Wednesday, August 15, 2012

Bagai Orang Mengantuk Disorongkan Bantal

Oleh Wan Am

Anda masih ingat bagaimana anda mula bertemu dengan insan yang kini menjadi pasangan hidup anda? Bagi kebanyakan orang, peristiwa pertemuan ini pastinya akan terus mekar dalam minda mereka. Malah terakam kemas dalam kotak ingatan mereka walau empat atau lima dekad telah berlalu. Tak percaya? Cubalah anda tanyakan hal ini kepada orang tua anda. Mungkin pertanyaan anda itu akan membuatkan mereka tersenyum simpul.

Saya sendiri masih jelas saat pertemuan “bertentang mata” dengan si isteri buat kali pertama. Waktu itu saya masih lagi seorang siswa universiti dan bergiat aktif dalam sebuah pertubuhan pelajar di peringkat kebangsaan. Kisahnya berlaku pada pertengahan tahun 2003, iaitu ketika berlangsungnya satu perjumpaan antara saya bersama beberapa orang pimpinan pertubuhan tersebut dengan rakan-rakan pelajar di sebuah negeri di Pantai Timur.  

Sedang kami rancak berdiskusi, seorang siswi yang sejak awal sesi perjumpaan tersebut tidak kedengaran pun berbicara, tiba-tiba membuka mulutnya, memberikan pandangan dan saranan yang cukup bernas berkaitan topik yang sedang kami bincangkan. Lantas pandangan mata saya beralih ke arah beliau, mendengar hujahnya penuh teliti.

“Diam-diam ubi..” Hati saya berbisik. Rasanya awal-awal tadi saya tidak pun menyedari kehadiran beliau. Pastilah kerana ada rakan-rakannya yang lain yang lebih “vokal” dalam perbincangan, lantas membuatkan dirinya sedikit tenggelam.

Dengan tidak semena-mena, saya merasakan hati ini sedang ditarik-tarik untuk mengenali tuan punya diri yang bersuara sebentar tadi. Beberapa persoalan mula  saling bergelut dalam diri. Siapakah insan ini? Diakah orangnya yang sedang saya cari? Diakah orangnya yang mampu membantu saya merealisasikan niat murni untuk melangkah ke alam penuh pertanggungjawaban? Diakah orangnya yang saya dambakan, yang mampu menjadi wanita seperti yang disebut oleh Tuhan (yang bermaksud):

“Wanita yang solehah ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri (tidak berlaku curang serta memelihara rahsia dan harta suaminya) ketika di belakang suaminya, oleh kerana Allah telah memelihara mereka.” (an-Nisa’ : 34)

Usai perjumpaan, saya terus mendapatkan seorang rakan yang belajar di sebuah institusi pengajian tinggi di negeri tersebut, yang turut terbabit dalam perjumpaan kami pada hari itu. “Zul (bukan nama sebenar), boleh tolong dapatkan sedikit maklumat tentang ukht ini?” Lebih kurang begitulah dialog saya dengan beliau sebelum saya bertolak pulang. Zul bersetuju untuk membantu.

Beberapa minggu kemudian saya mendapat maklumat seperti yang diharapkan. “Dia masih available..” SMS Zul menerjah telefon bimbit saya. Hati ini terasa berbunga. Melalui Zul juga saya mendapat gambaran serba ringkas latar belakang siswi tersebut.

Tanpa berlengah lagi saya mula mengatur langkah, memohon bantuan orang tengah (siapa orangnya, rahsia..) untuk merisik diri gadis berkenaan secara rasmi. Hm.. mungkin ada yang berfikir, kolotnya tindakan saya, zaman moden ini pun masih menggunakan khidmat orang tengah. Apa salahnya melamar secara langsung kepada gadis tersebut?

