleh Allah, sebagaimana firman-Nya (yang bermaksud):

“Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam.” (Ali Imran 3 : 19)

 Firman Allah dalam ayat yang lain (yang bermaksud):

“Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agama kamu, dan telah Aku cukupkan kepada kamu nikmat-Ku dan telah Aku redhai Islam itu menjadi agama bagi kamu.” (Al-Ma’idah 5 : 3)

Berdasarkan ayat ketiga daripada surah Al-Ma’idah ini, Ibnu Katsir di dalam tafsirnya menyebut, “Ini merupakan nikmat Allah yang paling besar kepada umat ini, kerana Allah telah menyempurnakan bagi mereka agama mereka; mereka tidak lagi memerlukan agama yang lain, tidak pula memerlukan nabi lain selain nabi mereka..”

Justeru bagi kita yang telah dilimpahkan begitu banyak nikmat oleh Allah, bagaimana wajar kita membuktikan kesyukuran kita kepada-Nya? Jika kita mempunyai harta dan wang ringgit yang banyak, atau kita mempunyai kelebihan ilmu yang tidak dimiliki oleh orang lain, apakah patut kita simpan untuk diri kita sahaja?

Sudah semestinya salah satu tanda kesyukuran kita kepada Allah adalah kita kongsikan nikmat-nikmat tersebut dengan insan lain yang memerlukan. Lebihan harta yang kita miliki, kita infakkannya kepada mereka yang dalam kesengsaraan. Ilmu yang kita kuasai, kita sampaikan kepada orang lain yang tidak tahu. Kelapangan masa yang ada, kita gunakannya dengan aktiviti yang bermanfaat.

Begitu jugalah dengan nikmat Islam yang ada pada kita. Kita wajar kongsikannya kepada mereka yang masih belum menerima nikmat ini. Kita sampaikan mesej Islam kepada rakan-rakan kita yang belum Islam, atau dalam perkataan lain, berdakwah.

Apa itu dakwah? Dakwah berasal daripada perkataan bahasa Arab “da’a” yang bermaksud seruan, panggilan atau ajakan. Menurut Dr. Yusuf al-Qaradawi, dakwah adalah mengajak kepada Islam, mengikuti petunjuk-Nya, mengukuhkan manhaj-Nya di muka bumi, beribadah kepada-Nya, melepaskan diri daripada semua ketaatan kepada selain-Nya, membenarkan apa yang dibenarkan oleh-Nya, menyalahkan apa yang disalahkan-Nya, menyeru kepada yang makruf, mencegah yang mungkar, dan berjihad di jalan Allah.

Pendek kata, dakwah adalah panggilan ke jalan Allah, selaras dengan firman Allah (yang bermaksud):

“Katakanlah (Muhammad): ‘Inilah jalan (agama)ku, aku dan orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujah yang nyata dan Maha Suci Allah dan aku tiada termasuk orang yang musyrik.’” (Yusuf 12 : 108)

Di dalam Al-Quran, begitu banyak ayat yang menuntut kita untuk berdakwah. Antaranya, Allah menjanjikan kejayaan dan balasan baik bagi hamba-Nya yang melaksanakan dakwah, yakni mengajak manusia menyembah Allah, Tuhan yang Maha Esa. Antaranya adalah sebagaimana firman Allah yang berikut (yang bermaksud):

“Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dan berkata: ‘Sesungguhnya aku termasuk golongan Muslim (yang berserah diri)?’” (Fussilat 41 : 33)

Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa ajakan kepada manusia untuk mengabdikan diri hanya kepada Allah adalah sebaik-baik perkataan yang diungkapkan oleh seseorang Muslim. Dalam era moden ini ajakan tersebut boleh jadi disampaikan secara lisan, malah boleh juga melalui penulisan, samada di media cetak mahu pun di media sosial. Apabila ia dikatakan sebagai sebaik-baik perkataan, sudah pastilah begitu besar pahala yang akan diberikan oleh Allah kepada umat Islam yang melaksanakan seruan dakwah ini.

Allah turut menjanjikan kejayaan kepada Muslim yang berdakwah. Allah menyatakannya seperti berikut (yang bermaksud):

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan dan menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar. Mereka itulah orang yang beruntung.” (Ali Imran 3 : 104)

Daripada ayat-ayat dia atas jelas menunjukkan kepada kita bahawa bagi seseorang Muslim yang berdakwah, dia akan mendapat ganjaran yang baik daripada Allah. Bagaimana pula halnya bagi mereka yang tidak melaksanakan dakwah? Adakah tiada apa-apa balasan yang sesuai buat mereka? Atau dalam erti kata yang lain, terlepas dari balasan buruk yang mungkin ditimpakan kepada mereka kerana tidak berdakwah?

Ramai dalam kalangan Muslim beranggapan, dakwah itu hukumnya fardu kifayah. Jika ada sekumpulan Muslim yang telah melaksanakan dakwah, maka umat Islam yang lain telah terlepas daripada tanggungjawab tersebut. Mungkin sebab itu mereka masih malu-alah untuk berkongsi mesej Islam kepada rakan-rakan non-Muslim mereka.

