Monday, August 8, 2011

Beriktikaflah..

Oleh Wan Am


Ramadan tiba lagi. Setiap orang Islam yang beriman pasti beriltizam untuk memastikan Ramadan kali ini adalah Ramadan yang terbaik dalam kehidupan mereka, kerana manalah tahu tidak berpeluang lagi untuk bertemu dengan bulan penuh keberkatan ini pada tahun mendatang. Siapa tidak mahu untuk bersungguh-sungguh mengerjakan ibadah fardu dan menggiatkan amalan sunat pada bulan yang dijanjikan pahala yang berganda-ganda ini?

Saya masih ingat sewaktu zaman remaja dahulu, pihak sekolah telah melatih dan mentarbiah kami untuk benar-benar menghidupkan Ramadan dengan ibadah dan amal kebajikan. Saya dan rakan-rakan berlumba-lumba untuk sebanyak mungkin khatam membaca al-Quran. Begitu juga menunaikan solat sunat Duha pada waktu rehat, dan menggandakan hafalan surah-surah lazim. Kemeriahan berbuka puasa dan solat tarawih bersama dalam majlis khas yang dianjurkan juga masih jelas terasa. Oh ya, ada satu lagi jenis ibadah yang kami tidak pernah “miss” setiap kali berada dalam bulan Ramadan, malah itulah antara agenda yang amat kami nanti-nantikan, iaitu beriktikaf di masjid.

Melalui program yang disusun oleh pihak sekolah, saya dan rakan-rakan telah berpeluang untuk beriktikaf pada malam-malam akhir Ramadan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Alhamdulillah, selama lima tahun di alam sekolah menengah, setiap kali bulan Ramadan kami dapat melaksanakan amalan iktikaf di masjid tersebut. Begitu terasa kelainannya setiap kali amal ibadah ketika beriktikaf dilaksanakan. Malah, beberapa kali juga kami dapat melihat fenomena pagi yang “mendamaikan”, yang menerbitkan tanda tanya kepada kami, “Adakah malam tadi Lailatul Qadar?” Namun tidak kurang juga peristiwa-peristiwa “nakal” yang melibatkan kami sepanjang beriktikaf. Maklumlah, zaman remaja! Namun tidaklah sampai melampaui batasan syarak.

Beriktikaf di masjid sememangnya merupakan antara ibadah sunat yang digalakkan untuk kita umat Islam laksanakan Ketika bulan Ramadan. Iktikaf dalam perkataan lain ialah duduk (berhenti) di dalam masjid dengan niat bermunajat kepada Allah, juga bertujuan untuk taqarrub (mendekatkan diri) kepada-Nya. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 125 yang bermaksud:

“Dan Kami telah perintahkan kepada Ibrahim dan ismail: ‘Bersihkanlah rumah-Ku untuk orang yang tawaf, yang iktikaf, yang rukuk dan yang sujud.’”

Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat sendiri menunaikan ibadah iktikaf ini sebagai memanifestasikan keimanan mereka dalam mengejar ganjaran Ramadan, khususnya pada 10 malam yang terakhir untuk meraih Lailatulqadar. Malah, ibadah iktikaf di masjid ini boleh dianggap sebagai syiar Ramadan yang utama bagi Rasulullah s.a.w. lantaran komitmen baginda yang sepenuh masa beriktikaf sepanjang bulan mulia tersebut. Rasulullah s.a.w. dikatakan pernah beriktikaf sebulan penuh dalam bulan Ramadan, dan ada kalanya baginda beriktikaf selama 20 hari. Sehinggakan Rasulullah s.a.w. pernah mendirikan khemah dalam Masjid Nabawi semata-mata untuk menunaikan ibadah iktikaf.

Dari segi hukum, oleh kerana Rasulullah s.a.w. tidak pernah meninggalkan amalan beriktikaf pada 10 malam terakhir Ramadan, maka ulama merumuskan bahawa ibadah iktikaf ini adalah sunat muakkad. Ulama juga bersepakat bahawa tempat yang paling elok beriktikaf adalah di tiga buah masjid utama Islam iaitu Masjid al-Haram, Masjid an-Nabawi dan Masjid al-Aqsa. Seterusnya dari sudut keutamaan ialah iktikaf boleh ditunaikan di mana-mana masjid yang mengadakan solat fardu Jumaat (menurut Imam Ibnu Qudamah dan Imam al-Syafi’i). Keutamaan berikutnya ialah boleh beriktikaf di semua masjid walaupun di situ tidak diadakan solat Jumaat.