Benar, tiada salahnya jika saya meluahkan terus niat murni saya ini kepada beliau. Saya sendiri pernah mendengar hujah beberapa orang ustaz yang saya thiqah dengan ilmu mereka mengenai hal ini. “Tak salah kalau seorang lelaki melamar secara langsung kepada seorang wanita. Yang penting straight to the point. Jangan pulak pusing sana-sini.. lagi tak betul kalau diselangi dengan kata-kata yang boleh mengarah kepada maksiat. Aku cinta padamulah, aku rindu kamulah... itu yang tak boleh..” Masih terngiang-ngiang kata-kata salah seorang daripada mereka.

Malah, dalam sirah ada satu peristiwa yang bersangkutan dengan hal ini, iaitu ketika Anas bin Malik menceritakan proses khitbah ibunya:

Abu Talhah melamar Ummu Sulaim, lalu Ummu Sulaim berkata, “Demi Allah, orang yang sepertimu ini tidak patut ditolak, wahai Abu Talhah. Tetapi engkau orang kafir sedang aku wanita Muslimah, dan aku tidak halal berkahwin denganmu. Jika engkau mahu masuk Islam, maka yang demikian itu sudah cukup sebagai mas kahwinku, dan aku tidak meminta yang lain lagi kepadamu...” (Riwayat Nasa’i)

Namun, saya tetap mempercayai bahawa menggunakan orang tengah merupakan satu cara terbaik dalam proses pembinaan rumahtangga dakwah (sebaiknya orang tengah itu haruslah seorang yang boleh dipercayai, sudah berkahwin, ikhlas, berpengalaman dan mengenali calon). Selain dapat menghindarkan diri daripada perhubungan yang melanggar aturan syarak, melalui perantaraan orang tengah jugalah kita mendapat serba sedikit pengetahuan mengenai situasi orang yang dilamar. Hal ini penting supaya kes “tersalah pilih” tidak berlaku.  

Dengan keadaan sedemikianlah, proses lamaran saya berjalan seperti yang saya harapkan. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, lamaran saya diterima oleh si dia. Tambah manis lagi apabila ibu bapa saya juga berkenaan dengan pilihan hati saya ini. Terima kasih Tuhan..


Wednesday, May 16, 2012

Niat OK Semua Jadi!

Oleh Wan Am



Secara jujur, saya sebenarnya telah pun memasang niat untuk berkahwin ketika berada di alam kampus lagi. Walaupun kata sesetengah orang bahawa usia pada waktu itu masih “hijau” dan belum sesuai untuk difikirkan hal perkahwinan, namun entah bagaimana niat tersebut boleh terbit jauh di sudut hati. Bila hasrat ini diluahkan kepada beberapa orang, ada jugalah yang berkata, “Baik tumpu perhatian sepenuhnya pada pelajaran. Sudah tamat pengajian nanti, barulah fikirkan...” Dan tak kurang juga yang berkata, “Hai, awalnya nak kahwin, enjoylah dulu!”

“Nasihat-nasihat” sedemikian nampaknya tidak sedikit pun menjejaskan niat murni saya tersebut. Niat murni? Ya, bagi saya niat untuk berkahwin adalah suatu hal yang murni memandangkan perkahwinan amat digalakkan dalam agama Islam. Tambah membara hasrat hati ini apabila dalam usia muda lagi diri ini sudah memahami akan tuntutan perkahwinan, sebagaimana firman Allah dalam al-Quran (yang bermaksud):

“Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang yang berfikir.” (ar-Rum : 21)

Sungguh benar kata-kata Tuhan. Kala itu, keterlibatan saya secara aktif dalam aktivisme mahasiswa, khususnya dalam lapangan dakwah kampus telah menghadirkan suatu jenis perasaan. Rasa “sunyi” yang sukar untuk digambarkan. Perasaan seolah-olah inginkan seorang “insan istimewa” berada di sisi.

Dengan berbekalkan perasaan tersebut, saya kemudiannya tidak berlengah lagi, lantas menetapkan niat untuk bersedia melangkah ke alam perkahwinan (walaupun pada waktu itu masih belum bertemu insan idaman). Saya seboleh mungkin berusaha meluruskan niat agar tidak menyimpang daripada tujuan sebenar perkahwinan disyariatkan. Mengapa tidak, Islam sendiri amat mementingkan persoalan niat dalam segala perkara yang ingin dilaksanakan.

