Saturday, October 14, 2017

Seoul: Debaran yang Tidak Mungkin Dilupakan!

Oleh Wan Am

Keberadaan saya di Seoul pada 24 hingga 27 Februari 2017 meninggalkan beberapa pengalaman yang tidak ternilai buat diri saya. Peluang menziarahi Masjid Sentral Seoul dan berkenalan dengan rakan-rakan pendakwah di Korea Selatan secara tidak langsung menjelaskan cabaran perkembangan agama Islam di sana. Melewati waktu malam pada hujung minggu di daerah Itaewon juga mengesahkan realiti masyarakat dan anak-anak muda Korea Selatan yang selama ini hanya diikuti di kaca televisyen dan media sosial. Paling mengesankan hati nurani saya ialah peristiwa “kehilangan” beg galas yang berisi barangan berharga sebaik sahaja menjejakkan kaki di bandaraya Seoul! Insya-Allah, segala pengalaman tersebut akan saya coretkan dalam penulisan ini.

Pada awal dekad 2000-an, drama bersiri “Winter Sonata” menjadi bahan tontonan jutaan manusia, bukan sekadar di Korea Selatan bahkan di seluruh dunia. Drama ini tidak ketinggalan menjadi buah mulut kebanyakan rakyat Malaysia. Bahkan lagu tema drama tersebut menjadi siulan ramai sehingga turut dialih bahasa ke bahasa Melayu yang dilantunkan oleh penyanyi Hazami.

Saya turut mengikuti drama tersebut (serta beberapa drama lain) dan merasakan drama-drama Korea Selatan ada kekuatannya yang tersendiri. Selain jalan cerita dan plot yang tidak stereotype, drama-drama mereka juga kaya dengan sinematografi yang sangat menarik. Lokasi-lokasi indah di Korea Selatan yang mengalami iklim empat musim dijadikan ‘senjata’ untuk menambat hati penonton. Terdedah dengan pemandangan indah melalui drama-dramanya membuatkan hati saya (pada waktu itu) terdetik untuk memasang niat, moga-moga suatu hari nanti saya mendapat peluang untuk melihat negara Korea Selatan dengan lebih dekat.

Rupa-rupanya Allah mengabulkan hasrat ini setelah berlalu lebih satu dasawarsa. Dipilih oleh pihak majikan iaitu Hidayah Centre Foundation (HCF) untuk bertaaruf dengan pendakwah-pendakwah di Korea Selatan adalah satu nikmat yang amat saya syukuri. Saya kini bukanlah peminat tegar drama Korea Selatan. Maka kunjungan saya ke sana bukanlah semata-mata untuk menyaksikan keindahan dan kemodenan negara tersebut, tetapi amanah yang tergalas adalah lebih besar iaitu berkongsi misi Islam sebagai rahmat buat seluruh alam. Jika ada perkara lain yang dicapai, itu saya anggap sebagai bonus.

Dua orang ahli persatuan Salam Nuri (sebuah organisasi Islam di Korea Selatan) menyambut ketibaan saya di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon pada petang Jumaat, 24 Februari 2017. Mereka lantas membawa saya menaiki bas awam menuju ke bandaraya Seoul yang terletak kira-kira 70 kilometer dari lapangan terbang. Sebenarnya pada waktu kedatangan saya ke Seoul, sedang hangat di Malaysia isu pembunuhan Kim Jong Nam, iaitu abang tiri kepada pemimpin utama Korea Utara, Kim Jong Un. Maka sepanjang perjalanan saya dapati siaran televisyen di dalam bas yang kami naiki tidak henti-henti menayangkan liputan kes tersebut.

Kira-kira satu jam kemudian, bas mula memasuki bandaraya Seoul. Inilah bandaraya yang pernah menjadi tuan rumah kepada beberapa kejohanan sukan bertaraf dunia, antaranya Sukan Olimpik Musim Panas 1988 dan Piala Dunia FIFA 2002. Bangunan-bangunan pencakar langit tersergam megah di sana sini, membuktikan kemajuan pesat yang sedang dialami oleh Korea Selatan pada masa kini, setanding dengan negara-negara maju yang lain. Bilangan kenderaan juga agak banyak pada masa ini yang menyebabkan aliran trafik menjadi sibuk.

Gambar 1: Di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, antara lapangan terbang paling besar dan sibuk di Asia

Akhirnya bas tiba di destinasi kami di Itaewon. Dengan pantas kami meluru keluar bas, dan saya mengambil bagasi yang ditempatkan di bahagian bawah bas. Setelah berjalan beberapa langkah sambil berbual dengan rakan yang berasal dari Kazakhtan, tiba-tiba saya teringat sesuatu. Masya-Allah, saya tertinggal beg galas di dalam bas! Saya dan rakan cuba mengejar bas tersebut, namun nasib tidak menyebelahi kami. Debaran hati saya mula berdegup kencang. Di dalam beg galas tersebut terdapat komputer riba dan paling utama, passport!

Melihatkan saya yang begitu bimbang, rakan saya memujuk, "Jangan risau, barang awak selamat, insya-Allah. Orang Korea baik-baik.." Sementara rakan saya yang seorang lagi begitu bersungguh-sungguh menghubungi pihak syarikat bas tersebut untuk memberitahu kejadian tersebut. Lebih kurang setengah jam kemudian, ketika makan malam di sebuah restoran halal berdekatan Seoul Central Mosque, rakan saya memberitahu bahawa beg galas saya telah dijumpai dan perlu diambil di lapangan terbang pada keesokan harinya. Lega sedikit hati saya. 

Namun hanya Tuhan yang tahu bahawa sepanjang malam tersebut betapa saya "makan tak kenyang, tidur tak lena" memikirkan kehilangan beg galas tersebut. Bayangan isteri dan anak-anak menerjah dalam ingatan. Kerisauan melanda kerana walaupun mungkin beg tersebut dijumpai, adakah barang-barang berharga masih ada di dalam beg tersebut? Doa kepada Allah dipanjatkan, semoga beg tersebut masih dalam keadaan asal.

Keesokan paginya selepas solat Subuh, saya bergegas bersendirian ke lapangan terbang dengan menaiki bas. Tiba di sana, saya lantas menuju ke kaunter "Lost and Found". Beg galas saya tiada di situ! Debaran kembali kuat terasa. 

Saya menghubungi rakan untuk memaklumkan situasi tersebut. Beberapa minit kemudian dia menghubungi saya semula dan meminta saya pergi ke bahagian "Help Desk". Setelah bercakap dengan pihak syarikat bas, saya diminta untuk menunggu sebuah bas yang akan tiba beberapa minit lagi dengan membawa beg tersebut. Debaran saya berakhir apabila melihatkan beg tersebut akhirnya kembali ke tangan saya dengan selamat, tiada apa-apa yang hilang. Alhamdulillah, syukur kepada-Mu ya Allah.

Gambar 2: Menaiki bas seawal jam 6.00 pagi menuju ke lapangan terbang, mencari beg yang hilang

Gambar 3: Beg galas penulis yang dijumpai semula, alhamdulillah!

Melalui peristiwa ini, mungkin terlalu mudah jika saya menyimpulkan bahawa orang-orang Korea mempunyai sifat jujur. Mungkin memerlukan lagi beberapa peristiwa yang sama yang berlaku di hadapan mata, barulah saya boleh beranggapan demikian. Namun hakikatnya apabila saya berkongsi kisah ini di Facebook peribadi saya, ramai rakan yang memberikan maklum balas positif dan mengatakan orang-orang Korea secara umumnya boleh dipercayai. Itu sudah cukup menjadi bukti bahawa nilai murni ini ada dalam budaya masyarakat mereka walaupun kita mengetahui mereka secara majoritinya bukan penganut Islam. Dan tiada salahnya jika nilai sebegini dicontohi oleh masyarakat Muslim khususnya di negara kita. 