Dalam dekad-dekad terakhir ini boleh dikatakan masjid-masjid amat meriah dengan kehadiran orang ramai yang beriktikaf pada 10 malam akhir Ramadan. Perkembangan ini mungkin disebabkan semakin bercambahnya kesedaran umat Islam di negara ini terhadap ajaran agama mereka, termasuklah kesedaran terhadap tuntutan dan kelebihan bagi mereka yang melaksanakan amalan iktikaf ini. Kita dapat melihat sesetengah kaum bapa turut membawa anak-anak kecil mereka untuk sama-sama beriktikaf. Bagi kaum hawa pula, tidak ada masalah untuk mereka menunaikan ibadah iktikaf ini, asalkan mereka menepati syarat-syarat yang telah ditentukan oleh syariat bagi wanita yang hendak berada di dalam masjid.

Dalam kita beriktikaf, berhati-hatilah kita terhadap perkara-perkara yang boleh membatalkan ibadah tersebut. Antaranya, meninggalkan masjid dengan sengaja tanpa keperluan penting walaupun sebentar. Ini kerana perbuatan tersebut telah menjejaskan salah satu rukun iktikaf iaitu berdiam di masjid. Namun, tidak terbatal amal iktikaf seseorang jika dia keluar dari tempat iktikaf kerana urusan mustahak dan memenuhi keperluan tertentu, contohnya menghantar isteri (sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. terhadap isteri baginda iaitu Safiyyah r.a. – Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Perkara lain yang boleh membatalkan ibadah iktikaf ialah murtad, hilang akal dan haid atau nifas. Begitu juga dengan berjimak (bersetubuh dengan isteri), sebagaimana firman Allah:

“Janganlah kamu mencampuri mereka (isteri kamu) itu, sedang kamu beriktikaf di dalam masjid. Itulah larangan Allah, maka jangan kamu mendekatinya.” (al-Baqarah : 187)

Sesungguhnya seseorang yang melaksanakan ibadah iktikaf akan tergolong dalam kalangan mereka yang beruntung. Mengapa? Kerana Allah sememangnya telah menjanjikan banyak keutamaan kepada mereka sentiasa berdampingan dengan masjid. Orang yang berada di masjid dengan niat dan cara yang menepati syarak, pastilah akan memperoleh kelebihan berikut:

1. Mendapat kemuliaan dari Allah

Dari Salman, dari Nabi s.a.w. bahawa baginda bersabda: “Barangsiapa berwuduk di rumahnya, lalu mendatangi masjid, bererti dia menjadi tetamu Allah, dan sudah menjadi kewajipan bagi pihak yang dikunjungi untuk memuliakan pihak yang mengunjunginya.” (Riwayat Tabarani)

2. Dosanya diampunkan

Berdasarkan hadis Abdullah bin Abbas r.a., dari Nabi s.a.w. yang menyebut bahawa Allah pernah berfirman kepada Nabi s.a.w. ketika baginda sedang tidur: “...Ya Muhammad, tahukah kamu amal yang bagaimana yang selalu dicari-cari oleh para malaikat yang paling dekat dengan Allah? Aku berkata, ‘Ya, tahu, iaitu amal-amal yang dapat menghapuskan dosa tetap tinggal di masjid setelah selesai solat berjemaah, berjalan menuju solat berjemaah dan tetap menyempurnakan wuduk ketika keadaan berat. Barangsiapa mengerjakan yang demikian, dia akan hidup dengan mendapat kebaikan, akan mati dengan mendapat kebaikan dan bebas dari dosa sebagaimana keadaannya ketika dilahirkan oleh ibunya...” (Riwayat Tirmizi)

3. Para malaikat berselawat untuknya

“Para malaikat berselawat untuk seseorang di antara kamu selama dia berada di tempat solatnya. Mereka berdoa, ‘Ya Allah, rahmatilah dia. Ya Allah, ampunilah dia. Ya Allah, terimalah taubatnya.’ Yakni selama dia tidak melakukan perkara-perkara yang mengganggu orang lain dan belum berhadas.” (Riwayat Bukhari)

4. Mendapat rahmat, ketenangan dan dinaungi malaikat

Dari Abu Hurairah r.a. dia berkata, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: “...Tidaklah suatu kaum yang berkumpul (membentuk majlis) di salah satu masjid untuk membaca dan mempelajari al-Quran, melainkan ketenangan akan turun kepada mereka, mereka diliputi rahmat dan dinaungi oleh para malaikat, dan Allah akan memuji-muji mereka di hadapan para makhluk yang ada di sisi-Nya...” (Riwayat Muslim)

Inilah ganjaran-ganjaran lumayan yang tersedia bagi mereka yang melaksanakan amalan iktikaf. Bayangkan jika ganjaran ini kita peroleh dalam bulan Ramadan, iaitu bulan yang menjanjikan pahala yang berlipat kali ganda bagi satu amal kebajikan. Dan cuba bayangkan juga jika ganjaran ini kita peroleh semasa Lailatul Qadar, suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan...