Daripada Umar r.a., yang mana beliau mendengar Rasulullah s.a.w. berkata:

"Sesungguhnya setiap amal disertai niat dan sesungguhnya bagi setiap insan apa yang diniatkannya. Maka sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu ialah kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan sesiapa yang hijrahnya itu untuk harta dunia yang hendak diperolehnya ataupun untuk seorang wanita yang hendak dikahwininya, maka hijrahnya kepada sesuatu yang dimaksudkan dalam hijrahnya itu." (Muttafaq `Alaih)

Alhamdulillah, mungkin berkat niat yang benar, tidak lama kemudian bertemulah saya dengan si dara pilihan hati yang kini sudah menjadi suri hidup saya yang sah.. Hm.. saya masih ingat kata-kata yang saya titipkan sewaktu hendak melamarnya, “Sesungguhnya saya ingin melamar awak menjadi isteri saya kerana Allah.”

Suatu ungkapan yang terus segar dalam ingatan saya hingga ke hari ini. Dan ungkapan itulah yang akhirnya telah menerjunkan diri saya ke alam yang penuh pertanggungjawaban. Malah, niat itu jualah yang terus memotivasikan diri saya supaya menjadi nakhoda keluarga yang lebih baik dari semasa ke semasa.

Justeru, pada kesempatan ini, saya ingin menyeru kepada semua agar jangan sesekali kita perkecilkan soal niat dalam perkara besar seperti perkahwinan ini. Mengapa seruan saya begitu? Kerana realitinya masih ramai orang yang tidak mengetahui kepentingan niat dalam berumahtangga. Natijahnya, akan ramailah orang yang tidak pun “berniat” sewaktu hendak meninggalkan alam bujang atau gadisnya. Jika pun mereka berniat, niat itu pula bukan kerana Tuhan, tetapi kerana cinta, nafsu, harta-benda, malah ada juga yang berniat berkahwin semata-mata untuk menutup aib setelah terlanjur dengan pasangannya!

Maka, niat yang bagaimana yang dikatakan OK bila hendak berkahwin? Mudah saja. Pastilah niat perkahwinan semata-mata kerana Allah. Maksudnya, niat itu tidak dipengaruhi atau bercampur aduk dengan maksud, kepentingan dan keuntungan selain Allah. Bukan kerana harta, bukan kerana takhta, dan bukan jua kerana wanita.

Tetapi awas! Tidak cukuplah jika kita berniat begini hanya ketika hendak berkahwin sahaja. Tidak cukup juga jika hanya berbekalkan janji saat lafaz sakinah sahaja. Kerana di sana makhluk Tuhan bernama syaitan pasti akan sentiasa datang mengganggu-gugat keharmonian rumah tangga yang dibina. Lebih-lebih lagi tika berlakunya pertelingkahan sesama pasangan. Saat inilah yang syaitan dan konco-konconya amat nantikan, akan masuk campur sehingga terjadinya perceraian.

Justeru, sentiasalah memperbaharui niat kita ini dari hari ke hari. Niat sebagaimana kita berniat pada awal perkahwinan dahulu. Tidak kiralah anda adalah seorang suami mahupun isteri. Sesungguhnya inilah salah satu pelindung ampuh kepada kebahagiaan rumah tangga yang kita dambakan. Menjadi pengingat ketika diri sang suami alpa menjalankan tanggungjawabnya sebagai pemimpin dan pelindung, juga menjadi pemuhasabah kepada diri si isteri yang mungkin terleka amanahnya sebagai pendidik dan pengurus.

Beginilah sebaik-baiknya niat kita. Natijahnya, tunggu sahajalah labanya di kemudian hari. Laba yang pasti menjadikan anda salah seorang insan bertuah di muka bumi ini.