Pada pagi tersebut juga Pengerusi HCF, Tuan Haji Nicholas Sylvester Muhammad Abdullah tiba dari Kuala Lumpur. Bersama beliau, saya kembali semula ke Seoul dengan menaiki kereta yang dipandu oleh sahabat kami iaitu Saudara Ameen Bae, seorang rakyat Korea Selatan yang beragama Islam dan merupakan penggerak Salam Nuri. Sebelum kehadiran kami ke Seoul, Saudara Ameen telah terlebih dahulu mengunjungi ibu pejabat HCF dan memperkenalkan Salam Nuri kepada kami sewaktu beliau berada di Kuala Lumpur.

Gambar 4: Bersama Saudara Ameen Bae, penggerak Salam Nuri

Kami tiba di perkarangan Masjid Sentral Seoul di Yongsan-gu, Itaewon sebelum menjelang tengahari. Di sini kami akan mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli Salam Nuri. Sebelum program bermula, saya mengambil kesempatan untuk meninjau bangunan masjid tersebut dan keadaan persekitarannya. Sambil mengambil sekeping dua gambar di hadapan masjid, saya turut memerhatikan begitu ramai pelancong yang datang melawat masjid ini. Pastilah ia menjadi salah satu lokasi tumpuan bagi mereka yang datang berkunjung ke Seoul.

Masjid Sentral Seoul dibuka secara rasminya pada 21 Mei 1976. Ia adalah masjid tertua di Korea Selatan. Saiz masjid ini tidaklah terlalu besar, namun bersesuaian dengan bilangan umat Islam yang minoriti di sana. Jelas terpampang di hadapan bangunan masjid tulisan “Allahu Akbar”. Kalaulah ada orang bukan Islam yang mengunjungi masjid tersebut bertanya apakah maksud perkataan tersebut, sudah pasti ia menjadi peluang untuk kita menceritakan tentang Allah, Tuhan sekalian alam. 

Malangnya saya melihat tiada kumpulan orang-orang Islam yang menyambut kedatangan pelancong-pelancong yang majoritinya bukan Muslim. Memang ada seorang pegawai masjid yang bertugas untuk memberi penerangan tentang masjid, namun ia tidak mencukupi untuk menampung kehadiran para pengunjung yang ramai dan silih berganti. Hal ini nampaknya boleh saya majukan kepada pihak Salam Nuri dalam pertemuan dengan mereka nanti. Jika mendapat keizinan pihak masjid dan sesuai dengan suasana dakwah di negara tersebut, satu pasukan “Mosque Tour Guide” wajar dibentuk bagi melaksanakan tugasan meraikan kedatangan para pelancong ke Masjid Sentral Seoul khususnya bukan Muslim.

Gambar 5: Di hadapan Masjid Sentral Seoul, masjid tertua di Korea Selatan

Di dalam kawasan Masjid Sentral Seoul saya dapati terdapat sebuah sekolah yang didirikan khusus memberikan pendidikan Islam kepada anak-anak Muslim di Seoul. Prince Sultan Islamic School yang dibuka pada tahun 2001 adalah hasil inisiatif Korea Muslim Federation (KMF) dan mendapat pembiayaan daripada Putera Mahkota Kerajaan Arab Saudi, Sultan bin Abdul Aziz. Selain pembelajaran untuk kanak-kanak, kelas-kelas turut diadakan di sekolah ini pada hujung minggu untuk orang Islam dewasa di Seoul mendalami ilmu Al-Quran, Hadis dan Fikah.

Dari perkarangan Masjid Sentral Seoul juga saya dapat melihat hampir keseluruhan bandaraya Seoul. Hal ini disebabkan kedudukan masjid ini yang terletak di atas bukit. Suasana Seoul yang biasa ditonton melalui drama Korea di televisyen, kini jelas di hadapan mata. Inilah bandaraya yang menjadi tonggak kepada kemajuan negara Korea Selatan dalam pelbagai bidang. Malah inilah juga pusat industri muzik K-Pop yang kian dikenali dan trending di seluruh dunia!

Kedudukan Masjid Sentral Seoul yang terletak di atas bukit juga membuatkan perjalanan kami (saya, Tuan Haji Nicholas dan Tuan Haji Adam Said) ke masjid tersebut untuk menunaikan solat fardhu Subuh secara berjemaah terasa sedikit mencabar. Lokasi penginapan kami di Itaewon sebenarnya tidaklah terlalu jauh dari kawasan masjid, namun disebabkan perlu ‘mendaki bukit’ membuatkan perjalanan kami yang berjalan kaki menjadi sedikit lambat. Terasa mengah juga dibuatnya. Ditambah pula dengan suhu di bawah 0 darjah celcius yang begitu menusuk ke tulang.  

Gambar 6: Prince Sultan Islamic School, sekolah Islam yang terletak di dalam kawasan Masjid Sentral Seoul

Gambar 7: Bas rasmi milik Prince Sultan Islamic School

Gambar 8: Pemandangan bandaraya Seoul dari perkarangan Masjid Sentral Seoul

Gambar 9: Tangga curam yang kami lalui untuk berulang-alik ke Masjid Sentral Seoul dari tempat penginapan

Gambar 10: Suasana Subuh di dalam Masjid Sentral Seoul 

Gambar 11: Pagi yang hening di Itaewon-ro

Malam minggu di Seoul, saya mengambil kesempatan bersiar-siar di deretan kedai di sepanjang Itaewon-ro. Seperti biasa, jika ke luar negara, seboleh mungkin saya akan mencari sesuatu yang boleh dijadikan ole-ole untuk dibawa pulang dan dihadiahkan kepada ahli-ahli keluarga. Di beberapa kedai yang saya singgah, saya mengambil peluang untuk mengucapkan “Annyeonghasaeyo!” kepada jurujual kedai-kedai berkenaan. Hanya itu sahaja perkataan dalam bahasa Korea yang saya tahu, namun bagi saya cukup untuk memulakan komunikasi yang lebih baik dengan mereka.

Pada malam itu juga saya dapati warga tempatan, khususnya anak-anak muda membanjiri restoran-restoran di sepanjang Itaewon-ro. Begitu ramai bilangan mereka hinggakan saya melihat ada yang sanggup beratur panjang dan menunggu giliran untuk memasuki restoran. Tidak kurang juga kelab-kelab malam yang sarat dengan pengunjung yang bersosial hingga awal pagi. Sewaku kami menyusuri Itaewon-ro untuk menunaikan solat Subuh di Masjid Sentral Seoul pada pagi Ahad, kami berselisih dengan orang-orang yang sedang mabuk, malah ada yang bergelimpangan di tepi jalan. Sudah pasti minuman keras menjadi sebahagian hidangan mereka sepanjang malam.

Sememangnya arak tidak dapat dipisahkan dengan masyarakat di Korea Selatan. Bagi mereka, budaya minum Soju (sejenis minuman beralkohol yang popular) adalah antara cara yang dapat mengeratkan hubungan sosial. Jika kita menonton drama Korea, kita akan dapati babak yang biasa dipaparkan ialah aktiviti minum Soju di antara majikan dan pekerja, pasangan kekasih, juga sesama ahli keluarga dan rakan-rakan. 

Gambar 12: Bersendirian menyusuri Itaewon-ro pada malam minggu

Bagaimana agaknya situasi dan perkembangan Islam di Korea Selatan? Pertemuan mahabbah antara kami dengan pihak Salam Nuri sedikit sebanyak merungkai persoalan ini. Salam Nuri merupakan sebuah organisasi Islam yang ditubuhkan bertujuan memperkenalkan Islam kepada masyarakat serta membimbing saudara baharu di Korea Selatan. Nama Salam Nuri adalah gabungan perkataan Arab “Salam” dan perkataan Korea “Nuri” yang membawa makna “Peacefull World”. Bagi menjayakan matlamat organisasi mereka, banyak aktiviti yang dijalankan sama ada dalam bentuk seminar, bengkel, konferens, perkhemahan belia, pameran dan sebagainya. Kebanyakan penggerak Salam Nuri adalah terdiri daripada rakyat asing yang menuntut dan bekerja di Korea Selatan.

