Monday, April 1, 2019

Brunei: Kuasa Islam di Nusantara Abad ke-16

Oleh Wan Am

Brunei Darussalam merupakan sebuah negara yang terletak di utara Pulau Borneo. Walaupun bersaiz kecil, Brunei diiktiraf sebagai salah sebuah negara maju di dunia dan kaya dengan sumber minyak dan gas. Seperti Malaysia, Brunei juga pernah berada di bawah jajahan kolonial Inggeris dan mencapai kemerdekaan pada 1 Januari 1984. Kini negara Brunei terbahagi kepada empat daerah besar iaitu Belait, Tutong, Brunei Muara dan Temburong. Ketika permusafiran singkat saya ke Brunei pada 24 hingga 26 November 2018, saya menetap di rumah sahabat saya di Jerudong yang terletak di dalam daerah Brunei Muara.

Brunei adalah tempat di mana ibu saya dibesarkan oleh ayah angkatnya yang berasal dari Johor. Pada tahun 1960-an, datuk angkat saya tersebut pernah dilantik sebagai Penyusun dan Pengelola Sekolah-sekolah Agama Brunei dan beliau bertanggungjawab secara langsung dalam mengembangkan pendidikan agama Islam di negara tersebut. Ketika itu Sultan Brunei, Sultan Haji Omar Ali Saifuddien memberikan perhatian yang bersungguh-sungguh terhadap perkembangan pendidikan agama Islam di Brunei, termasuk penubuhan sekolah-sekolah agama. Usaha ini telah mendapat kerjasama daripada Kerajaan Johor dan kemudiannya membolehkan Kerajaan Brunei membangunkan sistem pendidikan agama Islam dengan sebaiknya.

Tamadun di Brunei dikatakan bermula pada abad ke-14 Masihi, sejajar dengan perkembangan agama Islam di alam Melayu pada waktu itu. Kenyataan ini dibuktikan melalui tinggalan-tinggalan arkeologi serta dokumen bertulis, termasuk dari sumber luar. Sebelum itu tiada sumber yang jelas yang menunjukkan Brunei mencapai ketamadunannya semasa di bawah pengaruh Srivijaya dan Majapahit. Agama Islamlah yang telah membuatkan orang-orang Brunei mengecap kemajuan dalam kehidupan mereka dan fakta ini tidak dipertikaikan oleh ahli-ahli sejarah. 

Gambar 1: 24 November 2018, penulis menjejakkan kaki di Brunei setelah meninggalkannya lebih 30 tahun dahulu

Gambar 2: Perbandingan nilai mata wang Dollar Brunei dengan Ringgit Malaysia (1 Dollar Brunei bersamaan RM3.125)

Gambar 3: Menikmati masakan Brunei, termasuk makanan tradisi Ambuyat (diperbuat daripada tepung sagu)

Seperti di belahan Nusantara yang lain, Islam dipercayai berkembang di Brunei hasil usaha para mubaligh yang datang dari negara Arab, China dan India. Walaupun Islam dikatakan telah sampai di Brunei sejak awal abad ke-10 Masihi (menurut sumber-sumber Cina), namun hanya pada abad ke-14 Masihi Islam menjadi agama anutan penduduk Brunei secara keseluruhannya. Antara individu paling berjasa “mengislamkan” Brunei ialah Syarif Ali, seorang pendakwah Arab yang berkahwin dengan puteri Sultan Brunei dan kemudiannya menaiki takhta kerajaan Brunei setelah kemangkatan ayahanda mentuanya. Sudah pasti dengan kedudukan tersebut memudahkan baginda mengembangkan ajaran Islam kepada rakyatnya, malah baginda jugalah yang membina masjid pertama di Brunei. 

Fakta-fakta bertulis juga memaparkan kegemilangan dan kemakmuran Kesultanan Brunei sebagai kerajaan Islam, malah juga sebagai pusat kegiatan dan penyebaran agama Islam pada abad ke-16. Keadaan ini telah menarik perhatian dua kuasa besar Eropah iaitu Portugis dan Sepanyol yang datang ke Asia Tenggara pada watu itu dan bercita-cita untuk menguasai laluan perkapalan di Laut China Selatan dan Laut Sulu, juga membawa misi menyebarkan ajaran Kristian kepada warga tempatan. Kekuasaan Brunei sudah pasti dilihat sebagai ancaman kepada mereka untuk merealisasikan cita-cita tersebut. 