Sunday, November 27, 2011

Dunia Hari Ini

Oleh Wan Am


Dunia sedang berada di penghujung usia. Wajah dunia tidak lagi permai seperti asalnya. Lahiriahnya penuh dengan derita. Bukit, laut, rimba, sungai, udara menjadi mangsa. Semuanya gara-gara keserakahan manusia mencari laba.

Tamadun Barat yang kini memerintah dunia, menanti detik kejatuhan. Fakta dari Barat sendiri yang menjadi beban bukti. Di negara-negara mereka ajaran agama diketepikan, jenayah semakin meningkat, masyarakat mementingkan diri sendiri, pemimpin mengamalkan rasuah, dan ketidakadilan sosial bermaharajalela.

Kata Zaid Kamaruddin, seorang tokoh aktivis masyarakat, “Lazim peradaban runtuh atas sebab kelemahannya sendiri. Kelemahan sistem dan moralnya. Jarang ia jatuh kerana ditolak dari luar.” Tiada lagi sangsi, hegemoni Barat akan menemui titik noktahnya sedikit masa lagi.

Jika begitu, selagi dunia masih bernafas, siapa pengganti tamadun Barat? Giliran tamadun Islamkah kembali mengambil tempat? Tamadun Islam bakal menjadi penyelamat? Jika hendak dikatakan begitu, perlu direnung sebentar realiti umatnya, dan harus ditinjau perjalanan pentadbiran pemimpin-pemimpinnya. Dari situ mungkin terserlah jawapan yang selayaknya.

Orang kata, gejolak umat di negara Islam tidaklah berbeda dengan gejala di Barat. Tidak sukar mencari statistiknya. Tak payah memandang jauh, di negara Islam bernama Malaysia sudah boleh dilihat “bencana”nya. Pusat Serenti, orang Melayu yang memenuhinya. Anak tidak berbin atau berbintikan bapanya, bangsa Melayu juga menjadi majoriti. Kes juvana, anak-anak orang Melayu juga yang dihukum. Ada lagi, hampir setiap hari remaja Melayu ditahan pihak berkuasa kerana menjadi samseng jalanan.

Di Malaysia, Melayu bersamaan dengan Islam. Maka rumusannya, umat Islam di negara ini sedang diserang luka yang cukup dalam. Keadaan pastinya tidak berbeza di negara umat Islam yang lain. Atau mungkin negara mereka lebih bejat lagi.

Pemerintahan pemimpin Islam pula tidak banyak membantu. Bak kata Zaid Kamaruddin lagi, negara orang Islam tidak ada yang ditadbir dengan lebih baik. Pemerintah umat kebanyakannya berseteru dengan rakyat. Rasuah semakin menerap. Kepemimpinan tidak dianggap suatu amanah, malah suatu keistimewaan.

Sebab itu baru-baru ini rakyat di negara-negara Timur Tengah dan utara benua Afrika bangkit melawan pemimpinnya. Kemarahan mereka sudah tidak dapat dibendung lagi. Mereka sudah tidak tahan dengan kezaliman yang melata. Mana mungkin pemimpin dan ahli keluarga mereka membolot harta negara berbilion-bilion U.S. Dolar, sedang rakyat menahan lapar berhari-hari lamanya. Akhirnya tumbanglah pemimpin-pemimpin Islam bermahligai tirani; ada yang kini sedang dibicarakan, ada yang dalam pelarian, dan ada yang sudah dijemput pulang menghadap Tuhan.

Justeru, dengan realiti sedemikian rupa, mampukah Tamadun Islam bangkit kembali membawa sinar hidup yang lebih bermakna buat manusia pada abad 21 ini?

Jawapannya terletak kepada kemahuan umat Islam itu sendiri. Jika umat berpegang teguh dengan ajaran Islam, tidak mustahil mereka mampu menguasai dunia. Islam adalah rahmat buat sekalian alam. Islam juga adalah produk bermutu yang bukan sahaja harus dibanggakan, malah mesti dikongsikan dengan semua manusia. Peradaban Islam kini belum mampu bangkit kembali dari lenanya yang panjang kerana kealpaan umatnya sendiri yang berterusan menjauhi syariat Islam.