Mengikut statistik semasa, jumlah umat Islam di Korea Selatan begitu minoriti, sekitar 0.2 peratus daripada jumlah 51.25 juta penduduk (Bank Dunia, 2016). Namun bilangan umat Islam dilihat berkembang dari semasa ke semasa, antaranya disebabkan semakin ramai imigran Muslim yang datang dan bermastautin di Korea Selatan. Statistik yang dikeluarkan oleh Korea Tourism Organization (KTO) memaparkan bilangan pelawat Muslim dari negara luar pada tahun 2016 meningkat sebanyak 33 peratus berbanding tahun 2015.

Usaha menyampaikan Islam di Korea Selatan tidak mudah. Antara cabaran paling besar yang dihadapi oleh para pendakwah di sana ialah begitu meluasnya salah faham dalam masyarakat bukan Islam di Korea Selatan mengenai Islam. Media menonjolkan Islam dari sisi yang negatif, sehingga turut menimbulkan ketakutan kepada mereka bila mana Islam digambarkan sebagai agama yang membawa keganasan. Mereka masih tidak melupakan peristiwa 9-11 yang pada anggapan mereka dicetuskan oleh teroris Islam. Ada juga wanita Islam warga asing di Korea Selatan yang diminta untuk kembali ke negara asal mereka jika ingin terus bertudung!

Namun media juga sebenarnya boleh dimanfaatkan untuk usaha dakwah di Korea Selatan, terutamanya media sosial. Statistik menunjukkan bahawa 45 juta rakyat Korea Selatan adalah pengguna internet, yang mana 83 peratus daripadanya adalah pengguna aktif media sosial. Malah dikhabarkan Korea Selatan adalah satu-satunya negara di dunia yang mempunyai capaian internet di setiap pelusuknya. Jika anda berada di Korea Selatan, sama ada di desa mahupun di kota, sama ada di dalam premis mahupun di dalam pengangkutan awam, peluang anda untuk mendapat liputan 3G atau 4G adalah besar. Begitu terkehadapannya Korea Selatan dalam teknologi media sosial juga terbukti dengan wujudnya rangkaian media sosial mereka sendiri seperti Daum, KakaoStory dan KakaoTalk dan mereka tidak terlalu bergantung kepada Google, Facebook dan Whatsapp.

Alhamdulillah, kini sudah semakin ramai warga Korea Selatan yang kembali kepada agama fitrah. Antara mereka juga termasuk golongan selebriti yang mempunyai ramai pengikut. Kisah Ayana Moon, seorang artis terkenal yang memeluk Islam dan berhijab telah diketahui ramai. Begitu juga dengan Lee Woon-jae, bekas penjaga gol utama pasukan bolasepak Korea Selatan yang bersyahadah pada tahun 2004. Semoga langkah mereka ini dapat menarik lebih ramai lagi orang-orang Korea Selatan yang majoritinya beragama Kristian dan Buddha untuk mendekati dan lebih memahami ajaran Islam. 

Gambar 13: Bersama ahli-ahli Salam Nuri 

Gambar 14: Presiden Salam Nuri, Dr. Mohamed Nour-El-Din yang berasal dari Mesir

Gambar 15: Tuan Haji Nicholas Sylvester membuat perkongsian tentang Hidayah Centre Foundation

Gambar 16: Saudari Azram Kim (berkaca mata), seorang Muslimah warga Korea Selatan yang aktif dengan Salam Nuri

Gambar 17: Penulis mengendalikan perbincangan mengenai Program Jelajah Masjid

Gambar 18: Makanan Arab, antara menu utama kami sepanjang berada di Seoul

Friday, October 13, 2017

Manama: Masjid Sebagai Pusat Dakwah

Oleh Wan Am

Program Jelajah Masjid (Mosque Tour Program) yang menyasarkan golongan bukan Muslim bukanlah suatu usaha yang baharu di Malaysia. Di masjid-masjid besar dan terkenal di negara kita seperti Masjid Negara, Masjid Jamek, Masjid Putra, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Shah Alam) dan Masjid Wilayah, Program Jelajah Masjid ini telah pun dilaksanakan lebih sedekad yang lepas yang dirintis oleh rakan-rakan pendakwah daripada Islamic Outreach ABIM (IOA). Masjid-masjid tersebut sememangnya menjadi lokasi persinggahan para pelancong yang datang dari seluruh dunia. Maka aktiviti seumpama Program Jelajah Masjid begitu signifikan bagi memanfaatkan kehadiran mereka ke masjid, lebih-lebih lagi menjayakan misi Islam sebagai agama rahmat untuk semua manusia.

Walau bagaimanapun, Program Jelajah Masjid ini masih belum begitu popular di masjid-masjid kariah (local mosques) di negara kita. Kebanyakan masjid kariah masih menfokuskan aktivitinya hanya untuk pembangunan umat Islam sahaja. Walhal jika fungsi masjid dapat dimanfaatkan sebaiknya sebagai pusat penyebaran agama Islam, aktiviti seperti Program Jelajah Masjid ini boleh dianjurkan di masjid-masjid kariah yang menyasarkan golongan bukan Muslim warganegara. Bagi masjid-masjid kariah yang sudah biasa menganjurkan Hari Terbuka Masjid, program seperti ini boleh diluaskan jenis aktivitinya supaya masyarakat bukan Islam juga boleh menyertainya.

Hidayah Centre Foundation (HCF) sebagai sebuah organisasi yang menjadikan dakwah kepada masyarakat bukan Islam sebagai bidang utamanya, melihat bahawa masjid kariah adalah salah satu platform yang sesuai untuk menyampaikan mesej Islam. HCF komited untuk menjalankan Program Jelajah Masjid dengan lebih giat lagi di masjid-masjid kariah di seluruh negara supaya lebih ramai bukan Muslim warganegara mendapat kefahaman yang benar mengenai agama Islam. Bagi menjayakan usaha ini, pasukan pendakwah yang terlatih melalui Program Jelajah Masjid perlu diwujudkan agar mesej Islam dapat disampaikan dengan lebih berkesan. HCF sendiri melihat peluang dakwah melalui Program Jelajah Masjid begitu subur kerana kebanyakan pihak pentadbiran masjid kariah pada masa kini begitu terbuka dan sedia bekerjasama dalam penganjuran program ini.

Bagi memantapkan perencanaan dan pelaksanaan Program Jelajah Masjid anjuran HCF pada masa hadapan, pada 28 Disember 2016 hingga 10 Januari 2017, saya bersama tiga orang lagi kakitangan HCF iaitu Saudara Faiq, Saudari Erma dan Saudari Naajihah telah mengikuti kursus dakwah di Manama, Bahrain bagi mendalami ilmu dan kemahiran menyampaikan Islam melalui Program Jelajah Masjid. Kursus yang dinamakan “Awareness Through Mosque Tour” atau ATMT ini dianjurkan oleh Discover Islam Bahrain, sebuah badan bukan kerajaan di Bahrain yang aktif dalam dakwah kepada masyarakat bukan Islam dan mempunyai banyak pengalaman berkaitan Program Jelajah Masjid. Semoga penglibatan kami dalam kursus ATMT ini akan sedikit sebanyak membantu usaha HCF dalam menggerakkan Program Jelajah Masjid dengan lebih rancak di masjid-masjid kariah di seluruh negara selepas ini.

Sedikit maklumat mengenai Bahrain. Bahrain adalah sebuah negara pulau di Teluk Parsi (Timur Tengah), berjiran dengan Arab Saudi dan Qatar. Saiz negara Bahrain kecil sahaja, persis negara Singapura. Dengan perjalanan menaiki kereta, dari utara ke selatan Bahrain boleh mengambil masa kira-kira 45 minit, manakala dari timur ke barat kira-kira 30 minit.

