Oleh Wan Muhammad Wan Ibrahim
Sebagai Muslim, kita harus bersyukur kepada Allah yang telah memberikan begitu banyak nikmat kepada kita dalam kehidupan seharian. Bermula ketika kita bangkit daripada tidur pada awal pagi hinggalah kita tidur semula pada sebelah malamnya, juga sejak kita lahir ke dunia ini hinggalah saat kita menghembuskan nafas terakhir kelak, tidak putus-putus nikmat Allah yang mengalir buat kita. Sama ada nikmat itu berupa harta yang banyak, tubuh badan yang sihat, kelapangan masa, pancaindera yang sempurna, keluarga yang bahagia, ilmu yang bermanfaat, negara yang aman harmoni dan sebagainya, sungguh kita tidak akan mampu menghitung nikmat-nikmat Allah tersebut.
Firman Allah di dalam Al-Quran (yang bermaksud):
“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak akan dapat menentukan jumlahnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (An-Nahl 16 : 18)
Antara nikmat kehidupan yang perlu kita syukuri ialah nikmat iman dan Islam. Malah inilah nikmat terbesar yang dikecap oleh seseorang manusia di dunia ini. Kita wajar berasa amat bertuah kerana tidak semua manusia mendapat nikmat ini.
Cuba kita berfikir sejenak, agaknya jika ibu bapa dan keturunan kita bukan beragama Islam, adakah kita akan lahir dalam agama Islam? Jika ditakdirkan kita hidup sebagai seorang bukan Islam, kemudian mesej Islam datang kepada kita namun kita menolaknya, adakah kita berpeluang untuk meraih syurga Tuhan? Atau lebih teruk, kita menjadi orang yang hebat menentang Islam, apakah nasib kita kelak di hari Akhirat?
Sebab itu kita perlu sangat bersyukur kepada Allah Tuhan sekalian alam yang telah memilih kita untuk hidup di atas dunia ini sebagai Muslim.
Kita berada dalam naungan Islam yang merupakan agama yang benar, diturunkan oleh Allah kepada umat manusia melalui para nabi dan rasul-Nya, sejak Nabi Adam a.s. hinggalah Nabi Muhammad s.a.w. yang merupakan rasul terakhir. Malah Islam adalah satu-satunya agama yang diterima oleh Allah, sebagaimana firman-Nya (yang bermaksud):
“Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah ISLAM.” (Ali Imran 3 : 19)
Firman Allah dalam ayat yang lain (yang bermaksud):
“Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agama kamu, dan telah Aku cukupkan kepada kamu nikmat-Ku dan telah Aku redhai ISLAM itu menjadi agama bagi kamu.” (Al-Ma’idah 5 : 3)
Justeru bagi kita yang telah dilimpahkan begitu banyak nikmat Allah, bagaimana wajar kita membuktikan kesyukuran kita kepada-Nya? Jika kita mempunyai harta dan wang ringgit yang banyak, atau kita mempunyai kelebihan ilmu yang tidak dimiliki oleh orang lain, apakah patut kita simpan untuk diri kita sahaja?
Sudah semestinya salah satu tanda kesyukuran kita kepada Allah adalah kita kongsikan nikmat-nikmat tersebut dengan insan lain yang memerlukan. Lebihan harta yang kita miliki, kita sedekahkannya kepada mereka yang sedang diulit kesengsaraan. Ilmu yang kita ketahui, kita sampaikan kepada orang lain yang tidak tahu. Kelapangan masa yang ada, kita gunakannya dengan aktiviti yang bermanfaat.
Begitu jugalah dengan nikmat Islam yang ada pada kita. Kita wajar kongsikannya kepada mereka yang masih belum mengecap nikmat ini. Kita sampaikan mesej Islam kepada rakan-rakan kita yang bukan Islam, atau dalam perkataan lain, berdakwah. Sedarlah kita di luar sana akan sentiasa ada orang yang menanti kedatangan kita untuk berkongsi dengan mereka akan kebenaran dan keindahan Islam.