Kekuatan Kerajaan Islam Brunei jugalah yang telah berjaya menafikan percubaan Portugis dan Sepanyol untuk menakluk mereka. Buktinya, apa yang dilakukan oleh Portugis terhadap Melaka pada tahun 1511 tidak berjaya mereka ulangi di Brunei. Kekuatan ketenteraan Kerajaan Brunei telah membatalkan hasrat mereka untuk menyerang negara tersebut secara langsung, sebaliknya hanya menumpukan kepada usaha diplomasi bagi mencapai objektif mereka untuk menguasai jalan perdagangan. Usaha Sepanyol kemudiannya untuk menguasai Brunei melalui cara kekerasan juga tidak berjaya. Walaupun serangan demi serangan terhadap Brunei dilancarkan, namun usaha mereka menemui kegagalan dek kerana kekuatan ketenteraan dan benteng pertahanan Kerajaan Brunei serta taktik peperangan yang berjaya melemahkan mereka.

Gambar 4: Penulis bersiar-siar di Bandar Seri Begawan, ibu kota negara Brunei Darussalam

Gambar 5: Makam Sultan Syarif Ali (tahun memerintah 1425-1432) yang terletak di Kota Batu 

Keunikan Brunei berbanding negara-negara Islam yang lain boleh ditinjau melalui peranan institusi masjid. Sejak kedatangan Islam, masjid menjadi pusat kegiatan utama dalam kehidupan masyarakat Brunei. Masjid adalah tapak pertama di mana Sultan Syarif Ali menyampaikan ajaran Islam kepada rakyat jelata. Kejayaan orang-orang Brunei menghalau keluar orang-orang Sepanyol yang telah membakar masjid mereka ketika pemerintahan Sultan Saiful Rijal turut membuktikan kedudukan masjid yang begitu istimewa di dalam sanubari warganya sejak zaman-berzaman.

Hari ini masjid menjadi pusat perkumpulan dan penyatuan umat Islam di Brunei. Masjid-masjid dibangunkan melalui cara bergotong-royong oleh pelbagai lapisan masyarakat. Selain tempat beribadat, masjid di Brunei juga menjadi pusat pelbagai kegiatan sosial masyarakat seperti majlis-majlis perkahwinan dan hari kebesaran Islam, serta berperanan penting dalam bidang pendidikan agama Islam melalui penganjuran kelas-kelas pembelajaran Al-Quran, kursus-kursus, ceramah keagamaan dan sebagainya.

Kepentingan institusi masjid di Brunei juga boleh disingkap melalui kewujudan jawatan-jawatan utama berkaitan masjid oleh baginda Sultan. Seramai lima orang Manteri Agama (diketuai oleh Pehin Datu Seri Maharaja yang merupakan Kepala Manteri Agama, selebihnya ialah Pehin Datu Imam, Pehin Siraja Khatib, Pehin Tuan Imam dan Pehin Udana Khatib) mempunyai peranan tersendiri dalam segenap segi kehidupan beragama di Brunei, termasuk berkaitan hal ehwal masjid. Mereka juga menjadi tempat rujukan pemerintah dan masyarakat berkaitan urusan keagamaan dan pentadbiran negara.

Salah sebuah masjid bersejarah di Brunei yang terletak di Bandar Seri Begawan ialah Masjid Omar Ali Saifuddien. Masjid ini dibuka secara rasminya pada 26 September 1958 dan merupakan Masjid Negara yang pertama yang boleh memuatkan sekitar 3000 orang jemaah. Masjid ini juga diiktiraf sebagai salah sebuah masjid tercantik di dunia. Perkara lain yang menarik mengenai masjid ini ialah kubah utamanya yang disaluti dengan emas tulen.