Bahrain adalah sebuah negara yang amat kukuh kedudukannya dari segi ekonomi. Hal ini kerana Bahrain terletak di rantau yang kaya dengan sumber minyak. Sewaktu kedatangan saya dan rakan-rakan di Bahrain, kadar tukaran mata wang Ringgit Malaysia (RM) ke Dinar Bahrain (DB) ialah 1 DB bersamaan RM12.00. Pada awalnya saya berfikir panjang juga jika ingin berbelanja di sana. Namun, dengan sedikit wang saku yang diberikan oleh pihak penganjur sewaktu kami sedang berkursus, dapatlah kami membeli cenderamata dan buah tangan untuk dibawa pulang. Sambil berkursus, kami juga diberi peluang bersiar-siar melihat persekitaran dan pembangunan negara Bahrain, khususnya di bandar Manama. 

Gambar 1: Bersama rakan-rakan dari Hidayah Centre Foundation yang mengikuti kursus di Manama, Bahrain

Gambar 2: 100 Residence, pangsapuri penginapan kami selama 10 hari di Bahrain

Gambar 3: Berjalan kaki melewati bandar Manama pada hari pertama di Bahrain

Gambar 4: Bab Al Bahrain, lokasi bersejarah di Manama yang menempatkan ratusan premis perniagaan

Gambar 5: Di dalam City Centre Bahrain, kompleks membeli-belah terbesar di Bahrain yang dibuka pada tahun 2008

Gambar 6: Di hadapan Dragon City, kompleks membeli-belah di Muharraq yang bercirikan senibina Cina dan menjual produk-produk dari China

Gambar 7: Menunggang “Raja Padang Pasir” di Desert Camp

Dari segi demografi, majoriti penduduk Bahrain adalah beragama Islam. Selain Muslim Sunni, Bahrain turut dihuni penganut Syiah yang agak besar jumlahnya. Saya difahamkan oleh rakan di Bahrain, secara tidak rasmi penganut Syiah adalah lebih ramai berbanding Muslim Sunni. Masjid-masjid Syiah juga didirikan di tengah-tengah bandar Manama. Namun, pemerintah Bahrain adalah Muslim Sunni yang cenderung kepada mazhab Maliki.

Di Bahrain juga terdapat penduduk yang bukan beragama Islam. Mereka membentuk hampir 20 peratus daripada keseluruhan penduduk di Bahrain (mengikut banci tahun 2001). Kebanyakan daripada mereka adalah warga asing dari negara bukan Islam seperti Filipina dan Sri Lanka yang datang bekerja di Bahrain. Keberadaan mereka di Bahrain nampaknya dimanfaatkan sebaiknya oleh badan-badan dakwah di negara tersebut yang berusaha menyampaikan Islam kepada mereka.

Antara badan dakwah yang bergiat cergas dalam lapangan dakwah di Bahrain ialah Discover Islam Bahrain (DIB). Sejak ditubuhkan pada tahun 1988 oleh sekumpulan ahli perniagaan, DIB sehingga kini terus aktif memberikan penerangan dan pendidikan mengenai Islam kepada masyarakat pelbagai agama di dalam dan luar Bahrain. Selain Program Jelajah Masjid yang berpusat di Masjid Al-Fateh, DIB turut mengadakan aktiviti dakwah di lapangan (street dakwah) di kawasan-kawasan awam, malah pusat penerangan Islam (Islamic Information Centre) juga diwujudkan di kawasan tumpuan orang ramai seperti di kompleks membeli-belah Dragon City di Muharraq. Tidak ketinggalan, DIB juga giat menerbitkan bahan-bahan dakwah sama ada berbentuk media cetak mahupun elektronik yang merangkumi pelbagai topik penting mengenai Islam dalam pelbagai bahasa.

Melalui usaha dakwah DIB serta badan-badan dakwah yang lain, tidak sedikit daripada mereka yang bukan Muslim di Bahrain telah kembali kepada agama fitrah. Malah, dikhabarkan lebih 300% peningkatan bilangan pengislaman di seluruh Bahrain antara tahun 2015 dan 2016. Bagi golongan mualaf, kelas-kelas bimbingan dianjurkan oleh DIB bagi mengukuhkan akidah dan kehidupan mereka berlandaskan syariat Islam.

Gambar 7: Penulis di hadapan pejabat Discover Islam Bahrain (DIB) di Manama

Gambar 8: Pendakwah dan sukarelawan DIB yang terlibat dalam aktiviti dakwah di lapangan

Gambar 9: Menziarahi Pusat Penerangan Islam di bawah kelolaan DIB di Dragon City

Gambar 10: Antara bahan-bahan dakwah yang diterbitkan oleh DIB

Alhamdulillah, sepanjang 10 hari di Bahrain, saya berpeluang menjejaki beberapa buah masjid, antaranya Masjid Abu Bakr, Masjid Bait Al-Quran, Masjid Sheikh Isa dan Masjid Yateem. Namun masjid paling popular di Bahrain ialah Masjid Al-Fateh yang terletak di Juffair, Manama. Inilah juga destinasi pertama kami sebaik sahaja sampai di Bahrain. 

Masjid Al-Fateh mula dibina pada tahun 1984 dan dibuka secara rasminya empat tahun kemudian. Masjid ini sebenarnya adalah salah satu bangunan utama di dalam kompleks yang dinamakan Ahmed Al-Fateh Islamic Centre. Al-Fateh adalah gelaran kepada Sheikh Ahmed bin Mohammed bin Khalifah yang merupakan pemerintah pertama negara Bahrain. Dengan keluasan 6500 meter persegi dan boleh memuatkan sehingga 7000 ahli jemaah pada satu-satu masa, Masjid Al-Fateh diiktiraf sebagai salah satu masjid terbesar di dunia. 

Mana-mana mata yang memandang Masjid Al-Fateh pasti akan berasa takjub dengan keindahan dan keunikan seni binanya. Tambah menarik, bahagian serta hiasan di dalam masjid diperbuat daripada bahan-bahan yang datang dari pelbagai negara. Misalnya, lantai masjid diperbuat daripada marmar dari Itali, permaidani masjid didatangkan dari Ireland, pintu masjid diperbuat daripada kayu bernilai tinggi dari India, 12 buah tingkap kaca buatan Iran, dan lampu-lampu yang bergemerlapan dari Austria dan Perancis yang menghiasi dewan solat masjid. 

Dengan ciri-ciri tersebut, tidak hairanlah Masjid Al-Fateh menjadi salah satu destinasi ‘wajib’ bagi para pelancong yang berkunjung ke Bahrain. Setiap kali saya berada di masjid tersebut, saya melihat tidak putus-putus pelancong asing melawat masjid ini yang dibuka setiap hari (kecuali hari Jumaat), antara jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang. Kehadiran mereka disambut mesra oleh para petugas dan sukarelawan masjid yang sememangnya telah dilatih melalui modul ATMT dan menguasai beberapa bahasa seperti bahasa Inggeris, Perancis, Filipina dan Rusia. Sambil berkongsi maklumat mengenai masjid, para sukarelawan turut mengambil peluang menyampaikan maklumat mengenai Islam. Dengan cara tersebut, para pengunjung terutamanya yang bukan beragama Islam sekurang-kurangnya mempunyai pengetahuan asas mengenai Allah dan Nabi Muhammad s.a.w. sebelum meninggalkan masjid tersebut.

Gambar 11: Penulis di hadapan Masjid Al-Fateh yang tersergam indah di Juffair, Manama

Gambar 13: Suasana tenang di dalam dewan solat Masjid Al-Fateh

Gambar 14: Penulis bersama pasangan pelancong dari Jerman yang melawat Masjid Al-Fateh

Gambar 15: Di perkarangan Masjid Sheikh Isa 

Gambar 16: Solat Maghrib di Masjid Yateem yang terletak berhampiran Bab Al Bahrain

Masjid Al-Fateh adalah lokasi utama di mana kami mengikuti kursus ATMT secara teori dan praktikal yang dikendalikan oleh DIB. Selain kami berempat yang mewakili HCF, turut hadir dari Malaysia ialah rakan-rakan pendakwah dari IOA, IPSI (Islamic Propagation Society International) dan Darul Fitrah. Lebih mengujakan, kami turut disertai oleh para pendakwah dari Singapura, Filipina, Sri Lanka, India, Arab Saudi, Turki, Finland dan beberapa negara yang lain. Sedikit sebanyak kami turut memahami realiti dakwah di negara-negara tersebut melalui slot perkongsian dakwah yang diadakan semasa kursus.

