Sunday, November 27, 2011

Dunia Hari Ini

Oleh Wan Am


Dunia sedang berada di penghujung usia. Wajah dunia tidak lagi permai seperti asalnya. Lahiriahnya penuh dengan derita. Bukit, laut, rimba, sungai, udara menjadi mangsa. Semuanya gara-gara keserakahan manusia mencari laba.

Tamadun Barat yang kini memerintah dunia, menanti detik kejatuhan. Fakta dari Barat sendiri yang menjadi beban bukti. Di negara-negara mereka ajaran agama diketepikan, jenayah semakin meningkat, masyarakat mementingkan diri sendiri, pemimpin mengamalkan rasuah, dan ketidakadilan sosial bermaharajalela.

Kata Zaid Kamaruddin, seorang tokoh aktivis masyarakat, “Lazim peradaban runtuh atas sebab kelemahannya sendiri. Kelemahan sistem dan moralnya. Jarang ia jatuh kerana ditolak dari luar.” Tiada lagi sangsi, hegemoni Barat akan menemui titik noktahnya sedikit masa lagi.

Jika begitu, selagi dunia masih bernafas, siapa pengganti tamadun Barat? Giliran tamadun Islamkah kembali mengambil tempat? Tamadun Islam bakal menjadi penyelamat? Jika hendak dikatakan begitu, perlu direnung sebentar realiti umatnya, dan harus ditinjau perjalanan pentadbiran pemimpin-pemimpinnya. Dari situ mungkin terserlah jawapan yang selayaknya.

Orang kata, gejolak umat di negara Islam tidaklah berbeda dengan gejala di Barat. Tidak sukar mencari statistiknya. Tak payah memandang jauh, di negara Islam bernama Malaysia sudah boleh dilihat “bencana”nya. Pusat Serenti, orang Melayu yang memenuhinya. Anak tidak berbin atau berbintikan bapanya, bangsa Melayu juga menjadi majoriti. Kes juvana, anak-anak orang Melayu juga yang dihukum. Ada lagi, hampir setiap hari remaja Melayu ditahan pihak berkuasa kerana menjadi samseng jalanan.

Di Malaysia, Melayu bersamaan dengan Islam. Maka rumusannya, umat Islam di negara ini sedang diserang luka yang cukup dalam. Keadaan pastinya tidak berbeza di negara umat Islam yang lain. Atau mungkin negara mereka lebih bejat lagi.

Pemerintahan pemimpin Islam pula tidak banyak membantu. Bak kata Zaid Kamaruddin lagi, negara orang Islam tidak ada yang ditadbir dengan lebih baik. Pemerintah umat kebanyakannya berseteru dengan rakyat. Rasuah semakin menerap. Kepemimpinan tidak dianggap suatu amanah, malah suatu keistimewaan.

Sebab itu baru-baru ini rakyat di negara-negara Timur Tengah dan utara benua Afrika bangkit melawan pemimpinnya. Kemarahan mereka sudah tidak dapat dibendung lagi. Mereka sudah tidak tahan dengan kezaliman yang melata. Mana mungkin pemimpin dan ahli keluarga mereka membolot harta negara berbilion-bilion U.S. Dolar, sedang rakyat menahan lapar berhari-hari lamanya. Akhirnya tumbanglah pemimpin-pemimpin Islam bermahligai tirani; ada yang kini sedang dibicarakan, ada yang dalam pelarian, dan ada yang sudah dijemput pulang menghadap Tuhan.

Justeru, dengan realiti sedemikian rupa, mampukah Tamadun Islam bangkit kembali membawa sinar hidup yang lebih bermakna buat manusia pada abad 21 ini?

Jawapannya terletak kepada kemahuan umat Islam itu sendiri. Jika umat berpegang teguh dengan ajaran Islam, tidak mustahil mereka mampu menguasai dunia. Islam adalah rahmat buat sekalian alam. Islam juga adalah produk bermutu yang bukan sahaja harus dibanggakan, malah mesti dikongsikan dengan semua manusia. Peradaban Islam kini belum mampu bangkit kembali dari lenanya yang panjang kerana kealpaan umatnya sendiri yang berterusan menjauhi syariat Islam.

Belajarlah daripada sejarah. Sejarah jarang sekali menipu. Dunia pernah merentasi zaman keemasan Islam, suatu zaman di mana dunia ditadbir oleh para pemimpin Islam yang sejati. Mereka menjadi teladan kepada rakyatnya dalam menjalankan amanah kepemimpinannya. Pemerintahan mereka bersatu dengan Islam, mereka menghukum dengan hukum-hukum Tuhan, dan tidak hairanlah pemerintahan mereka dan dunia ketika itu cukup gemilang. Sehinggakan pada suatu masa, seluruh rakyat cukup segala keperluan hidupnya lantaran keadilan pemerintahan yang tertegak dan terpelihara dengan sebaik-baiknya.

Pakej sebegini tiada pada peradaban Barat. Materialisme, sistem ekonomi kapitalis, dasar pasaran bebas dan demokrasi bukanlah barang baik buat umat. Ia sebenarnya membawa kepada jalan yang lebih cela. Dunia menuju kehancuran kerana kecetekan tamadun mereka.

Jika dilihat kepada putaran hidup semasa, dunia masih ada harapan untuk melihat kebangkitan semula kuasa Islam sebagai pentadbir jagat raya. Masa akan menentukannya. Ia mungkin mimpi hari ini, namun tidak mustahil kenyataan hari esok, insya-Allah.

No comments:

Post a Comment