Wednesday, August 3, 2011

Memberdaya Peranan Institusi Masjid

Oleh Wan Am


Saya mempunyai beberapa orang rakan yang pernah berkunjung ke Singapura bagi meninjau perjalanan institusi masjid di sana. Menurut mereka, masjid di sana benar-benar dimakmurkan dengan pelbagai fungsi dan kegunaan. Malah, melalui pendekatan ‘mesra keluarga, komuniti dan belia’, masjid di Singapura kini bukan sahaja memainkan peranan yang lebih besar dalam kehidupan masyarakat Islam, bahkan telah berjaya mencatat pelbagai kemajuan dari sudut agama dan pembangunan sosial. Dengan jumlah tidak lebih daripada setengah juta penduduk Muslim di Singapura, kini sudah terdapat sebanyak 69 buah masjid di sana. Serentak dengan perkembangan tersebut, ditambah kemajuan masyarakat yang pesat berubah, masjid-masjid di Singapura terus proaktif mengatur strategi agar ikatan antara masjid dan ahli masyarakat yang beragama Islam (juga bukan Islam) akan terus kukuh.

Bagaimana pula dengan institusi masjid di Malaysia? Kita sebenarnya harus juga berbangga kerana lewat dewasa ini semangat umat Islam di negara ini untuk membangun dan memperkasa institusi masjid sudah semakin terserlah. Dengan pertambahan bilangan masjid-masjid baru, serta bersemaraknya aktiviti-aktiviti yang berpusat di masjid sudah boleh menggambarkan kesungguhan mereka untuk memartabatkan Islam, sesuai dengan statusnya sebagai agama rasmi negara ini.

Namun, harus juga kita akui bahawa fungsi dan peranan institusi masjid di negara kita secara umumnya masih boleh dioptimumkan lagi. Hal ini memandangkan masih banyak masjid yang memberikan fokus hanya kepada aktiviti-aktiviti yang bersifat rutin seperti solat berjemaah, kuliah fardu ain, ceramah sempena hari kebesaran Islam, tadarus al-Quran dan sebagainya. Keadaan ini mungkin disebabkan tahap kefahaman kebanyakan umat Islam yang masih dibelenggu pemikiran lama bahawa untuk mengimarahkan masjid, cukuplah dengan melaksanakan solat berjemaah dan ibadah sunat tertentu.

Inilah antara cabaran yang sedang menanti para pendakwah. Sudah tiba masanya untuk kita memberikan kefahaman yang tepat terhadap umat Islam, khususnya para penggerak institusi masjid akan fungsi sebenar masjid terhadap individu dan masyarakat. Kefahaman yang harus ditanam kepada mereka iaitu fungsi masjid bukan sahaja terjurus kepada aspek ibadah semata-mata, tetapi juga turut merangkumi aspek-aspek kehidupan yang lain seperti kegiatan sosial dan ekonomi, bahkan bidang-bidang lain yang seiring dengan tuntutan dan perkembangan zaman. Pendek kata, institusi masjid harus menjadi “pusat sehenti” umat Islam dalam segenap aspek kehidupan.

Dr. Mustafa as-Syibaie dalam buku “Sirah Nabi Muhammad s.a.w. – Pengajaran & Pedoman” telah berkongsikan pandangannya berkenaan fungsi masjid, “Sejarah masjid dalam Islam membuktikan ketumbukan-ketumbukan tentera Islam dilancarkan dari masjid untuk meliputi muka bumi dengan hidayah Allah. Dari masjid juga terpancar sinaran cahaya kebenaran dan hidayah kepada orang Islam dan orang bukan Islam. Di dalamnya juga benih-benih tamadun Islam tumbuh subur dan berkembang. Bukankah Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Khalid, Saad, Abu Ubaidah dan tokoh-tokoh besar dalam sejarah Islam yang lain merupakan anak-anak murid sekolah Muhammad yang berpusat di Masjid an-Nabawi?”