Secara peribadi, ATMT benar-benar membuka mata dan minda saya mengenai peranan masjid dalam dakwah kepada masyarakat bukan Islam. Persoalan seperti “Bolehkah orang bukan Islam memasuki masjid?” yang mungkin masih menghantui sebahagian umat Islam di negara kita seharusnya tidak menjadi isu. Jika kita merujuk kepada Al-Quran dan Sunnah, tiada dalil yang benar-benar muktamad (qat’ie) yang melarang orang bukan Islam untuk memasuki masjid. Malah melalui sirah Nabi Muhammad s.a.w., kita memahami bahawa baginda sendiri menggunakan masjid sebagai platform untuk menyampaikan Islam kepada orang-orang bukan Islam. 

Dalam satu peristiwa, baginda s.a.w. menerima kunjungan seramai 60 orang penganut Kristian dari Najran dan baginda s.a.w. berdialog dengan mereka mengenai agama Islam dan Kristian di dalam Masjid Nabawi. Baginda s.a.w. juga membenarkan sekumpulan orang Arab Bani Thaqif dari Taif untuk berkhemah di dalam Masjid Nabawi dan melihat orang-orang Islam beribadah. Juga kisah seorang tawanan perang bernama Thumamah Ibn Athal yang ditempatkan di Masjid Nabawi selama tiga hari tiga malam dan kemudiannya memeluk Islam sebaik sahaja dibebaskan. Jika ini adalah metod Rasulullah s.a.w. dalam berdakwah, mengapa kita sebagai pendakwah pada masa kini tidak mencontohinya? 

Mesej Islam sebenarnya akan dapat disampaikan dengan lebih mudah dan berkesan apabila masjid digunakan sebagai platform dakwah. Apabila orang bukan Islam memasuki masjid (dengan kebenaran pihak pentadbiran masjid), kita tidak perlu ragu-ragu lagi untuk menjelaskan ajaran Islam khususnya berkaitan akidah Islam. Malah pelbagai salah tanggapan mereka mengenai Islam boleh kita rungkaikan melalui perbincangan yang harmoni dan terbuka semasa mereka di dalam masjid. Peluang sebegini mungkin sukar kita peroleh ketika melaksanakan aktiviti dakwah yang lain di luar masjid. Selain itu terdapat beberapa lagi kelebihan lain yang membuatkan dakwah melalui masjid begitu efektif dalam konteks dakwah kepada masyarakat bukan Islam. 

Melalui kursus ATMT juga kami dibimbing supaya memanfaatkan setiap ruang di dalam masjid untuk memberikan penjelasan tentang Islam kepada bukan Muslim. Di dalam dewan solat misalnya, sambil mereka melihat persekitarannya, kita ambil peluang untuk menceritakan tentang ibadah solat dalam Islam. Di bahagian mihrab dan mimbar juga ada perkara yang boleh kita jelaskan mengenai Islam. Hiasan dan kaligrafi arab yang terdapat di dinding masjid, itu juga peluang untuk kita berkongsi tentang Islam, termasuk mengenai Allah dan Nabi Muhammad s.a.w. Al-Quran yang tersusun di rak masjid juga harus dimanfaatkan supaya mereka lebih dekat dengan Islam. Dengan teknik ini, kita sebenarnya menyahut seruan Allah agar berdakwah dengan penuh hikmah, sebagaimana firman-Nya di dalam Al-Quran:

“Dan serulah manusia ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan berilah nasihat yang baik dan jika kamu berbahas, berbahaslah dengan cara yang terbaik..” (Fushilat 41 : 33)

Dengan segala manfaat yang diperoleh melalui kursus ATMT, saya dan rakan-rakan yang mengikutinya berazam untuk menyemarakkan lagi usaha dakwah melalui masjid di seluruh negara, dengan fokus khas diberikan oleh HCF kepada masjid-masjid kariah. Kami juga bersedia berkongsi ilmu ATMT dengan mana-mana Muslim yang berminat untuk menjadi pendakwah dan penganjur Program Jelajah Masjid. Semoga usaha dan sumbangan kerdil kami ini dapat memantapkan lagi usaha dakwah kepada masyarakat bukan Islam yang telah sekian lama digerakkan di Malaysia bumi tercinta ini, insya-Allah.

Gambar 17: Perkongsian pengalaman dakwah oleh rakan-rakan dari Finland

Gambar 18: Sesi teori ATMT yang dijalankan di Masjid Al-Fateh

Gambar 19: Memerhatikan salah seorang Mosque Tour Guide yang memberikan penerangan mengenai Islam kepada pelancong di Masjid Al-Fateh

Gambar 20: Latihan praktikal ATMT turut dijalankan di Masjid Sheikh Isa

Gambar 21: Slot ATMT turut diadakan secara santai di Desert Camp

Gambar 22: Bersama dif-dif jemputan dan delegasi dari pelbagai negara dalam Majlis Graduasi ATMT

Thursday, October 12, 2017

Istanbul: Menjejak Kegemilangan Muhammad Al-Fatih

Oleh Wan Am

Istanbul adalah salah sebuah kota utama di dunia yang menyimpan banyak khazanah silam yang berharga. Letaknya di Turki, sebuah negara yang kini diterajui oleh kerajaan yang terserlah komitmennya untuk meninggikan syiar Islam, setelah lebih separuh abad di bawah tampuk kepimpinan sekular. Turki juga dikenali sebagai “Negara Rentas Benua” lantaran dua bahagian negara tersebut terletak di dalam benua Eropah dan Asia yang dipisahkan oleh Selat Bosforus.

Pernah bergelar ‘Constantinople’ sewaktu di bawah pemerintahan Empayar Byzantium (Kristian Timur), Istanbul kemudiannya dikuasai oleh Kerajaan Islam Uthmaniah sehingga lima kurun lamanya. Peristiwa ini menepati ramalan junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w., yang mana baginda pernah bersabda, “Constantinople akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera.” (Hadis riwayat Imam Ahmad).

Kata-kata utusan Allah yang terakhir ini menjadi realiti selepas berlalu 800 tahun. Istanbul disinari cahaya Islam berkat kekuatan iman dan amal serta kecanggihan persenjataan soldadu Islam yang pada waktu itu dipimpin oleh Sultan Muhammad Al-Fatih. Sememangnya kewibawaan Muhammad Al-Fatih menjadi buah mulut ramai orang, sejak dahulu hingga sekarang. Hinggakan isteri saya sendiri menamakan anak lelaki sulung kami bersempena nama beliau. Malah, kembara kami ke bumi Istanbul adalah ilham daripada isteri saya yang begitu kepingin menjejak kesan peninggalan bersejarah Muhammad Al-Fatih dan pemerintahannya yang gemilang.

Gambar 1: Istanbul kami datang!

Rabu, 7 Disember 2016 jam 5.40 pagi, pesawat Turkish Airlines yang kami naiki mendarat di Istanbul Ataturk Airport. Perjalanan selama 10 jam sememangnya melelahkan, namun saya kira berbaloi kerana akhirnya kami selamat tiba di destinasi yang dituju. Ditambah dengan kemudahan dan kualiti perkhidmatan kakitangan pesawat yang sangat memuaskan. Pastinya Turkish Airlines menjadi pilihan kami lagi jika ingin menghala ke mana-mana negara di Eropah pada masa hadapan.

Istanbul pada waktu kedatangan kami ini sedang di penghujung musim luruh, dengan suhu serendah enam darjah celcius. Tidak hairanlah sebaik sahaja keluar dari bangunan lapangan terbang, saya diserang kedinginan yang agak mencengkam. Lantas saya baluti diri dengan baju sejuk dan sarung tangan yang baru dibeli sebelum datang ke Istanbul. Tanpa berlengah kami mengambil teksi untuk menuju ke hotel penginapan kami di Sultanahmed yang telah ditempah lebih awal secara atas talian.

