Wednesday, August 15, 2012

Bagai Orang Mengantuk Disorongkan Bantal

Oleh Wan Am

Anda masih ingat bagaimana anda mula bertemu dengan insan yang kini menjadi pasangan hidup anda? Bagi kebanyakan orang, peristiwa pertemuan ini pastinya akan terus mekar dalam minda mereka. Malah terakam kemas dalam kotak ingatan mereka walau empat atau lima dekad telah berlalu. Tak percaya? Cubalah anda tanyakan hal ini kepada orang tua anda. Mungkin pertanyaan anda itu akan membuatkan mereka tersenyum simpul.

Saya sendiri masih jelas saat pertemuan “bertentang mata” dengan si isteri buat kali pertama. Waktu itu saya masih lagi seorang siswa universiti dan bergiat aktif dalam sebuah pertubuhan pelajar di peringkat kebangsaan. Kisahnya berlaku pada pertengahan tahun 2003, iaitu ketika berlangsungnya satu perjumpaan antara saya bersama beberapa orang pimpinan pertubuhan tersebut dengan rakan-rakan pelajar di sebuah negeri di Pantai Timur.  

Sedang kami rancak berdiskusi, seorang siswi yang sejak awal sesi perjumpaan tersebut tidak kedengaran pun berbicara, tiba-tiba membuka mulutnya, memberikan pandangan dan saranan yang cukup bernas berkaitan topik yang sedang kami bincangkan. Lantas pandangan mata saya beralih ke arah beliau, mendengar hujahnya penuh teliti.

“Diam-diam ubi..” Hati saya berbisik. Rasanya awal-awal tadi saya tidak pun menyedari kehadiran beliau. Pastilah kerana ada rakan-rakannya yang lain yang lebih “vokal” dalam perbincangan, lantas membuatkan dirinya sedikit tenggelam.

Dengan tidak semena-mena, saya merasakan hati ini sedang ditarik-tarik untuk mengenali tuan punya diri yang bersuara sebentar tadi. Beberapa persoalan mula  saling bergelut dalam diri. Siapakah insan ini? Diakah orangnya yang sedang saya cari? Diakah orangnya yang mampu membantu saya merealisasikan niat murni untuk melangkah ke alam penuh pertanggungjawaban? Diakah orangnya yang saya dambakan, yang mampu menjadi wanita seperti yang disebut oleh Tuhan (yang bermaksud):

“Wanita yang solehah ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri (tidak berlaku curang serta memelihara rahsia dan harta suaminya) ketika di belakang suaminya, oleh kerana Allah telah memelihara mereka.” (an-Nisa’ : 34)

Usai perjumpaan, saya terus mendapatkan seorang rakan yang belajar di sebuah institusi pengajian tinggi di negeri tersebut, yang turut terbabit dalam perjumpaan kami pada hari itu. “Zul (bukan nama sebenar), boleh tolong dapatkan sedikit maklumat tentang ukht ini?” Lebih kurang begitulah dialog saya dengan beliau sebelum saya bertolak pulang. Zul bersetuju untuk membantu.

Beberapa minggu kemudian saya mendapat maklumat seperti yang diharapkan. “Dia masih available..” SMS Zul menerjah telefon bimbit saya. Hati ini terasa berbunga. Melalui Zul juga saya mendapat gambaran serba ringkas latar belakang siswi tersebut.

Tanpa berlengah lagi saya mula mengatur langkah, memohon bantuan orang tengah (siapa orangnya, rahsia..) untuk merisik diri gadis berkenaan secara rasmi. Hm.. mungkin ada yang berfikir, kolotnya tindakan saya, zaman moden ini pun masih menggunakan khidmat orang tengah. Apa salahnya melamar secara langsung kepada gadis tersebut?

Benar, tiada salahnya jika saya meluahkan terus niat murni saya ini kepada beliau. Saya sendiri pernah mendengar hujah beberapa orang ustaz yang saya thiqah dengan ilmu mereka mengenai hal ini. “Tak salah kalau seorang lelaki melamar secara langsung kepada seorang wanita. Yang penting straight to the point. Jangan pulak pusing sana-sini.. lagi tak betul kalau diselangi dengan kata-kata yang boleh mengarah kepada maksiat. Aku cinta padamulah, aku rindu kamulah... itu yang tak boleh..” Masih terngiang-ngiang kata-kata salah seorang daripada mereka.

Malah, dalam sirah ada satu peristiwa yang bersangkutan dengan hal ini, iaitu ketika Anas bin Malik menceritakan proses khitbah ibunya:

Abu Talhah melamar Ummu Sulaim, lalu Ummu Sulaim berkata, “Demi Allah, orang yang sepertimu ini tidak patut ditolak, wahai Abu Talhah. Tetapi engkau orang kafir sedang aku wanita Muslimah, dan aku tidak halal berkahwin denganmu. Jika engkau mahu masuk Islam, maka yang demikian itu sudah cukup sebagai mas kahwinku, dan aku tidak meminta yang lain lagi kepadamu...” (Riwayat Nasa’i)

Namun, saya tetap mempercayai bahawa menggunakan orang tengah merupakan satu cara terbaik dalam proses pembinaan rumahtangga dakwah (sebaiknya orang tengah itu haruslah seorang yang boleh dipercayai, sudah berkahwin, ikhlas, berpengalaman dan mengenali calon). Selain dapat menghindarkan diri daripada perhubungan yang melanggar aturan syarak, melalui perantaraan orang tengah jugalah kita mendapat serba sedikit pengetahuan mengenai situasi orang yang dilamar. Hal ini penting supaya kes “tersalah pilih” tidak berlaku.  

Dengan keadaan sedemikianlah, proses lamaran saya berjalan seperti yang saya harapkan. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, lamaran saya diterima oleh si dia. Tambah manis lagi apabila ibu bapa saya juga berkenaan dengan pilihan hati saya ini. Terima kasih Tuhan..