Saya teringat pengalaman saya sewaktu menyertai rombongan Hidayah Centre Foundation Cawangan Petaling Jaya ke Kampung Kaiboton di Paitan, Sabah. Saya dan rakan-rakan menempuh perjalanan yang panjang dan sukar memasuki kawasan pedalaman, dengan misi untuk berdakwah dan menyantuni golongan mualaf. Ketika menyampaikan ucapan dalam aktiviti ‘kupi-kupi’ yang diadakan, saya mengambil peluang untuk menjelaskan secara ringkas akidah Islam terutamanya kepada beberapa orang penduduk bukan Islam yang hadir. Dengan hidayah Allah, dua orang daripada mereka bersedia untuk melafazkan syahadah.
Mari kita bincangkan pengertian dakwah secara ringkas. Dakwah berasal daripada perkataan bahasa Arab “da’a” yang bermaksud seruan, panggilan atau ajakan. Menurut Dr. Yusuf al-Qaradawi, dakwah adalah mengajak kepada Islam, mengikuti petunjuk-Nya, mengukuhkan manhaj-Nya di muka bumi, beribadah kepada-Nya, melepaskan diri daripada semua ketaatan kepada selain-Nya, membenarkan apa yang dibenarkan oleh-Nya, menyalahkan apa yang disalahkan-Nya, menyeru kepada yang makruf, mencegah yang mungkar, dan berjihad di jalan Allah.
Pendek kata, dakwah adalah panggilan ke jalan Allah, selaras dengan firman Allah (yang bermaksud):
“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Inilah jalan (agama)ku, aku dan orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujah yang nyata dan Maha Suci Allah dan aku tiada termasuk orang yang musyrik.’” (Yusuf 12 : 108)
Di dalam Al-Quran, begitu banyak ayat yang menuntut kita sebagai Muslim untuk berdakwah. Antaranya, Allah menjanjikan kejayaan dan balasan baik bagi hamba-Nya yang melaksanakan dakwah, yakni mengajak manusia menyembah Allah, Tuhan yang Maha Esa. Antaranya adalah sebagaimana firman Allah yang berikut (yang bermaksud):
“Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dan berkata: ‘Sesungguhnya aku termasuk golongan Muslim (yang berserah diri)?’” (Fussilat 41 : 33)
Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa ajakan kepada manusia untuk mengabdikan diri hanya kepada Allah adalah sebaik-baik perkataan yang diungkapkan oleh seseorang Muslim. Dalam era moden ini ajakan tersebut boleh jadi disampaikan secara lisan, malah boleh juga melalui penulisan, sama ada di media cetak mahu pun di media sosial. Apabila ia dikatakan sebagai sebaik-baik perkataan, sudah pastilah begitu besar pahala yang akan diberikan oleh Allah kepada umat Islam yang melaksanakan seruan dakwah ini. Maka untuk meraih pahala ini, apa salahnya dalam kehidupan 24 jam setiap hari, kita manfaatkan paling minimum 10 atau 15 minit untuk menyampaikan mesej Islam kepada rakan-rakan bukan Islam di sekeliling kita.
Allah turut menjanjikan kejayaan kepada Muslim yang berdakwah. Kejayaan ini sudah pasti kita peroleh bukan sahaja di dunia, malah lebih penting lagi di hari akhirat kelak. Allah menyatakannya seperti berikut (yang bermaksud):
“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan dan menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar. Mereka itulah orang yang beruntung.” (Ali Imran 3 : 104)
Daripada ayat-ayat dia atas, jelas menunjukkan kepada kita bahawa bagi seseorang Muslim yang berdakwah, dia akan mendapat ganjaran yang baik daripada Allah. Namun bagaimana pula halnya bagi mereka yang tidak melaksanakan dakwah? Adakah tiada apa-apa balasan yang sesuai buat mereka? Atau dalam erti kata yang lain, terlepas daripada balasan buruk yang mungkin ditimpakan kepada mereka kerana tidak berdakwah?
Ramai dalam kalangan Muslim beranggapan, dakwah itu adalah tanggungjawab golongan agamawan sahaja. Jika golongan ini telah melaksanakan dakwah, maka umat Islam yang lain telah terlepas daripada tanggungjawab tersebut. Mungkin sebab itu mereka masih malu-alah untuk berkongsi mesej Islam kepada rakan-rakan bukan Islam mereka.