Saya kira lokasi hotel penginapan kami amat strategik kerana terletak berhampiran dengan monumen-monumen tumpuan pelancong di kota Istanbul. Kami hanya perlu berjalan kaki untuk ke Hagia Sophia, Istana Topkapi, Grand Bazaar dan beberapa lagi bangunan bersejarah yang lain. Malah, setiap hari di Istanbul kami dapat menziarahi Masjid Biru (Blue Mosque) yang terkenal itu!

Hari pertama kami di Istanbul, saya dan isteri meredah hujan renyai-renyai untuk ke Masjid Biru. Di masjid yang juga dikenali sebagai Masjid Sultan Ahmed itu, saya lihat berduyun-duyun manusia dari seluruh pelusuk dunia datang bertandang. Yang putih, yang hitam, yang kuning langsat dan sawo matang, semuanya tidak melepaskan peluang untuk menatap Masjid Biru dengan lebih dekat.

Sejarah merakamkan, Masjid Biru ini dibina pada masa pemerintahan Sultan Ahmed I (1603-1617). Dengan reka bentuk yang begitu unik dan mempesonakan, tidak hairanlah masjid yang sudah mencecah usia 400 tahun ini diakui sebagai antara masjid tercantik di dunia. Dewan solat masjid ini turut diserikan dengan keindahan kaligrafi dan bentuk geometri yang begitu halus seninya, membuktikan Islam tidak pernah mengabaikan aspek kesenian dan kebudayaan yang merupakan sebahagian daripada fitrah manusia.

Gambar 2: Panorama indah dari tingkat atas hotel tempat kami menginap di Istanbul

Gambar 3: Penulis dan isteri di perkarangan Masjid Biru di Istanbul

Gambar 4: Bersama seorang warga Palestin (kanan) di dalam dewan solat Masjid Biru

Gambar 5: Corak geometri menghiasi dinding Masjid Biru

Hari kedua di Istanbul, selepas menunaikan solat Subuh di Masjid Biru, kami bergegas menuju ke Hagia Sophia yang terletak bertentangan dengan Masjid Biru. Namun kami tidak dapat terus masuk ke dalamnya kerana ia hanya dibuka kepada pelawat pada jam 9.00 pagi. Sambil menghirup udara pagi yang nyaman dan menyegarkan, kami bersiar-siar di sekitar Sultan Ahmed Park dan menyaksikan beberapa tugu sisa peninggalan Empayar Byzantium iaitu Obelisk, Tiang Serpentine dan Tiang Constantine yang terletak berhampiran kawasan Masjid Biru.

Sewaktu era Byzantium, di kawasan ini telah dibangunkan sebuah gelanggang perlumbaan kereta kuda yang besar dan terkenal yang dinamakan Hippodrome. Di tengah-tengah gelanggang inilah tersergamnya Obelisk, Tiang Serpentine dan Tiang Constantine tersebut. Namun kemudian Hippodrome ini telah dimusnahkan oleh tentera Salib yang menyerang Constantinople, meninggalkan tugu-tugu tersebut yang masih teguh berdiri hingga ke hari ini.

Jam 9.10 pagi, kami membeli pas muzium untuk memasuki Hagia Sophia (juga dikenali sebagai Ayya Sofya). Nasib baik kami tidak perlu beratur panjang kerana masih belum ramai pelawat yang datang pada waktu awal pagi begini. Dengan pas muzium berharga 85 Turkey Lira (TL), kami bukan sahaja dapat melawat Hagia Sophia, malah pas tersebut juga boleh digunakan selama tiga hari untuk memasuki muzium lain di Istanbul seperti Istana Topkapi, Hagia Irene, Muzium Arkeologi Istanbul, Muzium Mozaik Istanbul dan Muzium Sains dan Teknologi Islam.

Hagia Sophia adalah antara monumen utama di Istanbul yang dicari-cari oleh kebanyakan pelancong. Dibina pada tahun 537 Masihi sewaktu pemerintahan Empayar Byzantium, Hagia Sophia asalnya adalah sebuah gereja besar yang pada waktu itu dikenali sebagai St. Sophies. Selama hampir satu abad lamanya ia menjadi pusat ibadat penganut Kristian sebelum diubah suai menjadi masjid oleh Sultan Muhammad Al-Fatih pada tahun 1453.

Tidak hairanlah apabila kami melangkah masuk ke ruang dewan utama Hagia Sophia, kami dapati terdapat kombinasi lakaran dan tulisan lama yang bercirikan kedua-dua agama Kristian dan Islam. Lakaran gambar Mary dan Jesus serta lambang Salib jelas terpampang di dinding-dinding bangunan, selain barang-barang peninggalan empayar Kristian yang masih dipelihara untuk tatapan pengunjung. Tidak ketinggalan tulisan bersaiz besar perkataan ‘Allah’, ‘Muhammad’ dan nama empat Khalifah Ar-Rasyidin (Abu Bakar, Umar, Usman dan Ali) yang tergantung di bahagian atas dewan, juga kaligrafi Islam yang menghiasi kubah.

Gambar 6: Obelisk, tugu pemberian Kerajaan Mesir kepada Kaisar Rom sewaktu era Byzantium

Gambar 7: Bersama seorang rakyat Malaysia yang menuntut di Istanbul dengan berlatarbelakangkan Hagia Sophia

Gambar 8: Suasana di dalam Hagia Sophia yang sentiasa menggamit pelancong

Gambar 9: Sudut di dalam Hagia Sophia yang pernah dijadikan dewan solat

Dari Hagia Sophia, kami berjalan kaki menuju ke muzium seterusnya, iaitu Istana Topkapi (Topkapı Sarayı), bermaksud “Istana Pintu Meriam”. Istana yang dahulunya merupakan pusat pemerintahan Kerajan Islam Uthmaniah ini terdiri daripada empat halaman (courtyard) yang setiap satunya mengandungi bangunan-bangunan yang boleh dimasuki oleh pengunjung, sama ada secara berbayar mahupun percuma. Agak lama juga saya dan isteri menghabiskan masa di sini disebabkan begitu luas kawasan untuk dilawati.

Istana Topkapi mula dibangunkan pada tahun 1465, 12 tahun selepas Kerajaan Islam Uthmaniah berjaya menakluk Constantinople. Kedudukan Istana Topkapi yang berhampiran dengan Teluk Tanduk Emas (Golden Horn Bay), Selat Bosforus dan Laut Marmara cukup strategik pada waktu itu kerana dapat memerhatikan kedatangan musuh dari arah laut. Selama 400 tahun Istana Topkapi menjadi kediaman rasmi sultan-sultan sebelum keruntuhan Kerajaan Islam Uthmaniah pada tahun 1924 dan akhirnya dijadikan muzium atas arahan Presiden Pertama Turki, Mustafa Kemal Atarturk.

Salah satu bahagian yang menarik dan popular di Istana Topkapi ialah bangunan yang dinamakan Sacred Relics (Kutsal Emanetler) yang terletak di halaman ketiga. Di sini dipamerkan barang-barang peninggalan para nabi Allah yang telah dikumpulkan oleh pemerintah Kerajaan Islam Uthmaniah. Termasuk dalam koleksi ini ialah pedang Nabi Daud a.s., tongkat Nabi Musa a.s., jubah Nabi Yusuf a.s. dan bekas makanan milik Nabi Ibrahim a.s. Tidak ketinggalan adalah barang-barang kepunyaan Nabi Muhammad s.a.w. seperti busur anak panah dan pedang, serta surat-surat baginda yang dihantar kepada pembesar-pembesar negara sewaktu era penyebaran Islam. Turut dipamerkan berkaitan baginda s.a.w. yang diakui keasliannya ialah janggut baginda, gigi baginda yang tertanggal sewaktu Perang Uhud dan tapak kaki baginda. Tiada gambar foto yang dapat kami ambil kerana peraturan di bangunan ini melarang para pengunjung untuk berbuat demikian.