Bersebelahan dengan masjid ini terdapat sebuah replika kapal abad ke-16 yang dinamakan Bahtera Mahligai. Ia dibina pada tahun 1967, bersempena ulang tahun sambutan Nuzul Al-Quran ke-1400. Ia pernah digunakan sebagai astaka pertandingan musabaqah Al-Quran pada penghujung tahun 1960-an sehingga awal tahun 1970-an. 

Gambar 6: Masjid Omar Ali Saifuddien di Bandar Seri Begawan menjadi simbol kejayaan Islam di Brunei

Gambar 7: Bahtera Mahligai, replika di tengah lagun bersebelahan Masjid Omar Ali Saifuddien

Gambar 8: Masjid Al-Ameerah Al-Hajah Maryam, masjid di Jerudong yang aktif dengan pelbagai kegiatan agama dan kemasyarakatan

Gambar 9: Dewan solat utama Masjid Al-Ameerah Al-Hajah Maryam yang indah dan mendamaikan

Di Brunei, Tulisan Jawi digunakan dengan begitu meluas. Tulisan Jawi hampir kelihatan di setiap papan tanda yang terdapat di Brunei, begitu juga dengan penerbitan pelbagai bahan bercetak dalam tulisan tersebut. Sebenarnya Brunei adalah satu-satunya negara di alam Melayu yang masih mengekalkan penggunaan Tulisan Jawi dalam seluruh sektornya. Hal ini turut menjadi daya tarikan kepada para pelawat yang datang berkunjung ke Brunei.

Tulisan Jawi merupakan salah satu sistem tulisan rasmi di Brunei, bersesuaian dengan status negara tersebut sebagai sebuah negara Islam. Keseriusan Kerajaan Brunei untuk memartabatkan Tulisan Jawi, antaranya dibuktikan melalui surat pekeliling Jabatan Perdana Menteri Brunei bilangan 21/1988 yang menjadikan Tulisan Jawi sebagai sebahagian daripada peraturan negara. Kanak-kanak di Brunei juga mendapat pendedahan awal kepada Tulisan Jawi bagi membolehkan tulisan ini terpelihara dan diwarisi dari satu generasi ke satu generasi.

Tulisan Jawi sudah berakar umbi di Brunei sejak abad ke-15 Masihi lagi. Pada waktu itu, Tulisan Jawi terpahat di batu nisan tokoh-tokoh besar Brunei, termasuk Sultan Syarif Ali sendiri. Tulisan Jawi semakin popular digunakan pada kurun berikutnya dalam dokumen-dokumen bertulis yang penting di Brunei, termasuk surat-surat perjanjian, kitab-kitab agama dan penulisan sastera. Malah orang-orang luar yang datang ke Brunei perlu menguasai Tulisan Jawi jika ingin berinteraksi dengan lebih baik dengan penduduk tempatan. Ternyata Tulisan Jawi mempunyai kedudukan yang tinggi dan pengaruh yang besar di Brunei sejak dahulu hingga kini. 

Gambar 10: Contoh penggunaan Tulisan Jawi pada papan tanda kedai runcit

Gambar 11: Contoh penggunaan Tulisan Jawi pada bahan penerbitan bercetak

Dari segi perkembangan Islam di Brunei, statistik terkini menunjukkan 67 peratus rakyat Brunei adalah beragama Islam. Selebihnya adalah penganut agama Buddha (14%), Kristian (9.7%) dan lain-lain (12%). Sebagai sebuah negara Islam, keadaan ini dimanfaatkan oleh badan dakwah di Brunei untuk menyampaikan risalah Islam kepada takungan bukan Muslim yang agak besar, terutamanya warga tempatan dalam kalangan orang Cina, Iban, Kedayan, Kayan, Kenyah, Kiput, Muru, Dusun dan Tutung.

Alhamdulillah, diberitakan begitu ramai mualaf baru di Brunei setiap tahun. Berdasarkan data sepuluh tahun terakhir, terdapat sekitar 12,000 orang telah memeluk agama Islam di Brunei. Berdasarkan jumlah tersebut sudah pasti usaha pengukuhan akidah dan kebajikan begitu signifikan bagi memastikan golongan mualaf terus istikamah dalam mengamalkan ajaran Islam.