Sedangkan di dalam Al-Quran jelas menunjukkan bahawa Allah mengancam hamba-hamba-Nya yang tidak berdakwah. Mereka termasuk dalam golongan yang zalim, sebagaimana firman Allah (yang bermaksud):
“‘…dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan syahadah daripada Allah yang ada padanya?’ Dan Allah sekali-kali tidak lalai dari apa yang kamu kerjakan.” (Al-Baqarah 2 : 140)
Tidak sukar untuk kita fahami mengapa Allah mengatakan mereka yang tidak berdakwah itu adalah orang yang zalim. Bayangkan kita sedang melalui sebatang sungai, kemudian kita ternampak ada orang sedang hampir lemas, terkapai-kapai meminta pertolongan. Jika kita mempunyai sifat kemanusiaan, pastilah kita akan cuba menyelamatkan orang tersebut, sama ada kita sendiri menyelamatkannya atau kita meminta bantuan pihak lain untuk menyelamatkannya. Jika kita membiarkan sahaja orang itu terus dalam bahaya, dan memikirkan, “Eh, ini bukan urusan aku..” atau “Tak mengapalah, pasti ada orang lain yang akan datang menyelamatkannya..”, tidakkah kita ini mempunyai ciri orang yang zalim?
Malah dalam ayat yang lain, Allah turut melaknat mereka yang menyembunyikan agama Islam. Firman Allah (yang bermaksud):
“Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk.” (Al-Baqarah 2 : 159)
Jangankan kita orang biasa-biasa, Nabi Muhammad s.a.w. sendiri pun diberikan amaran oleh Allah jika tidak menyampaikan seruan Islam. Sepertimana firman Allah di dalam Al-Quran (yang bermaksud):
“Hai Rasul, sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu. Dan jika tidak kamu kerjakan (apa yang diperintahkan itu, bererti) kamu tidak menyampaikan risalah-Nya...” (Al-Maidah 5 : 67)
Selain itu, kita biasa mendengar rakan-rakan saudara baharu kita bercerita, mereka dahulu sebelum kembali kepada Islam, tiada siapa pun daripada rakan-rakan mereka yang beragama Islam yang berdakwah kepada mereka. Akhirnya mereka menerima hidayah melalui jalan yang lain seperti perkahwinan, membuat pengkajian agama-agama, bermimpi didatangi orang salih dan sebagainya. Jika mereka mati dalam keadaan kufur, mereka boleh menyalahkan kita di hadapan Allah kelak kerana kita tidak menyampaikan Islam kepada mereka. Akhirnya kita juga akan menerima balasan buruk daripada Allah kerana tidak berdakwah.
Sudah pasti kita tidak mahu menerima nasib sebegitu. Sebab itu di dunia ini kita perlu menyampaikan Islam kepada rakan-rakan bukan Islam, supaya di akhirat nanti mereka tiada alasan lagi untuk menyalahkan kita. Jika kita telah berdakwah namun mereka tidak menerima seruan dakwah kita, jawapan mereka nanti adalah sebagaimana yang dinyatakan Allah di dalam Al-Quran (yang bermaksud):
“Mereka menjawab, ‘Benar, sesungguhnya seorang pemberi peringatan telah datang kepada kami, tetapi kami mendustakannya dan kami katakan: Allah tidak menurunkan sesuatu apa pun,’ kamu sebenarnya dalam kesesatan yang besar. Dan mereka berkata, ‘Sekiranya (dahulu) kami mendengar atau memikirkan (peringatan itu) tentulah kami tidak termasuk dalam kalangan penghuni neraka yang menyala-nyala.’” (Al-Mulk 67 : 9-10)
Di akhirat kelak, bukan sahaja orang kafir, malah kita sebagai Muslim juga akan ditanya oleh Allah tentang tanggungjawab berdakwah. Firman Allah (yang bermaksud):
