Wednesday, May 30, 2018

Battambang: Suburnya Medan 'Dakwah bil Hal’

Oleh Wan Am

Kebanyakan daripada kita di Malaysia mungkin tidak pernah tahu tentang wilayah Battambang di Kemboja. Dari segi kedudukan geografi, Battambang terletak di bahagian barat laut negara tersebut (kira-kira 500 kilometer dari Phnom Penh) dan sebahagian kecil kawasannya bersempadan dengan Thailand. Dari segi ekonomi pula, Battambang adalah wilayah pengeluar beras terbesar di Kemboja. Malah, dikatakan beras yang dikeluarkan di wilayah ini sahaja mampu untuk menampung keperluan di seluruh negara tersebut.

Alhamdulillah, Battambang menjadi destinasi kembara dakwah saya pada 15 hingga 18 Mei 2018. Objektif utama kembara adalah untuk menziarahi sahabat saya, Puan Noor Erma Azila Mohd Pawzi dan suaminya yang menetap di sana dan telah membuka sebuah pusat pengajian bahasa Inggeris pada awal tahun 2018. Dari Kuala Lumpur, saya menaiki pesawat Airasia yang memakan masa selama dua jam dan turun di Siem Reap, bandar pelancongan di Kemboja yang terkenal dengan Angkor Wat. Terdapat beberapa cara untuk ke Battambang dari Siem Reap, sama ada dengan menaiki bas atau teksi, juga boleh menggunakan bot yang melintasi Tasik Tonle Sap. Namun untuk segera sampai di destinasi, saya memilih menggunakan teksi yang memakan belanja sebanyak USD40. Di sepanjang perjalanan saya berbual dengan pemandu teksi tersebut yang boleh berbahasa Melayu sambil menikmati pemandangan sawah padi yang luas terbentang. Selepas tiga jam perjalanan, akhirnya saya sampai di bandar Battambang. 

Battambang (Khmer: ក្រុងបាត់ដំបង; Batdâmbâng) bermaksud “kayu yang boleh ghaib”. Menurut lagenda mereka, pada zaman dahulu terdapat sebatang kayu yang dikatakan mempunyai kuasa ajaib dan dimiliki oleh seorang dukun yang memerintah Battambang secara zalim. Namun Battambang kemudiannya dibebaskan oleh seorang raja yang pada waktu itu sedang menuntut ilmu untuk menjadi seorang sami.

Gambar 1: Di hadapan bangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Siem Reap

Gambar 2: Suasana bandar Battambang, bandar ketiga terbesar di Kemboja

Gambar 3: Neak Ta Dambang Kragnoung, mercu tanda di jalan utama Battambang menuju ke Phnom Penh

Gambar 4: Suasana di salah sebuah pasar di bandar Battambang

Battambang mempunyai populasi penduduk melebihi sejuta orang. Majoriti warga Battambang terutamanya di luar bandar masih melakukan pekerjaan tradisi sebagai punca pendapatan harian seperti bertani dan menangkap ikan. Namun di sebelah bandar sudah ramai yang menceburi kerjaya profesional. Bandar Battambang juga semakin maju dengan adanya bangunan-bangunan dan kemudahan infrastruktur yang serba moden. Taraf pendidikan penduduk Battambang juga sudah bertambah baik dengan tertubuhnya banyak institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Namun, bandar Battambang suatu ketika dahulu pernah mempunyai lapangan terbangnya sendiri, tetapi kini sudah tidak lagi digunakan atas faktor ekonomi. 

Wilayah Battambang juga kaya dengan tempat-tempat menarik dan bersejarah untuk dikunjungi. Antaranya ialah kuil-kuil Buddha yang bersaiz besar dan telah berusia berabad-abad lamanya. Di bandar Battambang pula terdapat monumen-monumen lama era kolonial Perancis yang pernah menjajah Kemboja pada awal abad ke-20. Banyak lagi tarikan lain yang membuatkan begitu ramai pelancong dari luar Kemboja yang datang melawat Battambang. Para pelancong tersebut ada yang menaiki “Tuk-tuk” (antara pengangkutan awam yang popular di Kemboja), dan ada juga yang menyewa basikal untuk pergi ke lokasi-lokasi yang dituju. 

Rakan-rakan di Battambang turut membawa saya ke Pursat untuk menaiki Keretapi Buluh (Bamboo Train). Perjalanan ke Pursat dari bandar Battambang memakan masa hampir satu jam dengan menaiki Tuk-tuk, dengan kos perjalanan pergi dan balik sebanyak USD20. Untuk menaiki Keretapi Buluh tersebut, bayaran dikenakan sebanyak USD5 seorang. Kami menaiki keretapi bersaiz kecil yang bergerak dengan kelajuan 50 kilometer per jam sambil menyaksikan kawasan pertanian serta pemandangan indah bukit-bukau yang dilitupi pelbagai jenis flora nan hijau, selain keunikan rumah dan pondok tradisional yang dibina daripada buluh di hujung landasan. Kelihatan begitu ramai pengunjung sama ada dari dalam mahupun luar Kemboja yang datang bertandang ke sini. 