Antara organisasi penting yang bertanggungjawab terhadap golongan mualaf di Brunei ialah Pusat Dakwah Islamiah Brunei Darussalam (PDI). Badan ini mula beroperasi pada 1 Januari 1985 dan bernaung di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei. Melalui PDI, pelbagai usaha pendidikan, kebajikan dan pemantauan terhadap golongan mualaf yang dijalankan bagi memenuhi segala keperluan mereka sebagai saudara baharu dalam Islam.

Antara inisiatif PDI terhadap golongan mualaf adalah penganjuran kelas-kelas khas bagi menjawab semua pertanyaan mereka tentang Islam. Kursus-kursus lanjutan juga ditawarkan bagi mualaf yang ingin memahami agama Islam dengan lebih mendalam. Pihak kerajaan turut memberikan sumbangan wang secara berkala kepada mualaf (juga kepada tanggungan mereka) untuk digunakan sebagai perbelanjaan harian.

Selain itu, pihak kerajaan juga melaksanakan program peningkatan keupayaan mualaf dalam bidang kemahiran hidup dan keterampilan diri, bertujuan menjadikan mereka lebih mandiri dan berdaya saing. Bagi mereka yang telah selesai mengikuti program tersebut, PDI akan memberikan sejumlah modal perniagaan untuk mereka mengembangkan pendapatan. Seterusnya, pihak kerajaan akan menanggung kos produk hasil usaha para mualaf untuk dipasarkan oleh PDI. Modal dan keuntungan setelah pemasaran akan dipulangkan kembali kepada mualaf agar mereka dapat mengembangkan perniagaan dengan lebih meluas.

Selain aspek rohani, intelektual dan ekonomi, PDI juga turut mengambil berat terhadap aspek kesihatan jasmani mualaf. PDI mengadakan kerjasama dengan pihak hospital dan petugas kesihatan yang akan secara langsung memantau tahap kesihatan fizikal mualaf. Hal ini bertujuan memastikan para mualaf akan sentiasa mempunyai tubuh badan yang sihat bagi melaksanakan amal ibadat serta seluruh kegiatan harian mereka.

Sesungguhnya program bersepadu yang dilakukan secara sistematik oleh PDI ini telah membuatkan golongan mualaf di Brunei merasa diri mereka begitu dihargai dan terus teguh untuk bersama dalam agama Islam. Dengan sokongan sedemikian, tidak pernah kedengaran di Brunei isu mualaf yang menjadi papa dan hidup melarat, apatah lagi untuk mereka kembali ke agama asal. Mungkin ini juga salah satu faktor yang menarik lebih ramai warga Brunei untuk memeluk Islam dari semasa ke semasa.

Perkembangan Islam di Brunei juga boleh ditinjau dari aspek undang-undang. Ketika artikel ini sedang ditulis, Kerajaan Brunei sedang merancang untuk melaksanakan undang-undang Syariah dengan kanun keseksaan yang baru. Brunei sebenarnya sudah mula memperkenalkan undang-undang jenayah Islam secara berperingkat sejak 2014. Pada 29 Disember 2018, Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei melalui Jabatan Peguam Negara Brunei telah mengeluarkan makluman bahawa Arahan Kanun Keseksaan Syariah 2013 akan berkuat kuasa bermula 3 April 2019.

Arahan Kanun Keseksaan Syariah tersebut adalah undang-undang Syariah yang melaksanakan sepenuhnya hukum jenayah Islam yang terbahagi kepada hudud, qisas dan takzir. Tujuan undang-undang ini, selain daripada menghalang perbuatan jenayah dan mencegahnya agar tidak bertentangan dengan Islam, juga adalah untuk mendidik, menghormati dan melindungi semua hak secara sah dari individu, masyarakat atau warga negara tanpa mengira agama dan bangsa.

Gambar 13: Rakan penulis di Brunei, Saudara Samira (kanan) merupakan seorang mualaf berketurunan Dusun

Gambar 14: Bangunan Pusat Dakwah Islamiah Brunei Darussalam