Melalui sirah, kita dapat melihat bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bukan sahaja menjadikan Masjid an-Nabawi sebagai pusat ibadah, malah juga sebagai pusat pemerintahan dan pentadbiran negara Islam Madinah. Masjid an-Nabawi menjadi nadi gerakan Islam, penggerak aktiviti masyarakat, malah tempat umat menuntut hak dan keadilan. Masjid an-Nabawi juga turut berperanan sebagai pusat kebajikan, gedung ilmu serta pusat hubungan dengan Allah dan manusia sesama manusia. Dengan fungsi-fungsi tersebut, terbukti Rasulullah s.a.w. telah berjaya menggambarkan kesempurnaan dan keindahan Islam sebagai ad-Deen (cara hidup) melalui fungsi-fungsi komprehensif yang dimainkan oleh institusi masjid.

Dalam kertas kerjanya yang bertajuk “Peranan dan Kedudukan Institusi Masjid Dalam Islam”, Ismail Roziz yang merupakan Setiausaha Agung Jamiyah Singapura telah menyenaraikan peranan yang harus dilakukan oleh institusi masjid pada hari ini. Peranan-peranan tersebut adalah seperti berikut:

i. Menyusun struktur kerja masjid

Salah satu ciri kejayaan sesebuah masjid untuk menjadi pusat pentadbiran dan perkembangan masyarakat Islam adalah terletak pada struktur kerja masjid itu sendiri. Jawatankuasa kerja yang dinamik dan berkaliber akan dapat merancang dan mentadbir masjid dengan baik.

ii. Imam yang ideal

Imam masjid mempunyai kedudukan, peranan dan fungsi yang sangat penting, bukan sahaja dalam upaya memakmurkan masjid, tetapi juga dalam membina, mengembang dan memajukan masyarakat Islam yang merupakan jemaah masjid. Oleh itu imam masjid perlulah mempunyai pengetahuan dan wawasan yang luas serta mampu menyelesaikan masalah kemasyarakatan dengan sebaik mungkin.

iii. Menyatukan umat Islam

Rasulullah s.a.w. amat mementingkan semangat bersatu-padu dalam kalangan para sahabatnya. Apabila terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan mereka, Rasulullah s.a.w. menanganinya secara kolektif dan telus. Dan sekiranya para sahabat mempunyai ide dan pendapat baru yang tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam, maka Rasulullah s.a.w. amat mengalu-alukannya. Tujuan tindakan seperti ini adalah untuk mewujudkan kesatuan dalam kalangan para sahabat dan pengikut mereka.

iv. Menghidupkan semangat mesyuarat

Masjid adalah tempat untuk bermesyuarat, bukan sahaja di antara para pentadbir dengan jawatankuasa dan para pentadbir dengan jemaah, namun juga di antara sesama jemaah. Imam masjid dan pentadbir hendaklah bermesyuarat untuk mendapatkan penyelesaian dalam menghadapi sesuatu masalah atau pertikaian yang timbul. Apa jua perancangan atau projek baru yang bertujuan untuk meninggikan syiar Islam dan menghidupkan semangat keislaman perlulah dibincangkan bersama.

v. Memperkukuh akidah umat

Dalam kehidupan masa kini yang penuh dengan cabaran dan tentangan, umat Islam amat perlu memperkuat akidah supaya tidak mudah terpengaruh dan terjerumus ke dalam unsur-unsur negatif. Benteng akidah ini menjadi lebih penting lagi kerana dewasa ini tersebar ajaran-ajaran serta pemahaman akidah yang menyesatkan. Dalam hal ini, masjid memainkan peranan yang penting dalam menguatkan akidah jemaahnya.

vi. Institusi keislaman, pelajaran, kemasyarakatan dan kebajikan

Masjid hendaklah menjadi pusat rujukan dalam masalah-masalah kehidupan masyarakat Islam sehingga mampu menyediakan jawapan yang munasabah dan Islamik bagi setiap pertanyaan, juga menjadi pusat kaunseling bagi menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi oleh masyarakat Islam pada hari ini.

Masjid juga adalah institusi ilmu untuk kecemerlangan masyarakat Islam. Budaya ilmu ini perlu diluaskan dengan mengadakan kelas-kelas keagamaan dan juga kelas-kelas ilmiah yang lain seperti pelajaran komputer, sains, matematik dan lain-lain pelajaran dari peringkat kanak-kanak hingga ke peringkat dewasa. Selain itu usaha seperti ceramah, forum dan dialog umum merupakan antara alternatif yang akan mengharmoni dan menyatupadukan masyarakat Islam.