“Dan (ingatlah) ketika suatu umat di antara mereka berkata, ‘Mengapa kamu menasihati kaum yang akan dibinasakan atau diazab Allah dengan azab yang sangat keras?’ Mereka menjawab, ‘Agar kami mempunyai alasan (lepas tanggungjawab) kepada Tuhanmu dan agar mereka bertakwa.” (Al-A’raf 7 : 164)
Satu lagi sebab utama mengapa kita perlu berdakwah ialah kita hendak beroleh ganjaran syurga. Selain beriman dan melakukan amal kebaikan, syarat lain untuk menjadi orang yang beruntung seterusnya mendapat syurga Allah ialah mengajak manusia kepada kebenaran dan kesabaran, dalam erti kata yang lain berdakwah. Hal ini jelas melalui firman Allah (yang bermaksud):
“Demi masa. Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal salih dan saling menasihati dengan kebenaran dan saling menasihati dengan kesabaran.” (Al-‘Asr 103 : 1-3)
Maka dengan hujah-hujah Al-Quran ini, sedarlah kita bahawa dakwah adalah amanah kita bersama. Perlu juga kita fahami, jika kita telah berdakwah, namun seruan kita ditolak, tidak mengapa. Usahlah berasa gundah gelana. Sesungguhnya hidayah seseorang adalah milik Allah. Hanya Allah sahaja yang berkuasa untuk memberikan petunjuk kepada hamba-hamba-Nya.
Jika kita telah berusaha untuk sampaikan Islam namun tiada yang bersyahadah, itu tidak bererti kita telah gagal dalam usaha dakwah. Kayu ukur kejayaan dakwah bukanlah terletak kepada berapa banyak orang yang telah kita syahadahkan. Sedangkan Nabi Nuh a.s. yang berdakwah hampir seribu tahun, hanya beberapa orang sahaja yang menerima seruan baginda. Adakah baginda telah gagal dalam berdakwah? Tidak sama sekali.
Malah Nabi Muhammad s.a.w. sendiri tidak berjaya mengajak bapa saudara baginda iaitu Abu Talib kepada agama Islam. Abu Talib meninggal dunia dalam keadaan tidak melafazkan syahadah, walaupun baginda Rasulullah s.a.w. ingin sangat beliau berbuat demikian. Melalui peristiwa ini turun wahyu Allah (yang bermaksud):
“Sesungguhnya engkau (Muhammad) tidak dapat memberi petunjuk kepada orang yang engkau kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang Dia kehendaki..” (Al-Qasas 28 : 56)
Maka apa lagi alasan untuk kita tidak berdakwah. “Saya tidak cukup ilmu!” Jika ini alasan kita, agaknya bilalah kita akan mula hendak berdakwah. Sampai bila-bila pun kita tidak akan cukup ilmu. Tidak perlulah kita menjadi sehebat Dr. Zakir Naik atau Yusuf Estates jika hendak berdakwah. Dengan hanya surah Al-Ikhlas sahaja pun sebenarnya kita sudah boleh berdakwah. Bersesuaianlah dengan sabda Rasulullah s.a.w., “Sampaikanlah kalian daripadaku walaupun satu ayat.” (hadis riwayat Bukhari)
“Saya takut hilang kawan!” Jika ini pula alasan kita untuk tidak berdakwah, takut-takut di hari akhirat kelak, kawan kita itu akan menyalahkan kita di hadapan Allah kerana kita tidak pernah sedikit pun membuka mulut untuk menceritakan agama Islam kepadanya. Dek kerana tindakan kita tersebut, takut-takut akan melambatkan kita pula untuk beroleh ganjaran syurga.
Justeru, marilah kita kongsikan mesej Islam kepada seluruh manusia. Jika kita hendak masuk syurga, kita usahakan juga agar seramai mungkin rakan-rakan di sekeliling kita, termasuk mereka yang bukan Muslim bersama-sama kita untuk menuju ke syurga yang merupakan kampung asal kita semua. Hakikatnya syurga merupakan tempat asal moyang kita yang pertama iaitu Nabi Adam a.s.
Rujukan:
Pengantar Ilmu Dakwah, Lembaga Zakat Selangor & KUIS, 2015
Dakwah Seruan Menuju Allah, Dr. Taufiq al-Waie, Time Training & Services, 2010