Sedangkan di dalam Al-Quran jelas menunjukkan bahawa Allah mengancam hamba-hamba-Nya yang tidak berdakwah. Mereka termasuk dalam golongan yang zalim, sebagaimana firman Allah (yang bermaksud):

“‘…dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan syahadah dari Allah yang ada padanya?’ Dan Allah sekali-kali tidak lalai dari apa yang kamu kerjakan.” (Al-Baqarah 2 : 140)

Tidak sukar untuk kita fahami mengapa Allah mengatakan mereka yang tidak berdakwah itu adalah orang yang zalim. Bayangkan kita sedang melalui sebatang sungai, kemudian kita ternampak ada orang sedang hampir lemas, terkapai-kapai meminta pertolongan. Jika kita mempunyai sifat kemanusiaan, pastilah kita akan cuba menyelamatkan orang tersebut, samada kita sendiri menyelamatkannya atau kita meminta bantuan orang lain untuk menyelamatkannya. Jika kita membiarkan sahaja orang itu terus dalam bahaya, dan memikirkan, “Eh, ini bukan urusan aku..” atau “Tak mengapalah, pasti ada orang lain yang akan datang menyelamatkannya..”, tidakkah kita ini mempunyai ciri orang yang zalim?

Selain itu, kita biasa mendengar rakan-rakan saudara baharu kita bercerita, mereka dahulu sebelum kembali kepada Islam, tiada siapa pun daripada rakan-rakan mereka yang beragama Islam yang berdakwah kepada mereka. Akhirnya mereka menerima hidayah melalui jalan yang lain seperti perkahwinan, membuat pengkajian agama-agama, bermimpi didatangi orang salih dan sebagainya. Jika mereka mati dalam keadaan kufur, mereka boleh menyalahkan kita di hadapan Allah kelak kerana kita tidak menyampaikan Islam kepada mereka. Akhirnya kita juga akan menerima balasan buruk daripada Allah kerana tidak berdakwah.


Sudah pasti kita tidak mahu menerima nasib sebegitu. Sebab itu di dunia ini kita perlu menyampaikan Islam kepada rakan-rakan kita yang belum Islam, supaya di akhirat nanti mereka tiada alasan lagi untuk menyalahkan kita. Jika kita telah berdakwah namun mereka tidak menerima seruan dakwah kita, jawapan mereka nanti adalah sebagaimana yang dinyatakan Allah di dalam Al-Quran (yang bermaksud):

“Mereka menjawab, ‘Benar, sesungguhnya seorang pemberi peringatan telah datang kepada kami, tetapi kami mendustakannya dan kami katakan: Allah tidak menurunkan sesuatu apa pun,’ kamu sebenarnya dalam kesesatan yang besar. Dan mereka berkata, ‘Sekiranya (dahulu) kami mendengar atau memikirkan (peringatan itu) tentulah kami tidak termasuk dalam kalangan penghuni neraka yang menyala-nyala.’” (Al-Mulk 67 : 9-10) 

Di akhirat kelak, bukan sahaja orang kafir, malah kita sebagai Muslim juga akan ditanya oleh Allah tentang tanggungjawab berdakwah. Firman Allah (yang bermaksud):

“Dan (ingatlah) ketika suatu umat di antara mereka berkata, ‘Mengapa kamu menasihati kaum yang akan dibinasakan atau diazab Allah dengan azab yang sangat keras?’ Mereka menjawab, ‘Agar kami mempunyai alasan (lepas tanggungjawab) kepada Tuhanmu dan agar mereka bertakwa.” (Al-A’raf 7 : 164)


Ya, tugas kita menyampaikan Islam kepada non-Muslim bukanlah untuk memastikan mereka memeluk Islam. Tugas kita hanyalah menceritakan keindahan dan kebenaran Islam kepada mereka, juga membetulkan salah tanggapan mereka tentang Islam. Di akhirat nanti yang akan ditanya oleh Allah ialah adakah kita telah melaksanakan tanggungjawab menyampaikan mesej Islam, bukan berapa ramai non-Muslim yang telah kita Islamkan. Pendek kata, “Convey not convert.”


Rujukan:

2. Pengantar Ilmu Dakwah, Lembaga Zakat Selangor & KUIS, 2015
3. Dakwah Seruan Menuju Allah, Dr. Taufiq al-Waie, Time Training & Services, 2010

Wednesday, May 4, 2016

Bersediakah Kita Untuk Sampaikan Islam?

Oleh Wan Am

Tugas menyampaikan Islam kepada masyarakat yang masih belum kembali kepada Islam adalah menjadi tanggungjawab kepada semua Muslim. Ia bukanlah terbeban kepada golongan “ustaz” dan “ustazah” sahaja. Dalam al-Quran, begitu banyak ayat yang menuntut kita sebagai umat Islam untuk menyampaikan mesej Islam kepada mereka yang masih belum bersama Islam.