Di samping itu masjid juga hendaklah menjadi pusat bantuan kepada mereka yang memerlukan sokongan moral dan material bagi meringankan beban kewangan atau masalah gejala sosial yang dihadapi oleh masyarakat Islam pada masa kini.

vii. Mempererat kerjasama antara umat

Masjid sebagai tempat ibadat melahirkan gambaran perdamaian dan keagungan Islam sebagai agama yang toleran terhadap sesama penganut agama. Adalah baik jika masjid dapat membuka pintu kepada mereka yang bukan Islam untuk melawat ke rumah Allah ini agar mereka dapat belajar dan mengetahui bagaimana umat Islam melakukan sembahyang dan erti seruan azan yang dilaungkan sebelum sembahyang serta kegiatan keagamaan atau aspek yang lain di dalam masjid.

Maka dengan premis tersebut, ayuh kita membangun dan menyemarakkan semula fungsi masjid di negara kita agar cita-cita kita untuk melahirkan masyarakat yang cemerlang dan tamadun Islam yang gemilang akan dapat dicapai. Selain itu kita jadikan usaha ini sebagai salah satu cara kita untuk taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah dan meraih manfaatnya di akhirat kelak, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:

“Barangsiapa membangun untuk Allah sebuah masjid meskipun hanya sebesar sarang burung, maka Allah akan membangunkan untuknya rumah di syurga.” (Riwayat Bukhari)

Menggerakkan Orang Muda ke Masjid

Oleh Wan Am


Antara cabaran besar yang sedang dihadapi oleh institusi masjid di negara ini pada masa kini ialah untuk menarik lebih ramai generasi muda agar kembali memakmurkan masjid. Tugas ini sememangnya tidak mudah, memandangkan kecenderungan dan kesibukan orang-orang muda yang lebih terpaut kepada perkara-perkara lain yang lebih "menyeronokkan". Mereka nampaknya lebih gemar menonton perlawanan bola sepak di stadium, bermain permainan komputer di kafe siber, merempit di jalan raya, bertemu janji dengan kekasih di taman, menonton rancangan realiti berbentuk hiburan di televisyen dan lain-lain lagi berbanding untuk bertandang ke masjid.

Lebih-lebih lagi generasi muda sekarang tidak lagi seperti generasi muda beberapa dekad lalu; mereka kini lebih terdedah dengan maklumat dan pengaruh luar akibat globalisasi, yang mana akhirnya menjerumuskan mereka kepada perkara-perkara yang melalaikan sehingga melupakan ajaran agama dan adat ketimuran yang diwarisi sejak zaman-berzaman. Bukan sekadar tidak ke masjid, malah ibadah solat fardu pun sudah dialpakan.

Maka, apakah solusi terbaik kepada dilema ini? Ada yang berpandangan, proses tarbiah dan bimbingan Islam kepada generasi muda harus terus dipergiatkan. Jika anak-anak muda ini sudah mendapat kefahaman yang benar mengenai agama, insya-Allah mereka akhirnya akan komited untuk mempraktikkan Islam dalam kehidupan, termasuk memakmurkan masjid dengan ibadah mereka. Saya kira ini satu pandangan yang bernas juga, namun sebenarnya tidak cukup sekadar itu kalau hendak memastikan hati anak-anak muda ini benar-benar terpaut pada institusi masjid.

Pada pendapat saya, sistem sokongan daripada institusi masjid juga perlu diambil kira jika hendakkan generasi muda berdamping dengan masjid. Lebih khusus lagi, aktiviti dan persekitaran sesuatu masjid itu hendaklah sesuai dengan citarasa dan keperluan orang-orang muda. Penyediaan infrastruktur dan jenis program yang tepat, kontemporari dan selaras dengan kehendak syarak adalah penting jika kita hendak memulakan suatu gerakan mengembalikan semula generasi muda ke masjid. Ingatlah kata-kata Umar bin al-Khatab, "Didiklah anakmu sesuai dengan zamannya..."