Belajarlah daripada sejarah. Sejarah jarang sekali menipu. Dunia pernah merentasi zaman keemasan Islam, suatu zaman di mana dunia ditadbir oleh para pemimpin Islam yang sejati. Mereka menjadi teladan kepada rakyatnya dalam menjalankan amanah kepemimpinannya. Pemerintahan mereka bersatu dengan Islam, mereka menghukum dengan hukum-hukum Tuhan, dan tidak hairanlah pemerintahan mereka dan dunia ketika itu cukup gemilang. Sehinggakan pada suatu masa, seluruh rakyat cukup segala keperluan hidupnya lantaran keadilan pemerintahan yang tertegak dan terpelihara dengan sebaik-baiknya.

Pakej sebegini tiada pada peradaban Barat. Materialisme, sistem ekonomi kapitalis, dasar pasaran bebas dan demokrasi bukanlah barang baik buat umat. Ia sebenarnya membawa kepada jalan yang lebih cela. Dunia menuju kehancuran kerana kecetekan tamadun mereka.

Jika dilihat kepada putaran hidup semasa, dunia masih ada harapan untuk melihat kebangkitan semula kuasa Islam sebagai pentadbir jagat raya. Masa akan menentukannya. Ia mungkin mimpi hari ini, namun tidak mustahil kenyataan hari esok, insya-Allah.

Wednesday, November 16, 2011

Pemimpin Oh Pemimpin!

Oleh Wan Am


Bulan Disember ini, genaplah 18 bulan saya berkhidmat sepenuh masa dengan seorang pemimpin kanan kerajaan sebuah negeri. Saya masih ingat lagi sewaktu mula-mula ditawarkan kerjaya ini dahulu, dalam hati asyik tertanya-tanya, “Boleh ke aku perform dengan kerja ni?” Maklumlah, sebelum ini saya langsung tiada pengalaman dalam arena politik tanah air, apatah lagi ilmu mentadbir sebuah negeri.

Namun, pada waktu itu saya merasakan tiada salahnya untuk saya mencabar diri sendiri dengan menerima amanah ini. Tambah pula pengalaman yang bakal dihirup tidak mudah untuk diraih di mana-mana. Mungkin juga peluang sebegini akan datang sekali sahaja dalam seumur hidup.

Akhirnya saya menerima tawaran tersebut, dan berkecimpunglah saya dalam “dunia” serba baru. Sejak awal lagi saya merasakan tanggungjawab ini tidak mudah, memandangkan amanah yang tergalas di bahu ini begitu besar dalam misi membantu majikan saya melunaskan segala harapan dan mandat rakyat sebaik mungkin. Cabarannya juga tidak menentu; terkadang pahit, namun lebih banyak manisnya. Semuanya diredah demi menjayakan wawasan hidup mencapai keredaan Tuhan.

Tidak sedikit juga pengalaman berharga yang ditimba sepanjang bersama karier ini. Paling mengujakan, medan ini menyediakan ruang yang luas untuk saya menabur bakti kepada pelbagai segmen masyarakat; daripada usia bayi hinggalah kepada warga emas. Selain itu, memandangkan majikan saya dipertanggungjawabkan untuk menguruskan hal berkenaan kebajikan rakyat, maka melalui celah inilah juga saya saya didekatkan dengan realiti kesusahan yang masih mengulit kehidupan sebahagian besar rakyat, di negeri yang dikatakan paling maju di Malaysia. Cukup bernilai pengalaman ini, kerana melaluinya saya sentiasa mengingatkan diri saya sendiri supaya tidak lupa bersyukur dengan segala nikmat yang telah dan sedang dikecap. Di sinilah saya belajar erti hidup, bahawa sesusah mana pun diri kita, pasti ada lagi insan yang lebih sengsara.