Di Istana Topkapi juga kami melawat tempat kediaman rasmi sultan dan kaum kerabatnya yang dipanggil Harem. Ada yang beranggapan, Harem ini bukan sekadar tempat sultan berehat, malah juga tempat sultan berfoya-foya dengan para gundiknya. Benarkah dakwaan ini? Begitu terukkah sultan-sultan Kerajaan Islam Uthmaniah dahulu sehingga sanggup melanggar batas-batas syariat? Atau ini adalah sebahagian strategi musuh-musuh Islam termasuk ahli sejarah Barat untuk menggambarkan keburukan pemerintah-pemerintah Islam?

Sebagai seorang Muslim, janganlah kita cepat termakan dengan cerita-cerita yang belum terbukti kebenarannya. Selidikilah dahulu sesuatu berita yang kita terima sebelum mempercayainya. Harem ini sendiri, jika kita memahami definisi perkataan Harem, ia bermaksud tempat suci atau kawasan suci bagi sesuatu agama yang tidak dibuka kepada semua orang untuk memasukinya. Sebagaimana kota suci Mekah dan Madinah yang digelar “Haramain”. Mungkin di Harem ini juga dahulunya dipraktikkan hukum-hukum Islam, antaranya termasuklah soal hubungan antara wanita dan lelaki ajnabi (boleh dikahwini). Wallahu ‘alam.

Kami akhiri hari kedua di Istanbul dengan aktiviti bersiar-siar dan menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan di Taman Gulhane (Gulhane Park), sebuah taman dalam bandar yang terletak bersebelahan dengan Istana Topkapi. Di sini juga kami berehat sebentar, melepaskan penat setelah berjam-jam berjalan di dalam kawasan Istana Topkapi. Kelihatan ramai orang masih membanjiri taman ini pada waktu sore dengan aktiviti masing-masing. Di Taman Gulhane juga terdapatnya Muzium Sains dan Teknologi Islam, namun pada waktu itu ia telah pun ditutup kepada pelawat. Kami mengambil keputusan untuk mengunjunginya pada hari yang lain.

Gambar 10: Di hadapan pintu masuk utama Istana Topkapi

Gambar 11: Salah satu halaman (courtyard) di dalam Istana Topkapi

Gambar 12: Penulis di dalam Harem, tempat istirehat sultan dan ahli keluarganya 

Gambar 13: Selat Bosforus boleh dilihat dari perkarangan Istana Topkapi

Gambar 14: Menghirup udara petang di Taman Gulhane

Hari ketiga di Istanbul, seperti hari sebelumnya, kami menunaikan solat Subuh secara berjemaah di Masjid Biru. Oh ya, saya masih ingat pada hari sebelumnya, kami sudah pun berada di Masjid Biru sebelum masuk waktu Subuh. Namun tidak seperti di Malaysia, solat Subuh berjemaah di Masjid Biru hanya bermula kira-kira 30 minit selepas azan berkumandang! Rupa-rupanya Muslim di sini mengambil pendapat harus melewatkan sedikit perlaksanaan solat Subuh secara berjemaah agar lebih ramai umat Islam dapat hadir ke masjid.

Selepas mengambil sarapan pagi di hotel penginapan, saya dan isteri mula berjalan kaki menuju ke Grand Bazaar. Sebenarnya boleh sahaja kami menaiki trem di Stesen Sultanahmet dan turun di Stesen Beyazit yang berhampiran dengan pintu masuk Grand Bazaar. Namun kami lebih senang untuk berjalan kaki sambil melihat suasana bandar Istanbul, dan pada masa yang sama dapat menjimatkan wang. Dari Masjid Biru, kami menyusuri landasan trem dan dengan berpandukan peta, akhirnya kami selamat tiba di Grand Bazaar.

Grand Bazaar (Kapalıçarşı) yang siap dibina pada tahun 1461 adalah antara bazar membeli-belah yang paling besar dan tertua di dunia. Bazar yang memuatkan lebih 4000 kedai yang menjual pelbagai jenis produk ini dikatakan menarik 250,000 hingga 400,000 pengunjung dari dalam dan luar Turki setiap hari. Di sini kami memborong barangan seperti baju T, magnet, selendang, pen, poskad dan tarbus untuk dibawa balik dan dihadiahkan kepada ahli keluarga dan handai-taulan. Di sini juga kami terserempak dengan kenalan kami dari Malaysia, Tuan Haji Zulkifli Said yang turut bercuti di Istanbul bersama isteri dan anak-anaknya. Di Malaysia kami jarang berjumpa, di Istanbul pula kami bersua muka.

Pada sebelah petang, selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Biru, kami melawat beberapa lagi muzium, antaranya ialah Hagia Irene yang terletak di dalam kawasan halaman pertama Istana Topkapi. Hagia Irene dahulunya merupakan gereja Ortodoks Timur dan dibina lebih awal daripada Hagia Sophia, iaitu pada abad keempat Masihi. Gereja ini pernah beberapa kali dibangunkan semula selepas berlaku kehancuran dan kerosakan pada struktur bangunannya akibat beberapa peristiwa penting yang berlaku sepanjang lebih seribu tahun usianya. Hagia Irene juga adalah antara gereja di Istanbul yang tidak diubah menjadi masjid pada zaman Kerajaan Islam Uthmaniah.

Selepas melawat Hagia Irene dan kemudiannya Muzium Arkeologi Istanbul, kami bergegas pulang ke hotel penginapan kerana saya perlu membuat persiapan untuk bertemu pelajar dan rakyat Malaysia di Istanbul pada sebelah malam. Sebelum kehadiran saya ke Istanbul, sahabat saya Saudara Safwan Saparuddin yang menetap di Turki telah menyusun satu program khas untuk saya berkongsi ilmu kepada rakyat Malaysia yang bermastautin di sini. Alhamdulillah, pihak Malaysian Student Association in Turkey atau singkatannya MASAT telah bersetuju untuk menjadi penganjur program ini.

Selesai menunaikan solat Maghrib, saya dan isteri menikmati pemandangan senja nan indah di sekitar Masjid Biru sementara menunggu kedatangan seorang lagi kenalan saya, Saudara Halim Khayat yang akan membawa kami ke tempat program di Fatih. Dari Stesen Sultanahmet, kami menaiki trem yang penuh sesak dengan warga Istanbul yang baru pulang dari tempat kerja. Kami turun di Stesen Pazartekke dan dari situ, kami berjalan kaki menuju ke Darul Saadet yang merupakan nama rumah sewa pelajar Malaysia yang biasa dijadikan pusat aktiviti atau program yang berskala kecil. Kira-kira 30 orang warga Malaysia memenuhi Darul Saadet ketika saya membentangkan tajuk “Dakwah is Easy!” selama hampir dua jam, termasuk sesi soal jawab. Turut hadir menyertai program ini ialah Tuan Haji Zakaria Mohd Nani yang merupakan Pengarah Tourism Malaysia-Turki. 

Gambar 15: Hidangan sarapan pagi di hotel penginapan kami

Gambar 16: Di hadapan salah satu pintu masuk Grand Bazaar

Gambar 17: Bersama kenalan penulis, Tuan Haji Zulkifli Said dan keluarganya di dalam Grand Bazaar

Gambar 18: Di dalam Hagia Irene, antara gereja tertua di Istanbul

Gambar 19: Di hadapan pintu masuk Muzium Arkeologi Istanbul

Gambar 20: Menikmati waktu senja di sekitar Masjid Biru

Gambar 21: Program khas penulis bersama warga Malaysia yang bermastautin di Turki

Sabtu, 10 Disember 2016, tibalah hari terakhir kami di bumi Istanbul. Masih ada masa untuk kami menjelajah kota ini memandangkan masa perjalanan pulang kami ke Kuala Lumpur adalah pada sebelah malam. Aktiviti hari ini kami mulai dengan melawat Muzium Panorama 1453. Dari Stesen Sultanahmet, kami menaiki trem dan turun di Stesen Topkapi.