Antara ayat yang amat memotivasikan saya untuk berdakwah, yakni menyampaikan Islam kepada non-Muslim adalah seperti berikut (yang bermaksud):

“Dan (ingatlah) ketika suatu umat di antara mereka berkata, ‘Mengapa kamu menasihati kaum yang akan dibinasakan atau diazab Allah dengan azab yang sangat keras?’ Mereka menjawab, ‘Agar kami mempunyai alasan (lepas tanggungjawab) kepada Tuhanmu dan agar mereka bertakwa.” (al-A’raf 7 : 164)

Ya, tugas kita menyampaikan Islam kepada non-Muslim bukanlah untuk memastikan mereka memeluk Islam. Hidayah itu milik Allah. Tugas kita hanyalah menceritakan keindahan Islam kepada mereka, juga membetulkan salah tanggapan mereka tentang Islam. Di akhirat nanti yang akan ditanya oleh Allah ialah adakah kita telah melaksanakan tanggungjawab menyampaikan mesej Islam, bukan berapa ramai non-Muslim yang telah kita Islamkan.

Justeru, selain kesedaran berdakwah, persediaan untuk menyampaikan Islam kepada non-Muslim juga adalah suatu perkara yang perlu kita titik-beratkan. Kita perlu bersedia pada bila-bila masa untuk menyampaikan mesej Islam kerana di sekeliling kita sebenarnya ada ramai non-Muslim yang sedang menunggu-nunggu penjelasan mengenai Islam daripada kita. Lebih penting lagi ialah bagaimana untuk kita sampaikan Islam secara mudah kepada mereka yang mungkin pada waktu itu tidak mempunyai masa yang lama untuk mendengar tentang Islam daripada kita.

Bayangkan jika tidak semena-mena ada seorang non-Muslim datang kepada anda dan bertanyakan, “Boleh anda jelaskan mengenai Islam secara ringkas kepada saya?” Agaknya apa reaksi anda pada waktu itu? Terkejut? Terdiam sebentar? Tergaru-garu kepala yang tidak gatal?

Malah lebih mustahak lagi, apakah jawapan bernas yang anda akan kongsikan dengan beliau mengenai Islam?

Ada satu pengalaman menarik yang berlaku sewaktu saya mengendalikan aktiviti ziarah rumah ibadat agama-agama lain pada bulan Ogos 2015 bersama lebih kurang 25 orang pelatih kursus dakwah anjuran Hidayah Centre Foundation. Kebiasaannya dalam program sebegini, apabila kita pergi ke mana-mana rumah ibadat seperti gereja, kuil Hindu, kuil Buddha dan gurdwara, pihak mereka akan berkongsikan kepada kita mengenai agama dan kepercayaan mereka serta secara ringkas latar belakang rumah ibadat berkenaan.

Namun ketika kami mengunjungi sebuah kuil Hindu di pinggir bandaraya Kuala Lumpur pada bulan Ogos 2015 tersebut, kata-kata pertama yang keluar dari mulut Pengurus kuil Hindu tersebut kepada kami ialah “Bolehkah kamu terangkan kepada saya tentang Islam?” Suasana menjadi hening sebentar, agaknya kami semua tersentak dengan soalan itu yang tidak disangka-sangka terpacul dari mulut beliau. Walaupun begitu, beberapa detik kemudian seorang demi seorang peserta program memberikan penjelasan mengenai Islam kepada pengurus kuil Hindu tersebut dengan begitu meyakinkan. Pastilah ia adalah hasil latihan teori dakwah yang mereka ikuti selama lima hari sebelum mereka menyertai aktiviti ziarah rumah ibadat ini.

Melalui pengalaman ini, jelaslah kepada saya (dan mungkin juga kepada anda) bahawa kita perlu bersedia pada bila-bila masa untuk berkongsi mesej Islam kepada non-Muslim di sekeliling kita.

Selain itu, aktiviti Street Dakwah yang kerap kami di Hidayah Centre laksanakan saban bulan di tempat-tempat awam juga memerlukan setiap daripada kami untuk bersedia memberikan penerangan mengenai Islam kepada non-Muslim. Dalam aktiviti Street Dakwah, kita bukan sahaja mendapatkan pandangan non-Muslim mengenai Islam berdasarkan tema yang ditetapkan (contoh tema Street Dakwah ialah ketuhanan, kerasulan Nabi Muhammad, Al-Quran, ketuhanan Jesus dan sebagainya), malah kadangkala kita dihujani soalan-soalan daripada non-Muslim yang jelas menampakkan mereka begitu keliru dengan Islam. Lebih menarik, tidak kurang juga dalam kalangan mereka yang berminat dan bersedia untuk mendengar lebih lanjut tentang Islam. Hinggakan pernah berlaku pengislaman dalam aktiviti Street Dakwah yang diadakan hasil penjelasan yang baik yang diberikan mengenai Islam!