Berpandukan sedikit pengalaman yang saya timba sewaktu bergelumang dengan dunia dakwah remaja suatu masa dahulu, terdapat beberapa jenis aktiviti yang boleh dilaksanakan oleh institusi masjid untuk ditujukan kepada generasi muda masa kini. Antaranya ialah:

1. Sukan

Majoriti anak-anak muda sekarang, terutamanya lelaki memang menggemari aktiviti sukan. Sesuai dengan keadaan ini, institusi masjid boleh mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan aktiviti berkaitan sukan yang membabitkan anak-anak muda. Sukan seperti bolasepak, futsal, bola jaring, badminton, bola tampar, sepak takraw, ping pong, malah sukaneka dan sukan rakyat adalah antara jenis sukan yang boleh dipertimbangkan untuk dijalankan. Lebih cantik lagi kalau dapat diadakan pertandingan sukan antara masjid-masjid, pasti bertambah kemeriahannya dengan penglibatan anak muda. Sewaktu menjalankan aktiviti tersebut, selitkanlah juga sedikit tazkirah pada mana-mana ruangan yang sesuai. Tekankan tajuk-tajuk seperti kepentingan beriadah, menjaga aurat, bekerjasama dalam satu pasukan, hatta peranan generasi muda memakmurkan masjid.

2. Rekreasi

Selain sukan, anak-anak muda juga sukakan aktiviti berbentuk rekreasi. Ini bersesuaian dengan ciri-ciri generasi muda yang sememangnya aktif, lasak dan sukakan cabaran. Antara jenis aktiviti rekreasi yang boleh dilaksanakan ialah perkhemahan, berkayak, ekspedisi memanjat gunung, mencari harta karun (treasure hunt) dan eksplorace. Jangan lupa untuk menyelitkan sebarang bentuk aktiviti kerohanian sepanjang mengadakan program rekreasi tersebut.

3. Kesenian dan kebudayaan

Ramai juga anak muda yang meminati bidang seni. Justeru bagi meraikan fitrah anak muda ini, aktiviti berbentuk kesenian dan kebudayaan boleh dianjurkan oleh pihak masjid. Contoh aktiviti adalah seperti nasyid, kompang, tulisan khat, seni mempertahankan diri, pentomen dan teater. Saya tertarik dengan satu pendekatan yang dibawa oleh sebuah kumpulan yang mempromosikan teater berjudul "Menunggu Kata Dari Tuhan" di masjid-masjid di seluruh negeri Selangor sejak tiga tahun lalu. Sambutannya cukup memberangsangkan dan ternyata mampu menarik anak muda untuk menyaksikannya lantas mendekatkan mereka dengan institusi masjid.

4. Seminar, Bengkel, Forum dan Kem

Walaupun aktiviti-aktiviti ini bunyinya sedikit formal, namun jika pengisian dan pendekatannya segar dan menepati selera orang muda, saya pasti aktiviti sebegini juga mampu menarik minat remaja untuk berkunjung ke masjid. Modul-modul alaf baru berkaitan generasi muda boleh diketengahkan seperti Keindahan Bersamamu, Anda Bijak Jauhi Zina, Reproduksi Remaja, S.P.I.E.S, Remaja Raikan Ramadan dan Hidup Zero Alasan. Di samping itu lebih baik lagi jika dapat dilibatkan figura dan selebriti terkenal yang cenderung kepada Islam seperti Dato' Dr. Mohd Fadzilah Kamsah, Prof. Dr. Muhaya Mohamad, Dr. Harlina Halizah Siraj, Wardina Safiyyah, Asyraf Muslim, Akil Hayy, Ahmad Fedtri Yahya, Irma Hasmie dan Heliza Helmi, juga artis-artis nasyid seperti Rabbani, Raihan, In-Team, Nowseeheart dan lain-lain lagi.

5. Lawatan

Lawatan sambil belajar adalah suatu aktiviti yang cukup bermanfaat buat generasi muda. Bawalah mereka ke tempat-tempat bersejarah, institusi pengajian tinggi, rumah-rumah kebajikan dan ekspo atau pameran yang bersesuaian. Insya-Allah, pasti mereka berasa seronok dan memperoleh manfaat melalui aktiviti sebegini.

6. Pertandingan kreatif

Di samping itu adakanlah aktiviti berbentuk pertandingan kreatif yang khusus disertai oleh golongan remaja dan belia. Contoh pertandingan ialah pertandingan filem pendek, pertandingan melukis komik, pertandingan kuiz isu Palestin, pertandingan flash, pertandingan foto bermesej, pertandingan mereka bentuk laman web masjid, Akademi Khatib dan sebagainya. Pastikan promosi pertandingan ini disebarkan seluas mungkin, serta penyediaan hadiah yang mampu menarik minat anak-anak muda untuk menyertainya.