Kerjaya ini juga, menyedarkan saya bahawa tidak mudah sebenarnya untuk menjadi seorang pemimpin. Apatah lagi jika diamanahkan menjadi pemimpin kepada suatu kelompok manusia yang besar, seperti menjadi pemimpin masyarakat, wakil rakyat atau pemerintah sesebuah kerajaan. Malahan dalam Islam, kepemimpinan sangat berkait rapat dengan tanggungjawab keadilan dan kebajikan yang menjadi teras kepada wujudnya suasana aman dan sejahtera bagi sesebuah negara.

Lihatlah bagaimana keadaan Umar Abdul Aziz sewaktu diangkat menjadi khalifah. Beliau seakan tergamam dan bersedih, lantas terus bersendirian bersolat dan menangis. Sewaktu isterinya Fatimah bertanya tentang keadaan dirinya, Umar berkata, “Wahai Fatimah! Aku telah dikalungkan urusan umat Muhammad ini yang pelbagai bangsa. Maka aku terfikir tentang orang fakir yang lapar, yang sakit lagi derita, orang yang tidak berpakaian yang susah, orang yang dizalimi lagi dipaksa, tawanan perang yang jauh, orang tua yang uzur, orang yang mempunyai keluarga yang ramai sedangkan hartanya sedikit dan seumpama mereka yang berada di segala tempat dan penjuru negara. Aku tahu Tuhanku akan bertanya aku mengenai mereka pada hari kiamat kelak. Aku bimbang alasanku tidak cukup kukuh untuk menjawabnya, lalu aku pun menangis...”

Namun, kerana kejahilan sebahagian orang Islam, ada pula dalam kalangan kita yang berebut-rebut hendak menjadi pemimpin. Masing-masing cuba menonjolkan diri agar dipilih atau dilantik menghuni jawatan atau pangkat tertentu. Lebih menyedihkan apabila persaingan ini tercetus kerana hendak meraih kepentingan peribadi. Hal rakyat atau orang bawahan menjadi soal kedua. Amanah yang sepatutnya dilangsaikan pula tercicir entah di mana. Nampaknya mereka lupa atau buat-buat lupa kepada pesanan Nabi Muhammad s.a.w. bahawa setiap daripada kita adalah pemimpin dan kelak setiap daripada kita juga akan ditanya oleh Tuhan mengenai tanggungjawab kepimpinan kita.

Pepatah ada menyebut, “Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah”. Ya, pemerintah atau pemimpin yang adil bukan sekadar dihormati, malah pasti akan mendapat ketaatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi daripada rakyatnya. Malah, dia akan lebih dicintai jika nilai-nilai Islam seperti tawaduk, bertanggungjawab, penyayang, bertimbang rasa, berakhlak mulia dan bertakwa berakar kuat di dalam dirinya. Kejayaan dan kecemerlangan kawasan atau negara yang ditadbirnya pula pasti akan jelas terserlah dan mendapat keberkatan daripada Allah.

Berbeza pula dengan pemerintah atau pemimpin yang zalim. Bukan sahaja tidak disukai, malah tidak akan mendapat ketaatan yang setimpal daripada rakyatnya. Jika ada ketaatan pun, ia hanyalah kerana terpaksa. Lebih buruk lagi, bukan setakat azab di akhirat, malah di dunia lagi dia mungkin menerima balasan yang setimpal atas kezaliman yang dilakukan terhadap rakyatnya.

Maka pesan saya kepada para pemimpin sekalian..

..Jadilah pemimpin yang adil, kerana dengannya dirimu akan sentiada diredai Allah.

..Jadilah pemimpin yang adil, insya-Allah segala doamu pasti akan dimakbulkan.

..Jadilah pemimpin yang adil, kerana sesungguhnya pemimpin yang adil adalah tergolong dalam tujuh golongan manusia yang akan diberi perlindungan oleh Allah dalam naungannya pada hari yang tiada naungan melainkan perlindungan Allah itu sendiri (Intisari hadis riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan Ibnu Majah).