Anda
masih ingat bagaimana anda mula bertemu dengan insan yang kini menjadi pasangan
hidup anda? Bagi kebanyakan orang, peristiwa pertemuan ini pastinya akan terus
mekar dalam minda mereka. Malah terakam kemas dalam kotak ingatan mereka walau empat
atau lima dekad telah berlalu. Tak percaya? Cubalah anda tanyakan hal ini
kepada orang tua anda. Mungkin pertanyaan anda itu akan membuatkan mereka tersenyum
simpul.
Saya
sendiri masih jelas saat pertemuan “bertentang mata” dengan si isteri buat kali
pertama. Waktu itu saya masih lagi seorang siswa universiti dan bergiat aktif dalam
sebuah pertubuhan pelajar di peringkat kebangsaan. Kisahnya berlaku pada
pertengahan tahun 2003, iaitu ketika berlangsungnya satu perjumpaan antara saya
bersama beberapa orang pimpinan pertubuhan tersebut dengan rakan-rakan pelajar di
sebuah negeri di Pantai Timur.
Sedang
kami rancak berdiskusi, seorang siswi yang sejak awal sesi perjumpaan tersebut tidak
kedengaran pun berbicara, tiba-tiba membuka mulutnya, memberikan pandangan dan
saranan yang cukup bernas berkaitan topik yang sedang kami bincangkan. Lantas
pandangan mata saya beralih ke arah beliau, mendengar hujahnya penuh teliti.
“Diam-diam
ubi..” Hati saya berbisik. Rasanya awal-awal tadi saya tidak pun menyedari
kehadiran beliau. Pastilah kerana ada rakan-rakannya yang lain yang lebih
“vokal” dalam perbincangan, lantas membuatkan dirinya sedikit tenggelam.
Dengan
tidak semena-mena, saya merasakan hati ini sedang ditarik-tarik untuk mengenali
tuan punya diri yang bersuara sebentar tadi. Beberapa persoalan mula saling bergelut dalam diri. Siapakah insan
ini? Diakah orangnya yang sedang saya cari? Diakah orangnya yang mampu membantu
saya merealisasikan niat murni untuk melangkah ke alam penuh
pertanggungjawaban? Diakah orangnya yang saya dambakan, yang mampu menjadi
wanita seperti yang disebut oleh Tuhan (yang bermaksud):
“Wanita
yang solehah ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri (tidak berlaku
curang serta memelihara rahsia dan harta suaminya) ketika di belakang suaminya,
oleh kerana Allah telah memelihara mereka.” (an-Nisa’ : 34)
Usai
perjumpaan, saya terus mendapatkan seorang rakan yang belajar di sebuah
institusi pengajian tinggi di negeri tersebut, yang turut terbabit dalam
perjumpaan kami pada hari itu. “Zul (bukan nama sebenar), boleh tolong dapatkan
sedikit maklumat tentang ukht ini?”
Lebih kurang begitulah dialog saya dengan beliau sebelum saya bertolak pulang.
Zul bersetuju untuk membantu.
Beberapa
minggu kemudian saya mendapat maklumat seperti yang diharapkan. “Dia masih available..” SMS Zul menerjah telefon
bimbit saya. Hati ini terasa berbunga. Melalui Zul juga saya mendapat gambaran
serba ringkas latar belakang siswi tersebut.
Tanpa
berlengah lagi saya mula mengatur langkah, memohon bantuan orang tengah (siapa
orangnya, rahsia..) untuk merisik diri gadis berkenaan secara rasmi. Hm..
mungkin ada yang berfikir, kolotnya tindakan saya, zaman moden ini pun masih menggunakan
khidmat orang tengah. Apa salahnya melamar secara langsung kepada gadis
tersebut?
Benar,
tiada salahnya jika saya meluahkan terus niat murni saya ini kepada beliau. Saya
sendiri pernah mendengar hujah beberapa orang ustaz yang saya thiqah dengan ilmu mereka mengenai hal
ini. “Tak salah kalau seorang lelaki melamar secara langsung kepada seorang
wanita. Yang penting straight to the
point. Jangan pulak pusing sana-sini.. lagi tak betul kalau diselangi
dengan kata-kata yang boleh mengarah kepada maksiat. Aku cinta padamulah, aku
rindu kamulah... itu yang tak boleh..” Masih terngiang-ngiang kata-kata salah
seorang daripada mereka.
Malah,
dalam sirah ada satu peristiwa yang bersangkutan dengan hal ini, iaitu ketika Anas
bin Malik menceritakan proses khitbah
ibunya:
Abu
Talhah melamar Ummu Sulaim, lalu Ummu Sulaim berkata, “Demi Allah, orang yang
sepertimu ini tidak patut ditolak, wahai Abu Talhah. Tetapi engkau orang kafir
sedang aku wanita Muslimah, dan aku tidak halal berkahwin denganmu. Jika engkau
mahu masuk Islam, maka yang demikian itu sudah cukup sebagai mas kahwinku, dan
aku tidak meminta yang lain lagi kepadamu...” (Riwayat Nasa’i)
Namun,
saya tetap mempercayai bahawa menggunakan orang tengah merupakan satu cara
terbaik dalam proses pembinaan rumahtangga dakwah (sebaiknya orang tengah
itu haruslah seorang yang boleh dipercayai, sudah berkahwin, ikhlas,
berpengalaman dan mengenali calon). Selain dapat menghindarkan diri daripada
perhubungan yang melanggar aturan syarak, melalui perantaraan orang tengah
jugalah kita mendapat serba sedikit pengetahuan mengenai situasi orang yang
dilamar. Hal ini penting supaya kes “tersalah pilih” tidak berlaku.
Dengan keadaan sedemikianlah, proses lamaran saya berjalan seperti yang saya harapkan.
Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, lamaran saya diterima oleh si dia. Tambah
manis lagi apabila ibu bapa saya juga berkenaan dengan pilihan hati saya ini. Terima
kasih Tuhan..
No comments:
Post a Comment