Cukuplah sekadar itu saranan saya. Saya percaya banyak lagi jenis aktiviti lain yang boleh diadakan bagi menjayakan hasrat kita untuk membuatkan generasi muda hari ini "jatuh cinta" dengan masjid. Oh ya, ada juga rakan-rakan saya yang pernah berkunjung ke Singapura yang menceritakan begitu hidupnya aktiviti masjid di sana, khususnya aktiviti kepada remaja dan belia. Saya berharap suatu hari nanti saya akan sampai ke sana dan melihat sendiri realiti seperti yang diceritakan orang tersebut.

Sebelum itu ayuh kita realisasikan kerja besar kita ini di tempat kita sendiri. Suatu kerja besar yang memerlukan pengorbanan yang besar...

Tuesday, August 2, 2011

Bebaskan Masjid al-Aqsa!

Oleh Wan Am


Dalam Islam, selepas Masjid al-Haram di Makkah dan Masjid an-Nabawi di Madinah, Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis merupakan masjid ketiga paling suci bagi umat Islam. Masjid al-Aqsa telah menempuh suatu sejarah yang cukup panjang, malah dikhabarkan Nabi Adam a.s. adalah pembina masjid ini (40 tahun selepas baginda mendirikan Masjid al-Haram). Di masjid inilah berlaku peristiwa Israk dan Mikraj, iaitu perjalanan Nabi Muhammad s.a.w. dari Masjid al-Haram menuju ke Masjid al-Aqsa dan seterusnya dibawa ke langit untuk bertemu Allah dalam satu malam.

"Maha suci Allah yang telah mengisrakkan (membawa pada perjalanan malam) hamba-Nya dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya untuk Kami perlihatkan kepadanya tanda-tanda kekuasaan Kami..." (al-Israk : 1)

Jika kita sentiasa menyorot akan perkembangan semasa yang berlaku kepada dunia dan umat Islam, suatu isu yang wajib menjadi perhatian kita, walau 10 minit dalam sehari ialah isu yang menyentuh bumi Palestin yang di dalamnya terletak Masjid al-Aqsa. Selain kekejaman dan kekejian yang direncanakan oleh puak Zionis Israel dan sekutunya terhadap perjuangan Hamas dan umat Islam di Gaza, jangan sekali-kali kita abaikan isu yang melanda Masjid al-Aqsa yang kita cintai ini. Memang sejak lebih satu abad dahulu dalam era moden ini, Masjid al-Aqsa telah menjadi sasaran golongan ekstrimis dan Zionis Yahudi dan Kristian yang bercita-cita untuk merobohkan masjid tersebut.

Sejak 1967 pula, iaitu setelah rejim Zionis berjaya menawan Masjid al-Aqsa dalam peristiwa Perang Enam Hari, pelbagai perkara keji telah dilakukan oleh mereka demi untuk mencemarkan kesucian masjid tersebut. Semuanya telah berlaku kepada Masjid al-Aqsa; diceroboh, dibakar, dikotori dengan najis, dihalang daripada dikunjungi oleh umat Islam, malah digali dasarnya dengan tujuan untuk merosakkan struktur asas binaannya. Dalam kejadian terbaru yang berlaku lewat Julai lalu, sempena meraikan penawanan Masjid al-Aqsa pada 44 tahun yang lalu, polis Israel telah membenarkan tidak kurang daripada 60 penceroboh memasuki pagar Maghriba dan menceroboh perkarangan Masjid al-Aqsa. Tindakan biadap ini tentunya mendapat perlindungan daripada polis Israel, sehinggakan mereka mengancam umat Islam yang berada di sekitar masjid tersebut agar tidak membangkitkan sebarang bantahan terhadap pencerobohan tersebut.

Bukan itu sahaja, malah pada masa yang sama pencerobohan turut berlaku di sebuah masjid di perkampungan al-Mughayer di Ramallah, Tebing Barat, yang mana terdapat cubaan untuk membakar masjid, tetapi gagal. Selain itu mereka turut menconteng dinding masjid dengan tulisan Hebrew. Kita percaya semua kejadian ini dirancang oleh rejim Zionis bagi melakukan provokasi yang berterusan terhadap umat Islam di Palestin.