Oh ya, sepanjang saya berada di Kemboja, saya dapati segala transaksi jual beli adalah melibatkan penggunaan mata wang US Dollar. Walaupun mereka ada mata wang sendiri iaitu Riel, namun ia jarang sekali digunakan. Bila semua belanja dalam US Dollar, saya terasa sesak juga, apa lagi pada waktu ini nilai Ringgit Malaysia berada pada paras yang agak rendah. Bayangkan, sebotol minuman yang saya beli di sebuah pasar raya di bandar Battambang dengan harga USD1.70, nilainya adalah bersamaan dengan RM6.80. Padahal jika botol minuman yang sama dibeli di Malaysia, harganya tidaklah melebihi RM3.00.

Gambar 5: Bangunan Lapangan Terbang Battambang yang sudah lama terbiar dan tidak lagi digunakan

Gambar 6: Tuk-tuk, antara pengangkutan awam utama di Kemboja

Gambar 7: Pokok “Kngok” yang tumbuh di tepi jalan menuju ke Pursat

Gambar 8: Keretapi Buluh (Bamboo Train), antara lokasi pelancongan utama di Battambang

Gambar 9:  Panorama alam semula jadi yang indah di sepanjang perjalanan menaiki Keretapi Buluh

Gambar 10: Keunikan senibina rumah tradisional tempatan yang diperbuat daripada buluh

Gambar 11: Bersama Erma (kanan sekali) dan pelancong warga tempatan yang turut datang menaiki Keretapi Buluh

Kemboja adalah salah sebuah negara di dunia yang mempunyai ramai penganut agama Buddha. Dianggarkan lebih 95 peratus rakyat Kemboja adalah penganut agama tersebut, majoritinya bermazhabkan Buddha Theravada yang merupakan agama rasmi di Kemboja. Dianggarkan juga terdapat kira-kira 4,000 rumah ibadat agama Buddha di seluruh Kemboja. Tidak hairanlah sewaktu saya berada di bandar Battambang, saya dapati begitu banyak kuil dan pagoda Buddha yang didirikan dan jaraknya berdekatan antara satu sama lain. Di Battambang, Lebih kurang 70 peratus penduduknya adalah beragama Buddha. 

Theravada adalah salah satu mazhab dalam agama Buddha, selain Mahayana dan Vajrayana. Selain Kemboja, negara-negara lain yang turut menjadikan Buddha Theravada sebagai agama utama ialah Sri Lanka, Laos, Myanmar dan Thailand. Walaupun ajaran Theravada dianggap konservatif, namun ajaran ini juga dikatakan paling hampir dengan ajaran Sidharta Gautama Buddha yang sebenarnya. Perbezaan Theravada dengan mazhab Buddha yang lain boleh dilihat antara lain dari segi kedudukan Buddha, cara peribadatan, bahasa kitab, pakaian sami, pemakanan daging dan patung di rumah ibadat. 

Di Battambang juga terdapat orang-orang Islam dalam kalangan warga tempatan yang mewakili lima peratus penduduk. Majoriti daripada mereka adalah daripada suku Cham yang sedikit sebanyak boleh berbahasa Melayu. Difahamkan kebanyakan daripada mereka berasal dari Phnom Penh, namun terpaksa melarikan diri ke Battambang akibat kekejaman pemerintahan Pol Pot suatu ketika dahulu. 

Di bawah pentadbiran kerajaan sekarang yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Hun Sen, komuniti Islam di Kemboja dapat hidup dan melaksanakan ibadat mereka dengan lebih aman dan harmoni. Dikhabarkan Hun Sen begitu mengambil berat akan kebajikan umat Islam di sana, walaupun beliau adalah penganut Buddha. Keterbukaan beliau jelas terbukti dengan berkembangnya pelbagai syiar Islam di Kemboja seperti sambutan perayaan Islam secara besar-besaran, kebenaran wanita Islam untuk bertudung di premis kerajaan, peningkatan ahli jemaah haji dari tahun ke tahun, pembayaran gaji kepada guru-guru sekolah Islam dan lain-lain lagi. 

Sewaktu berada di Battambang, saya dibawa melawat perkampungan khas orang-orang Islam yang terletak di tepi Sungai Sangkae. Rumah-rumah mereka dibina di sepanjang jalan utama di kampung tersebut. Di situ turut didirikan Masjid Nurul Islam yang bersaiz sederhana besar dan boleh memuatkan kira-kira 500 hingga 800 orang jemaah pada satu-satu masa. Sudah pasti masjid ini menjadi tempat ibadat dan pusat kegiatan agama Islam yang utama di kampung berkenaan. 