Muzium Panorama 1453 menyimpan seribu satu kisah mengenai perjalanan sejarah Daulah Uthmaniah. Di sini juga kami dapat menyelami strategi perencanaan Kerajaan Islam Uthmaniah untuk menawan kota Constantinople daripada Kerajaan Rom yang akhirnya membawa kepada pembukaan kota tersebut oleh Sultan Muhammad Al-Fatih bersama bala tenteranya. Walaupun penerangan pada setiap gambar yang dipamerkan adalah dalam bahasa Turki, namun dengan bantuan ‘audio guide’ yang mempunyai 12 pilihan bahasa (termasuk bahasa Inggeris), kami dapat memahami setiap penerangan tersebut. Audio guide ini boleh didapati di pintu masuk muzium dengan harga sekitar 5 hingga 10 TL.

Sultan Muhammad Al-Fatih telah diangkat menjadi pemerintah Kerajaan Islam Uthmaniah pada usia yang sangat muda, iaitu 19 tahun. Sejak kecil beliau telah dipersiapkan dengan pendidikan yang terbaik oleh ayahandanya, Sultan Murad II dengan pelbagai cabang ilmu pengetahuan, sama ada ilmu agama, akademik, bahasa, malah juga ilmu berkaitan strategi peperangan dan pemerintahan. Beliau juga dikenali sebagai seorang yang berkeperibadian tinggi dengan sifat-sifat mulia seperti tawaduk, berani, sabar dan tegas serta sangat kuat menjaga hubungannya dengan Allah. Tidak hairanlah Islam begitu gemilang sepanjang 30 tahun pemerintahannya, termasuklah jasanya dalam peristiwa penaklukan Constantinople.

Usaha untuk membebaskan Constantinople tidak mudah. Usaha ini sebenarnya telah dilakukan sejak zaman Kerajaan Islam Umaiyah, dituruti dengan beberapa peperangan pada zaman Abbasiah sehinggalah zaman Uthmaniah sebelum Sultan Muhammad Al-Fatih menaiki takhta. Semuanya berlumba-lumba untuk merealisasikan janji Allah sebagaimana hadis Nabi Muhammad s.a.w. yang meramalkan pembukaan Constantinople. Malangnya semua usaha tersebut menemui kegagalan.

Sepanjang dua tahun pertama pemerintahannya, Sultan Muhammad Al-Fatih membuat persiapan rapi bagi menjayakan cita-cita membuka Constantinople. Selain mengkaji pelan kota Constantinople, beliau turut mengenal pasti punca kegagalan semua peperangan terdahulu, selain menjadikan kaedah peperangan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dan Salahuddin Al-Ayyubi (pembebas Baitul Maqdis) sebagai rujukan untuk menggempur Constantinople dan tentera Byzantium. Akhirnya selepas hampir dua bulan peperangan berlangsung, pada 29 Mei 1453 Constantinople berjaya ditawan oleh tentera Islam. Sultan Muhammad Al-Fatih menukar nama kota tersebut kepada “Islambol” yang bermaksud “Islam keseluruhannya” (sebelum kemudiannya ditukar ke Istanbul).

Gambar 22: Menaiki trem menuju ke Muzium Panorama 1453

Gambar 23: Di hadapan bangunan Muzium Panorama 1453

Gambar 24: Patung “wax sculpture” Sultan Muhammad Al-Fatih di hadapan pintu masuk muzium

Gambar 25: Imej di Muzium Panorama 1453 yang menggambarkan peristiwa pembukaan Constantinople pada era Muhammad Al-Fatih

Selesai lawatan kami di Muzium Panorama 1453, kami kembali mengambil trem, menuju pula ke Eminonu untuk menaiki kapal persiaran merentas Selat Bosforus. Bahagian pertama pelayaran, kami diperlihatkan dengan beberapa mercu tanda Istanbul di sebelah Eropah yang terletak di sepanjang Selat Bosforus. Antara yang kelihatan ialah Istana Dolmabahce, Universiti Galatasaray, Masjid Ortakoy dan Kubu Rumeli (Rumeli Fortress), sebuah kota lama yang dibina oleh Sultan Muhammad Al-Fatih. Kira-kira 30 minit kemudian, kapal persiaran yang kami naiki berpatah balik ke Eminonu dan kami menyaksikan pula pemandangan Istanbul di sebelah Asia. Azan Zohor turut kedengaran dari salah sebuah masjid di Istanbul Asia yang terletak berhampiran dengan selat ini.

Di Selat Bosforus ini jugalah azan pernah dikumandangkan dari atas kapal sewaktu Sultan Muhammad Al-Fatih dan armadanya menggempur Constantinople. Melalui Selat Bosforus, tentera Uthmaniah mengepung dan menyerang kubu Byzantium sehingga berpuluh-puluh hari lamanya. Ia bukan suatu usaha yang mudah kerana ternyata tentera Rom bukan calang-calang lawan dan memiliki banyak pengalaman dalam pertempuran. Akhirnya dengan bantuan Allah, hasil strategi peperangan Sultan Muhammad Al-Fatih yang tidak terjangkau dek akal serta keberanian beberapa panglima tentera Islam yang gugur syahid, Selat Bosforus menjadi saksi pembukaan Constantinople oleh Kerajaan Islam Uthmaniah pada tahun 1453.

Muzium Sains dan Teknologi Islam di Taman Gulhane menjadi destinasi kami selepas puas menghirup bayu Selat Bosforus. Muzium yang dibuka pada tahun 2008 ini menyediakan pameran hasil inovasi para ilmuan Islam dalam pelbagai cabang ilmu seperti matematik, geografi, astronomi, kimia, biologi, mekanikal dan sebagainya. Pencapaian-pencapaian ini membuktikan begitu besar sumbangan Islam dalam bidang sains dan teknologi sejak zaman-berzaman sehingga turut menjadi rujukan saintis Barat yang membawa kepada kemajuan tamadun mereka kemudiannya.

Sememangnya Islam amat menggalakkan umatnya untuk menceburi segala bidang ilmu pengetahuan, termasuklah sains dan teknologi. Malah, manusia zaman ini amat memerlukan ilmu tersebut lantaran berada dalam suasana berlumba-lumba menghasilkan pelbagai ciptaan dan penemuan baru. Umat Islam sendiri perlu kembali mengasah dan menyerlahkan potensi akal mereka agar kembali menjadi umat yang gemilang. Allah amat memandang mulia kepada orang yang memanfaatkan akalnya, malah, menggelar mereka sebagai “ulul albab”, sebagaimana yang difirmankan-Nya di dalam Al-Quran:

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi ulul albab (iaitu golongan yang berakal). (Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri dan duduk dan dalam keadaan berbaring dan mereka banyak berfikir tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata, ‘Wahai Tuhan kami, Kamu tidak menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada seksa neraka’.” (Ali Imran : 190-191)

Alhamdulillah, berakhirnya lawatan kami di Muzium Sains dan Teknologi Islam menandakan tamatlah sudah kembara kami di bumi Istanbul. Pelbagai hikmah, pengajaran dan ibrah yang kami peroleh di sini. Penulisan ini akan menjadi lebih panjang jika saya nukilkan segalanya. Mudah-mudahan dapat saya berkongsi pada kesempatan yang lain.

Jika ada rezeki dan peluang juga, moga dapat kami jejakkan kaki kami ke Turki di sebelah Asia pula. Di sana juga banyak tinggalan dan warisan Kerajaan Islam Uthmaniah yang ingin kami tatapi dengan mata kami sendiri. Semoga Allah permudahkan urusan ini, insya-Allah.

Gambar 26: Di hadapan kapal persiaran yang kami naiki untuk merentas Selat Bosforus

Gambar 27: Di tengah-tengah Selat Bosforus yang membiru damai

Gambar 28: D hadapan Muzium Sains dan Teknologi Islam di Taman Gulhane

Gambar 29: Jumpa lagi Istanbul!