Saya percaya banyak lagi peristiwa yang serupa berlaku yang tidak mendapat liputan media-media utama dunia, yag mana merupakan rentetan kepada perancangan jahat Zionis terhadap Masjid al-Aqsa dan bumi Palestin sejak sekian lama. Soalnya, mengapa pihak Zionis begitu bernafsu besar untuk menguasai Masjid al-Aqsa? Mengapa tidak masjid yang lain? Tentu ada keistimewaannya Masjid al-Aqsa ini dalam hati mereka atau pada kepercayaan mereka, sehinggakan mereka sanggup berbuat apa sahaja bagi menguasai masjid tersebut.

Menurut Maszlee Malik dalam buku popularnya "Al-Aqsa Dalam Bahaya!!", Masjid al-Aqsa begitu penting kepada kaum Yahudi kerana menurut kitab "Old Testament" mereka, di situlah terdapatnya "Haykal" ataupun kuil yang telah dibina oleh Nabi Sulaiman pada zaman kegemilangan baginda. Kuil tersebut telah pun diruntuhkan sebanyak dua kali sebelum ini dan kini hanya menjadi kenangan yang termaktub dalam kitab suci mereka sahaja.

Bagi kaum Yahudi dan Zionis, kegemilangan zaman tersebut hanyalah milik mutlak kaum Yahudi dan tidak boleh dijadikan kredit bagi bangsa mahupun agama lain di atas muka bumi ini. Haykal tersebut yang menjadi tempat ibadah utama bagi kaum Yahudi dipercayai terletak di bukit Moravia, iaitu di mana terletaknya Kubah al-Sakhra sekarang ini. Sejak awal abad kedua masihi, iaitu setelah kaum Yahudi yang terakhir meninggalkan Baitul Maqdis, mereka telah mencipta rukun iman baru sebagai kepercayaan mereka, iaitu mereka tidak akan pulang ke Baitul Maqdis sehinggalah munculnya "Messiah" (penyelamat) yang akan mengumpulkan kaum Yahudi di sana menjelang hari kiamat.

Bagi golongan Kristian Protestan pula, setelah melakukan "penyemakan semula" kepada kitab suci mereka, mereka akhirnya mempercayai bahawa suasana kedatangan Jesus semula ke dunia di Baitul Maqdis haruslah sama sepertimana suasana semasa beliau kali pertama muncul di sana. Beliau tidak akan muncul melainkan selepas terbinanya Haykal seperti yang disebutkan dalam Old Testament. Oleh yang demikian, untuk menyambut kedatangan semula Jesus, Haykal perlu dibina semula dan orang-orang Yahudi hendaklah dikumpulkan semula di Baitul Maqdis.

Akhirnya melalui gerakan Zionis yang telah ditubuhkan secara rasmi di Basle, Switzerland pada 1897, golongan Kristian Protestan dan Protestan Yahudi (Haskalah) telah bersetuju untuk membawa pulang orang-orang Yahudi dari serata dunia ke bumi Palestin dan Baitul Maqdis dan membangunkan semula Haykal (walaupun mereka berbeza kepercayaan, namun misi mereka tetap sama). Namun, untuk membina semula Haykal pada waktu ini adalah mustahil kerana di situlah terdapatnya Masjid al-Aqsa dan Kubah as-Sakhra. Oleh hal yang demikian, mereka telah merancang untuk merobohkan Haram al-Syarif yang mana di dalamnya terdapat Masjid al-Aqsa dan Kubah as-Sakhra dan menggantikannya dengan pembinaan Haykal yang mereka impikan. Sebab itulah sejak tahun 1967 lagi dan berterusan sehingga kini mereka telah melakukan banyak usaha untuk merosak dan mencemar kesucian masjid tersebut.

Itulah serba ringkas realiti yang telah dan sedang berlaku terhadap Masjid al-Aqsa. Justeru, apakah tindakan kita sebagai Muslim yang peduli dengan nasib umat dan agamanya, lebih-lebih lagi terhadap nasib salah satu rumah Allah yang paling utama? Patutkah kita berterusan membiarkan pelampau-pelampau Yahudi dan Zionis bertindak sewenang-wenangnya terhadap Masjid al-Aqsa demi menjayakan makar jahat mereka?

Seruan Hamas yang akan melancarkan Intifadah ketiga bagi mempertahankan Masjid al-Aqsa harus kita sahut dan turut serta menyumbang sekadar kemampuan kita. Banyak cara yang boleh dilakukan bagi mengisi agenda perjuangan untuk membebaskan Masjid al-Aqsa. Ingatlah, jangan sesekali kita tidak berbuat apa-apa dalam isu ini, kerana manalah tahu ia adalah salah satu perkara yang akan ditanya oleh Tuhan sewaktu kita berada di alam baqa nanti!