Gambar12: Di hadapan Pagoda Prpetraram di bandar Battambang

Gambar 13: Pagoda Sangkae, sebuah lagi pagoda Buddha yang terletak berhampiran Sungai Sangkae

Gambar 14: Di tepi Sungai Sangkae, sungai yang menjadi laluan utama pengangkutan air di Battambang

Gambar 15: Masjid Nurul Islam, masjid yang dilawati oleh penulis di perkampungan Muslim di Battambang

Gambar 16: Di dalam dewan solat Masjid Nurul Islam

Gambar 17: Bersama Saudara Salim, warga Battambang yang beragama Islam dan boleh berbahasa Melayu

Alhamdulillah, di bandar Battambang saya menyaksikan sendiri usaha khidmat masyarakat yang digerakkan oleh Puan Erma dan suaminya. Melalui penubuhan International British English Center (IBEC), mereka mempunyai misi untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan warga Battambang, khususnya anak-anak muda. Justeru promosi mereka tertumpu kepada pelajar-pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi di bandar tersebut. 

Setelah dua bulan beroperasi, lebih 60 orang telah mendaftar di IBEC, kebanyakannya adalah pelajar di University of Battambang (UBB) yang terletak kira-kira tiga kilometer dari IBEC. Nampaknya mereka begitu gembira dengan pendekatan pembelajaran yang dilaksanakan oleh guru-guru di IBEC. Alhamdulillah, saya juga mendapat peluang untuk mengendalikan satu sesi khas bertajuk “The Techniques of Public Speaking” kepada pelajar-pelajar tersebut. 

Sebenarnya matlamat penubuhan IBEC adalah jauh lebih besar. Sebagai insan yang sangat komited dengan dakwah, Puan Erma berhasrat menjadikan IBEC sebagai platform untuk mendekatkan warga tempatan kepada agama Islam. ‘Dakwah bil hal’ (dakwah melalui contoh teladan dan akhlak yang baik) menjadi keutamaan mereka berbanding dakwah secara lisan. Sudah pasti ia adalah pendekatan yang lebih efektif memandangkan suasana di Kemboja yang majoriti besar penduduknya adalah bukan Muslim.

Menurut Erma, hubungan di dalam dan di luar kelas yang akrab telah membuatkan para pelajar di IBEC semakin mengenali Islam secara tidak langsung dari hari ke hari. Keadaan tersebut turut menimbulkan minat sebahagian kecil daripada mereka yang mula bertanya mengenai Islam. Sewaktu berada di sana, saya sendiri ada ditanya soalan, “Mengapa wanita Islam perlu menutup kepala (berhijab)?” Sudah pasti soalan sebegini perlu dijawab dengan penuh hikmah. 

Lebih menarik, ketika saya dan guru-guru yang beragama Islam hendak berbuka puasa pada hari pertama Ramadhan saya di Battambang, pelajar-pelajar IBEC turut menyertai kami. Ketika saya membaca doa makan, mereka turut menadah tangan berdoa bersama-sama kami. Secara spontan terlintas di fikiran saya, “Begitu subur medan dakwah di sini..”

Melalui pelajar-pelajar ini juga saya belajar tentang budaya memberi hormat dalam masyarakat mereka yang dipanggil “Sompeah”. Ketika bertemu dan berpisah, kita akan merapatkan dua tapak tangan kita dengan badan sedikit menunduk. Tangan yang dirapatkan pula diangkat pada paras yang berbeza mengikut taraf orang yang kita jumpa. Tidak ada budaya berjabat tangan dalam masyarakat mereka, sama ada sesama jantina mahupun berlainan jantina. 

Gambar 18: Di hadapan bangunan IBEC di bandar Battambang yang diusahakan oleh Erma dan suaminya

Gambar 19: Bersama sebahagian pelajar dan guru di IBEC

Gambar 20: Suasana pembelajaran di IBEC

Gambar 21: Di hadapan University of Battambang, kebanyakan pelajar IBEC menuntut sepenuh masa di sini

Saya berdoa kepada Tuhan, semoga usaha dakwah Erma dan suaminya serta guru-guru di IBEC sentiasa dipermudahkan-Nya. Untuk meraih hasil dakwah yang diharapkan, sudah pasti mereka perlu mengambil kira faktor masa dan tidak melakukannya secara tergesa-gesa. Ia bersesuaian dengan satu kaedah dakwah yang menyebut, “Barangsiapa yang memetik hasil sebelum tiba masanya maka dia terhalang untuk mendapatkannya”. 

Ibarat doktor yang berhadapan dengan pesakitnya. Tidak pernah sekalipun seorang doktor mengatakan, “Buatlah sekali rawatan sahaja, nanti kamu akan sembuh.” Tetapi biasanya yang dinasihatkan oleh mereka ialah “Buatlah berkali-kali rawatan, selepas beberapa tempoh pasti kamu akan sembuh.” Begitulah seharusnya sikap pendakwah, perlu sentiasa bersabar dan mengambil peduli faktor masa dalam “merawat” orang yang didakwahkannya.